Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 12

Bab 12

 

Malam itu Rima gelisah tidak menentu. Ada yang tidak kena berlegar-legar dalam kepalanya. Setiap kata-kata Juki pada siang harinya begitu mengganggu. Rima tidak faham kenapa Juki beria-ia mengatakan mereka boleh berkahwin sedangkan dengan Suhana mereka tidak boleh berbuat begitu. Bukankah dia dan Suhana sepusat sepusing, mereka adik-beradik?

‘Juki selalu buat hati adik tak aman! Asyik-asyik muka dia yang muncul dalam kepala ni. Tak sukanyaaa...’ keluh Rima dalam hati.

“Waktu makan pun nak termenung ke adik? Melompat ikan tu dari pinggan kamu nanti.” Usik Pak Nuar yang sedang menikmati asam pedas mayung. Asam pedas daun kesum Mak Lijah selalu buat Pak Nuar bertambah-tambah nasi. Rima pula hantu telur mayung. Selain sup ketam, telur mayung selalu saja membuka seleranya. Rima diam saja.

Mak Lijah dan Suhana terus menyuap nasi ke mulut. Masing-masing makan dengan penuh selera. Sesekali Mak Lijah mencuri pandang muka Rima yang kelam. Tidak ceria. Wanita itu amat pasti ada sesuatu yang sedang menghantui pemikiran Rima. Dia kenal betul akan Rima luar dan dalam. Liuk dan lentuk serta bahasa mukanya yang senang diteka.

“Mendung je malam ni ibu tengok. Dahlah langit memang dah sedia gelap. Bintang tak ada, bulan pulak dah terlindung entah ke mana.”Selepas menelan nasi yang dikunyah, Mak Lijah membuka mukadimah.

“Adalah tu yang tak kena,” sambung Mak Lijah. Muka Rima dipandang tepat. Rima menggaru kepala. Ada perkara yang mahu dipersoalkan tetapi tidak tahu cara untuk memulakan. Pandangan Mak Lijah masih belum beralih. Selagi jawapannya tidak diberi selagi itulah dia akan menunggu.

“Hmmm...,” gumam Rima.

“Hmmm?” soal Mak Lijah.

“Cakap jelah adik, apa yang susahnya.” Sampuk Pak Nuar pula. Sedangkan dalam diam, Suhana cuba meneka apa yang sedang berada dalam otak Rima ketika itu.

“Bu!” akhirnya Rima bersuara, ragu-ragu dan tidak yakin. Dijelingnya Suhana sebentar. Suhana mengangkat kening sebagai tanda tidak memahami apa-apa.

“Kenapa? Cakaplah...ke adik nak kahwin?” usik Mak Lijah lalu tersenyum.

“Apalah ibu ni...kalau adik mintak kahwin, ibu jugak yang susah nanti.” Sahut Rima dengan manja. Pak Nuar dan Mak Lijah ketawa. Suhana juga tumpang sekaki.

“Habis tu?” soal Mak Lijah lagi.

“Susahnya adik nak cakap. Nak mulakan macam mana ya bu?” kepala yang tidak gatal digaru lagi, berkali-kali.

“Mudahkan aje adik. Guna perkataan yang senang-senang, yang ibu boleh faham.” Ujar Mak Lijah dengan tenang. Nampak jelas wajah keibuannya.

Rima membetulkan duduk. Badannya ditegakkan supaya nampak lebih bersemangat. Dalam masa yang sama dia sedang mengarang sesuatu di dalam kepala. Dia perlu melakukan malam itu juga, kalau tidak hatinya tidak akan aman dengan bayangan muka Juki yang selalu beria-ia dengan apa yang telah diperkatakannya. Ah! Juki selalu menyusahkan hidupnya.

“Baik...bu, kenapa Juki kata dia boleh kahwin dengan adik tapi dengan kak ngah tak boleh?” terucap juga apa yang tersekat di dada Rima. Seperti muntah yang keluar dengan mudah sesudah menjolok tekak apabila perut terasa mual. Legaaa...!

Hilang senyuman Mak Lijah. Punah sengihan Pak Nuar. Suhana yang tumpang sekaki ketawa sebentar tadi turut kelu lidahnya. Kali ini Rima pula yang menatap muka mereka satu per satu. Bergilir-gilir. Mereka bertiga umpama pesalah yang sedang diperhatikan oleh hakim yang bermuka tegas dengan tukul di tangan.

“Rasanya hari dah nak hujan ni, kan bang. Kalau tidur awal tentu akan lena sampai ke pagi.” Dalih Mak Lijah pun bermula. Pak Nuar angguk-angguk. Hendak bersuara tetapi suaranya telah tersengkang di kerongkong.

“Kak ngah kemas meja ya bu.” Suhana pula berusaha untuk melarikan diri. Dia tidak mahu terlibat dalam situasi yang kurang disukainya itu. Tanpa menunggu Mak Lijah mengangguk atau memberi jawapan, Suhana sudah bagun dari simpuhnya. Dia segera mengutip pinggan-pinggan kotor untuk dibawa ke tempat mencuci.

“Adik langsung tak mengantuk bu. Tadi ibu jugak yang nak adik luahkan apa adik rasa. Sekarang pulak semua orang macam nak mengelak aje. Tak seronoklah macam ni bu. Selagi adik tak dapat jawapannya, selagi itulah adik tak akan tidur. Adik berjaga semalaman pun tak apa.” Ugut Rima nekad. Dia memang mahukan jawapan yang memuaskan supaya hatinya akan aman.

“Sampai macam tu sekali?” duga Pak Nuar walaupun hati kecilnya mengakui Rima memang seorang anak yang nekad. Apabila hitam katanya maka hitamlah yang dimahukannya. Kalau putih, mesti putih jadinya. Rima angguk laju-laju, mengiakan persoalan Pak Nuar.

“Lain kali ajelah adik, masih banyak masa lagi.” Pujuk Mak Lijah pula. Harapannya agar Rima akan mendengar kata.

“Adik tak boleh tidur nanti bu. Sesaklah kepala adik ni bila Juki selalu cakap macam tu. Kita kan bersaudara dengan Juki tu kan, bu. Mana boleh kahwin. Lagi pun adik memang tak suka nak kahwin dengan Juki.” Walaupun ada lucu dalam kata-kata Rima tetapi untuk kali ini pasangan suami isteri itu tidak mampu ketawa.

“Cakaplah bu! Ayah!” desak Rima berkali-kali. Tangan Mak Lijah digoncang kuat. Pak Nuar hanya mampu memandang. Suhada yang sudah selesai membasuh pinggan cepat-cepat beredar. Pada waktu itu akan lebih selamat untuk Suhana berada di dalam bilik tidurnya. Dia tidak mahu tahu apa-apa dan tidak mahu mendengar apa-apa.

“Rima dah dewasa kan?” ujar Mak Lijah. Rima angguk-angguk lagi.

“Kalau macam tu ibu akan jelaskan semuanya. Janji dengan ibu, Rima akan terima semuanya dengan hati terbuka. Jangan beranggapan bukan-bukan...hmmm, ibu pun rasa dah sampai masanya untuk Rima tau. Kan, bang?” sokongan dari Pak Nuar amat diperlukan oleh Mak Lijah pada ketika itu. Pak Nuar masih tidak bersuara. Terkulat-kulat. Mak Lijah hampa.

“Ermmm, macam satu perkara yang tak bagus aje bu.” Rima mulai tidak sedap hati.

“Ibu tanya adik, adik dah sedia ke untuk dengar apa ibu nak cakap? Kalau belum, lain kali aje ya adik.” Masih ada usaha Mak Lijah untuk mengelak dari memberitahu Rima tentang situasi yang sebenar.

Rima berfikir sebentar. Segala kemungkinan, baik atau buruk akan didengari sebentar lagi. Dia harus bersedia. Kalau tidak hari ini, esok lusa dia tetap akan mahu tahu tentang jawapannya. Jadi tidak ada bezanya hari ini atau pun esok. Keputusan mesti diambil dengan pantas! Tidak boleh tidak! Rima memang nekad.

“Adik nak tau jugak bu. Baik atau buruk adik tak peduli. Lama-lama adik akan tau jugak kan. Betul tak ayah?” pandangannya beralih ke muka Pak Nuar yang masih kurang yakin dengan pilihan Mak Lijah. Dia sangat takut kalau-kalau semuanya akan berubah dalam sekelip mata.

Mendengar jawapan Rima, Mak Lijah memberi isyarat kepada suaminya agar mereka sama-sama menghadapi semua itu. Akhirnya Pak Nuar akur. Dalam hal sebegini Mak Lijah nampak lebih kuat berbanding Pak Nuar sendiri.

“Dengar sini adik. Pegang kuat tangan ibu.” Pinta Mak Lijah. Ada debaran yang tiba-tiba

singgah dalam diri Rima. Ada ketar pada tangan yang mahu memegang tangan Mak Lijah. Semua itu seperti sangat menakutkan tetapi Rima tetap menurut.

 

“Ibu nak selepas apa yang ibu ceritakan ni, adik jangan berubah. Ibu dengan ayah pun akan tetap sama macam sebelum ni.” Pinta Mak Lijah lagi. Rima juga angguk-angguk tetapi anggukannya tidak selaju awal-awal tadi.

“Adik ingat tak masa kecik-kecik dulu, bila ada tetamu datang mesti mereka akan tanya, siapa adik. Adik anak jiran ke, atau anak sanak saudara?” soal Mak Lijah perlahan. Dia mesti tenang supaya Rima juga boleh bertenang. Pak Nuar cuba menahan nafas agar tidak mendesah. Mungkin debar dadanya lebih hebat daripada kocakan perasaan Mak Lijah. Hanya Mak Lijah bersikap sangat tenang dengan menekan segala kegelisahan jauh-jauh daripada diri. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa payahnya untuk meluahkan apa yang Rima mahu.

“Adik ingat-ingat lupa, bu...huuuh, tapi ada rasanya.” Rima juga sedang mengumpul nafas. Terasa berat dan sarat. Dia sedang berdepan dengan sebuah teka-teki yang dimulakan oleh Juki. Kalau tidak kerana Juki sudah tentu semuanya tidak akan terjadi.

“Memang ada...selalu sangat mereka yang datang bertanyakan tentang adik. Sebabnya muka adik tak sama dengan kak long dan kak ngah.” Mak Lijah cuba menyampaikan dengan sebaik-baiknya supaya tidak ada kejutan besar buat Rima.

“Ibu nak jelaskan fasal apa sebenarnya, bu. Adik tak dapat tangkap maksud ibu,” ujar Rima biar pun sudah ada syak wasangka tentang sesuatu di dalam dirinya. Hanya dia masih belum ada gambaran yang jelas tentangnya.

Tubuh yang hampir separuh abad disandarkan di tiang seri dapur. Tiba-tiba berat dada Mak Lijah. Ada gumpalan yang menyendat di situ. Pak Nuar tunduk sambil membengkokkan jari-jarinya. Terhasil bunyi daripada perbuatan Pak Nuar itu. Dia mahu menghilangkan perasaan tidak menentu yang menganggu.

“Rima!”

“Ya, ibu...,” debar di dada Rima semakin kuat. Seperti hempasan ombak yang sedang ganas memukul tepi pantai. Dug dag dug dag...tanpa berhenti.

Lama Mak Lijah mendiamkan diri. Ekor matanya memamah muka Pak Nuar sambil berdoa di dalam hati mudah-mudahan Pak Nuar akan mengambil alih tempatnya untuk menceritakan hal yang sebenar. Sayangnya harapan Mak Lijah sia-sia. Pak Nuar cepat-cepat melihat ke arah pintu dapur. Dia belum ada kekuatan untuk menjelaskan cerita yang sebenar.

“Ibu...cepat atau lambat, adik akan tau jugak kan? Cakap ajelah bu.” Rima mengulangi permintaan yang sama. Dalam masa yang sama dia sedang cuba menghalau cemas yang menari-nari di hati.

“Haaa...ibu akan cakap sekarang. Memang betul apa Juki cakap. Sebabnya kak ngah dan adik bukan adik-beradik kandung.” Terhenti lagi kata-kata Mak Lijah. “Kami ibu ayah kak ngah dan kak long...adik...adik...errr...hmmm,” terlalu payah untuk Mak Lijah meluahkan.

“A...a...adik, adik...adik ni bukan anak ibu dan ayah? Jadi...jadi...,” hanya itu yang mampu terluah. Walaupun Mak Lijah belum mengucapkan kenyataan sebenar tetapi Rima sudah begitu pasti.

“Rupanya adik cuma anak pungut!” serentak dengan itu terhambur tangisan Rima. Sedih dan seakan tidak percaya dengan kenyataan di depan mata. Rima meletakkan kepalanya di atas lutut sambil menangis teresak-esak.

“Adik! Jangan cakap macam tu!” secepat kilat Mak Lijah menarik Rima ke dalam pelukannya. Dibenamkan muka Rima ke dadanya supaya Rima berasa lega. Kenyataannya, tangisan Rima bertambah kuat. Seboleh-bolehnya dia mahu menidakkan hakikat dirinya yang sebenar. Ditepis-tepisnya kata-kata Mak Lijah yang seperti sedang diulang tayang menendang masuk ke telinganya.

“Adik bukan anak pungut. Kami sayang adik sama je dengan kami sayang kak ngah dan kak long. Mereka pun sayang kat adik. Cuma takdirnya adik tak keluar dari perut ibu macam mereka. Adik jangan fikir bukan-bukan ya.” Pujuk Pak Nuar sambil mengusap belakang rambut Rima. Tidak salah untuknya menyentuh kulit dan rambut Rima kerana Mak Lijah telah menjadi ibu susuannya.

“Patutlah Kak Asmah tak suka adik. Pak andak pun selalu marah-marah adik. Patutlah adik nakal, tak macam kak long, tak macam kak ngah. Rupa-rupanya...,” kata-kata Rima terhenti di situ. Dia sudah banjir air mata. Air matanya pula bersatu dengan air hingusnya. Mak Lijah membiarkan saja baju kurungnya menjadi mangsa, menggantikan saputangan buat Rima.

“Isyyy...mana ada. Semua orang sayang adik sebab tu mereka selalu ambik berat tentang diri adik. Mereka akan tegur adik macam keluarga sendiri. Kalau mereka tak suka adik, mereka akan biarkan aje apa adik suka buat, apa nak jadi, jadilah...betul tak apa ibu kata?” Kelembutan demi kelembutan bahasa cuba Mak Lijah serapkan ke telinga Rima supaya Rima akan lebih tenang. Usapan Pak Nuar juga masih belum berhenti.

Perlahan-lahan Rima mengangkat mukanya. Merah matanya. Baru mengangis beberapa minit, matanya sudah bengkak. Bila banyak air mata yang tumpah, dadanya menjadi agak lega. Kejutan sebentar tadi memang tidak pernah diduganya. Ia seperti satu igauan ngeri di malam hari yang gelap gelita tanpa sebutir bintang. Haaa...! Rupa-rupanya hidup penuh dengan rahsia.

‘Adik tak boleh terus menangis depan ibu dan ayah. Kalau adik sedih, mereka mesti lebih sedih. Selama ni tak ada kurangnya layanan mereka pada adik. Langsung tak ada, takkan adik nak balas kebaikan mereka dengan tangisan yang tak henti-henti?’ remaja 17 tahun itu berkira-kira dalam hati. Tangisannya cuba disekat semahu-mahunya. Ditekan-tekan supaya pergi bersembunyi dalam dada. Rima sedar dia tidak layak menuding jari kepada sesiapa untuk mempersalahkan akan hakikat dirinya hanyalah sekadar menumpang kasih.

 

‘Siapa orang tua adik? Dah tentu dia tak sayangkan adik. Sebab tu adik berada dalam keluarga ni,’ bisiknya lagi. Rima cuba memujuk dirinya dengan mengatakan keluarga Pak Nuar adalah yang terbaik buatnya.

“Ermmm...tak apalah, ibu. Adik tak kisahlah. Ibu, ayah, kak long, kak ngah, semua sayang adik. Tak ada apa yang kurang. Malahan semuanya berlebihan, melimpah-limpah.” Dengan separuh yakin Rima cuba pula meyakinkan kedua orang tuanya yang dia baik-baik saja.

Pak Nuar dan Mak Lijah tersenyum. Walaupun senyuman itu bukan disebabkan kata-kata Rima yang menipu tetapi sekurang-kurangnya mereka cuba mencari ruang untuk mempercayainya. Ucapan Rima tidak sama dengan air mukanya yang malap. Tidak bermaya. Lesu dan agak pucat.

“Betul adik tak apa-apa?” hati seorang ayah tidak akan senang apabila melihat seorang anak menitiskan air mata atas suatu sebab yang tidak pernah terduga. Pak Nuar cuba memastikan Rima dalam keadaan yang baik-baik saja.

“Tak apa-apa, ayah. Cuma adik rasa mengantuk sekarang ni. Cuaca pun semakin sejuk. Kalau berselimut sampai tutup kepala mesti adik lena sampai pagi.” Segaris senyum cuba dipaksa tetapi getaran bibirnya tidak dapat disembunyikan. Pak Nuar dan Mak Lijah dapat melihatnya dengan nyata.

“Adik masuk bilik dulu ya bu, ayah. Ibu ayah pun jangan lewat tidur, tak baik untuk kesihatan.” Sempat juga Rima berpesan. Rima bangun dan berjalan malas meninggalkan kedua orang tuanya. Langkahnya perlahan, kurang semangat.

“Mintak-mintak adik dapat terima semua ni, ya bang.” Mak Lijah masih menyorot langkah Rima dengan mata layu. Rasa mengantuk sudah menyinggahi diri.

“Adik mesti sedih. Selepas 17 tahun, barulah dia tau cerita sebenar. Bukan mudah nak berdepan dengan hakikat ni, Lijah. Mudah-mudahan adik kuat semangat melalui semua ni.”

“Kita tidur dululah bang, mengantuk benar saya.” Kuapan demi kuapan yang tertahan-tahan tidak dapat dikawal lagi. Mak Lijah bangun dengan diekori oleh Pak Nuar.

Setibanya di depan bilik tidur Rima, mereka berhenti sebentar untuk memasang telinga. Suasana senyap sunyi. Tidak ada suara esakan atau bunyi katil yang berkeriut akibat gerakan-gerakan badan Rima. Agak lama mereka berdiri di situ. Setelah berpuas hati mereka terus berlalu.

“Agaknya adik dah lena. Baguslah kalau adik tak layan sangat perasaannya tu.” Dada Mak Lijah diurut tanda lega. Pak Nuar juga mulai lapang dadanya. Tidak sesesak tadi.

‘Ya Allah! Adik tak boleh tidur! Susahnya mata ni nak pejam...kenapa mengantuk adik hilang tiba-tiba aje?’ hakikatnya Rima sedang berusaha menenangkan diri. Air matanya tidak putus-putus mengalir. Dia menekup lembut mukanya dengan sebiji bantal supaya Suhana yang sudah lena tidak mendengar tangisannya.

Puas dia mengiring, mata tidak juga lena. Bergolek ke kanan dan ke kiri, terlentang, meniarap dan duduk di birai katil, semuanya gagal melegakan perasaannya. Hatinya semakin kecamuk tidak menentu. Cuaca yang dingin disebabkan hujan yang mulai turun tidak dapat memujuk dan menyejukkan hatinya. Rima rasa berbahang di kedinginan hujan malam.

Hujan yang semakin lebat bersama guruh berdentum semakin melemaskan perasaan. Air matanya juga turut mengalir laju. Tidak dapat dibendung lagi. Hangat. Bila ada esakan yang hendak kedengaran, cepat-cepat bantal menekup mulutnya. Sungguh! Rima tidak suka kalau Suhana mendengar tangisannya.

“Hahaha...patutlah adik tak sama dengan Sufiah dan Suhana, anak pungut rupanya! Adik anak pungut! Anak punguttt! Hahaha.” Tiba-tiba Asmah masuk ke dalam otak Rima lalu mentertawakannya. Puas Rima menepis-nepis suara itu tetapi ia tidak mahu pergi. Suara itu sangat jelas dan Rima tidak mampu untuk menghindari.

“Kan aku dah kata, aku boleh kahwin dengan adik! Sekarang adik dah percaya, kan. Hahaha...habis belajar nanti aku nak pinang adik. Bersedia ya adik...bersediaaa...tunggu aku habis belajar...tunggu akuuu!” dia terus lemas dalam suara ejekan Juki pula. Rima cuba menutup telinga tetapi suara Juki dapat menembusi pendengarannya.

“Kalau macam ni tak dapatlah adik tidur sampai ke pagi. Adoi! Kepala ni dah pusing. Tolong adik ya Allah! Kenapa jadi macam ni?” apa yang Rima cuba buat untuk mengusir gangguan itu masih tidak mendatangkan hasil. Penat otak dan badan Rima. Jari-jari Rima mula memicit-micit dahinya. Betul-betul pusing! Pipinya pula masih belum kering dengan air mata.

 

Cermin muka yang tersangkut di dinding dihampiri. Rima berdiri di depannya. Lama. Dia menelek mukanya. Sah! Tidak sama dengan Sufiah dan Suhana. Mengapa selama ini dia tidak pernah terfikirkan itu semua? Keluhan Rima hanya cermin yang mendengar. Cermin turut bersedih dan menangis bersama Rima.

“Buruknya bila adik menangis!” permukaan cermin diusap perlahan. Wajah di dalam cermin cuba disentuh perlahan. Cuba dikeringkan air mata pada wajah di dalam cermin itu. Malangnya ia masih tidak mahu mengering.

“Ermmm...macam mana air mata boleh kering bila dilap hanya pada pantulan yang mengajuk. Ia tak akan berjaya. Diri sendirilah yang perlu menghentikan tangisan tu, barulah cermin tak mengejek lagi.” Serentak dengan itu Rima cuba membersihkan sisa air mata. Ia memang berkesan. Sudah kering walaupun kesan tangisan masih ada.

“Hahaha...itulah Rima! Engkau sombong dengan aku! Kalau engkau sekadar anak pungut, engkau memang tak sesuai dengan aku! Jadi anak dara tualah engkau Rima. Tak kahwinlah seumur hidup engkau!” ketika Rima mulai lega, suara Ziman pula datang mengganggu. Ah! Pada masa ini pula semuanya mahu melemahkan dan menjatuhkan! Rima sedang keseorangan. Ditekan dan dipijak-pijak oleh bayangan buruknya sendiri.

“Jangan ganggu adiklah!” tanpa sedar Rima separuh menjerit. Geram, sakit hati dan macam-macam lagi.

“Engkau memang egolah Rima, padahal engkau tu cuma anak pungut! Anak pungut! Anak pungut! Anak pungut!” serangan Ziman semakin galak.

“Anak pungut!” sambung suara Juki yang masih belum pergi.

“Anak pungut!” tambah Asmah pula.

“Sudah! Sudahhh!...diammm! jangan kacau adik! Jangan kacauuu!...,” herdik Rima kuat. Cermin dinding ditolak kuat. Mujur tidak jatuh ke lantai dan pecah berkecai.

“Eh! Apa? Kenapa?...dah pagi ke?” mendengar jeritan kuat Rima, Suhana terus terduduk. Terpinga-pinga sambil memisat-misat mata. Dipandangnya sekeliling bilik. Jam sudah menunjukkan angka 2 pagi. Rima tidak berada di atas katil sebaliknya dia sedang menyembamkan muka pada lututnya sambil bertinggung di penjuru bilik. Cermin muka di dinding pula sudah senget letaknya.

Badan Rima yang bergegar diamati oleh Suhana. Sedang buat apakah adiknya yang seorang itu? Suhana memasang telinga pula. Ada esakan kecil yang datangnya dari Rima. Ah! Gawat! Rima sudah tahukah? Suhana tidak boleh berdiam diri, perlahan-lahan Rima dihampiri.

“Adik, kenapa tak tidur lagi? Dah pagi ni.” Suhana menarik tangan Rima dengan perlahan. Rima mengangkat muka. Nampak sembab matanya. Layu tidak bermaya.

“Adik langsung tak boleh tidur, kak ngah. Dah penat rasanya berjaga sampai pagi.” Jawab

Rima dengan lemah. Walaupun pada awalnya dia tidak mahu Suhana melihatnya menangis tetapi dia berasa lega setelah melihat Suhana ambil berat tentang dirinya.

“Kak ngah peluk adik sampai lena ya?”

“Adik tak mengantuk. Langsung tak mengantuk. Kak ngah sambunglah tidur,” sahut Rima dengan lemah.

“Kak ngah, adik bukan adik kak ngah. Bukan adik kak long. Adik bukan anak ibu dan ayah...” terhambur lagi tangisan Rima. Tidak mampu untuk dia menyembunyikan kesedihannya lagi.

“Syhhh...tak mau cakap macam tu! Adik, adik kak ngah dan kak long. Anak ibu dan ayah. Adik bukan orang lain. Dari besar tapak tangan ibu ayah kita tatang adik. Sejak dulu jugak kita adalah adik-beradik. Jangan fikir yang buruk-buruk. Kami semua sayang adik.” Pujuk Suhana dengan penuh hemah. Biarpun selalunya mereka suka bercakaran tetapi bagi Suhana, Rima adalah adiknya dunia akhirat.

“Adik malu...selama ni adik selalu buli kak ngah. Lawan mak ayah. Adik malu, kak ngah! Adik malu!” ucap Rima dengan jujur.

“Sudahlah...lupakan aje. Jom kita tidur.” Tangan Rima ditarik. Suhana membawa Rima ke katil semula. Rima hanya mampu berbaring dengan mata tegak merenung siling. Suhana juga agak sukar untuk menyambung semula tidurnya.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.