Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 29

Bab 29

 

Tercapai juga cita-cita Rima. Sekarang dia sedang berdiri di depan Sekolah Menengah Seri Tanjung. Di situlah dia pernah melalui zaman persekolahan yang manis. Dengan izin Allah, dia kembali juga ke sekolah yang sudah ditinggalkan. Permohonan untuk mendidik anak bangsanya di situ telah diluluskan. Dalam usia yang menjangkau 22 tahun Rima tidak pasti lagi apa yang bakal dilalui.

Sesi persekolahan sebelah pagi yang sudah tamat sebentar tadi membuat Rima berasa lega. Hilang sudah segala debar di hatinya untuk minggu pertama itu. Cita-cita untuk menjadi guru sudah tercapai, hanya impiannya untuk membeli motosikal merah jambu masih belum terlaksana. Dia tetap mahu memilikinya dengan duit gaji yang akan disimpan sedikit-sedikit. Sementara itu Rima hanya mampu menumpang bas sekolah yang berulang-alik ke kampungnya untuk pergi dan balik ke sekolah.

Bas yang ditunggu masih belum tiba. Murid-murid sekolah sudah hingar-bingar dengan ragam masing-masing. Mereka sudah letih menunggu lama. Rima duduk di atas seketul batu besar di bawah Bukit Belanda. Dia membuka sebungkus kacang putih yang baru dibeli dari aci yang berjual di tepi pagar sekolah.

 “Lambat lagilah adik sampai rumah hari ni. Laparnyaaa...,” keluh Rima. Sesekali dia membetulkan kain tudungnya supaya lebih kemas.

 Rima mengunyah kacang putih dengan laju. Harapannya ia akan dapat melapik perut yang sudah berbunyi, pedih. Tanpa disedari, beberapa ekor monyet sudah lama menjeling-jeling kacang putih di tangan Rima. Makhluk berbulu halus itu turut terliur melihat Rima mengunyah dengan penuh selera. Mana boleh jadi Rima seorang yang makan, kalau boleh monyet pun hendak tumpang sekaki.

“Makkk...tolonggg!” jerit Rima dengan lantang dan tanpa sengaja. Seekor monyet mahu merampas kacangnya. Rima memegang bungkusan kacang putih dengan lebih kuat. Beberapa ekor monyet yang lain turun dari atas Bukit Belanda, berbondong ke arah Rima. Rima jadi panik. Tanpa berfikir panjang dia lari lintang-pukang. Terlupa sebentar dirinya adalah seorang guru.

 “Laju, cikgu...laju lagiii!” suara murid lelaki yang nakal sengaja mengusik Rima.

“Arah sana, cikgu,” suara lain pula melaung. Rima semakin bingung. Bungkusan kacang putih masih tidak juga dilepaskan. Kalau diberi kepada monyet tentu dia akan kerugian seringgit. Seringgit duit juga, bukan senang hendak mendapatkan seringgit.

Ke hulu ke hilir Rima melarikan diri dengan ditonton oleh murid-murid yang sedang menunggu bas. Nafasnya semakin penat, Rima juga bertambah bingung. Lebih takut bila dia membayangkan kalau monyet itu memeluk atau menciumnya, silap haribulan dia akan pengsan di situ juga. Beberapa orang murid lelaki cuba membantu dengan membaling monyet-monyet dengan ketulan batu kecil. Sudahnya sebahagian monyet mengejar murid-murid lelaki itu pula dan selebihnya masih berminat dengan kacang putih kepunyaan Rima.

Sedar tak sedar Rima sudah berlari hingga ke hujung padang. Ada beberapa buah kereta dan lori kecil yang sedang menunggu anak masing-masing. Rima berasa agak lega kerana ada beberapa lelaki dewasa yang diharapkan dapat membantunya.

 

“Cik...cikgu...campak makanan tu. Campak jauh-jauh. Monyet tak akan kejar cikgu lagi nanti.” Terdengar suara dari arah depan sebuah lori kecil. Telinga Rima dapat menangkap suara itu dengan jelas. Ia jaminan untuk Rima, membuang kacang putih dari tangannya bermakna dia tidak akan dikejar monyet lagi. Biarlah dia rugi seringgit untuk hari itu. Bungkusan kacang putih dilempar jauh. Monyet-monyet pun berubah arah. Rima lega bukan kepalang.

 “Cik...errr...cikgu ok ke?” tegur suara tadi. Suara yang tegas dan menyenangkan untuk didengar.

“Ok...ok...adik...errr...saya ok. Terima kasih.” Ucap Rima sambil membetul-betulkan kain tudungnya sekali lagi tanpa memandang kepada pemilik suara itu. Dari ekor mata, Rima dapat merasakan lelaki itu masih berdiri di depannya, tidak berganjak dari tempatnya. Perlahan-lahan Rima mengangkat muka.

 “Sama-sama...” Sebaik Rima memandang lelaki itu, dia pun bersuara sebagai membalas ucapan terima kasih Rima. Sewaktu berpandangan, terbeliak mata Rima. Sebaliknya lelaki itu seperti sedang cuba mengingati sesuatu. Antara kenal dan tidak. Rima pula sudah tersipu-sipu. Terasa mahu lari sekali lagi. Sayangnya, tentu tidak munasabah kalau dia lari tanpa sebab tanpa ada monyet yang mengejarnya.

‘Sulaiman!’ bisik Rima yakin. Empat tahun bukan satu jangkamasa yang terlalu panjang untuk dia melupakan muka lelaki itu. Berpeluh ketiak Rima bila memikirkan dia sedang berdiri di depan Sulaiman. Hantu yang selalu memburu otak dan fikirannya.

“Saya macam kenal awak...hmmm, saya yakin saya pernah kenal awak.” Ujar Sulaiman pula. Maklumlah, Rima sudah bertudung dan sudah tentu Rima nampak lain sedikit.

“Ya...kenal.” melompat pengakuan dari mulut Rima.

‘Opsss!...apa adik dah buat ni? Adoi, habislah!’ desis Rima. Kalau boleh Rima mahu menarik balik kata-katanya tapi nasi sudah menjadi bubur.

“Ya, ya...saya memang yakin pernah kenal awak. Tapi...hmmm, saya rasa orang yang saya kenal tu tak pakai kain tudung.” Lancar saja bahasa Sulaiman. Rima serba-salah. Terasa mahu menidakkan dialah orangnya tapi hatinya berat untuk melakukan. Sebahagian hatinya berbunga-bunga suka. Sebahagian lagi malu-malu kucing.

 “Ermmm...saya...Rima.” Akhirnya Rima membuka mulut.

 “Rima!...betul...Rima...jumpa jugak kita.” Suara Sulaiman yang teruja dan agak kuat membuat Rima malu. Beberapa orang penjaga murid mencuri pandang ke arah mereka.

“Kuasa Tuhan...” gumam Sulaiman pula agak perlahan. Rima tunduk. Rima dapat merasakan dirinya sedang lebih perempuan di depan Sulaiman. Sopan. Ah! Bukan dia berpura-pura tapi sememangnya dia berasa malu terhadap Sulaiman.

 “Awak dapat tak surat saya empat tahun dulu?” soal Sulaiman lalu tergelak kecil untuk membuang malu. Rima angguk lambat.

 “Surat pertama dan terakhir saya...hmmm, tak ada balasan pun,” keluh Sulaiman pula. Rima diam. Tidak ada jawapan yang mahu diberi.

“Awak ada jawapan untuk surat saya?” soal Sulaiman tanpa berselindung. Dalam hal ini Sulaiman tidak suka main-main. Suka, katakan suka. Kalau tidak, katakan tidak. Kalau padi katakan padi, tidaklah Sulaiman tertampi-tampi, kalau jadi katakan jadi, tidaklah Sulaiman ternanti-nanti. Huuu...bagi Sulaiman penantian memang satu penyeksaan. Entah kenapa dia sanggup menjadi penunggu setia. Setia pada sesuatu yang dia sendiri tidak pasti hasilnya.

Rima masih diam. Adoilah, masakan dia mahu mengatakan suka, malulah dia. Lebih-lebih lagi mereka sedang bercakap di padang tempat menunggu bas sekolah. Tak sesuai. Terdengar keluhan Sulaiman. Rima diam lagi. Dalam hatinya seperti ada cacing yang sedang bergerak-gerak dan menguit-nguit supaya Rima mengakui yang dia sukakan Sulaiman. Tapi...ishhh, mana boleh! Perempuan mestilah malu-malu, jangan main terjah saja. Nampak buruk sangat kalau begitu.

“Ermmm...lama saya tunggu. Kadang-kadang rasa penat dan nak mengalah...tapi saya tetap tunggu. Tak pernah terfikir dalam hati ni, macamana penerimaan awak. Sekarang saya tanya, awak diam. Bisa diam awak tu. Makan dalam.” Kali ini Sulaiman lebih serius. Ada sedikit kecewa dek diamnya Rima.

‘Kesiannya dia...macam mana ni? Awak nak tau Sulaiman...kalau ikutkan adik ni, adik nak sangat kata suka, suka...suka sangat. Tapi kan...walaupun adik ni suka memanjat pokok, adik tetap perempuan sejati. Ayah kata jadi perempuan jangan gedik. Jangan berlebih-lebih. Boleh muntah orang tengok.’ Suara hati Rima mengingatkan.

“Rima...”

 “Ya, saya.”

 “Saya tanya lagi...awak suka saya?” ulang Sulaiman.

“Mendadaknya tanya...” Tiba-tiba itu yang keluar dari mulut Rima. Tidak sengaja. Terasa mahu dizip saja mulutnya. Rima khuatir dia akan mengecilkan hati Sulaiman.

Kali ini Sulaiman yang diam. Kasut butnya memijak-mijak rumput hijau di padang. Dia juga sedang memarahi diri sendiri kerana dalam pertemuan pertama yang tidak disengajakan itu, dia sudah gatal mulut bertanya. Sudah tentu Rima akan berfikir yang dia sangat gelojoh. Malu juga rasanya. Malangnya dia sudah terbabas, mana boleh undur lagi. Biarlah malu asalkan puas hati. Kalau Rima suka, dia akan tunggu. Kalau tidak, dia akan pergi...pergi? Tidak! Dia tidak akan sesekali mengalah. Masih banyak jalan untuk memujuk Rima.

“Tak juga...empat tahun dulu saya tanya, saya tunggu.” Akhirnya Sulaiman bersuara lagi. Kembang hati Rima. Terasa hendak senyum tapi dipaksa senyuman itu menyorok dalam hati.

“Sekarang saya nak sangat tau jawapannya.” Sambung Sulaiman.

 ‘Isyyy...cakap? Tak? Cakap? Tak? Cakap? Tak?...ujian betul ni.’ Gumam Rima. Tak sengaja, dia tersenyum sendiri. Sulaiman nampak senyuman itu dengan jelas. Wah! Peluang ni!

“Kalau perempuan senyum, tu tanda suka!” Perlahan saja suara Sulaiman, tidak mahu ada orang lain yang turut mendengar. Perlahan tapi jelas. Paling penting ia diucapkan dengan nada gembira.

‘Pandai-pandai aje dia ni...ishhh, ishhh...memang adik sukaaa,’ balas Rima dalam hati. Senyumannya cepat-cepat dipadam supaya Sulaiman tidak terlebih perasaan. Suka, suka juga, batas perlu juga dijaga.

 “Saya tau dalam hati awak, awak suka saya.” Kemudian Sulaiman tersenyum lebar. Digarunya dahi yang tidak gatal. Siapa sangka hari itu hari bertuah buatnya. Tidak sia-sia dia datang dengan lori kecil sesudah membeli baja untuk bendang padinya.

Rima diam, diam dan diam lagi. Untuk pertama kali dalam sejarah hidupnya, dia menjadi seorang yang tidak banyak mulut. Untuk pertama kali juga Rima menjadi orang yang paling sopan. Keadaannya tidak sama seperti sewaktu dia berdepan dengan Juki, Ziman atau Zulkarnain. Mereka selalu membuat Rima tidak cukup mulut untuk bercakap. Dialah kaki gaduh nombor wahid. Kalaulah Sulaiman tahu sikapnya itu, mungkin dia akan meraung sebab tersalah pilih. Hakikatnya, Rima bukan pura-pura. Memang dia malu bila berdepan dengan Sulaiman.

 “Saya pinang awak?”

 “Erkkk!...” Rima tertelan air liur. Matanya buntang merenung Sulaiman. Betulkah apa yang telah didengarnya? Seram sejuk badannya. Terasa melayang-layang ke udara. Semudah itukah?

“Kenapa? Tak suka?” soal Sulaiman.

 Soalan Sulaiman berbalam-balam masuk ke lubang telinganya. Antara dengar dengan tidak. Rima seakan sedang berkhayal. Sudahnya sekejap dia angguk, kemudian geleng. Sulaiman menggaru kepala pula. Bingung. Angguk tanda setuju, geleng tandanya tidak mahu. Yang mana satu? Susahnya berurusan dengan remaja yang ditemui empat tahun dulu yang kini sudah menjadi gadis cute.

“Hmmm...tak apalah...saya beri awak masa. Maaflah kalau saya ni nampak macam tak masuk akal. Tapi saya betul-betul suka awak. Saya ikhlas, sebab tu saya sabar tunggu awak dalam empat tahun ni...walaupun saya tak tau apa perasaan awak pada saya masa tu.” Jelas Sulaiman panjang lebar.

Sesak dada Rima mendengar luahan Sulaiman, terharu. Kalaulah Sulaiman tahu bagaimana dia selalu dihantui nama Sulaiman dan bagaimana dia berperang dengan perasaannya supaya dapat menumpukan perhatian pada pengajiannya, tentu Sulaiman akan terharu juga.

“Ada sebab saya buat macam ni. Saya bukan jenis yang suka buat tak tentu pasal. Bila saya suka seseorang, saya akan kata suka...pinang...nikah. Habis cerita. Kalau orang tak suka, saya akan pergi...tapi, ermmm, dengan awak saya tak akan pergi. Kalau awak tak suka, saya akan buat awak sukakan saya.” Sambung Sulaiman sejujurnya. Rima terkedu. Dalam sungguh kata-kata Sulaiman. Rima tidak menyangka walaupun mereka tidak pernah berjumpa selama empat tahun tapi harapan Sulaiman terhadapnya setinggi Gunung Kinabalu.

 “Ooo.” Sahut Rima.

“Ooo aje...tak ada ‘ya’ atau ‘setuju’ atau ‘okey’?”

 “Saya...saya...boleh saya fikir dulu?” soal Rima pula.

 “Silakan. Kalau saya boleh sabar untuk empat tahun, takkan untuk seminggu dua tak boleh tunggu, kan?” Ada nada gembira dalam suara Sulaiman. Sekurang-kurangnya ada jaminan dari Rima.

 “Terima kasih.” Ucap Rima.

 “Sama-sama kasih.” Balas Sulaiman lalu tersenyum. Senyuman dibalas oleh Rima. Kedua-duanya nampak ikhlas.

 “Boleh kita jumpa selalu kat sini? Hari-hari saya ambil dan hantar anak buah saya.” Uji Sulaiman. Rima mengetap bibir sambil berfikir sebentar.

“Tak usah...tak manis. Bila saya dah ada jawapan, saya akan tulis surat untuk awak. Macam tu boleh kan?” Rima menyatakan pendiriannya. Asuhan Pak Nuar dan Mak Jah masih segar dalam kepalanya.

Kata-kata Rima membuat hati Sulaiman sejuk. Seperti ada aliran mata air yang menyusup dan mengalir dalam jiwanya. Berbaloi penantian empat tahunnya. Bukan dia tidak tahu bila sudah saling suka akan ada rasa rindu. Rindu yang indah tapi menyakitkan. Ia perlu dipendam sebelum sampai waktunya untuk mereka dapat bersama.

“Okey.” Balas Sulaiman lalu senyum.

 “Hmmm...lambatlah bas ni.” Sengaja Rima menukar topik untuk menghindar rasa malu yang berpanjangan.

 “Kenapa naik bas sekolah?” Mahu saja Sulaiman menghantar Rima dengan lori bajanya tapi dia yakin Rima tidak akan mahu. Dia mulai dapat menilai bagaimana orangnya Rima yang berdiri di depannya.

 “Sementara aje, nak beli motosikal pink tapi belum cukup duit.” Jawab Rima jujur, malu-malu.

“Suka pink ya?” soal Sulaiman lalu Rima angguk.

 “Saya panggil awak, adik...boleh?” soal Sulaiman lagi dan Rima tetap angguk. Sulaiman senang hati.

 “Adik...saya balik dulu. Anak buah saya dah keluar tu. Jumpa lagi...hmmm, tapi tak tau bila, kan?” Sulaiman minta diri. Rima terpaksa melepaskan dengan berat hati. Walaubagaimana pun ia adalah yang terbaik buat mereka.

Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.