Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 10

Bab 10

“Kertas apa pulak terselit kat celah buku ni?” Wajah Rima ketat. Geramnya pada Ziman sewaktu di sekolah siang tadi masih belum reda.

“Garangnya kamu ni adik! Cuba tengok dulu apa dalamnya. Surat cinta kutnya tu.” Suhana menegur Rima yang sedang emosi. Suhana yang berkongsi bilik dengan Rima sudah lali dengan sikap Rima yang kadang-kadang sukar untuk difahami.

“Kak ngah ni sebut-sebut pasal cinta, kak ngah tau ke apa tu cinta? Macam mana rupa dia? Apa rasa dia? Manis ke, pahit ke, kelat ke? Alaaa, semua tu merepek jelah kak ngah. Jangan percaya.” Sanggah Rima tegas.

Suhana yang sedang menelek jerawat kecil yang mulai mengintai-intai di dahinya cepat menoleh. Wajah Rima direnung. Sungguh! Memang mukanya ketat dan kelat. Apa sajalah yang sudah menyakiti hati Rima?

“Gaduh kat sekolah ya?” soal Suhana yang jarang-jarang pulang ke rumah.

“Adik tak gaduh tapi ada je orang cari gaduh. Bosanlah! Kenapa semua orang sibuk cakap pasal pasangan? Pasal cinta? Ah! Entah apa-apa lagilah. Penting sangat ke semua tu kak ngah?” sambil Rima membuka kertas di tangannya yang berlipat kemas.

“Kak ngah suka je,” sahut Suhana lalu tersengih. Jerawat nakal dipicit kuat sehingga merah mukanya menahan sakit. Ada sedikit darah terbit dari luka itu. Pedih.

“Sama jugak gatalnya kak ngah ni! Pelik!” tempelak Rima selamba. Suhana tidak kisah. Malahan dia berasa lucu dengan sikap Rima yang menongkah arus. Songsang. Biasalah jika dalam zaman remaja, suka pada orang ini, kagum pada orang itu dan bercinta monyet yang kononnya diharapkan akan kekal lama.

“Dia ni pun satu! Apa dia tulis ni? Teruklah!” Tiba-tiba suara Rima meninggi. Besar kecil matanya sewaktu membaca helaian kertas yang berada di tangannya. Rima tidak berminat dengan apa yang telah dibacanya.

“Apa yang ditulis tu? Nak tengok.”

“Sama ajelah kak ngah. Macam tu, macam tu jugak. Adik koyakkan jelah ya.” Rima sudah

bersedia untuk mencarik-carik kertas putih bersih yang bertulis kemas dengan ballpen hitam.

“Macam mana pulak dia boleh tau nama adik?” sungut Rima lagi.

“Opsss! Nanti! Apa-apa pun biar kak ngah baca dulu.” Tahan Suhana lalu merampas kertas dari tangan Suhana.

Kepada Rima,

Tujuan abang menulis surat ini adalah untuk berkenalan dengan Rima. Sudah lama abang ingin kenal lebih rapat lagi dengan Rima. Ada sesuatu yang membuat abang tertarik apabila melihat Rima. Waktu di sekolah abang selalu perhatikan gerak-geri Rima. Apa dia, abang tidak pasti. Harap Rima sudi. Ini sahaja untuk kali ini. Jumpa lagi di sekolah esok.

Abang Zulkarnain.

Kalau tadi muka Rima yang ketat, kali ini Suhana pula bermuka kelat. Dia tidak suka dengan isi kandungan surat itu. Tidak suka sama sekali! Kertas putih itu dilempar ke lantai. Rima ternganga. Bukankah tadi Suhana yang beria-ia mahu membacanya?

“Kenapa kak ngah? Lain je muka kak ngah adik tengok,” tegur Rima yang memeluk bantal peluk panjangnya. Tambah suram muka Suhana yang sedia kelat.

Apabila Suhana tidak menjawab soalannya, Rima melompat turun dari katil. Walaupun kadang kala mereka seperti anjing dengan kucing tetapi ada ketikanya Rima sangat mengambil berat tentang diri Suhana. Dia duduk mengadap Suhana. Suhana pula tidak sudah-sudah merenung helaian kertas yang sudah dilempar ke lantai.

“Patutlah hari tu beria-ia dia tanya nama adik...hmmm.”

 “Siapa? Zulkarnain ni ke? Setau adik dia ni kawan sekelas kak ngah kan,” soal Rima lalu Suhana mengangguk malas.

 Suhana tunduk. Jari telunjuknya ligat menguis-nguis lantai. Tiba-tiba sahaja dia tidak seronok berada di rumahnya sendiri. Terpaksa berhadapan dengan Rima yang dalam diam selalu sahaja dianggap sebagai saingannya. Tanpa Rima tahu.

“Kak ngah suka dia ke?” Sengaja Rima menguji Suhana.

Suhana mengangkat muka. Dia memandang Rima yang bertinggung di hadapannya. Dalam diam Suhana mengakui, ada yang istimewa di dalam diri Rima. Juga tanpa Rima sedar dan tahu. Rima seringkali tidak mengendahkan kelebihan dalam dirinya atau mungkinkah dia benar-benar tidak tahu? Sudahnya otak Suhana yang berputar-putar.

“Kak ngah suka Zilkarnain ya?” Oleh sebab tidak berpuas hati melihat Suhana diam, Rima bertanya lagi. Kali ini Suhana mengangguk.

“Alahai kak ngah ni, nak jugak minat-minat kat lelaki masa sekolah ni. Kak ngah pun samalah macam kawan-kawan adik tu. Masing-masing sibuk nak bercinta. Kenapa semua remaja perlu bercinta? Kenapa adik tak rasa macam tu? Ke adik ni yang tak normal?” Apa yang berlaku di sekelilingnya kadang-kadang membuat Rima merasakan ada yang tidak kena dengan dirinya.

“Salah ke kalau suka pada seseorang?” soal Suhana pula.

Penat bertinggung Rima duduk bersila. Entah bila dia mahu belajar bersimpuh seperti remaja perempuan yang lain. Diambilnya surat di atas lantai lalu diulang baca. Rima mahu memastikan perasaannya ketika itu. Bangga atau seronokkah? Malangnya dia tidak berasa apa-apa. Kosong. Harus bersedihkah dia hanya sebab tidak sama seperti remaja lain? Ah! Semuanya buang masa. Rima mencari jalan mudah.

“Nak suka orang tak salah agaknya. Adik pun suka ramai orang apa...tapi kan kak ngah, tak payahlah nak suka lebih-lebih. Rasa macam tak best je...hmmm, entahlah. Adik tak fahamlah benda-benda ni semua. Adik tak pernah fikir dan malas nak fikirlah.” Kata Rima sebelum menguap besar. Mengantuk sungguh matanya.

“Adik bolehlah cakap sebab adik memang tak ada perasaan macam tu.” Bantah Suhana.

Jelingan tajam dihadiahkan buat Suhana. Dia mula berasa geram dengan sikap Suhana yang mudah terpikat dengan lelaki yang nampak lawa. “Lagi pun belum masanya kan kak ngah, nak bercinta-cinta semua tu. Merepek je! Bencilah adik nak dengar!” tegas Rima lagi.

 “Dah adik yang tanya tadi, kak ngah cakaplah.” Protes Suhana.

“Ke adik tu yang tak macam orang lain, tak normal!” sambung Suhana.

Terkejut Rima bila mendengar kata-kata Suhana. Suhana sama sahaja dengan Ziman. Menuduh dia tidak normal. “Huarghhh...gerammm!” Rima separuh menjerit. Cepat-cepat Suhana menutup telinganya dengan tapak tangan.

“Dah mulalah tu!” marah Suhana.

“Mana ada! Tu cuma nak buang tension adik ni aje. Suka-suka je kata adik macam tu. Dosa

tau tak?” Manis 17 itu sedang menahan sabar. Kalau tidak dia tidak akan nampak matang dan dewasa. Akan sia-sialah usahannya selama ini untuk cepat dewasa.

Entah kenapa kata-kata Asmah ketika umurnya 13 tahun masih sukar untuk dikikis. Kenyataannya, dia belum lagi sematang seperti yang diharapkan. Masih tidak tahu memasak dan melakukan kerja-kerja rumah dengan sempurna. Huh, memang susah!

“Apa yang bising-bising tu? Kamu gaduh adik-beradik lagi ya?” terdengar suara Mak Lijah yang sedang lalu. Dia berhenti sebentar sebaik mendengar jeritan Rima yang nyaring.

“Tak bu! Tak gaduh pun!” sahut Rima kuat. Suhana mencebek. Ekor matanya tidak lekang memandang surat di dalam pegangan Rima. Surat itu mahu diambilnya, cepat-cepat Rima menepis.

Rima mengangkat tinggi surat itu kemudian dikoyak kepada dua bahagian. Selepas itu dicarik menjadi kepingan yang lebih kecil. Carikan surat diletakkan dalam genggamannya. Diramas-ramas dan dibuang ke penjuru bilik. Puas hatinya!

 “Kak ngah tengoklah, sebab surat nilah kita hampir kelahi lagi. Betul tak adik cakap, tak ada pekdahnya semua tu.” Diam sebentar sambil memikirkan sesuatu.

“Maafkan adik ya kak ngah, dah kasar dengan kak ngah tadi.” Tambah Rima mahu beralah. Bukan selalu dia dapat meluangkan masa dengan Suhana. Suhana lebih akrab dengan keluarga pak longnya yang tinggal di hujung kampung.

Rima selalu sahaja kesunyian apabila hanya ada dia, ayah dan ibunya sahaja di rumah kayu yang agak besar itu. Tidak ada rakan sebaya untuknya berkongsi tentang hal-hal peribadi. Mujur ada Ita yang selalu menemaninya.

“Yalah tu, kak ngah maafkan. Yang penting adik tak suka dia kan?” kepastian mesti dicari agar Suhana akan lebih yakin dengan pendirian Rima.

“Siapa-siapa pun adik tak sukalah kak ngah. Sudahlah, tidur je. Bosan asyik cakap pasal tu aje.” Serentak dengan itu Rima menarik kain selimut sehingga menutupi seluruh tubuhnya. Tidur sahaja cara terbaik untuknya melupakan perkara yang bagi dirinya terlalu remeh-temeh. Suhana yang memandangnya hanya terkebil-kebil, seperti cicak berak kapur.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.