Home Novel Komedi/Romantik Komedi Lasernya Mulut Dia
Lasernya Mulut Dia
Rabihah Nur Ridhuan
25/2/2015 17:56:01
85,135
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 7

Ayris Imani terjaga dari lenanya yang panjang. Dia menjeling jam di dinding. Jam sudah menginjak ke angka tiga pagi. Ayris Imani menarik selimut. Ingin kembali melabuhkan lenanya. Namun apabila Ayris Imani teringat akan solat sunat Tahajud membuatkan dia memaksa matanya yang hampir terpejam untuk bangun menunaikan solat sunat yang mempunyai nilai dan kedudukan tinggi berbanding solat sunat lain. Ayris Imani sedar bahawa solat sunat Tahajud adalah amalan orang soleh yang sentiasa mahu mendekatkan diri kepada Allah dan Ayris Imani juga cuba untuk menjadi sebahagian daripada mereka.

Selesai bersolat, Ayris Imani turun ke dapur untuk membasahkan tekaknya dengan segelas air. Tekaknya berasa dahaga pula.

“ Ayah, kenapa tak tidur lagi?” tanya Ayris Imani yang nyata terkejut apabila melihatkan ayahnya yang sedang termenung di sofa.

“ Ayah tak dapat tidur,” kata Tan Sri Hasan sambil mengeluh lemah.

Ayris Imani turut mengeluh. Dia kemudiannya melabuhkan punggung di sebelah bapanya itu.

“ Apa yang ayah fikirkan sampai tak boleh tidur ni?” tanya Ayris Imani, lembut.

Tan Sri Hasan hanya mengeluh. Dia tidak tahu untuk berkata apa. Perasaan yang mencengkam ini begitu sukar untuk digambarkan.

“ Ayah fikirkan hal pejabat ke?” tanya Ayris Imani lagi.

Tan Sri Hasan menggeleng. Dia meraup wajahnya sambil mengeluh lemah.

“ Ayah fikirkan tentang arwah kawan ayah,” kata Tan Sri Hasan, jujur.

Ayris Imani mengeluh lemah. Dia faham dengan kemelut perasaan ayahnya ini. Bukan sekali ayahnya mengadu tentang perasaan bersalah yang sedang mencengkam itu.

“ Ayah, perkara itu sudah lepas bukan?” kata Ayris Imani, cuba menenangkan hati ayahnya.

“ Ayah rasa bersalah sangat,” akui Tan Sri Hasan. Pengakuan yang sering diluahkan Tan Sri Hasan kepada anak tunggalnya itu.

Ayris Imani mengurut belakang bapanya dengan harapan dapat menenangkan kembali perasaan ayahnya yang sedang berkocak.

“ Ayah perlu tebus kesalahan ayah. Ayah perlu buat sesuatu. Ayah dah tak ada masa,” kata Tan Sri Hasan.

“ Iman faham perasaan ayah,” kata Ayris Imani.

“ Ini semua salah ayah,” kata Tan Sri Hasan lagi.

Ayris Imani mengeluh lagi. Dia berasa simpati dengan Tan Sri Hasan yang tidak habis-habis menyalahkan dirinya. Lalu Ayris Imani mengambil telapak tangan Tan Sri Hasan. Dipegangnya penuh kasih.

“ Ayah, ini semua ketentuan Allah. Ayah jangan asyik menyalahkan diri ayah sahaja. Kita berserah sahaja. Ayah jangan banyak fikir. Nanti sakit ayah makin melarat,” pujuk Ayris Imani.

Tan Sri Hasan menarik telapak tangannya daripada terus di pegang oleh Ayris Imani. Entah kenapa dia berasa tertekan dengan bicara anak tunggalnya itu. Baginya Ayris Imani tidak akan faham dengan perasaan yang sedang mencengkam dirinya.

“ Iman tak akan faham,” kata Tan Sri Hasan, lemah.

Ya tiada siapa yang akan faham selain daripada dirinya sendiri. Ya Allah berikanlah aku kekuatan untuk membetulkan semua kesalahan ku sebelum aku dijemput olehMu.

WAJAH Datuk Razali tersenyum lebar memandangnya. Siapa tidak mengenali Datuk Razali? Seorang kenamaan yang memegang jawatan tinggi di sebuah syarikat terkemuka di Malaysia.

You tahu bukan, kes mahkamah ini sebenarnya memang memerlukan peguam yang hebat kerana ia menjadi turning point kita sama ada kalah atau menang. Saudara jauh saya kena hukuman mati pun boleh buat rayuan dan menang. Padahal memang bersalah,” kata Datuk Razali.

Dalam dunia perundangan tidak dinafikan ada peguam tidak amanah atau tidak menegakkan keadilan dalam undang-undang. Tidak semua peguam bersikap baik dan jujur serta menghormati perlembagaan undang-undang apabila terpengaruh dengan harta, wang dan pangkat. Ya Allah, kau berilah hidayah kepada semua peguam di dunia ini.

“ Sebab itu I hire you,” tambah Datuk Razali lagi.

Hasan mengangguk. Senyumannya meleret. Mukadimah yang diberikan sebentar tadi membuatkan dia dapat menangkap sesuatu. Suatu tugas yang sering dilakukannya kerana dia adalah seorang peguam yang hebat. Dia petah berbicara dan pandai memutar belitkan fakta yang ada untuk memastikan dia menang di dalam mahkamah. Rekod telah menunjukkan dialah satu-satunya peguam di Malaysia yang tidak pernah kalah dalam perbicaraan menyebabkan namanya sering disebut-sebut dan khidmatnya sering diperlukan. Daripada orang kenamaan sehinggalah penjenayah besar yang memerlukan pembelaan.

“ Apa yang Datuk mahu saya lakukan?” tanya Hasan.

Datuk Razali tersenyum lebar. Dia yakin peguam di hadapannya akan melakukan apa yang disuruhnya. Lelaki ini terlalu tamakkan harta dunia dan tidak pernah peduli sama ada duit yang didapatinya itu adalah dari hasil haram atau sebaliknya.

“ I mahu you jatuhkan kerjaya seseorang,” kata Datuk Razali.

“ Oh saya ingatkan kes saman sivil,” kata Hasan. Inilah kali pertama dia melakukan tugas sebegini. Selalunya kes-kes yang melibatkan orang kenamaan adalah kes saman sivil yang begitu banyak Hasan ambil.

“ Apa yang saya perlu lakukan?” tanya Hasan lagi.

“ Dakwa dia atas tuduhan rasuah dan seks di luar tabie,” kata Datuk Razali tekad.

“ Buktinya sudah ada?” tanya Hasan.

“ Ada. Semuanya I dah prepare,” kata Datuk Razali.

“ Maksud Datuk, datuk sudah upah orang untuk prepare semuanya?” duga Hasan.

Datuk Razali ketawa besar mendengarkan pertanyaan peguam muda di hadapannya itu. Dia tahu dia perlu jujur untuk memastikan rancangannya ini berjaya.

“ Ha ha betul! Betul! I dah upah orang untuk memerangkapnya,” kata Datuk Razali.

You know Datuk, semua ini against ethics of law,” kata Hasan sambil tersengih lebar. Dia harap Datuk Razali faham dengan maksud sengihan yang dilemparkannya itu.

I know. You jangan risau, you cakap sahaja berapa yang you nak. I boleh beri asalkan you boleh jatuhkan kerjaya dia. Selagi dia ada I rasa terancam,” kata Datuk Razali. Dia perlu mengahapuskan musuhnya itu dengan segera. Jika tidak semua kejahatan yang dilakukannya di dalam syarikat akan terbongkar. Apatah lagi musuhnya itu adalah pesaing utamanya untuk merebut jawatan pengarah syarikat. Jika musuhnya itu dapat naik pangkat pasti dia pula yang akan dipenjarakan kerana penyelewengan yang telah dia lakukan selama ini.

“ Setengah juta?” tanya Hasan tanpa ragu-ragu. Dia tahu Datuk Razali seorang yang banyak duit. Jumlah sebanyak itu bukanlah besar bagi lelaki itu berbanding keuntungan yang bakal diperolehi jika kes ini berjaya.

“ Ok deal. Kalau you success I up lagi RM 100 ribu. Bagaimana?’

Hasan tersengih lebar. Kerana kegilaan dunia yang begitu mengejar duit membuatkan manusia sanggup melakukan apa sahaja sehingga sanggup mengetepikan kebenaran. Disebabkan kegilaan dunia sekarang inilah, peguam yang jujur dan amanah amat-amat diperlukan untuk menegakkan keadilan. Dan dunia amat memerlukan seorang peguam yang jiwanya bersifat kasih sayang sesama makhluk Allah kerana manusia dasawarsa ini sudah pupus dengan sifat kemanusian. Tetapi mengapa semua sifat itu hilang dalam diri Hasan?

“ Ok. Anggap sahaja kes ini sudah berjaya,” kata Hasan yakin sekali.

Datuk Razali tersenyum puas hati apabila mendengarkan bicara Hasan itu. Nampaknya malam ini dia boleh tidur lena dibuai mimpi indah.

“ Ok. I tunggu berita gembira daripada you,” kata Datuk Razali.

“ Sebelum tu boleh I tahu siapa nama dia?” tanya Hasan tiba-tiba.

“ Amin.”

Nama itu bagaikan tergiang-giang di telinga Tan Sri Hasan hingga kini. Walaupun sepuluh tahun ianya berlalu tetapi ianya bagaikan baru semalam semua itu terjadi.

You jangan risaulah, you hanya menghantar dia di penjara bukannya membunuhnya.”

Datuk Razali silap. Sebenarnya dia bukan sahaja telah menghantar lelaki bernama Amin itu ke penjara sebaliknya dia telah membunuhnya! Semuanya berpunca daripada Tan Sri Hasan!

Tan Sri Hasan menangis teresak-esak. Esakan yang mengambarkan betapa tersiksanya batinnya tatkala ini. Betapa penyesalan itu terlalu dalam.

“ Ya Allah, apa yang dah aku buat ni? Aku sudah buat dosa besar! Aku telah menyebabkan kematian Amin! Ya Allah, ampunkan dosaku!” rintih Tan Sri Hasan dengan tangisan yang menggila.

Tan Sri Hasan hanya mampu menangis dan menangis lagi. Hanya itu yang mampu dilakukannnya. Dia mengharapkan Kudin dapat mencari keluarga arwah Amin. Dia mahu menebus kembali dosa yang telah dilakukannya kepada keluarga itu. Hatta menjadi hamba mereka pun dia sanggup asalkan dirinya dimaafkan dan diampunkan seikhlas hati mereka. Dia sudah tidak sanggup lagi hidup dengan perasaan bersalah ini. Ianya sungguh menyakitkan.

“ Aku akan tebus balik dosa yang telah aku lakukan ini!”

Previous: bab 6
Next: bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.