Home Novel Komedi/Romantik Komedi Lasernya Mulut Dia
Lasernya Mulut Dia
Rabihah Nur Ridhuan
25/2/2015 17:56:01
85,115
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 12

Amir Rifqi melihat penampilannya di sebalik cermin kaca yang tergantung di dinding. Kemas dan kacak. Namun kekemasan dirinya tidak dapat mengurangkan debaran di dadanya. Ini adalah hari pertama dia akan melaporkan diri di syarikat perundangan yang cukup gah ini setelah hampir empat tahun bertarung untuk mendapatkan segulung ijazah.

“ Mama, Rifqi sudah menjadi seorang peguam. Rifqi janji mama untuk mendapatkan keadilan untuk arwah abah,” kata Amir Rifqi tatkala dia memandang wajahnya buat kali terakhir di balik cermin.

“ Dah handsome, dah.”

Tiba-tiba bahu Amir Rifqi di tepuk tatkala dia sedang melayan perasaannya di hadapan cermin. Amir Rifqi tersenyum. Senyuman yang melindungi perasaan malunya.

First day di sini?” tanya lelaki itu.

“ Sebab itulah saya nervous semacam,” akui Amir Rifqi malu-malu.

“ Biasalah. Aku dulu pun first day macam kau juga,” kata lelaki itu.

Amir Rifqi hanya mampu tersipu malu. Tidak sangka pula perbuatannya itu di intai oleh orang lain di dalam diam.

Anyway, aku Farid. Aku adalah salah seorang lawyer di syarikat ini,” kata lelaki itu memperkenalkan dirinya. Dia menghulurkan salamnya.

“ Saya Amir Rifqi. Panggil sahaja Rifqi,” kata Amir Rifqi sambil menyambut salam dari Farid.

“ Dah lama ke kau kerja di sini?” tanya Amir Rifqi lagi. Sengaja mahu beramah mesra dengan Farid yang menjadi rakan sekerjanya.

“ Dah hampir empat tahun. Kerja di sini oklah. Tan Sri baik tetapi…” bicara Farid itu terhenti di situ sahaja membuatkan Amir Rifqi tertanya sendirian.

“ Tapi apa?” tanya Amir Rifqi. Dia sudah mula berdebar. Mana tahu sesuatu yang buruk berlaku di syarikat ini.

“ Tapi anak Tan Sri tu ada sedikit kerek,” kata Farid.

“ Kerek? Kerek macamana?” tanya Amir Rifqi masih mahu menyelidiki.

“ Dia seorang yang workaholic dan sangat serius,” terang Farid.

Amir Rifqi mula berdebar. Rasa takut pula mendengarkan cerita Farid itu.

“ Mesti garang kan?” tanya Amir Rifqi lagi.

“ Garang nak mampus. Kalah singa betina,” kata Farid bersungguh-sungguh.

“ Perempuan?” tanya Amir Rifqi.

“ Ya. Tapi sejak akhir-akhir ini, masyalah, moody dia semakin menjadi-jadi. Staff tanya sikit sahaja, nada dia cakap macam nak makan orang,” terang Farid sengaja menakutkan Amir Rifqi. Amir Rifqi kelihatan sudah tidak betah berdiri.

“ Mak aii, dasyatnya,” kata Amir Rifqi takut-takut.

Farid tersenyum geli hati melihatkan gelagat Amir Rifqi itu.

“ Harap-haraplah kau tak kena dengan dia. Kalau tidak, masak kau,” kata Farid.

“ Kalau kena macamana? Mampus aku,” kata Amir Rifqi dengan wajah cuak. Di dalam hati puas dia berdoa agar dia tidak bekerja dengan bos yang garang itu.

“ Kalau kena nasib kaulah! Ha ha…kalau aku kena marah dengan dia, aku relaks je. Iyakan je cakap dia. Bila dia bosan dia stop le. Kalau lawan kang dia aim kau pekerja bermasalah pula. Ha lagi satu tip, tiap kali dia berhenti kejap masa dia marah tu kau cakap baikkkk… dengan kuat dan panjang. Last-last dia boring dia stop lah,” nasihat Farid sambil ketawa suka hati.

Amir Rifqi hanya menahan perasaan. Kurang asam mamat ni! Boleh pula dia gelak time aku gelabah. Dia ni sengaja nak takutkan aku ke? Kata Amir Rifqi sendirian.





TAN SRI HASAN tidak betah duduk. Sekejap dia duduk sekejap pula dia berdiri. Hari ini dia serba tidak kena.

“ Kenapa dengan Tan sri ni?” tanya Kudin apabila melihatkan majikannya seperti kera terkena belacan.

“ Betul ke dia nak lapor diri hari ini?” tanya Tan Sri Hasan.

“ Dia? Siapa dia?” tanya Kudin kembali.

Tan Sri Hasan mendenggus mendengarkan bicara Kudin itu.

“ Amir Rifqi! Betulkah dia datang melapor diri hari ini?” tanya Tan Sri Hasan lagi.

“ Ohhh…budak tu..ikut tarikhnya dia datang lapor diri hari inilah. Dalam surat perjanjian yang saya sediakan dahulu ada mengatakan semua itu,” terang Kudin.

“ Bagaimana pelajarannya?” tanya Tan Sri Hasan masih mahu menyelidiki. Ada perasaan sayang yang bertaut kepada insan yang tidak pernah dikenalinya itu. Perasaan itu wujud akibat dosa yang telah dilakukannya.

“ Budaknya cerdik Tan Sri. Dapat first class honour,” kata Kudin.

“ Alhamdulilah,” kata Tan Sri Hasan yang begitu bangga dengan kejayaan yang diraih oleh Amir Rifqi itu.

“ Saya tak sabar nak berjumpanya,” kata Tan Sri Hasan penuh pengharapan.

“ ASSALAMUALAIKUM, saya Amir Rifqi. Saya datang melapor diri di sini.”

Tan Sri Hasan terus merenungi lelaki yang berada di hadapannya. Wajahnya tidak ubah seperti arwah Amin yang pernah dianiayanya dahulu.

“ Doa orang yang teraniaya amat mustajab tuan. Tetapi saya tidak sekejam itu untuk mendoakan keburukan ke atas tuan. Cuma saya doakan tuan insaf dan dihantui dengan penganiayaan yang tuan telah lakukan kepada saya seumur hidup tuan. Tuan tidak akan hidup dengan aman sebaliknya tuan dihantui dengan kesalahan yang telah tuan lakukan kepada saya.”

Bicara Amin 14 tahun yang lalu bagaikan tergiang-giang di telinganya. Tiba-tiba Tan Sri Hasan terasa ingin menangis. Meraung sekuat hati.

Dalam perasaan bersalah yang mengunung tinggi, terus sahaja Tan Sri Hasan meraih tubuh Amir Rifqi ke dalam pelukannya. Airmata yang dipertahankan melurut jua.

Pelik. Majikannya begitu pelik. Amir Rifqi terkedu apabila tubuh sasanya dipeluk oleh Tan Sri Hasan. Inikah cara salam perkenalan bagi peguam-peguam di Malaysia? Fikir Amir Rifqi sendirian.

“ Tan Sri..”

Panggilan Kudin itu membuatkan Tan Sri Hasan tersedar. Dia menarik nafasnya dalam-dalam. Cuba melegakan segala perasaan gundah yang mencengkam sebelum merenggangkan pelukan antara mereka. Sisa airmata yang berada di tubir matanya disapu sambil memaksa dirinya untuk berlagak ceria.

“ Apa khabar anak muda? Sebenarnya beginilah cara salam perkenalan bagi kita yang bergelar peguam,” kata Tan Sri Hasan, cuba menyembunyikan keterlajuran perbuatannya sebentar tadi. Manakala Kudin pula hanya tersengih lebar.

“ Pandai pula Tan Sri cover,” kata Kudin di dalam hatinya.

“ Baik,” kata Amir Rifqi sambil menyuakan salam kepada Tan Sri Hasan. Sebenarnya dia sendiri keliru. Patutkah bersalaman lagi dengan Tan Sri Hasan setelah mereka berpelukan sebentar tadi? Tetapi kenapa ketika dia berkenalan dengan Farid, lelaki itu tidak memeluknya sedangkan lelaki itu juga adalah peguam?

Tan Sri Hasan menyambut huluran salam daripada Amir Rifqi. Saat salam bertaut, Tan Sri Hasan hampir menitiskan airmatanya sekali lagi tetapi dia cuba kuatkan dirinya untuk berlagak biasa. Dia tidak mahu anak muda dihadapannya ini membencinya setelah mengetahui kejahatan yang pernah Tan Sri Hasan lakukan kepada keluarganya.

“ Ini Kudin, pembantu peribadi saya,” kata Tan Sri Hasan, memperkenalkan Kudin kepada Amir Rifqi.

“ Juga merangkap pemandu kehormat Tan Sri,” seloroh Kudin sambil menghulurkan salam kepada Amir Rifqi.

“ Bukan pemandu kehormat tetapi pemandu terhormat saya. Mana tidaknya sudah hampir 19 tahun dia bekerja dengan saya,” terang Tan Sri Hasan lagi.

“ Ooo maknanya Encik Kudin ni orang kepercayaan Tan Sri lah,” kata Amir Rifqi cuba beramah mesra.

“ Memang Kudin ni orang kepercayaan saya. Semua rahsia saya di tangan dia,” kata Tan Sri Hasan.

“ Ada-ada je lah Tan Sri ni. Mana saya tahu rahsia Tan Sri,” kata Kudin membetulkan bicara Tan Sri Hasan itu.

“ Sebenarnya Kudin juga adalah seorang peguam. Tetapi semenjak saya melantiknya menjadi PA saya, dia sudah tidak aktif lagi menjadi peguam,” terang Tan Sri Hasan lagi.

“ Rifqi panggil sahaja pak cik. Pak cik juga ada anak yang lebih kurang sebaya Rifqi. Dia juga bekerja di sini,” kata Kudin lagi.

Amir Rifqi mengangguk. Di dalam hati dia kagum dengan kepetahan dan keramahan kedua-dua lelaki di hadapannya itu. Terutamanya Tan Sri Hasan yang tidak langsung sombong dengannya. Mungkin Tan Sri Hasan seorang yang suka merendah diri dan menghormati orang lain walaupun lelaki itu begitu kaya dengan harta dunia.

“ Ya anak Kudin juga bekerja di sini. Nanti Rifqi boleh berkenalan dengan Damia di luar sana. Kudin, kenalkan juga Rifqi dengan Iman. Rifqi akan di latih oleh saya dan Iman,” arah Tan Sri Hasan.

“ Iman? Siapa Iman?” tanya Amir Rifqi. Di dalam hati dia berdoa agar dia tidak di latih oleh bos garang yang telah di ceritakan oleh Farid sebentar tadi.

“ Oh Iman tu anak saya. Satu-satunya anak yang saya ada,” terang Tan Sri Hasan membuatkan Amir Rifqi terkedu tanpa kata. Ah masak dia!

“ Baik, Tan Sri. Rifqi jom pak cik bawa awak berkenalan dengan pekerja yang lain,” kata Kudin sebelum membawa Amir Rifqi keluar daripada bilik Tan Sri Hasan.

Sebaik sahaja Kudin dan Amir Rifqi melangkah keluar dari biliknya, Tan Sri Hasan terus sahaja menangis, melepaskan segala perasaan yang sedang mencengkam di jiwanya ini. Kekesalan ini terlalu dalam.

“ Amin, maafkan aku. Rifqi maafkan saya,” tangis Tan Sri Hasan sendirian.

Previous: Bab 11
Next:

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.