Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 39

Bab 39

 

 

Di padang sekolah sudah beberapa kali Rima menguap. Latihan sukan hari itu tidak menambah kesegaran badannya tapi membuat dia betul-betul mengantuk. Semuanya gara-gara tidak cukup tidur. Kepalanya berputar ligat memikirkan tentang bermacam-macam perkara. Tentang, Suhana, tentang Syidah...juga tentang Zulkarnain. Zulkarnain? Ah! Kenapalah lelaki itu yang menjadi penolong kanan di sekolah itu.

“Rima.”

 ‘Lahaiii, baru terdetik dah muncul dia kat sini! Panjang umur betullah!’ keluh Rima dalam hati.

“Saya.” Jawab Rima malas dan lambat.

 “Lama cikgu bercuti.” Tambah Rima untuk membuang kecanggungan apabila melihat Zulkarnain diam.

 “Ya...mengubat hati.” Zulkarnain menjawab pendek. Bola matanya melihat murid-murid yang sedang berlatih acara lompat jauh.

 Rima pula diam. Kalau boleh Rima malas mahu membangkitkan tentang majlis merisik tempohari. Dia mahu melupakan semuanya. Kalau boleh dia juga tidak mahu lagi bertemu Zulkarnain. Apakan daya mereka bertugas di sekolah yang sama.

“Cikgu...tolong lupakan saya.” Minta Rima bersungguh.

Zulkarnain memutar-mutarkan kayu hoki yang dipegangnya. Kemudian muka Rima diamati dengan lama. Serba tidak kena Rima dibuatnya. Sudahnya Rima berpura-pura menggaru pipinya yang langsung tidak gatal.

“Abang tak berniat untuk lakukannya. Biar Rima terus dalam hati abang.” Sahut Zulkarnain berdegil.

 “Sampai bila?”

“Sampai bila-bila. Selagi ada nyawa.”

“Tolonglah cikgu. Dalam dunia ni bukan saya seorang je perempuan. Ramai lagi. Lupakan saya.” Sekali lagi Rima mengulangi.

Zulkarnain ketawa. Ketawa yang dibuat-buat. Entah apa yang dia sedang rasakan ketika itu, Rima tidak mahu ambil tahu. Tidak mahu menambah masalah yang ada. Cukuplah dengan Juki dan Sulaiman. Kedua lelaki itu telah membuat Rima pusing. Kedua-duanya dia sayang. Eh! Sayang? Dengan Juki memang Rima sayang. Sayang sebagai saudara yang membesar bersama. Sulaiman? Sayang jugakah?...hmmm, kalau sayang, sayang itu bermakna cintakah? Haaa, hingga hari ini Rima masih belum memahami apa-apa.

“Ya...dalam dunia ni ada berjuta gadis tapi gadis yang berjuta tu tak ada dalam hati abang. Cuma awak seorang yang dah berjaya ketuk pintu hati ini. Tak ada yang lain.” Ucapan Zulkarnain membuat lutut Rima jadi longgar. Tidak keruan.

Apa yang mesti dilakukan? Sebagaimana Zulkarnain menyimpan namanya dengan kemas dalam hati, begitu juga dengan Juki dan Sulaiman. Rima hairan. Dia tahu dirinya tidaklah secantik mana, budi bahasa pun kurang ada. Mengapalah mereka terus menyimpan hati terhadapnya yang darjah kerajinan pula boleh disukat dengan hujung kuku. Lelaki oh lelaki! Susah untuk difahami. Sudahnya Rima ketawa terbahak-bahak. Ketawa yang dibuat-buat supaya Zulkarnain menyampah.

 “Ruginya cikgu simpan hati pada saya. Dahlah rupa tak ada, suka pulak bertenggek atas pokok. Kalau monyet-monyet atas Bukit Belanda tu tengok, dah pasti akan geleng kepala.” Ujar Rima belasah saja sambil menuding monyet-monyet sedang bergayutan di atas Bukit Belanda yang boleh dilihat dari padang sekolah.

Kali ini Zulkarnain yang ketawa. Bukan dibuat-buat tapi bersungguh-sungguh. Pipinya naik ke atas hingga membuat matanya mengecil. Rima hanya memerhati dengan selamba. Ketawa Zulkarnain langsung tidak membuat Rima berasa lucu.

 “Abang memang suka pada yang unik. Lain dari yang lain. Bolehlah kita panjat pokok sama-sama nanti.” Di sela ketawa yang tinggal sisa, Zulkarnain bersuara.

 Semput bila Rima mendengar jawapan Zulkarnain. Geram. Terasa mahu berlari keliling padang selaju-lajunya sebagai tanda protes. Berbaloikah kalau dia berbuat begitu? Silap-silap diri sendiri yang terjelir kepenatan sedangkan perasaan Zulkarnain masih juga sama. Haishhh! Terlalu susahkah untuk menghumban namanya dari dalam hati Zulkarnain? Begitukah kalau sudah betul-betul jatuh cinta? Kalau begitu rupa cinta, alangkah menakutkan! Bila sudah masuk ke dalam hati terus melekat tidak dapat dikeluarkan lagi.

“Agaknya macam tulah yang kak ngah rasa pada cikgu. Kesian kan kak ngah. Mencintai orang yang tak mencintai...hmmm, tak salah kalau cikgu cuba terima kak ngah.” Setiap kali ada peluang memperkatakan tentang Suhana, Rima tetap akan melakukan. Sungguhpun Suhana sudah membencinya, Rima masih tetap menyayangi Suhana.

Sisa-sisa tawa Zulkarnain terhenti. Seperti brek angin yang ditekan tiba-tiba. Setiap kali Rima mengingatkannya tentang Suhana, perasaan Zulkarnain menjadi tawar. Tidak ada bunga-bunga yang memenuhi hatinya. Yang ada hanya duri semalu menjalar dan menyakiti. Tidak nampak indahnya.

“Kenapa setiap kali abang bercakap tentang awak, awak akan sebut-sebut nama Suhana?” soal Zulkarnain agak keras.

“Sebab kak ngah cintakan cikgu.” Balas Rima tegas.

 “Tapi abang cintakan awak!” suara Zulkarnain masih keras.

“Jangan cintakan saya! Saya tak cintakan cikgu!” bentak Rima.

 Zulkarnain tenang-tenang saja. Apa yang diluahkan oleh Rima memang sudah diduga. Rima tetap akan menyatakan bahawa dia tidak cintakan dirinya. Langsung tidak! Pujuk dan rayulah Rima untuk seribu kali, Zulkarnain pasti jawapan Rima tetap begitu. Dalam wajah Rima yang redup dan lembut, Zulkarnain dapat melihat ketegasannya.

 “Cinta tu hak abang. Mencintai jugak hak abang. Siapa yang abang cintai tetap hak abang. Tak ada orang yang boleh melarang untuk abang jatuh cinta. Tak ada orang yang boleh tentukan siapa yang abang cinta. Semua tu persoalan hati. Ia terlalu halus untuk kita fahami.” Ujar Zulkarnain datar.

 Mendengarnya Rima berasa malu. Tebal kulit mukanya. Setiap luahan kata Zulkarnain membayangkan betapa dewasanya dia. Dalam waktu cintanya ditolak keras oleh Rima, lelaki itu masih dapat mengawal diri dengan baik.

 “Biarkan abang terus mencintai awak sampai satu masa nanti, hingga hati ni penat sendiri. Lambat-laun mungkin ia akan memudar...atau mungkin ia akan tetap hidup di sini.” Sambung Zulkarnain sambil meletakkan tangan kiri pada dadanya.

 Rima tidak sanggup mengangkat muka. Dia tunduk memandang tanah. Sebahagian dirinya berasa amat terharu dengan pengakuan Zulkarnain. Lidahnya juga kelu untuk berkata. Tidak tahu apa yang mahu diperbualkan lagi. Otak Rima sudah tepu.

“Maafkan saya, cikgu.”

 “Tak perlu minta maaf. Antara kita tak ada yang bersalah. Mencintai tak salah, menolak cinta jugak tak salah.”

 Tidak ada lagi yang dapat Rima perkatakan. Dia sudah kelilangan bahasa. Lidahnya kelu tiba-tiba. Jika Zulkarnain tetap dengan kehendaknya, Rima tidak mampu berbuat apa-apa Hati dan cinta Zulkarnain adalah miliknya. Betul kata guru penolong kanan yang masih muda itu. Rima tidak berhak untuk mencampuri urusan dan kehendak hati orang lain.

 ‘Alangkah baiknya kalau perasaan itu untuk kak ngah, tentu kak ngah akan bahagia.’ Masih juga Rima mahukan agar perasaan Zulkarnain bertukar arah. Itu kerana Rima tahu Suhana sudah lama meletakkan harapannya terhadap Zulkarnain. Dalam diam, tanpa Zulkarnain tahu.

Previous: Bab 38
Next: Bab 40

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.