Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 9

 

Bab 9

Masa selalu berjalan dengan pantas, pejam celik, pejam celik, sedar tak sedar usia Rima pun bertambah. Dari anak dara hingusan kini Rima sudah tumbuh mekar menjadi gadis 17 tahun. Sudah agak dewasa dari segi usia tapi sikapnya belum tentu lagi. Tahun 1982 adalah tahun peperiksaan SPM bagi Rima. Juga merupakan tahun terakhir persekolahannya. Selepas itu akan bebaslah dia dari terpaksa mengenakan seragam sekolah putih birunya.

“Eh, adik...engkau dah sedia ke untuk SPM?” soal Salwa.

“Adik?...ala, adalah sikit-sikit. Entahlah adik ni tak rajinlah nak membelek buku. Buat nota sikit, latihan sikit...ermmm, apa lagi ya?...fahamkan formula tertentu...tu je kut.” Rima selamba.

“Cukup ke macam tu? Jangan adik, ni periksa penting ni. Penentu masa depan kita,” balas Salwa.

“Bukan masa depan kat tangan Tuhan ke? Engkau nak jadi Ahmad Nisfu dalam cerita Ahmad Albab tu ke?...masa depan di tangan ayahanda, bukan di tangan Tuhan,” lalu Rima ketawa mengekek. Menyepet mata redupnya.

“Isshhh, ke situ pulak. Bukan tulah maksud aku. Kan kelulusan tu penting untuk kita sambung belajar.” Ujar Rima selepas tumpang sekaki ketawa.

“Ya jugak kan...alamak, sempat lagi ke aku nak study ni?” kata-kata Salwa termakan di pemikiran Rima.

Di barisan belakang, Ziman sedang menunggu masa untuk mencelah. Dari awal lagi dia bersungguh-sungguh menadah telinga mendengar perbualan Rima. Begitulah selalunya, Ziman akan mencari peluang untuk mengganggu teman-teman sekelasnya yang lain.

“Barulah padan dengan muka engkau kan!” ejek Ziman yang dari tadi mencuri dengar perbualan Rima dan Salwa.

“Eh! Eh! Ada aku bercakap dengan cencurut tu ke, Salwa? Menyampuk je kerja dia!” balas Rima dengan muka masam mencuka.

“Aku ada telinga, jadi aku dengar. Bila aku dengar, aku mesti bagi komen. Bila aku komen, komen aku mestilah tepat dan sesuai untuk jalan ceritanya,” lalu Ziman dan beberapa rakan kelas lelakinya ketawa kuat.

“Heh! Bosannya aku tengok orang yang perangainya mengalahkan perempuan. Busy body tak sudah-sudah.” Marah Rima lagi.

“Yalah Rima. Siapa tak tau mulut Ziman ni. Mulut bontot ayam. Tak reti nak diam.” Tokok Salwa lalu tergelak.

“Setau aku yang suka makan bontot ayam orang perempuan je. Sebab tu bila bercakap mulut tu terherot-herot je aku tengok,” balas Ziman tidak mahu kalah. Akhirnya terjadilah peperangan mulut di antara murid lelaki dan murid perempuan kelas 5 Sains 1.

Suasana di dalam kelas 5 Sains 1 tidak ubah seperti pasar borong. Riuh-rendah dengan suara yang berbalas-balas. Masing-masing tidak mahu kalah. Jam di dinding kelas yang telah menandakan ke angka hampir 7.30 pagi sedikit pun tidak dihiraukan. Atau mungkin mereka memang tidak sedar masa telah bergerak dengan pantas.

“Rima, kadang-kadang aku tengok engkau ni comel je bila tengah marah. Tergoda aku. Engkau jadi pasangan aku nak tak?” nampaknya Ziman mulai miang keladi. Rima memuncungkan bibirnya. Meluat.

“Heh! Pasangan apa ni? Pasangan apa? Kelakarlah engkau ni! Aku tak pernahlah fikir benda-benda tu semua. Lawaklah! Lawak!” sahut Rima sungguh-sungguh.

Ziman menghampiri meja Rima. Teman-temannya yang masih duduk di belakang kelas menepuk-nepuk meja. Mengapi-apikan Ziman. Ziman mengangkat kedua tangan sebagai menghargai sokongan.

“Rima, kalau kau tak nak kat aku, engkau akan jadi anak dara tua nanti. Ingat tu!” kali ini muka Ziman nampak serius. Beria-ia.

Hati Rima bagai digeletek. Kelakar. “Aku taulah engkau tu ramai peminat tapi betullah aku kata, aku tak pernah fikirkan benda-benda tu semua. Tak ada perasaanlah,” untuk bersikap jujur, Rima perlu berterus-terang walaupun jika Ziman sekadar main-main. Rima sendiri tidak dapat meneka apa yang ada dalam hati Ziman. Betul atau tidak apa yang telah dikatakan, terpulanglah pada Ziman.

“Stop! Biar betul, Rima. Macam tak percaya aku bila engkau kata tak ada perasaan langsung. Sikit ni pun tak ada ke?” soal Ziman sambil menunjukkan hujung kukunya.

Teman-temannya mentertawakan romeo kelas mereka yang tidak tahu malu itu.

“Betullah! Takkan aku nak bohong pulak. Hishhh, sudahlah! Ni kan masa untuk kita belajar kan?” bulat mata Rima ketika memandang tepat ke muka Ziman. Dengan Ziman dia perlu tegas. Kalau tidak Ziman akan terus perasan semua murid perempuan akan tergila-gilakannya begitu saja.

Wajah Rima yang serius membuat Ziman terdiam. Belum pernah dia berjumpa kawan perempuan seperti Rima. Selalunya murid-murid perempuan yang lain akan berasa seronok jika dia mengayat mereka. Kali ini dengan Rima dia sudah gagal total.

“Rima!”

“Apa lagi ni Ziman?” soal Rima bengis.

“Engkau tak suka lelaki ya?” Nampaknya Ziman sedang cuba menjolok sarang tebuan.

“Tak! Tak! Tak!...puas hati?” jerkah Rima.

“Oh! Aku tau...kalau tak suka lelaki bermakna engkau suka kaum sejenis. Engkau suka perempuan!” serang Ziman habis-habisan.

Muka Rima terasa panas. Merah bagai udang dibakar. Sakit hatinya melihat Ziman yang semakin berani bercakap bukan-bukan tentang dirinya. Mahu sahaja dihayunkan tangannya ke muka Ziman. Biar berbekas lima jari di pipinya.

“Gila engkau ni, Ziman! Sesedap mulut je. Engkau ingat aku ni apa?” tinggi suara Rima.

“Alaaa...,” baru sahaja Ziman mahu bersuara, kelihatan sesosok tubuh berdiri di tepi kelas.

“Hello! Dah tak ingat nak berhimpun ke?” suara Zulkarnain, ketua pelajar yang tegas tiba-tiba muncul di tepi kelas. Suara itu mematikan serangan balas Ziman. Pelajar tingkatan 6 atas itu tercegat di muka pintu sambil bercekak pinggang. Wajahnya serius tetapi masih nampak manis dek tahi lalat yang melekat di pipi kirinya.

Murid-murid perempuan beredar terlebih dahulu. Takut kalau-kalau nama mereka akan diambil dan diserahkan kepada pengetua. Rima turut beredar dengan malas. Perkara yang paling tidak disukai oleh Rima adalah ketika terpaksa berdiri tegak sambil mendengar suara para guru yang memberi ucapan. Sudah pasti kuapannya akan berulang-ulang sehingga perhimpunan sekolah itu selesai.

“Ehemmm....,” dehem Zulkarnian lalu mengenyit mata sewaktu Rima lalu di hadapannya.

‘Haishhh...gatal jugak! Nasib baik handsome. Errr, tapi handsome ke?’ bisik Rima yang menyedari Zulkarnain cuba memasang jarum.

‘Kalau handsome kenapa aku tak minat dia eh? Padahal ramai yang suka dia,’ tambah Rima yang kadangkala bingung dengan dirinya sendiri.

‘Takkan aku suka perempuan macam Ziman kata tu?...alaaa, mana ada! dengan Salwa aku tak rasa apa pun!’ tidak sudah-sudah Rima memikirkan ejekan Ziman sebentar tadi sambil kakinya terus melangkah keluar kelas.

“Bang, jiwang jugak ya!” sindir Ziman sewaktu berjalan menghampiri Zulkarnain.

“Kenapa? Tak boleh?” balas Zulkarnain acuh.

Ziman hanya tersengih sambil berlalu pergi. Tidak mahu namanya masuk ke dalam senarai murid yang akan didenda pada awal minggu persekolahan. Sudah banyak kali dia terpaksa berdiri di hadapan murid-murid yang lain kerana terlewat sampai ke sekolah.

Setelah kelas itu kosong, Zulkarnain tidak terus pergi. Dia berjalan dari satu meja ke satu meja dengan pandangan mata yang liar. Ada sesuatu yang sedang dicarinya. Tiba di sebuah meja, dia berdiri lama. Badannya dibongkokkan untuk mengintai ke dalam laci meja yang tidak bertutup. Apabila sudah pasti meja itu yang dicari, dia menyelitkan sesuatu di dalam susunan buku nota yang ada di dalam laci.

“Beres.” Zulkarnain bercakap dengan dirinya sendiri.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.