Home Novel Komedi/Romantik Komedi BICARA CINTA TERTANGGUH
Bab 13

HARI-hari terakhir menjadi seorang penganggur. Mulai Isnin depan dia akan mula bekerja dengan Nisa yang menguruskan syarikat katering. Cuba dahulu selama sebulan. Untung-untung boleh belajar memasak. Lagi pun duit dalam simpanan semakin menyusut. Sekarang bukan masa belajar lagi. Dahulu pun semasa belajar, dia usaha sendiri mencari wang lebih untuk belanja. Mujur ayah ketika itu ada menyerahkan wang peninggalan emak. Itu pun tanpa pengetahuan emak tirinya. Kalau tahu? Matilah dia menanggung hutan PTPN.

“Kak, Sabtu ni nak ikut pergi mandi air terjun tak?” tanya Irma.

“Malas.”

“Akak ni mengalahkan Mak Jah tau. Asyik duduk rumah aje. Tak bosan ke?”

Irma duduk di sofa berdekatan dan memandang Suriya. Menunggu jawapan sedangkan yang empunya diri matanya khusyuk memandang skrin televisyen.

“Kak...orang tanya ni.”

Suriya menoleh.

“Lemon bukan calamansi.”

“Hah?” Irma menggaru kepala.

“Lemon bukan calamansi. Kedua-duanya asid tapi tetap berbeza.” Suriya membalas. Matanya kembali kepada skrin televisyen. Macam sedap aje Peking Duck popia yang sedang dimasak Chef MartinYan.

“Tulah, duduk rumah ni lama sangat tak kerja-kerja. Ni lah kesannya. Asyik ingat abang Luq aje.” Irma mengusik.

“Eh, apa halnya nama dia pulak yang disebut.” Suriya bertanya dengan nada tidak puas hati. Amboi, mulut Irma ini memang mahu dicili. Cili apa yang paling pedas di dunia? Habanero? Ok, cili habanero sekilo.

Irma tersengih-sengih.

“Lemon memang bukan calamansi kan kak...”

“Yalah. Irma punya bosan dengan akak punya bosan, tak sama.” Suriya memberikan penjelasan.

“Abang Luq pulak?”

“Hisy, jangan sebut nama dia boleh tak?”

“Sabtu ni kita kena rewang kat masjid.” Mak Jah tiba-tiba bersuara. Berlenggang kangkung dari dapur dan menuju ke sofa.

“Rewang? Siapa buat kenduri?” tanya Irma.

“Luqman.”

Suriya pun terus buat-buat tidak mendengar. Mata kembali dipakukan ke televisyen. Buat-buat khusyuk melihat rancangan masakan Jamie Oliver pula.

“Nanti Suri ikut sekali.” Mak Jah memberikan arahan.

“Rasanya tak boleh ikut.” Perlahan saja Suriya menjawab.

Mak Jah memandang. Wah, Suriya mahu buat keras kepala nampak. Tidak mengapa. Hari ini baru hari Jumaat. Tunggulah dia mengatur strategi. Suriya tidak akan tahu apa yang telah datang untuk dia tangani. Pasti Suriya tidak akan cukup kaki dan tangan. Padan muka!

USAI solat di masjid, Luqman pulang ke rumah. Perut sudah berbunyi. Lapar. Ditambah dengan hujan yang renyai-renyai membasahi bumi, usus pun mula buat demonstrasi. Hari ini dia membeli saja. Nasi goreng padprik. Cukuplah untuk mengalas perut malam ini.

“Sedap juga makanan kat gerai ni ya.” Latif bersuara setelah makanannya licin.

“Macam tak makan sepuluh hari.”

Latif ketawa. Hari ini dia menumpang tidur di rumah Luqman. Sengaja.

“Tadi kau ada nampak Suri ke?” tanya Latif.

“Aku pergi masjid nak dapat pahala jemaah. Bukan dosa ngendap anak dara orang.” Luqman menyergah. Dia menghirup kopi panas yang turut dibeli tadi. Argh, sedap. Pekat dan cukup kaw.

Sekali lagi Latif menyambung ketawa. Eleh, padahal bukan dia tidak nampak mata Luqman yang melingas melihat sekeliling. Konon tengok nyamukkah? Penipu betul.

“Kau tu yang asyik panjangkan leher macam zirafah. Lain kali nak jatuh cinta, janganlah cari pasangan yang katik. Susah sikit bila nak jejak kasih.” Luqman selamba melaser dan ketawa.

“Pergh, mulut macam tak ada insurans dengan cukai jalan raya. Main aci redah aje eh.” Latif menunjuk penumbuk.

“Dah memang betul kan Latifah tu macam serama.”

“Tifa la...” Latif membetulkan nama gadis yang menjadi idamannya itu.

“Kau ingat masa nak akad nikah tu, tok kadhi guna nama glamer dia ke? Guna nama FB dia? Nama instagram dia?” Luqman ketawa. Mujur nama Suri itu indah. Suriya Hanum. Nama comel untuk orang yang comel.

“Apa lak cerita nikah ni?” Latif mengelak. Mana ada dia bercinta. Dia baru pandang-pandang dan lihat-lihat dari jauh saja. Meniaga di pasar pun baru setahun dua. Duit di bank pun cukup kais pagi makan pagi saja. Kalau mahu makan petang, kena pergi kais tempat lain. Kais lagi dalam!

“Nikah tu sunnah.”

“Kau yang dah tak sabar nak kahwin. Aku pulak yang kena. Kau tu bila nampak Suri, macam nak terkam aje. Untuk engkau, nikah tu wajib.” Latif mengenakan Luqman sambil tersengih-sengih. Rasa bangga.

“Kau tahu tak ekonomi tengah meleset?”

“Tahu!”

“GST lagi.”

“Nikah kena bayar GST ke?” tanya Latif dengan nada naif.

Luqman menggeleng. Latif saja mahu buat lawak yang menyakitkan hati.

“Esok betul ke kau nak buat kambing golek?” tanya Latif.

“Betullah. Takkan nak main-main. Dah tempah, dah bayar pun.” Luqman memberitahu.

Latif pun menyeringai. Sayang benar Luqman pada Suriya. Suriya saja yang jual mahal. Padahal kalau dapat bersuamikan Luqman, untunglah Suriya. Memang cemerlang dan gemilanglah hidup.

Telefon yang berbunyi mengganggu angan-angan Latif. Suriyakah yang menelefon Luqman? Muka kawannya ini seperti menang motorsikal dua, tiga biji sahaja.

“Amacam? Ok ke?” tanya Luqman setelah memberikan salam.

“Mestilah ok.” Mak Jah membalas.

“Suri datang ke Mak Jah?”

“Itu biar Mak Jah yang uruskan.”

“Jangan tak datang...kesian saya.” Nada suara Luqman menurun dan sudah seperti berbisik pula. Memanglah dia ikhlas mahu membuat majlis kenduri itu pada esok hari tetapi jika Suriya hadir, itu adalah satu bonus.

“Hah kamu ni. Tak sabar sungguh. Pergi mandi.”

Dan serta merta muka Luqman terasa menderu darah. Mak Jah ni! Tak ada berlapis sungguh.

“Mak Jah nak sambung promosi ni. Kalau orang lain, tak adanya Mak Jah usaha gigih macam ni. Faham?” Mak Jah bertanya dengan nada yang serius.

“Faham. Saya sayang Mak Jah.”

Dan di hujung talian, Mak Jah ketawa. Luqman, Luqman! Jual minyak betul. Selepas berjanji, talian dimatikan.

“Mak Jah? Pergh, besar kabel kau. Kiranya dah dapat mandat besarlah ni.” Latif berasa teruja.

“Masalahnya Suri tu hati kayu. Hati batu. Aku bagi coklat pun tak ada kesan. Hantar bunga kantan, dia buat kerabu. Dia tak faham kot.” Luqman mencurahkan keraguan yang ada di dalam hatinya.

Latif ketawa.

“Kau tak ikhlas. Perempuan ni tahu kalau kau ikhlas ke tak.”

“Apa ke hal kau nak tuduh aku tak ikhlas?” Mata Luqman terjegil memandang Latif.

“Yang buat semua tu Hairul, bukan kau.”

Erk, betul juga. Luqman jadi terdiam. Langkahnya salahkah?

“Kau janganlah panik sampai nak makan racun pulak.” Latif menegur. Wajah suram Luqman membuat dia seram pula.

“Kau ingat aku tak ada iman?” marah Luqman.

“Bukanlah...Aku tahu kau pasal iman memang bagus.” Latif mengangkat ibu jarinya. Karang kalau dia kutuk lebih-lebih dan Luqman halau dia balik, aniaya. Malam pun sudah semakin lewat dan gelap.

“Kau ni...kejap gitu, kejap gini. Saja nak buat aku bengong ya,”teka Luqman.

Latif tersengih. Kabel besar ada, pasti laluan Luqman tidak sukar.

KAIN yang menggunung sudah dilipat. Mana tidak menggunung, hari ini Suriya menurunkan semua langsir dan mencuci serta menggantung langsir yang baru.

“Cantikkan langsir yang warna ni.” Suriya tersenyum melihat langsir yang dipasangnya petang tadi.

“Cantik, nanti kalau ada orang tunang atau nikah, kita tukarlah yang baru.” Mak Jah membalas.

Suriya diam tidak memberi komen. Dia melihat televisyen. Mak Jah akhir-akhir ini memang taksub dalam bab nikah kahwin. Abaikan sahaja. Takut jika dilayan akan semakin menjadi-jadi sawan pengantin Mak Jah.

“Apalah yang dimasaknya tu? Halal ke tak?” Mak Jah menegur.

Saluran televisyen pun ditukar. Memang tidak halal pun. Suriya menekan butang 104 pula.

“Tengok tu, budak-budak sekarang kalau tengok wayang, kalau hiburan...bukan main laju aje jalannya. Kalau kita ajak ke masjid, buat majlis amal macam-macam alasannya.” Mak Jah membebel apabila melihat satu rancangan realiti hiburan yang mempamerkan beberapa anak muda sedang bergembira.

Suriya masih diam. Ini mesti pasal ajakan Mak Jah untuk ke masjid pada esok hari yang dia masih elakkan dari menyatakan persetujuan.

“Orang-orang muda ni selalu lupa. Mati tu bukan tunggu waktu tua. Kalau ALLAH nak tarik nyawa, mana sempat tua. Mana sempat nak bertaubat,” sambung Mak Jah lagi.

“Mak Jah..”

“Permintaan orang tua ni...kalau tak ditunaikan dan manalah tahu umur dia tak panjang, mahu ralat sepanjang hidup. Kan, Suri?” Mak Jah bertanya pula.

Tidak senang duduk Suriya jadinya. Banyak-banyak malam, kenapalah Irma malam ini rajin pula mahu membuat kerja rumahnya. Kini telinganya inilah yang terpaksa menanggung sengsara ketaksuban Mak Jah.

“Mak Jah sebenarnya nak cakap apa ni?” Suriya akhirnya bertanya juga.

“Esok ikut Mak Jah pergi kenduri ya?”

“Err...”

“Banyak pahala kalau kita menghadiri majlis agama. Lepas kenduri esok, ada ceramah agama.” Mak Jah memujuk.

Idea apa yang boleh digunakan untuk mengelak ya? Suriya berkira-kira di dalam kepala. Esok pura-pura pengsan ketika mereka mahu keluar rumah? Atau pura-pura sakit perut? Senggugut! Tapi kitarannya baru saja habis dan Mak Jah tahu. Hisy, payahnya.

“Kita pergi ya Suri...”

Wajah Mak Jah yang penuh harapan itu membuatkan hati Suriya menjadi serba salah. Kenduri sajakan? Di dalam puluhan orang ramai, pasti dia dan Luqman tidak akan bertembung. Lagi pun masjid kan... mesti jemaah lelaki dan perempuan akan dipisahkan. Selamat, insyaALLAH akan selamat. Lalu perlahan-lahan kepala dianggukkan.

“Alhamdulillah.” Mak Jah mengucapkan syukur.

Previous: Bab 12
Next: bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lynn Dayana