Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 23

Bab 23

 

“Dapat juga adik kerja kat gerai tu, Ita...tapi adik tak sangka pulak tuan punyanya abang yang berjanggut sejemput tu.” Rima membetulkan duduk. Pelayan gerai ABC gunung sudah pun membawakan pesanan yang diminta.

“Engkau kenal dia ke?” cepat-cepat Ita menyambar mangkuk ABC kepunyaannya. Sudu digunakan untuk membolak-balikkan ABC agar sekata rasanya.

“Taklah...cuma selalu je dia lalu kat belakang kelas menaip adik tu. Selalulah nampak.”

“Ohhh!” ternganga mulut Ita.

“Adik, kalau engkau kerja macam mana dengan kelas menaip tu? Engkau dah berhenti ya?”

“Eh, masih belajar lagi. Kelas tu 3 jam aje...habis kelas adik pergi kerjalah.” Jelas Rima.

“Tumpang lalu.” Sedang mereka bersembang, suara seseorang menegur. Rima mengangkat muka. Ita pun sama. Erkkk...hampir kering darah Rima. Cepat-cepat dia tunduk semula dan membiarkan pemuda itu lalu di belakangnya. Pemuda itu mengambil meja di sudut hujung. Bertentangan dengan meja Rima.

“Adik!...adik!...macam cicak berak kapur ni kenapa? Tengok tu, sudu tu ke mana, ABC ke mana...tumpah tu.” Ita mencuit lengan Rima yang seperti baru terkena sengatan kala jengking. Tak senang duduk.

“Adik! Dengar tak aku cakap apa? Kenapa ni?” ulang Ita yang mahu mengembalikan Rima ke alam nyata.

Rima gelabah. Diambil dua helai tisu dari atas meja lalu dia membersihkan ABC yang tertumpah. Mujur baru sedikit. Rima masih tidak berani mengangkat muka, apatah lagi untuk memandang pemuda di meja bertentangan.

“Ita...” suara Rima separuh berbisik.

“Hah...”

 “Itulah Sulaiman...kenapalah dia ada lagi. Kenapa? Adoi, duduk depan tu pulak.” Keluh Rima.

“Dia pandang engkaulah adik. Tengok tu...tak beralih.” Ita menggoyang bahu Rima.

“Hisshhh! Diamlah...cakap pelan-pelan sikit boleh tak? Dia dengar nanti! Apalah engkau ni!” marah Rima dengan muka udang kena bakarnya.

“Yalah...yalah.”

 “Dia pandang lagi ke Ita?” bisik Rima.

“Ha,ah...handsome dia. Jelous aku...” Ita mula menggedik.

“Alah, engkau ni tunggul kelapa pun nampak lawa.” Mulut Rima menafikan kata-kata Ita tapi hatinya mengangguk laju. Sulaiman tidaklah terlalu lawa tapi dia ada aura, ada keistimewaan. Ah! Payah untuk Rima menjelaskan.

“Memang lawa apa! Lebih-lebih lagi bila dia biarkan rambutnya panjang macam tu. Huuu, tergoda aku.” Ita ketawa.

“Mulalah nak gatal. Ingat, kita perempuan tau...Ita adik rasa nak membuanglah, engkau tunggu sini. Adik kejap aje.” Perasaan yang serba tidak kena membuatkan Rima hendak terbuang air besar, berselang seli dengan senak perut. Ia satu keadaan yang paling tidak disukai oleh Rima. Mudah gelabah. Sedangkan Sulaiman duduk dengan tenang. Menikmati ABC gunungnya tanpa sebarang gangguan. Dasar perasan! Ejek Rima pada dirinya sendiri.

“Ada-ada ajelah engkau ni...cepat sikit!” sepupunya sudah masak dengan kelemahan Rima. Rima yang gemuruh.

Rima bangun tanpa memandang Sulaiman. Dia pura-pura tidak melihatnya walaupun dia tahu renungan Sulaiman masih tepat ke mukanya. Sudahnya pergerakan Rima nampak pelik. Sesekali kakinya tersadung kaki kerusi pelanggan lain. Dengan tersengih-sengih Rima cepat-cepat meminta maaf. Tandas awan di perhentian bas yang tidaklah terlalu jauh, rasa seperti berpuluh batu jaraknya. Rima marah-marah dalam hati. Kenapalah Sulaiman suka sangat minum ABC gunung. Eh! Bukan ABC itu turut menjadi kegilaannyakah? Cepat-cepat Rima menarik balik kata-katanya biar pun tidak ada orang yang mendengarnya.

“Adik, boleh tanya?” suara Sulaiman tiba-tiba terasa dekat. Apabila menoleh, Ita hampir mahu melompat. Sulaiman sudah duduk di kerusi yang ditinggalkan oleh Rima. Ita terpinga-pinga.

“Errr...boleh...boleh.” Ita gugup.

“Adik yang ke toilet tu siapa? Kawan ya?” soal Sulaiman lembut. Sebelum menjawab, Ita menelan air liur payaunya. Alangkah tidak seronoknya mahu berbual-bual dalam keadaan yang tidak teratur.

“Kawan...sepupu saya jugak.” Keluar juga suara Ita yang dilontar dengan susah-payah.

 “Siapa nama dia?”

“Nama saya tak nak tau ke?” entah hantu apa yang menyerap masuk ke dalam badan Ita, pertanyaan itu pula yang keluar dari mulutnya. Sumpah! Ita betul-betul tidak sengaja. Dia sedang seperti orang yang berkhayal bila berdepan dengan Sulaiman. Memalukan sungguh Ita!

“Ok...nama adik?”

“Saya bukan adik...saya Ita. Yang tadi tu, adik.” Rupa-rupanya Ita dua kali lima saja dengan Rima. Dia pun gelabah. Jawapan Ita membuat Sulaiman tersenyum. Lurus bendul pula Ita.

“Saya panggil awak adik sebab awak lebih muda dari saya dan saya tak tau nama awak.” Terpaksalah Sulaiman menjelaskan dengan agak panjang lebar.

“Ooo...heee...yang tadi tu keluarga kami panggil dia adik. Nama dia Rima...Shazrima.” Ita menerangkan dengan malu-malu. Maklumlah dia bukan orang yang cepat tangkap bila berbual dalam keadaan darurat seperti itu.

 ‘Lambat pulak adik ni...lahai,” hati Ita sudah resah. Kalaulah Pak Seman tahu dia duduk berdua-duaan dengan Sulaiman, mati hidup balik orang tua itu tidak akan mengizinkannya ke mana-mana lagi selepas ini. Disiplin Pak Seman memang ketat. Walaupun Ita suka dapat duduk di sebelah Sulaiman tapi setiap pesanan orang tuanya tidak pernah diabaikan. Kata Pak Seman, kalau mahu selamat dunia akhirat perlu dengar kata orang tua, selain melakukan kewajipan terhadap Allah.

“Abang tak boleh duduk sini lama-lama tau.” Sememangnya Ita seorang yang lurus. Asuhan dari kecil yang membuatnya begitu.

 “Kenapa?”

“Nanti abah saya marah!” jelas Ita.

“Mana abah? Ada kat sini ke?” ekor mata Sulaiman meliar mencari kalau-kalau ada lelaki yang sudah berusia di gerai ABC gunung itu.

“Yang tu ke?” soal Sulaiman sambil menuding ke arah seorang lelaki separuh abad.

“Eh! Bukan! Abah kat rumah!” ujar Ita dengan yakin. Tiba-tiba Sulaiman ketawa.

 Bersungguh-sungguh dia. Ita berasa pelik. Kelakar sangatkah apa yang telah dikatakannya tadi? Ita menggaru hidungnya sambil berfikir.

“Kalau abah Ita kat rumah mestilah dia tak nampak. Macam mana pulak dia boleh marah?” uji Sulaiman.

“Hmmm...abah memang tak nampak tapi Tuhan nampak.” Terkedu Sulaiman mendengarnya

“Ooo...macam tu. Adik tu sama jugak ya? Abah dia marah?” soal Sulaiman pula.

 “Mestilah sama...abah saya dengan ayah adik tu adik-beradik.”

 “Ok...kalau macam tu abang tak akan lama-lama. Nama abang...Sulaiman.”

 

“Tau...” ooppsss, Ita sudah terlepas cakap lagi.

“Mana tau ni?” anak muda itu semakin berminat untuk tahu.

“Errr...tak, tak tau...dah salah cakap dah.” Kali ini Ita tidak mahu dimarahi oleh Rima. Sulaiman ketawa lagi. Sikap Ita nampak lucu orangnya.

“Ita boleh tak bagi alamat adik?”

“Nak buat apa?” bulat mata Ita. Dia tahu Rima tidak suka berhubungan dengan lelaki. Apatah lagi mahu berutus surat.

“Simpan...boleh kan?”

“Tak boleh!...adik tak suka.” Ita mengharapkan agar Rima cepat-cepat keluar dari tandas awam. Lama sungguh Rima memerap di situ. Berak batu agaknya dia.

 “Kalau awak tak nak bagi, abang akan duduk sini lama-lama. Nak?” gertak Sulaiman bersahaja.

“Mana boleh!” Ita risau. Pesanan abahnya terngiang-ngiang dan menyerbu masuk ke telinganya. Seperti Pak Seman turut berada di situ. Makin lama makin jelas setiap patah perkataan yang Pak Seman pernah ucapkan. Berpeluh dahi Ita dibuatnya. Tandas awam ditinjau lagi. Belum ada bayang Rima keluar dari tandas itu. Ita hampa.

“Kalau tak nak abang lama-lama...bagi alamat adik.” Sulaiman mengulangi.

Tiba-tiba kepala Ita terasa gatal, kemudian hidungnya pula, pipinya, lengannya dan kepalanya digaru berganti-ganti. Bukan betul-betul gatal tapi Ita sedang gelisah. Serba-salah. Mahu tidak mahu dia terpaksa juga memberi apa yang Sulaiman mahukan. Ita tidak ada pilihan lain. Kalau tidak Sulaiman tidak akan pergi.

“Macam ni kan senang...” Sulaiman tersenyum apabila berjaya mendapatkan apa yang dia mahu.

“Abang pergi dulu...ABC ni tak payah bayar. Cakap kat adik nanti, abang dah bayar ya.” Seperti Ita yang berpegang pada janjinya, Sulaiman juga patuh pada janjinya. Dia tidak menunggu lebih lama lagi. Setelah membayar harga ABCnya dan kepunyaan Ita serta Rima, Sulaiman bergegas pergi.

Tidak lama selepas itu Rima muncul dengan muka yang sangat lega. Sayangnya tidak ada senyuman di bibirnya. Dia cepat-cepat menyudu ABC dengan laju. ABC sudah mencair kerana terlalu lama ditinggalkan. Haus benar Rima.

“Lamanya dalam tu,” tegur Ita.

“Kejap aje buang hajat tu...tapi adik nyorok balik tembok sana. Sulaiman pergi baru adik keluar.” Jelas Rima selamba.

“Teruknya adikkk...sampai hati engkau buat aku macam ni. Berpeluh-peluh tau aku ni bila dia datang duduk kat sini.

 “Adik memang nak elakkan dia. Sorry ya Ita...adik tak biasalah, malu.” Rima berasa bersalah kerana membiarkan Ita sendirian menghadapi Sulaiman.

Ita menjeling Rima. Rima mengenyitkan mata. Ita menarik muka. Rima senyum-senyum. Ita mencebik. Seperti biasa, Rima menjulingkan matanya. Hasilnya mereka sama-sama ketawa. Begitulah keadaannya bila ada sedikit rasa marah di dalam diri salah seorang daripada mereka, yang seorang lagi akan sedaya upaya mengambil hatinya semula.

 “Jahat!” tempelak Ita.

 “Laaa, takkan marah lagi? Dah ketawa beria tadi tu,” sahut Rima lalu mencuit hidung Ita. Ita sengih.

“Adik...” Ita teragak-agak.

“Ada apa?...ermmm, macam ada buat salah aje ni.” Tebak Rima.

“Tadi tu hah, Abang Sulaiman mintak alamat engkau...jadi aku bagi ajelah. Kalau tak, dia dia nak duduk sini lama-lama.

“Amboi! Tiba-tiba aje dah panggil abang...eeiii, gatalnya sepupu adik ni. Gatal mulut jugak sebab bagi alamat adik kat dia! Pandai-pandai aje!” memang Rima selalu garang terhadap Ita. Ita pula akan mengalah. Dia tahu garang Rima tidak sampai ke hati.

“Eh, dia yang asyik kata, abang...abang je. Lagi pun dia lebih dewasa dari kita kan.”

 “Hishhh...rasa nak piat telinga ko aje. Kalaulah ayah tau alamat rumah kami dah ada kat lelaki yang adik tak kenal, tebal telinga adik kena bebel nanti. Nyusahkan adik jelah ko ni!” rasa marah sudah reda tapi geramnya kepada Ita masih ada.

“Kita diam-diam sudahlah. Kalau kita tak bukak mulut, pak ngah tak akan tau. Abah aku pun.” Pujuk Ita.

“Memanglah kita boleh diam...tapiii, kalau tiba-tiba dia hantar surat kat adik ke, datang rumah adik ke...tak ke kecoh nanti. Siapa nak jawab? Bagitau cepat!” ujar Rima pula.

Ita tidak dapat memberikan jawapan. Serba tidak kena jadinya. Untuk melegakan hatinya, dia menyudu baki ABC cepat-cepat, sehingga licin isinya. Rima masih memandangnya dengan mata terkebil-kebil. Kasihan pula bila melihat sepupu kesayangannya itu menjadi tidak tentu hala.

“Jomlah kita balik,” lalu Rima mengubah topik. Malas mahu mendera perasaan Ita lagi. Itu kejam namanya.

 “Dah tak marah ke?” mulut Ita pula gatal bertanya.

 “Tak guna marah lagi...benda dah jadi. Adik bayar dulu ya.”

 

Ita kecut perut lagi. Kalaulah Rima tahu Sulaiman sudah membayar untuk mereka, marahnya akan berkali ganda lagi. ‘Aduh! Apa nak buat ni? Nak tipu kata aku dah bayar ke?’ bisik Ita dalam takut-takut berani.

“Eh, tak nak balik dah ke?” soal Rima lagi apabila melihat Ita masih termangu. Punggung Ita masih melekat pada kerusi. Belum ada tanda-tanda mahu bangun. Sedangkan Rima sudah bergerak selangkah.

 “Adik...sebenarnya kan...Sulaiman dah bayar dah.” Ita memberitahu sambil tunduk.

“Dia lagi...,” keluh Rima.

“Kalau dah macam tu, jomlah kita balik...tunggu apa lagi.” Kali ini suara Rima agak perlahan. Dia tidak marah pada Ita lagi. Semuanya bukan salah sepupunya itu. Rima hanya bimbang sebab sudah dua kali dia termakan budi. Budi itu nampak kecil tapi bila sudah berulang kali, tidak sedap hati jadinya. Jangan nanti ada udang di sebalik batu.

“Baik...kita balik aje.”

“Senyumlah sikit...masamnya diaaa...” Muka Ita yang agak kelat tidak menyenangkan Rima. Dia tidak mahu sepupu kesayangannya itu terasa hati dengannya. Ita hanya melemparkan senyum kelat. Bukan dia merajuk pada Rima tapi Ita sedang mempersalahkan dirinya sendiri sebab selalu lemah hati. Mengapalah dia ikutkan saja kemahuan Sulaiman tadi? Sudahnya diri sendiri dan juga Rima yang dapat susah.

Diam-diam Ita mengkagumi Rima yang garangnya bertempat. Ita juga sudah faham benar dengan pendirian dan prinsip Rima. Apa yang Rima suka atau sebaliknya. Hanya kurangnya Rima sebab tidak mahir lagi dengan kerja-kerja rumah. Mengenangkan itu, tiba-tiba Ita tersengih sendiri. ‘Setiap orang ada kelebihan masing-masing...hmmm, apa aku lebih, adik kurang. Apa adik kurang, aku pulak lebih.’ Bisiknya.

“Tengok longkang depan tu! Jangan khayal aje. Tadi bukan main kelat lagi senyum tu...ni dah tersengih-sengih sendiri pulak.” Sakat Rima.

“Nampaklah! Tengok aku lompat!” ketawa Ita pecah. Itu tandanya dia sudah pulih dari rasa bersalah.

“Tak malunya anak dara ni, tak payahlah lompat!..semua orang kat hentian bas tu pandang kolah.” Tegur Rima yang menyeberang longkang menggunakan titi yang disediakan.

“Bertenggek atas pokok tak malu ke?” soal Ita selepas berada di seberang longkang.

“Adik bukan bertenggek depan orang ramai. Kat kebun aje. Kalau ada orang nampak pun sedara mara kita jugak, bukan orang lain.” Rima mahu membela diri.

“Tau dah, kalau Shazrima memang nak menang aje. Balik-balik aku jugak yang kena mengalah.

“Alololo, ok la adik kalah...jomlah!” lalu mereka berpimpinan tangan menuju ke perhentian bas.

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Raihan Zaffya