Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 40

Bab 40

 

Sepulangnya dari sekolah, Rima mendapati rumah Pak Nuar nampak sunyi. Pintu dapur yang jarang bertutup, kali ini bertutup rapat. Rima meninjau-ninjau sekitar rumah, mana tahu kedua orang tuanya sedang berada di kebun. Setelah puas memerhati, tidak ada tanda-tanda mereka sedang berada di kebun.

 “Ke mana pula ibu?” soalan ditujukan kepada diri sendiri. Rima mendongak ke langit yang nampak cerah. Cahayanya matahari agak menyengat. Silau. Awan yang bergerak, bertompok-tompok dan putih bersih. Cantik!

 Penat berdiri di halaman, Rima mula memijak anak tangga dapur untuk naik ke atas rumah. Setelah tiba di anak tangga terakhir, daun pintu ditolak. Tidak berkunci. Bermakna ada orang di dalam. Perkara pertama yang Rima lakukan setelah tiba di dapur ialah mencari air putih untuk membasahkan tekak yang kering. Sebotol air sejuk masak dikeluarkan dari dalam peti sejuk lalu dituang ke dalam sebiji gelas besar. Kemudian air diteguk dengan laju melalui kerongkong. Lega rasanya.

“Apa ibu masak hari ni?” Serentak dengan itu Rima mengangkat tudung saji di atas meja. Lauk kegemarannya, telur ikan manyong sudah tersedia di dalam mangkuk kecil. Seketul ayam goreng dan sayur ulam pucuk ubi serta sambal belacan telah membuat air liur Rima kecur.

 Perutnya yang memang sudah berkeroncong menjerit-jerit minta diisi. Rima meletakkan beg yang berisi buku-buku latihan pelajarnya di tepi dinding. Tanpa menunggu lagi, Rima membasuh tangan lalu duduk untuk menikmati hidangan. Kuah asam pedas dan telur mayong diletakkan ke pinggan yang sudah diisi nasi. Yang lain-lainnya tidak diendahkan. Cukup dengan telur mayong yang menjadi kesukaannya.

 “Dah tak reti nak salin baju, terus je makan. Anak dara sekarang macam tulah. Nak makan je dah ada terhidang depan mata.” Tiba-tiba Mak Jah muncul dengan kepala yang berkoyok. Tidak sedap hati Rima mendengarnya. Nada suara Mak Lijah sangat berbeza dari biasa. Ada keluhan yang kedengaran di hujung kata-katanya.

“Ibu...ibu tak sihat ke? Sakit kepala ke bu?” Sedaya mungkin Rima tidak mahu melayan perasaannya. Bimbang ia hanyalah permainan syaitan yang sengaja mahu merosakkan hubungan mereka. Nasi yang mahu disuap ke mulut diletakkan semula ke dalam pinggan.

 “Sakit kepala...asyik fikirkan kak ngah kamu. Kesian dia, banyak dia berhabis untuk keluarga ni. Bila dia nak rasa gembira, sedih pulak yang kak ngah kamu dapat. Budak lelaki tu dah buta agaknya, tak nampak kelebihan kak ngah kamu...hishhh...susah kalau dah salah pilih ni.” Kata-kata Mak Lijah berbau sinis. Rima tunduk merenung nasi dan telur mayong di dalam pinggan. Ia tidak lagi menarik minatnya.

Mak Lijah mengambil ubat serbuk Cap Kaki Tiga di dalam almari dapur lalu dituang ke dalam cawan dan dicampur dengan sedikit air. Ubat yang pahit-pahit kelat itu ditelan dengan selamba.

 “Nanti adik picitkan kepala ibu ya.” Ujar Rima yang cuba untuk tidak memikirkan sikap Mak Lijah yang agak dingin semenjak kejadian tempohari. Selalunya ibunya akan duduk di kerusi yang berhadapan dengan kerusi Rima pada setiap kali Rima menikmati hidangan sepulangnya dari sekolah. Kali ini tidak lagi. Mak Lijah hanya berdiri jauh.

 “Bukan boleh baik pun.” Sahut Mak Lijah yang membuat muka Rima bagaikan disengat lebah. Pedih. Hatinya pula seperti sedang terkoyak dan berlubang. Perasaannya berubah menjadi sayu. Sekali lagi dia berasa sendirian di rumah yang sudah terlalu akrab dengannya. Rumah di mana dia telah membesar dalam limpahan kasih sayang dan perhatian yang tidak berbelah bagi.

“Selalu kan adik yang picitkan kepala ibu. Ibu kata rasa lega bila adik picit.” Rima masih mencuba untuk tidak mengambil hati. Dia mahu terus bersangka baik terhadap orang yang selama ini telah menatangnya bagai minyak yang penuh. Biarpun nada yang diucap oleh Mak Lijah tidak lagi sama, dan rentak katanya sudah berbeza tapi Rima mahu menganggap ia masih sama seperti dulu. Biarlah hatinya menafikan apa yang otaknya sedang fikirkan, Rima tidak peduli. Hati mesti duduk diam-diam dan meletakkan Mak Lijah tetap pada tempatnya. Seorang ibu yang sewajarnya dihormati dan dikasihi.

“Adik...” Mak Lijah teragak-agak untuk mengatakan sesuatu.

“Saya, bu.” Nasi di celahan jari Rima sudah hampir mengering dan telur mayong masih tidak berusik.

 “Errr...boleh tak untuk sementara ni adik duduk kat pekan. Bukan apa, sekolah dekat kan. Taklah adik penat sangat bila ada kelas tambahan.” Ujar Mak Lijah yang memandang ke luar tingkap.

Sedikit pun tidak Rima menduga itu yang akan Mak Lijah minta. Walaupun sewaktu Mak Lijah meluahkannya seakan berat hati tapi Rima dapat merasakan wanita itu memaksudkannya. Ibunyakah itu? Rima sangat keliru. Hati yang sedih bertambah sedih. Dengan susah payah Rima cuba menyorokkan kesedihannya. Ditekan-tekan dan dipaksa-paksa kesedihan itu dari mengintai keluar.

“Ibu...pergi balik kerja bukan satu beban buat adik. Adik dah biasa. Terus-teranglah bu, apa sebab yang sebenar. Bagitau adik...supaya adik akan buat apa yang ibu mau dengan senang hati. Adik akan terima dengan lapang dada.” Pinta Rima perlahan. Rima sanggup mendengar apa saja dan rela menerima apa saja asalkan ia satu permintaan yang jujur daripada Mak Lijah.

Mak Jah bergerak ke muka pintu pula. Berat sungguh untuk mengatakan apa yang perlu dikatakan. Sebahagian diri Mak Lijah mahu Rima melakukan mengikut kemahuannya sedangkan sebahagian lagi dirinya tidak mengizinkan Rima pergi. Ditelan pahit hendak dibuang terasa sayang.

 “Bu,” ulangi Rima bernada merayu.

 “Adik...jangan ingat ibu dah tak sayang adik...cuma, buat masa ni ibu nak adik faham yang...” Kata-kata Mak Lijah terhenti.

 “Kenapa bu? Cakaplah...adik akan faham.” Bukan mudah untuk Rima menipu dirinya sendiri. Dia masih sukar untuk menerima dan memahami mengapa dia yang harus dipersalahkan apabila berlakunya salah faham. Untuk seorang Mak Lijah dia sanggup melakukannya apa saja. Hutang budinya hanya akan dibawa mati. Tidak mampu untuk dia membalas kebaikan keluarga itu.

“Adik jangan kecil hati kalau ibu cakap...kak ngah kata dia tak akan balik rumah ni selagi adik ada..., adik...ni, ni untuk sementara je. Kalau hati kak ngah dah sejuk, adik baliklah semula ke sini.” Susah untuk Mak Lijah meluahkan. Tidak sanggup untuknya melihat muka Rima. Dia tahu tentu Rima sedang sedih dan kecewa.

Mak Lijah masih memandang ke luar. Rima membuka mulut untuk menyedut udara. Terasa tidak cukup nafasnya. Selepas itu udara yang disedut dilepaskan perlahan. Dia memegang dadanya yang terasa penuh. Dalam diam dia juga sedang sibuk untuk memujuk hatinya agar bertenang. Damailah wahai hati! Ini ujian, ujian akan membuat diri semakin dewasa. Akhirnya Rima cuba mengukir senyum paksa.

“Bu...jangan rasa bersalah. Adik faham. Bagi adik masa untuk cari rumah sewa ya bu.” Ucap Rima lalu tersenyum. Senyuman getir dan pahit untuk meyakinkan Mak Lijah bahawa dia tidak apa-apa. Dia baik-baik saja. Mak Lijah tunduk. Kepalanya semakin berat dan berdenyut. Bukan kerana memikirkan tentang Suhana sebaliknya kerana Rima. Dia tidak sanggup kehilangan Rima biar untuk sesaat tapi dia terpaksa melakukan juga kerana Suhana.

 “Ibu bukan halau adik...jangan tergesa-gesa. Buat dengan tenang ya adik.” Pinta Mak Lijah.

Rima membasuh tangan lalu menghampiri ibunya. Dia memeluk pinggang Mak Lijah dari

belakang. Mak Lijah membiarkan saja. Terasa berbuku hatinya kerana terpaksa memperlakukan Rima seperti itu. Mak Jah menangis dalam hati. Air mata Rima juga telah tumpah tapi tidak nampak alirannya jatuh ke pipi. Tangisannya menyorok di dada sehingga membuat dadanya sendat.

 “Ibu, jangan sedih bu. Adik faham kenapa ibu buat macam ni. Ibu jangan rasa bersalah ya. Jangan banyak fikir, nanti darah tinggi ibu naik lagi.” Pujuk Rima yang mahu menyenangkan hati Mak Lijah. Tentang hatinya? Ah! Jangan pentingkan diri sendiri.

“Baru semalam adik cerita pada Juki adik nak duduk kat pekan, bu.” Sambung Rima sebaik teringat perbualannya dengan Juki di bawah pokok pulasan. Mudah-mudahan ia akan menyedapkan lagi hati Mak Lijah.

Mak Lijah mengelip-ngelipkan matanya untuk menghalang air mata dari keluar. Mak Lijah tahu dia sedang berdepan dengan anak yang manja dan lambat dewasa. Anehnya pada masa itu, Rima nampak jauh lebih dewasa dari apa yang dia harap-harapkan selama ini. Anak manja itu penuh dengan pengertian dan tolak ansur. Sayu bila Mak Lijah memikirkannya.

 “Adik boleh tolong ibu?” Masih ada yang diperlukan dari Rima.

“Untuk ibu, adik akan buat apa aje bu.” Balas Rima yakin. Kalau itu boleh dianggap sebagai pengorbanannya, ia masih belum memadai dengan terhutang budinya terhadap keluarga itu. Rima melepaskan pelukan lalu duduk di muka pintu. Mak Lijah masih berdiri dengan tangannya memegang jenang pintu.

“Jangan bagitau pada ayah, ibu yang nak adik duduk luar. Kalau ayah tau, dia akan marah. Ibu tak nak ayah bising. Adik tau kan, macamana sayangnya ayah kat adik.” Satu lagi permintaan telah diutarakan oleh Mak Lijah. Kejamkah dia bila meminta terlalu banyak dari Rima? Mak Lijah betul-betul sedang celaru. Semakin difikirkan, semakin sakit kepalanya. Rima dia sayang, Suhana dia kasih.

Kepala yang sakit membuat badan Mak Lijah lemah. Perlahan-lahan Mak Lijah duduk di sebelah Rima. Wanita itu sedang tertekan. Rima menarik tapak tangan Mak Lijah lalu digenggam kuat. Selepas itu dicium dengan lembut. Tangan yang sudah berurat timbul itulah yang dulu membasuh berak kencingnya. Tangan yang membedungnya sebelum didodoikan di dalam buaian. Tangan itu juga yang sangat sabar membesarkan Rima dari hari ke hari dan dari tahun ke tahun. Sehinggalah Rima menjadi manusia.

 “Ya bu...adik janji. Adik tak akan bukak mulut.” Jamin Rima supaya Mak Lijah tidak risau lagi.

Mendengar jaminan Rima, Mak Lijah menggenggam lebih kuat lagi tangan Rima. Mereka sama-sama diam sambil memandang jauh ke depan. Entah apa yang sedang berada di dalam fikiran masing-masing. Yang pasti, sudah tentu kedua-duanya sedang memendam rasa.

 “Bu...halalkan makan minum dan air susu ibu untuk adik selama ni. Maafkan salah silap dan dosa-dosa adik. Adik bukan anak yang baik. Adik banyak susahkan ibu, susahkan ayah. Hmmm, kalau bukan ayah dan ibu yang jaga adik, entah apa yang akan jadi pada adik sekarang ni.” Sebak dada Rima tidak terkira. Hatinya sayu.

 Biarpun pada mata kasar, Mak Lijah seakan melebihkan dan berpihak kepada Suhana, Rima tidak berhak untuk ambil hati atau marah. Suhana memang layak memperolehi itu semua sedangkan dirinya, hanya malukut di tepi gantang. Tidak guna menangisi suatu takdir yang sudah tertulis buat dirinya.

 “Kenapa adik cakap macam ni? Bukan ke ibu dah kata, ibu buat ni semua bukan sebab ibu dah tak sayangkan adik...ni semua untuk sementara je. Ibu sentiasa halalkan apa yang ibu dah bagi untuk adik. Jangan cakap macam tu lagi, ibu tak suka.” Bergetar suara Mak Lijah. Hatinya sedang menangis pilu mengenangkan Rima. Anak yang terpaksa disingkirkan hanya kerana Mak Lijah mahu memuaskan hati Suhana. Tidak ada pilihan lagi. Buat masa dia perlu memilih satu di antara dua.

“Adik perlu cakap. Kalau tak, terbuku hati adik. Ibu ayah dah banyak sangat berkorban untuk adik. Terima kasih untuk semuanya ya bu.” Getaran suara Rima membayangkan apa yang sedang dirasai olehnya ketika itu. Hanya dia saja yang tahu apa yang ada di dalam hatinya.

 “Iya...ibu halalkan semua. Ibu maafkan semua silap anak ibu ni. Sudah...jangan sedih lagi. Sini...letak kepala kat paha ibu.” Mak Lijah menepuk-nepuk pahanya. Rima mengesot sedikit untuk lebih rapat dengan Mak Lijah. Kepalanya diletakkan pada paha satu-satunya ibu yang mengajar dia tentang kehidupan. Kelopak matanya dipejamkan agar Rima dapat merasai betapa hangatnya kasih ibunya. Selepas ini mungkin peluangnya untuk bermanja-manja akan berkurangan. Tidak lama lagi dia akan tinggal berjauhan dari keluarga itu.

Terbayang di mata Mak Lijah 22 tahun yang lalu, ketika Rima sebesar tapak tangan. Kemudian menjadi kanak-kanak yang nakal dan kaki buli sehinggalah Rima yang berada di depan matanya sudah sama ketinggiannya dengan Mak Lijah. Tidak lama lagi mereka akan berpisah, biarpun hanya untuk sementara tapi ia bukan satu yang menggembirakan.

Previous: Bab 39
Next: Bab 41

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.