Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 5

Bab 5

Tengahari yang panas terik hari itu membuatkan orang kampung malas untuk keluar rumah. Selepas menjamah makan tengahari, mereka lebih suka bersantai atau tidur saja bila perut sudah kenyang. Ketika inilah waktu yang paling disukai oleh Rima. Apabila kelopak mata Mak Lijah mulai mengecil dan Pak Nuar pula sudah terlena, Rima menunggu masa yang sesuai untuk keluar rumah.

Rima meniarap di sebelah Mak Lijah sambil memerhatikan muka Mak Lijah yang semakin layu. Rima tersengih seorang diri. Kelopak mata Mak Lijah yang mulai rapat dibelek lama. Sengihan di wajah Rima semakin jelas.

“Ha ha ha, tidur juga ibu!” Rima segera bangkit, membetul-betulkan bajunya lalu berjalan terjengkit-jengkit. Mulutnya ditekup sambil menahan ketawa.

 “Nak ke mana ya?” Dia menyoal diri sendiri sambil merapatkan daun pintu. Kakinya sudah berdiri di atas tangga.

 “Nak panggil Ita ke? Ita mesti tidur ni. Silap-silap haribulan, pak andak jeritkan adik lagi nanti. Ah! Sorang-sorang jelah.” Rima bercakap sendirian.

Rima berjalan di tengah panahan panas matahari. Sedikit pun tidak dihiraukan cuaca terik itu. Di hujung jalan Rima menggaru kepala.

 “Adik nak ke mana ni?”

 Tiba-tiba matanya terpandang susunan pasu di bawah rumah Asmah, kakak sepupunya. Rumah Asmah letaknya betul-betul bertentangan dengan rumah Rima. Senyuman nakal Rima mengembang di bibir.

Rima berjalan laju melintas jalan kecil untuk ke rumah Asmah. Dia berdiri sebentar. Senyap. Rima cuba berdehem perlahan. Tidak ada tanda-tanda kakak sepupunya mendengar dehemannya.

 “Hah! Dorang mesti tidur ni, senyap je.”

 Pasu-pasu yang disusun di bawah rumah benar-benar menarik perhatian Rima. Ia sudah berisi dengan daun kesum, cekur, cili api, dan kunyit yang baru disemai. Baru mulai mengintai-intai daun sulungnya.

“Duan cekur ni wangi je,” dibeleknya daun yang menghijau itu. Dikoyak sedikit lalu dihidu.

“Apalah Kak Asmah tanam ni semua dalam pasu? Ibu tu elok je tanam kat tanah.” Omel Rima sendirian.

Bila terasa agak bosan, Rima duduk di atas batu pelapik tiang rumah. Matanya ligat merayau ke sana ke mari. Tidak ada yang berjaya menarik perhatiannya. Dia memandang semula ke arah pasu yang bersusun.

 Rima mengambil beberapa ketul batu yang agak besar dari tepi rumah lalu dibaling ke arah pasu. Hilang juga bosannya. Malang memang tak berbau, ketika melempar batu ke arah pasu yang berisi pokok serai, ia telah pun pecah. Rima mula gelabah. Jalan paling selamat, dia mesti melarikan diri sebelum tertangkap oleh Asmah. Kerana cuai, kepala Rima pula terhantuk tiang rumah Asmah. Sudahlah jatuh ditimpa pula oleh tangga. Duk!

 “Adoi!” Benjol dahi Rima. Rima menggosok-gosok kepala yang berdenyut.

 “Apa lagi tu? Siapalah yang merayau tengahari buta ni?” suara Asmah kedengaran dari atas rumah.

 Rima mendiamkan diri. Menikus. Terbantut untuk melarikan diri. Tangannya sedang asyik mengusap dahi yang benjol. Suara Asmah senyap semula. Rima lega. Dia duduk bertenggek di atas batu empat segi pelapik tiang rumah.

 “Kak Asmah dah agak dah! Mesti kamu yang suka merayau-rayau tengahari buta macam ni, adik!” tak disangka Asmah yang menuruni tanggan secara senyap-senyap sudah berdiri depan Rima.

 “Ya Allah! Habislah! Habis dah pastu ni! Kamu dah tak ada kerja lain ke adik?” sergah Asmah dengan garang. Rima melompat bangun. Digentel-gentel hujung bajunya. Tunduk. Bukan kerana takut tapi sedang mencari jalan untuk menjawab.

 Asmah memanjangkan tangan, mahu memiat telinga Rima. Cepat-cepat Rima mengelak. Asmah cuba pula menarik baju Rima malangnya tetap tidak berjaya. Rima undur beberapa langkah.

 “Kak Asmah bagitau ayah kamu nanti!” ugut Asmah. Rima masih dengan muka selambanya.

 

“Nak ke Kak Asmah bagitau ayah?” soal Asmah dengan mata bulat.

 “Jangan!” sahut Rima agak kuat. Masih tidak takut, hanya malas untuk mendengar leteran Pak Nuar yang bakal menyumbat lubang telinganya.

 Asmah bercekak pinggang. Geram! Pelik juga dia melihat sikap Rima yang mengalahkan

budak lelaki. Sepupu-sepupu lelakinya nakal juga tapi taklah senakal Rima. Waktu tengahari, tahu juga mereka berehat atau tidur di rumah. Berlainan sangat dengan Rima.

Tidak habis-habis dengan aktiviti bertenggek atas palang kandang kambing pak andak, memanjat pokok, menganggu itik di reban Pak Seman, memecahkan pasu dan segala macam perkara yang akan memeningkan kepada ibu dan ayah saudaranya, Pak Nuar dan Mak Lijah. Kadang-kadang Asmah kasihan melihat kedua orang tua Rima yang selalu serabut apabila memikirkan kerenah anak bongsunya itu.

 “Siaplah kamu, petang nanti Kak Asmah nak bagitau pak ngah dan mak ngah. Barulah adik tau langit tu tinggi ke rendah!” ugut Asmah.

 “Tak payahlah! Adik janji tak buat lagi.” Rima bukan merayu, hanya cuba menegah. Dia tahu Asmah akan ke rumahnya petang nanti. Selalunya begitulah. Bila Rima nakal, pasti Asmah akan mengadu. Telinga Pak Nuar dan Mak Lijah sudah naik tebal dibuatnya. Macam-macam aduan akan sampai ke pengetahuan mereka, sama ada dari Asmah, Pak Seman mahu pun saudara mara mereka yang lain.

“Kalau tak mau, sini! Bagi kak Asmah piat telinga kamu tu adik! Geram sangat rasanya ni! Meh sini kamu!”

Rima memegang kedua telinganya. Tentu telinga itu akan panjang sebelah kalau Asmah asyik memiat telinga sebelah kirinya setiap kali dia melakukan kesalahan. Tentu dia akan kurang cantik nanti. Hmm, tapi memang dirinya tak cantik pun! Cuma akan nampak lebih tak cantik bila telinganya panjang sebelah.

 “Kali ni tak usahlah piat telinga adik. Dahlah dahi adik benjol berlaga dengan tiang! ujar Rima yang malas mahu menadah telinganya untuk dipiat oleh kakak sepupunya.

“Padan muka! Nakal lagi! Mak ngah kata kamu dah besar, dah datang bulan kan?” soal Asmah keras.

‘Ibu ni! Itu pun nak cerita kat orang, malulah adik macam ni!’ gerutu Rima dalam hati. Bengkak hatinya. Jengkel.

“Mana ada?” Rima tidak mahu mengakui.

“Alah! Nak bohong lagi! Kamu tau tak adik? Dulu semua dosa kamu, pak ngah yang tanggung. Sekarang kamu dah besar, kena tanggung sendiri. Kamu tak takut ke?” gertak Asmah sambil tersenyum dalam hati bila melihat muka Rima yang berubah.

Rima menarik hujung baju. Digentel laju. Dipusing-pusing dan dilepaskan semula. Bosan! Gerakan bibir Asmah semasa bercakap membuat Rima mahu pergi dengan cepat. Beria-ia sungguh Asmah menasihati Rima. Ada yang didengarinya dan ada yang lalu dibawa angin panas.

“Adik nak baliklah.” Rima memusingkan badannya.

 “Hah! Hah! Ni semua siapa nak ganti ni?” rasa marah Asmah yang telah berkurangan, naik semula.

“Nanti ibu gantilah. Ibu ada banyak pokok-pokok ni semua tapi ibu tanam dalam tanah. Kak Asmah je yang pelik, tanam dalam pasu!”

 “Hissy! Nak mengajar akak pulak! Dah! Terus balik. Jangan kamu singgah kandang kambing ayah akak. Mengamuk lagi orang tua tu nanti. Bilalah kamu ni nak dewasa, Rima? Kakak-kakak kamu baya kamu dulu dah pandai segala benda. Masak, kemas rumah, membasuh, macam-macam lagilah. Jauh beza dengan kamu ni. Kesian mak ngah dan pak ngah asyik susah hati sebab kamu.”

‘Betul ke apa Kak Asmah kata? Ibu dan ayah selalu susah hati sebab adik ke?’ bisik hati kecil Rima. Kata-kata Asmah yang ini agak terkesan di hatinya. Tiba-tiba Rima sedih. Monyok saja mukanya.

“Adik balik ya,” ucap Rima sambil berpusing untuk pergi. Belum sempat Asmah menyahut kata-katanya, Rima sudah berjalan laju. Tiba di sempadan pemisah tanah, Rima melompat parit kecil tanpa melalui jalan biasa.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.