HAJAH Nani melihat
majalah keluaran terbaru itu dengan tanpa perasaan. Bukannya dia minat membaca
pun tetapi menurut kawannya, majlis mereka tempohari di rumah anak-anak yatim
itu ada gambar mereka.
“Awak tak nak minum?” tegur Haji
Firdaus apabila melihat kopi yang dihidangkan pembantu rumah mereka langsung
tidak dijamah.
“Saya tak haus.” Selamba dan
mendatar saja Hajah Nani menjawab. Rasa marahnya pada Haji Firdaus masih belum
surut. Malah terasa seperti masih membara sahaja.
“Temanlah saya minum. Bukan ada
orang kat rumah ni lagi. Ada anak dua, tiga orang pun rumah ni akhirnya kosong
juga.” Haji Firdaus memberi komen. Mata tuanya melihat kawasan rumah mereka
ini. Terasa sunyi. Waktu begini jika ada cucu untuk bermain mesti seronok.
Berdesing telinga Hajah Nani
mendengar perkataan anak dua, tiga orang itu. Pembetulan, anaknya hanya ada
dua. Damia dan Farhan. Yang lagi satu itu bukan dari darah dagingnya dan jangan
harap dia menyayangi Suriya. Itu anak Haji Firdaus. Bukan anak dia.
“Yalah saya minum. Ni, makanlah
sikit mihun ni. Membazir aje Kak Mah masak kalau tak ada orang nak makan.”
Hajah Nani mencedukkan mihun goreng itu ke pinggan suaminya. Dari ekor mata dia
dapat melihat bibir Haji Firdaus merkah dengan senyuman. Suami, makin tua makin
mahu bermanja.
“Kalau ada budak kecik kan bagus.
Bolehlah buat layan gurau senda.” Haji Firdaus bersuara selepas menyuap
beberapa sudu.
Hajah Nani pun menjeling. Niat mahu
kahwin lagikah?
“Cucu. Saya nak cucu bukan anak
kecik lagi.” Haji Firdaus ketawa kecil.
“Suruhlah Suriya tu kahwin. Umur pun
dah elok untuk kahwin tu. Kalau dah kahwin, apa dia buat pun...awak dah tak
tanggung dosa dia.” Hajah Nani memberikan cadangan. Majalah diletakkan di atas
meja. Kering tekak serta merta datang apabila menyebut nama Suriya. Rasa geli
geleman ada juga.
“Dia baru habis belajar. Baru 23
tahun.” Haji Firdaus menghirup kopi yang sudah jadi suam sahaja.
“Dulu kita kahwin pun umur muda
jugak.” Hajah Nani bertingkah. Waktu itu mereka bersusah payah menguruskan
hidup berumahtangga sambil belajar. Menambah kesukaran kerana hubungan mereka
pada mulanya tidak direstui. Kebetulan mereka berdua anak tunggal maka kedua
belah keluarga tidak bersetuju dengan pilihan mereka.
“Itu dulu. Ini sekarang.”
“Elok kahwin muda. Kurang pahala.
Damia dengan Farhan tu tak sama dengan Suriya. Entah apa dia buat kat sana,
kita pun tak tahu.”
Haji Firdaus hanya diam. Kalau boleh
dia mahu Suriya tinggal di sini juga namun dia tahu, itu akan hanya menambah
ketegangan hubungan antara Suriya dengan isterinya itu. Selagi Suriya belum
berkahwin, memang Suriya itu tanggungannya. Dialah yang bertanggungjawab untuk
Suriya.
“Damia yang dah 26. Dia tak ada kawan
dengan sesiapa ke?” Haji Firdaus menarik arah perbualan itu ke arah Damia, anak
sulung mereka.
“Eh, berminat pulak awak nak tahu.”
Hajah Nani mencebik.
“Ada ke tak ada.” Malas Haji Firdaus
mahu bertekak. Bukannya menang pun.
“Manalah saya tahu.”
Dan Haji Firdaus ketawa. Sebentar
tadi seolah-olah tahu sungguh tentang hal Damia. Rupanya tidak juga. Isterinya
ini memang tidak pernah berubah.
“Hari ni Suriya mula kerja. Saya
telefon dia sekejap tadi.”
“Mhmm...”
“Dia tak nak belajar lagi dah.”
“Baguslah.” Laju Hajah Nani
menjawab.
“Eh gitu pulak. Kalau boleh biar dia
ada ijazah macam Damia. Biar belajar sampai luar negara macam Farhan.”
Hajah Nani memandang wajah suaminya.
“Baguslah dia dah kerja. Orang tak
nak jangan dipaksa. Hari tu saya dah tanya. Macam yang awak suruh. Dah dia kata
tak nak. Dah bosan katanya belajar lama-lama. Dah tak sabar nak kerja.” Hajah
Nani memberitahu. Dia menuang air dan menghirup dengan laju. Haus. Mujur air
kopi sudah sejuk. Kalau panas, memang sah akan terbakar. Dia mengambil pinggan
mihun suaminya yang sudah kosong dan memulakan aktiviti mengemas meja.
Kata-kata isterinya itu didengar
oleh Haji Firdaus tanpa membantah.
“Saya kalau boleh mahu dia duduk
sini.” Haji Firdaus memberitahu keinginan hati.
Terhenti tangan Hajah Nani yang
sedang mengemas. Suaminya ini dah kenapa? Suriya duduk sini? Di bawah bumbung
yang sama? Mahu dia sakit jantung. Hajah Nani memaniskan wajah.
“Diakan dah mula kerja. Bagilah dia
peluang buat apa yang dia suka. Kalau rindu, telefon kan ada. Lagi pun Jah ada
jaga dia. Takkanlah Jah nak abaikan anak awak tu sampai tak makan.” Hajah Nani
menenangkan suaminya. Melihat Haji Firdaus mengangguk, hati jadi lega. Tidak
boleh jadi! Ingatan suaminya terhadap Suriya mesti dipesongkan jauh.
“Jadi ke kita nak ke pasar? Dah
tengahari nanti, ikan yang tinggal ikan bilis aje che abang!” Hajah Nani
berjenaka.
“Betul juga. Jum, kita bersiap.”
Melihat suami yang sudah mencapai
kunci kereta, Hajah Nani tersenyum. Suriya mahu duduk di sini? Jangan mimpi!
GELAS yang dipegang
itu diletakkan di atas meja. Aduhai. Peritnya tekak garaa-gara tersedak.
Siapalah yang menyebut nama dia hingga dia tersedak?
“Perit lagi?” tegur Nisa.
Suriya mengangguk.
“Ada orang yang sayang, rindulah
tu.” Nisa mengusik.
“Ngarut!” Suriya cepat-cepat
membalas. Air diteguk lagi. Perit berkurangan sedikit. Dia kembali ke meja dan
menumpukan perhatian. Banyak juga katering yang diambil oleh Nisa. Fikirnya
perniagaan Nisa itu kecil saja namun dapat dilihat mengapa Nisa perlukan dia.
Di dalam menguruskan bahagian operasi, Nisa perlu seseorang untuk menguruskan
bahagian stok, tempahan dan akaun.
“Ok ke?” tanya Nisa. Kasihan melihat
dahi Suriya yang berkerut menguruskan rekod bil invois yang berserakan.
“Ok tapi pening kejap.”
Nisa ketawa.
“Dulu Mira budak yang dah berhenti
tu uruskan. Sejak dia tak ada memang hari biru sikit.” Nisa menerangkan.
“Rasanya bukan warna biru aje ni.
Dah merah, oren...”
Dan mereka berdua ketawa.
“Ada katering untuk rumah Tuk
Penghulu. Majlis harijadi cucu yang sulung umur sembilan tahun.” Nisa
bercerita.
Mata Suriya masih terpaku di skrin.
“Tak nak menu biasa. Nak western.”
“Pizza? Chicken wing? Pasta?” Suriya
menjawab.
Nisa mengetuk meja dengan pen.
Majlis untuk 50 orang. Kek harijadi adalah perisa strawberi dan coklat.
“Nugget, fries...bruschetta.” Mulut
Suriya tidak berhenti menyebut jenis-jenis makanan yang biasa dimakan dan ada
kaitan dengan tema makanan Barat. Dan tiba-tiba dia merasa bahunya dipeluk.
“Aku tahu kau, Suri memang genius.”
Nisa ketawa kecil.
“Aku pandai sebut je, masak
jangan...” Suriya tersengih. Bersyukur kerana di antara mereka berdua ada rasa
serasi. Awal pagi tadi mereka bermula dengan bersaya awak. Sampai tengahari,
hilang sudah gelaran itu dan berganti dengan aku dan engkau saja.
“Ni, cuba rasa. Karipap perisa
cempedak.” Nisa datang membawa sepiring karpap yang kecil-kecil saiznya.
“Amender? Ulang balik.” Suriya
keliru.
“Karipap inti cempedak. Kau tahu tak
cempedak? Adik beradik nangka tu.” Nisa memberikan penerangan.
“Aku tahulah cempedak yang diluar
pagar tukan?”
Nisa ketawa. Suriya ini memang
lawak. Ada sahaja kata-katanya yang membuatkan dia ketawa.
“Ketawa tak ingat orang dah.”
Suara itu membuatkan Suriya dan Nisa
berpaling. Bibir Suriya yang merkah dengan senyuman kini hilang. Luqman. Luqman
yang dilarang menjemput dia pulang ada di sini. Aduh, malunya. Apa pandangan
Nisa terhadap dirinya? Tidak pandai membezakan antara kerja dan hal peribadi?
Aduhai Luqman!
“Dah kenapa jadi Tugu Negara?” tegur
Luqman.
“Err...”
“Nah pegang bendera. Comel sikit.”
Luqman memberikan bendera kecil yang ada di atas meja kabinet kepada Suriya.
“Err..” Lidah Suriya masih lagi
kaku,
“Tak baik Luq.” Nisa menegur.
Luqman tersengih.
“Ni ke karipap cempedak tu?” tanya
Luqman.
“Cubalah.”
Luqman mengambil sebiji,
mematahkannya kepada dua bahagian dan mahu menyuapkan ke mulut Suriya. Suriya
berganjak ke belakang. Rasa terkejutnya masih belum hilang. Mereka berdua ini
kenal antara satu sama lain. Cis! Mengapa dia rasa dipermainkan?
“Luq ni pembekal sayur-sayuran kita,
Suri.” Nisa memberitahu.
Suri menoleh ke arah Luqman. Luqman
mengenyit mata. Hisy! Rasa nak korek biji mata itu.