Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 28

Bab 28

 

Ruang tamu rumah Pak Nuar sudah mulai dipenuhi oleh para jemputan yang diundang ke majlis doa selamat. Penantian Rima tidak sia-sia. Berkat doa Mak Jah dan Pak Nuar, juga doa Rima sendiri, berjaya juga Rima menamatkan pengajiannya. Tidak lama Rima akan menjadi seorang guru.

“Tahniah kawan!” ucap Salwa yang turut dijemput ke majlis itu. Ziman yang tinggal sekampung bersebelahan dengan Salwa juga tidak ketinggalan.

 “Terima kasihlah. Adik segan sebenarnya tapi ibu yang beria buat kenduri ni. Engkau pun apa kurangnya, Salwa, Ziman, lebih dulu tamat belajar dari adik...eh, Ziman...orang lelaki naik ataslah, baca doa selamat.” Rima menyambut kedatangan kedua rakannya dengan gembira.

“Aku tak lancarlah. Belum belajar lagi. Kita sembang ajelah.” Ziman memang tidak tahu malu.

 “Eiii...teruknya engkau!” ejek Rima. Salwa ketawa. Ziman bermuka selamba. Peduli apa dia.

Dari bawah rumah, ada sepasang mata sedang memerhati. Pandangan cemburu. Juki yang sanggup ponteng kuliah hanya kerana mahu menghadiri majlis itu tidak suka dengan apa yang dilihatnya. Juki dapat merasakan betapa nakalnya mata Ziman yang asyik merenung muka Rima. Mana boleh jadi! Rima sudah berjanji dengan Juki untuk cuba memberikan hatinya. Kalau ada orang lain yang masuk jarum, kedudukannya akan terancam. Tidak senang duduk Juki dibuatnya.

“Adik!”

 “Kak Ngahhh! Kenapa lambat? Sampai hati kak ngah.” Laju Rima memeluk Suhana yang baru sampai dengan beberapa orang rakannya.

“Kelas kak ngah habis lambat petang tadi. Ni pun terus bergegas, nasib baik Zulkarnain sudi luangkan masa. Jadi mangsa lagi kereta dia.” Suhana mengerling Zulkarnain.

‘Hmmm...dia lagi!’ desis Rima sebaik melihat Zulkarnain turut serta. Sudah tentu Suhana yang telah mengundangnya. Setelah bertanyakan khabar, Zulkarnain masih lagi berdiri di sisi Rima. Tiga orang rakan perempuan Suhana bersalaman dengan jiran tetangga Rima.

“Tahniah, Rima.” Ucap Zulkarnain.

“Terima kasih,” balas Rima ringkas.

 “Kak long tak balik ke?” soal Suhana yang tidak mahu Zulkarnain berbual lebih lama dengan Rima.

‘Ada saja ketua murid ni,’ bisik Ziman sebaik melihat Zulkarnain. Dia menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Zulkarnain.

“Kak long orang pertama balik tapi abang long tak dapat tunggu. Dia hantar kak long lepas tu balik semula rumah mereka, kena out station.” Sesekali Rima menggaru lengan yang digigit nyamuk.

 “Ni Salwa, kan. Ingat kak ngah lagi tak?” tegur Suhana dengan ramah. Salwa senyum.

“Mestilah kenal lagi kak ngah, kan setiap kali hari raya saya datang sini. Cuma dua tahun kebelakangan ni aje saya tak dapat datang.” Balas Salwa. Ziman masih terdiri-diri di sebelah Salwa.

“Eh, naiklah atas. Kat bawah ni banyak nyamuk. Gelap pulak.” Pelawa Suhana.

“Nantilah...dah ramai kat atas tu. Bawah ni banyak angin.” Sahut Salwa. Ziman yang menjadi pak pacak hanya angguk-angguk.

“Yang ni, Ziman?”

“Iya kak ngah, sayalah tu. Kawan kelas yang paling Rima sayang.” Seloroh Ziman yang sudah biasa dengan Suhana.

“Hishhh...perasan!” sampuk Rima lalu menjuihkan bibir.

 Suasana itu membuat Juki semakin serba tidak kena. Sambil dia membantu para ibu di bangsal masak, mata dan hatinya tidak pernah aman. Sampai hati Rima tidak mengendahkannya. Rima tidak tahukah pengorbanannya yang sanggup ponteng kuliah semata-mata mahu turut serta meraikan kejayaan buah hatinya itu?

Kalau dilihat muka Ziman di dalam suasana yang agak gelap itu, dia tidaklah selawa mana. Mungkin lebih sedikit saja dari Juki. Juki pula menang dari sudut ketinggian. Kalau dulu badan Juki lebih kecil daripada Rima tapi bila usianya sudah bertambah, Rima sudah jauh ketinggalan. Bila berdiri bersebelahan, Rima hanya separas bahunya saja. Diam-diam Juki tersengih bila melihat badannya yang agak sasa.

“Orang atas dah mula baca Yassin. Syhhh...diam.” Suhana mengingatkan supaya bacaan Yassin dan doa selamat akan dihormati. Meriah juga majlis malam itu. Jiran tetangga ada yang duduk di atas pangkin, di bawah rumah dan di bangsal yang digunakan untuk memasak.

‘Rasa macam nak bertunang pulak,’ bisik Rima lalu ketawa dalam hati.

 ‘Hmmm...Ziman, Juki, Zulkarnain semuanya ada. Kalaulah Sulaiman pun ada...’ Lamunan Rima sudah melayang-layang ke udara.

 “Hah!...khayal!” jerkah Ita yang baru turun dari atas rumah.

“Syhhh.” Suhana mengingatkan. Cepat-cepat Ita menekup mulutnya. Rima mencubit Ita yang membuat bayangan muka Sulaiman lari lintang-pukang di bawa angin malam. Ita mengusap lengannya sambil menyeringai. Sakit! Tabiat Rima yang satu itu memang selalu membuat Ita naik geram.

‘Mama!...ermmm...ishhh, kenapa adik mesti ingat dia?...kat sini ramai, mama pulak keseorangan?’ Ingatan Rima menjauh lagi. Memikirkan orang yang sedang bertandang dalam kepalanya adalah Syidah, cepat-cepat dihalau bayangan itu. Tidak guna untuknya mengenangkan orang yang tidak pernah ambil tahu tentangnya selama 17 tahun ini.

“Haaa, Juki...hulurkan dulang tu. Doa selamat dah selesai.” Pak Seman yang berdiri di atas tangga rumah memanggil Juki yang sedang asyik merenung Rima dari jauh. Suara Pak Seman membuat Rima terjaga dari khayalan.

“Makan time...jom, jom kita makan.” Ita tidak sabar-sabar lagi. Rima hanya menggeleng, gelihati melihat Ita yang gelojoh.

“Ziman, daripada engkau tak ada buat apa...cuba tolong tu, sedara Rima tu angkat dulang. Ada jugak faedahnya. Tak adalah engkau terselit kat tengah-tengah perempuan ni.” Salwa mengusik Ziman. Merah muka Ziman walaupun Salwa sekadar bergurau. Mujur gelap malam dengan cahaya lampu yang kurang terang berjaya menyorokkkan warna kulit muka Ziman yang sudah bertukar.

“Okey...aku angkat dulang.” Ziman menyahut cabaran. Mana boleh dia diperkotak-katikkan oleh perempuan seperti Salwa. Tercalarlah maruahnya sebagai lelaki yang dalam senyapnya masih mahu menambat hati Rima. Ziman masih belum berhenti daripada menyukai Rima walaupun ia tidak dizahirkan seperti sewaktu zaman persekolahan mereka dulu.

Rima dan Salwa bertukar senyuman. Bukan mudah mahu mengenakan Ziman yang selalu mahu menang. Dari jauh mereka memerhati Ziman yang menggaru-garu kepala. Terasa kekok pula berada di majlis orang.

“Kamu berdua ni tak sudah-sudah nak kenakan orang...kak ngah dan kawan-kawan naik dulu ya adik.” Rima tersengih lalu mengangguk. Suhana terus beredar dengan diekori oleh teman-temannya.

“Nak tolong angkat dulang ke?” suara Juki agak mengejutkan Ziman yang sedang terpinga-pinga.

“Boleh juga.” Balas Ziman teragak-agak.

 “Ambillah kat bangsal sana.” Juki menuding jari ke arah dulang berisi makanan yang bersusun di bangsal masak. Ziman berjalan ke arah yang ditunjukkan. Juki cepat-cepat berjalan beriringan dengan Ziman.

“Dah lama ke kenal Rima?” soal Juki tidak sabar-sabar lagi.

“Lama...kawan sekolah. Kami satu kelas.” Ziman menjawab dengan sejujurnya.

 “Ooo...kawan...kawan sekelas...hmmm.” Ada kelegaan dalam kata-kata Juki. Peratus kecurigaannya agak menurun berbanding awal-awal tadi. Ziman dan Rima sekadar kawan sekelas, tidak lebih dari itu.

 “Kenapa?” Ziman pula yang curiga. Pertanyaan Juki yang kaku seakan berbau cemburu.

“Tak...saja tanya,” sahut Juki.

 “Ooo...memang kami kawan sekelas tapi saya suka dia.” Entah mengapa terluncur perkataan itu dari mulut Ziman. Selepas itu dia seperti mahu menampar-nampar mulutnya sendiri yang bercakap sesedap rasa. Bersusah-payah dia menyembunyikan perasaannya daripada diketahui oleh Rima, tiba-tiba dengan mudah saja dia meluahkannya pada Juki. Bukan ada untungnya kalau Juki tahu.

Jawapan Ziman membuat kulit muka Juki menjadi tebal. Tepat sekali sangkaannya sewaktu memerhati pandangan liar Ziman terhadap Rima biarpun dalam keadaan yang agak gelap awal-awal tadi. Sekarang dia sedang berdiri di depan saingannya.

 “Awak suka dia...tapi saya lebih beruntung...sebab...saya buah hati Rima.” Juki tidak mahu kalah. Sebaik mendengar pengakuan Juki, Ziman terus pening-pening lalat. Apa tidaknya, dia sudah memberitahu perasaannya terhadap Rima pada orang yang salah. Ziman sudah salah alamat. Malu besar dia. Kalau boleh dia hendak lari susup-sasap di celah orang ramai lalu terus balik ke rumah.

“Juki! Cepatlah sikit...apa yang disembangkan tu?” suara Pak Seman yang melaung dari atas tangga rumah memecah lubang telinga Juki. Dia bergegas mengambil sedulang makanan tanpa menghiraukan Ziman lagi. Ziman melakukan perkara yang sama. Diambil sedulang lagi lalu berjalan membontoti Juki.

Dulang di tangan Juki dihulurkan kepada Pak Seman. Pak Seman masuk ke dalam rumah, keluar pula seseorang untuk mengambil dulang yang ada pada Ziman. Sebaik Ziman mendongak, dia dapat melihat muka Zilkarnain dengan jelas. Bertambah lemah rasanya bila terpaksa berdepan dengan Zulkarnain. Bekas ketua murid yang sangat disegani.

‘Lahai lemahnya aku...bukan dua orang tapi tiga orang...madu tigaaa.’ Dengan perasaan yang kurang semangat, sempat juga Ziman mentertawakan dirinya sendiri. Ketawa dalam hati. Kalau Juki bakal tunang Rima, Zulkarnain pula sejak dulu lagi memang menyukai Rima, bagaimana dengan dia? Mampukah dia bersaing untuk memenangi hati Rima? Sedangkan dia selalu saja menyakiti hati bekas teman sekelasnya itu. Asyik bercakar dan bergaduh. Memikirkan itu semua, Ziman terasa mahu pitam.

‘Kalaulah Sulaiman ada...’

‘Ishhh...huh, kenapalah asyik dia?” Lain pula apa yang ada dalam pemikiran Rima. Puas dihalau dan cuba dilupakan, nama Sulaiman juga yang datang mengganggu. Rima tidak suka kalau ia berlaku. Walaupun sekadar nama tapi ia sudah betul-betul menyusahkan dirinya.

“Heh! Lajunya engkau makan, adik! Macam tak sedar diri aje aku tengok.” Tegur Ita yang melihat Rima terus-terusan menyuap nasi ke mulutnya. Mujur hanya mereka berdua saja yang sedang makan di atas pangkin kayu itu.

“Adik dah baca Bismillah. Tak apalah.” Jawab Rima. Sengaja dia makan laju-laju supaya otaknya akan bertumpu pada makanan saja tanpa perlu memikirkan tentang satu nama yang asyik melekat dalam kepalanya. Bukan tidak suka pada nama itu tapi untuk masa terdekat ini Rima tidak boleh suka. Sedaya-upaya Rima cuba melarang otaknya dari menyimpan memori tentang nama itu walaupun ia tetap saja datang dan mengganggunya.

‘Penatnya macam ni,” sungut Rima dalam hati.

 ‘Baik aku bayangkan aku jadi cikgu...’

 “Cikgu Rima!” ucap Rima tiba-tiba.

 “Aku taulah engkau nak jadi cikgu.” Ita menegur Rima, Rima terus tersengih.

Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.