Ba 11
“Kak ngah, ajar adik masak.”
“Malas!” balas Suhana.
“Ishhh, sombongnya!” Muncung bibir Rima apabila Suhana acuh tak acuh kepadanya.
“Kenapa? Marah lagi ke?” sambung Rima lagi. Suhana yang sudah mengait buah pulasan segera meletakkan galah panjangnya. Tangkai pulasan yang sudah jatuh ke tanah segera dikutip. Dia duduk di atas sebiji buah kelapa yang sudah mengering kulitnya. Kedua kaki dilunjurkan.
“Kalau kamu nak makan, kait sendiri tau.” Suhana memberi amaran. Malas untuknya berkongsi bersama Rima. Hendakkan sesuatu perlulah berusaha, barulah dapat hasilnya.
“Alah, adik dah puas makan. Ni semua saki-baki yang adik petiklah. Tinggal buah yang kecik-kecik je tu.” Mulut berkata lain, tangan bertindak lain. Sambil bercakap, sempat juga Rima mengambil sebiji buah pulasan daripada tangkainya. Suhana cuba menolak tangan Rima tetapi tangan Rima lebih cepat bertindak.
“Sebiji aje pun.” Rima ketawa nakal. Suhana menjeling tajam. Seperti mahu ditelannya Rima. Cepat-cepat Suhana mengalihkan tangkai pulasan ke sebelah kanan. Rima tersengih-sengih. Seronok rasanya dapat menyakat Suhana.
“Hmmm...kak ngah!”
“Takde...takde, kalau nak lagi kait sendiri,” ujar Suhana.
“Tak ambik lagilah. Takut sangat!...kak ngah tau tak apa yang ada dalam kepala adik ni”
“Apa dia?” tiba-tiba Suhana berminat untuk mendengar.
Rima berjalan mundar-mandir. Sesekali kakinya menendang kulit pulasan yang bersepah di sana-sini. Suhana menunggu dengan sabar apa yang mahu dikatakan oleh Rima. Ekor mata Rima pula asyik memerhati buah pulasan berwarna merah hati yang bergantungan tinggi pada dahannya.
“Dah 4 tahun adik bersara. Rasa teringinlah kak ngah...tapi kak ngah janji jangan bagitau kat ayah dan ibu ya, janji?” pinta Rima dengan wajah nakal.
Sebaik sahaja Rima berhenti bercakap, berdekah ketawa Suhana. Memang pelik adiknya
yang seorang itu. Rupa-rupanya selama ini Rima memendam rasa. Menyembunyikan gelodak perasaannya yang suka bertenggek di atas pokok. Kasihan Rima! Dia terpaksa melupakan hobinya itu setelah tangan kanannya bengkok akibat terjatuh daripada pokok rambutan 4 tahun yang lalu.
“Ketawalah puas-puas, adik tak kisah pun.” Rima bertinggung pula di hadapan Suhana.
“Taklah...bukan apa, kalau jatuh lagi nanti siapa yang susah? Adik jugak yang terpaksa tanggung, kan.” Kasihan pula Suhana melihat muka Rima yang nampak sedih.
‘Memanglah jatuh tu sakit, siapa yang suka jatuh...tapi bukan itu sebabnya adik ni tak nak memanjat lagi. Semua orang tak tau, sebab Kak Asmahlah adik berhenti buat tu semua. Satu je sebabnya...adik nak sangat jadi dewasa. Kak Asmah kata orang perempuan tak elok bertenggek atas pokok, tu semua kerja budak-budak,’ bisik Rima yang masih dihantui oleh kata-kata Asmah.
Kata-kata Asmah itu jugalah yang sering membuatnya mengigau di waktu malam. Ia merupakan satu mimpi ngeri buat Rima. Kesan sakitnya lebih teruk daripada jatuh dari atas pokok. Untuk menutupi keadaan sebenar, Rima sering membuat alasan takut akan jatuh lagi. Kalau dia memberitahu, tidak mahu memanjat pokok sebab mahu jadi dewasa, sudah tentu dia akan menjadi bahan ketawa.
Mata Daud akan menyepet bila mentertawakannya. Sufiah akan menekan-nekan perut dek gelihati. Pak Nuar dan Mak Lijah pula akan tumpang sekaki. Tersengih-sengih sambil berusaha menyembunyikan ketawa mereka, takut Rima akan kecil hati dan merajuk. Uh! Siapalah yang faham akan isi hatinya?
Bagi dirinya, dia lebih memilih untuk memanjat pokok daripada menghabiskan masa memikirkan tentang surat cinta atau apa-apa sahaja yang berkaitan dengan cinta. Biarlah rakan-rakan sebayanya sibuk dengan semua itu, Rima masih belum ada hati untuk turut serta...oppsss! adakah itu salah satu tanda dia belum betul-betul dewasa? Persoalan baru mulai muncul dalam kepala Rima.
“Aahhh! Semaklah nak fikirkan!”
“Errr...kenapa ni adik? Tiba-tiba je...,” tegur Suhana dengan payah. Mulutnya sedang herut ke sana ke mari akibat mengunyah isi buah pulasan yang manis rasanya.
“Hehehe...tak ada apalah. Kak ngah, adik panjat ya. Sekali ni aje...janji.” Pinta Rima dengan muka selamba.
“Suka hatilah, kak ngah bukan kisah pun. Tak larang pun. Jatuh nanti bangun sendiri ya.”
Suhana tidak terkejut dengan permintaan Rima. Juga tidak ada niat di hatinya untuk memberitahu perkara itu kepada kedua orang tua mereka. Ada ketika dia juga cuba memahami sikap adiknya yang bernama Rima itu.
“Fuuu...tarik nafas dulu. Berdebar ni kak ngah,” Rima tergelak-gelak nakal.
“Ah! Mengadanya. Nak, tak nak ni? Kak ngah nak balik dah, banyak nyamuklah kat sini.”
“Nak! Nak! Nak!...kejap ya,” lalu kaki kanan Rima mula diangkat tinggi. Langkah pertamanya akan bermula. Berdebar-debar jantungnya. Rima cuba mengingati caranya memanjat pokok 4 tahun yang lalu. Satu perkara yang sudah agak lama ditinggalkan. Kedua kakinya bergilir-gilir mengambil tempat. Memijak dahan demi dahan dengan berhati-hati.
Dengan mudah sahaja Rima sudah pun berdiri dengan lebih tinggi. Rima tidak takut kerana pokok pulasan di belakang rumahnya tidaklah setinggi pokok jambu susu Pak Seman. Bak kata orang, ‘kacang’ sungguh. Sekejap saja dia sudah bertenggek di atas pokok pulasan. Dipeluknya pokok pulasan kuat-kuat. Kulit pokok dicium bertalu-talu. Rindu sungguh! Seronok! Suhana menggeleng kepala. Pelik!
Setangkai pulasan yang merah buahnya dicapai dan dipatahkan. Untuk lebih selesa, Rima menyandarkan badannya pada pangkal pokok sementara kedua kakinya berpijak kuat pada dahan pokok. Setelah selesa dikupasnya kulit pulasan lalu isinya yang putih bersih dimasukkan ke dalam mulut. Kulitnya dihumban berhampiran Suhana. Suhana cepat-cepat mengelak.
“Amboi! Dah sampai atas mula tak sedar diri. Bak kak ngah sikit!” jerit Suhana.
“Nyummm nyummm...nikmatnya kak ngah, dapat makan kat atas pokok ni. Meh la kak ngah panjat sekali.” Rima sengaja membiarkan Suhana menelan air liur. Pulasan kepunyaan Suhana kurang merah berbanding kepunyaan Rima.
“Macamlah adik tak tau, kak ngah tak pandai nak panjat. Issyyy...” ejek Rima.
“Adik, macam ada bunyi tapak kakilah. Ada orang datang!”
“Alamak! Ayah ke kak ngah?”
“Nanti kejap kak ngah intai,” lalu Suhana membongkokkan badannya untuk melihat di sebalik pokok senduduk yang rimbun.
“Hmmm...Juki!” ujar Suhana
“Huh! Penyibuk tu datang lagi! Menyampah betul adik!” sungut Rima dari atas pokok.
“Biarlah dia,” sahut Rima.
Kalau Juki yang datang, tidak perlulah dia bersusah-payah untuk turun. Lebih baik dia terus bertenggek supaya Juki akan meluat melihatnya yang masih dengan sikap buruknya suka memanjat pokok. Dengan selamba Rima mengupas sebiji demi sebiji buah pulasan dan memakannya dengan penuh selera. Nikmat sungguh makan buah pulasan sambil bertenggek di atas dahan pokok.
“Hei, adik! Kau memanjat lagi ya?” jerkah Juki sebaik tiba di bawah pokok pulasan. Rima buat-buat tidak dengar. Diambilnya setangkai lagi pulasan lalu diberi kepada Suhana. Suhana menyambutnya lalu duduk semula di atas buah kelapa tua semula.
“Kau nak ke Juki?” pelawa Suhana.
“Biar dia kait!” bantah Rima tanpa memandang ke bawah.
“Kau ni Rima, beria aku curi masa ke sini semata-mata nak jumpa kau. Aku balik bukannya lama. Sampai hati kau layan aku macam ni Rima,” keluh Juki sambil mendongak memerhatikan Rima mengunyah pulasan dengan laju.
“Adik bukan penting pun. Tak payah susah-susah nak jumpa adiklah Juki,” hairan sungguh Rima apabila melihat Juki yang selalu sahaja mencarinya ketika percutian semesternya di Universiti Malaya. Tidak ada orang lain lagikah yang lebih penting selain dirinya?
“Cuba turun dari pokok tu adik, telenglah leher aku asyik mendongak je.” Pinta Juki.
Suhana hanya memerhati dengan mulut yang rancak mengunyah isi pulasan. Dia sudah sedia maklum Juki memang menyukai Rima sejak mereka kanak-kanak lagi. Juki selalu meluahkannya kepada Suhana.
“Sudahlah tu Juki, meh makan pulasan dengan aku. Kita sembang, nak jugak aku tau perkembangan engkau kat U tu.” Suhana menarik hujung baju Juki. Juki menoleh sambil menarik nafas panjang.
“Su, engkau tak pernah bagitau adik ke aku suka dia?” perlahan sahaja suara Juki. Takut akan didengari oleh Rima.
“Dah banyak kalilah Juki. Engkau bukan tak tau, adik tak sukalah tu semua.” Suhana juga bersuara perlahan.
Dari atas pokok pulasan, Rima memerhatikan sahaja gelagat mereka. Perbualan mereka langsung tidak singgah ke telinganya. Mesti ada yang tidak kena! Hah, sedang berkomplot rupanya mereka. Atau mereka sedang mengumpatnya.
“Apa bisik-bisik tu? Mengumpat ya?” soal Rima kuat. Suhana dan Juki sama-sama mendongak. Suhana mengangkat bahu sebagai tanda penafian. Juki pula tersenyum gatal.
Dari bawah pokok Juki ralit memerhati setiap inci muka Rima. Comel. Kulit muka Rima kemerahan bila sedang marah. Lebih-lebih lagi apabila cahaya matahari mencuri-curi memanah kulitnya. Kalaulah Rima lebih perempuan sudah tentu akan lebih terserlah keistimewaan yang ada pada dirinya.
“Rima!”
“Nak apa?” sahut Rima tidak acuh.
“Bila aku dah habis belajar dan dah dapat kerja nanti, aku pinang engkau ya. Aku tak main-main. Sungguh-sungguh ni!” selesai meluahkan apa yang terpendam di hatinya, Juki menjadi lega. Hilang beban yang menghimpit dadanya selama ini. Suhana tidak terkejut dengan apa yang telah diperkatakan oleh Juki. Dia sudah sedia maklum.
Pekara sebaliknya terjadi kepada Rima, dia terkedu. Nyaris-nyaris tangkai pulasan terlepas dari pegangannya. Pipinya terasa bagaikan ditampar, terasa perit dan panas. Kenyataan Juki sebentar tadi terus-terusan menyumbat lubang telinganya. Seperti diulang tayang. Terngiang berkali-kali. Hah! Juki memang sudah hilang waras, gila! Tempelak Rima di dalam hati.
Sudahnya Rima terasa penat kerana berdiri lama di atas dahan. Dia mengubah kedudukan. Duduk dan menjuntaikan kakinya. Juki yang masih tegak di bawah pokok terus memandang Rima tanpa jemu. Rima jadi rimas, lemas. Bosannn!
“Jangan asyik pandang adik jelah! Tak sukalah!”
“Yalah...yalah, aku tak pandang dah. Tapi engkau janji ya Rima, tunggu pinangan aku.” Juki nampak serius. Sekali lagi Rima pusing. Sah! Juki tidak main-main. Dia memang memaksudkan apa yang telah diperkatakan.
“Kak ngah! Cuba terangkan pada Juki ni, kita dengan Juki saudara kan. Mana boleh nak pinang-pinang pulak! Lagi pun kalau adik nak kahwin nanti bukan dengan Juki!” melihat Suhana hanya mendiamkan diri, Rima jadi geram. Mereka sedang bersubahat rupanya!
Suhana memandang Juki. Bukan dia tidak mahu masuk campur tetapi dia tidak tahu mahu berkata apa lagi. Dia kasihan melihat Juki yang sudah lama menyimpan hati terhadap Rima. Untuk menyebelahi Rima pula dia terasa serba-salah. Dia mahu mengambil jalan tengah, lihat dan diam.
“Kak ngah, tak nak tolong adik ya? Kalau macam tu adik tak akan turun dari pokok ni.” Ugut Rima. Dia tidak tahu tindakannya akan berkesan atau pun tidak. Hanya itu sahaja yang melintas di fikirannya ketika itu. Penat mahu melayan Juki yang tidak faham bahasa.
“Apa salahnya dik. Juki pun lawa jugak, pandai pulak tu.” Akhirnya terzahir juga, Suhana
memang menyebelahi Juki.
“Ya Allah! Apa kenanya dengan kak ngah ni? Kak ngah pun sama jugak dengan Juki. Boleh pitam adik macam ni. Juki tu pangkat cucu pada ayah kan, kak ngah. Dia panggil ayah tu atuk. Tak bolehlah kahwin dengan adik, kan kak ngah.” Rima sedang berusaha meyakinkan dirinya yang sedang dalam kebingungan. Juki dan Rima seperti tidak ada rasa bersalah bila memperkatakan hal yang sangat tidak masuk akal itu.
“Kan kak ngah?” desak Rima dengan lebih tegas lagi. “Kak ngah dah tak boleh nak bercakap ke?” tambahnya lagi bila Suhana masih membisu seribu bahasa.
“Memanglah Rima, kalau misalnya aku nak kahwin dengan Suhana memang tak boleh. Tapi dengan engkau tu boleh.” Melihat Suhana terus diam, Juki cuba menerangkan sesuatu.
Kali ini Rima pula yang terdiam. Semakin serabut otaknya. Pusing kepalanya. Semuanya nampak berbelit-belit. Berselirat. Apa maksud Juki? Juki yang dungukah atau dirinya yang tidak tahu berfikir. Kalau Juki Dungu, mustahil pula Suhana sama juga dungunya. Rima mengeluh dengan nafas yang sesak. Rima seakan mahu ketawa dan menangis dalam waktu yang sama.
“Cakap-cakap kau dengan kak ngah kan, boleh buat adik jatuh dari pokok untuk kali kedua tau. Janganlah main-mainkan adik. Adik tak sukalah!” ujar Rima dengan lemah. Sudah penat mahu melayan Juki. Mukanya minta dikasihani, supaya tidak dipermain-mainkan lagi.
“Aku tak main-mainlah, adik. Aku tak pernah nak main-main. Dari dulu aku suka kat adik. Sampailah aku dah sambung belajar kat U ni hah. Aku cuba jugak kenen-kenen dengan pelajar perempuan tempat aku belajar tu, tapi aku tetap tak boleh lupa engkaulah adik. Percayalah!” lain yang Rima harapkan, lain pula yang Juki luahkan. Apa yang diperkatakan oleh Juki tetap perkara yang sama. Juki simpan hati terhadap Rima. Bukan mengiakan tentang hubungan persaudaraan di antara mereka.
“Juki! Boleh tak kau lupakan sementara pasal kau suka adik, simpan hati kat adik, nak pinang dan nak kahwin dengan adik? Sekarang kita cakap pasal kau tu dengan adik, saudara. Tau tak kau, apa maknanya saudara? Adoi susahnya kau Juki!” protes Rima lagi. Suhana memandang Juki sambil memberi isyarat agar Juki melupakan semuanya untuk sementara. Suhana separuh berbisik. Dia mulai tidak sedap hati dengan tindakan nekad Juki.
“ Tak boleh Suhana! Aku takut tak ada peluang dengan adik nanti. Aku sayang dialah, Suhana. Takkan engkau masih tak tau lagi.” Juki juga separuh berbisik.
“Aku bukan apa, Juki...aku takut lain jadinya nanti,” balas Suhana.
“Hah! Apa lagi yang asyik bisik-bisik tu?” soal Rima dengan kuat. Barulah Rima terasa penat duduk di atas dahan kayu. Sakit tulang punggungnya. Dia segera berpijak dari dahan ke dahan untuk turun ke tanah.
Juki memerhati sambil menggeleng. ‘Apa nak buat, bila hati dah suka yang buruk pun nampak cantik.’ Desis hatinya apabila melihat seorang gadis yang diminati setengah mati turun dari atas pokok dengan laju.
“Apa sengih? Tampar, nak?” soal Rima dengan garang sebaik kakinya memijak tanah.
“Nak tampar, tamparlah adik. Aku tak kisah, lagi aku suka adalah,” sahut Juki yang membuat Rima tambah sakit hati.
“Eeeiii...tak taulah nak cakap apa lagi!” dengus Rima. Suhana masih tidak berhenti lagi mengunyah buah pulasan. Dia seperti tidak ambil pusing tentang Rima yang sudah pusing kepala apabila terpaksa berdepan dengan Juki yang semakin dungu.
“Sudahlah! Nak balik dah! Duduklah kau dengan kak ngah kat sini. Memang sesuai sangat,” sindir Rima geram. Suhana hanya memandang Rima sebentar sebelum matanya berpusat pada Juki. Sekali lagi Suhana memberi isyarat mata agar Juki menghentikan semua itu.
“Pergilah adik, kak ngah kejap lagi.” Suhana mahu agar Rima beredar dahulu.
“Memang dah nak balik pun!” lalu Rima berlalu tanpa menghiraukan Juki yang selalu membuat hatinya menjadi bengkak.
“Hmmm...nasib baik engkau tak lepas cakap, Juki. Kalau tak, mau ayah aku koyakkan mulut engkau tu. Silap-silap aku pun terbabit sama. Engkau bukan tak tau macam mana sayangnya ibu dengan ayah aku kat adik tu.” Suhana menarik nafas lega.
“Aku bukan apa, takut adik dipinang orang lain nanti. Melepaslah aku, Suhana.”
“Engkau ni, adik tu kan masih sekolah lagi. Sama macam aku ni. Lambat lagilah kalau nak cerita soal kahwin ni.” Suhana mengingatkan Juki.
“Tak salahlah kalau kahwin masa belajar. Tahun ni kan adik dah nak SPM.”
“Itu kata engkau. Adik tu fikirkan soal cinta pun tak, ni kan pulak nak cerita pasal kahwin. Lupakan ajelah Juki.” Ujar Suhana yang baru sahaja menghabiskan buah pulasan yang terakhir.
Apa yang turut menjadi kebimbangan Suhana seandainya hal itu selalu sahaja dibangkitkan oleh Juki, ia akan menimbulkan masalah bagi mereka sekeluarga. Jika perkara itu berlaku tentu sekali dia adalah orang pertama yang akan dipersalahkan. Sebabnya dia selalu sahaja menyokong dan menyebelahi segala tindakan Juki yang mahu memikat Rima.
“Kat sekolah adik macam mana?”
“Macam mana apa?” soal Suhana.
“Dia ada kawan lelaki ke?” daun kopi dipetik lalu dikoyakkan oleh Juki sebelum dilemparkan ke tanah. Juki yang sedang tidak tentu hala, daun kopi pula menjadi mangsanya. Kalau daun kopi itu boleh bersuara, tentu ia akan menjerit kesakitan.
“Entah! Tak adalah agaknya. Kami tak rapat masa kat sekolah. Tak ramai pun yang tau adik tu adik aku.” Sebaik Suhana mengucapkan itu, muncul wajah Zulkarnain di depan mata. Kemudian ingatannya terbang mengingati surat yang datangnya dari kawan sekelasnya itu untuk adiknya sendiri. Jengkel!
“Aku pun nak baliklah, Juki. Tiba-tiba aku hilang mood. Lain kali je kita cakap pasal benda ni. Tak pun kalau susah-susah sangat, lupakan je angan-angan Mat Jenin engkau tu. Habis cerita!” Ucap Suhana yang tangannya sibuk membuang daun kering dari punggungnya.
“Aku tak akan mengalah. Aku nak pastikan adik akan suka jugak kat aku.” Juki pula separuh yakin dengan apa yang diucapkannya.
“Suka engkaulah Juki. Yang aku tau, sekarang ni aku nak balik, nak masak lepas tu nak tidur sambil mimpikan orang yang aku suka.” Sekali lagi wajah Zulkarnain terpamer di hadapan mata Suhana.
Mereka sama-sama melangkah meninggalkan kebun Pak Nuar yang terletak di belakang rumah. Juki menolak pelawaan Suhana untuk singgah. Dia tidak ada hati untuk bertemu dengan Rima lagi dalam suasana yang tidak menyenangkan. Selalu benar dia terasa hati dengan Rima. Sudahnya dia merasakan percutian semesternya hanya sia-sia saja.