SEORANG lelaki bersut hitam siap dengan tali leher masuk
memimpin seorang kanak-kanak perempuan yang berusia lebih kurang 3 tahun.
Tina
di kaunter penyambut tetamu jatuh rahang. Lelaki yang seperti mencari seseorang
itu membuatkan dia terpegun di situ. Lee Dong Wook? Tina terpaksa berpusing dua
kali untuk melihat lelaki yang masuk ke situ bersama anaknya. Hisy! Dia
kemudian menggeleng laju kepalanya menyedarkan diri. Inilah akibat menonton
drama Korea semalam. Apatah lagi, lelaki pujaan hatinya menjadi hero di dalam
drama itu. Kemudian dia cepat memanggil bila dilihatnya lelaki itu menonong
masuk terus mengarah ke bilik pengurus.
“Helo... encik!”
Dia terus memanggil tetapi lelaki itu
langsung tidak berpaling memandangnya. Anak kecil itu pula sempat melambai
Tina.
“Isy! Dia ingat ni nursery ke? Tempat nak
hantar anak?”
Adoyai! Tina baru mahu bangun mengejar,
dia sudah terdengar suara lelaki itu menegur Nur Najwa yang berada di dalam
bilik pengurus.
“Awak!” begitu panggilannya.
Nur Najwa yang sedang menyusun buku-buku yang
dikeluarkan dari dalam kotak seperti yang diarah oleh Pak Hussin itu berpaling
bila mendengar suara yang menegur. Apabila matanya terpandang seorang lelaki
dengan anak kecil, dia bertanya.
“Encik nak cari siapa?”
“Awak tolong bawakkan anak saya ni ke
tandas, dia nak buang air. Tak kan saya nak masuk tandas perempuan pulak?”
Eh? Siapa dia ni? Enak-enak aje mengarah
orang suruh bawak anaknya ke tandas. Ingat ini nursery ke? Eh! Pakcik ni salah
tempat agaknya.
“Encik!”
Nur Najwa menunjukkan nama syarikat itu di
dinding belakang tempat duduk Tina, si penyambut tetamu yang terbentang gah
dengan nama MEGA BINA HOLDINGS. Dari cermin bilik pejabat itu dapat dilihat
dengan nyata.
Lelaki tadi sama memandang mengikut ibu
jari Nur Najwa yang menunjuk sopan ke arah dinding itu dan kemudian berpaling
merenungnya.
“Awak ingat saya tak tahu baca?” katanya
sombong.
“Daddy, hurry up.... adik dah tak tahan
ni...” kata si anak sambil terkepit-kepit membuat tap-dancing. Sebelah
tangannya mengepit mainan berbentuk seekor itik berwarna kuning... muncung dan
kakinya oren. Ada reben bercorak petak-petak melilit leher itik mainan
itu. Comel.
“Cepatlah!” jerit lelaki itu pula. “Nanti
terbarai dekat sini, macam mana?”
Tanpa banyak bicara, Nur Najwa terus
memimpin tangan si kecil untuk dibawa ke tandas.
“Jom! Ikut aunty.”
Si kecil
juga tidak banyak songeh terus mengikut langkah perempuan yang mengaku aunty
itu. Namun matanya masih menoleh ke belakang memandang si ayah.
Si ayah pula hanya menganggukkan kepala.
Tina di kaunter menekap mulut menahan
gelihati. Secretary cum baby-sitter. Kihkihkih.....
Nur Najwa berlalu sambil memberikan
jelingan maut. Gelaklah.... nanti engkau!
“DAH?”
Si kecil mengangguk. “Daddy, adik
laparlah,” katanya sambil meraba perut.
“Yalah... daddy pun lapar juga.” Lelaki
itu memandang Nur Najwa. “Dekat pantry ada apa?”
Ewah... ewah... ini sudah lebih!
“Maaf encik, pantry tu untuk staff sini
aje. Encik kalau nak breakfast, saya cadangkan kedai makan deret sini....” Ibu
jari Nur Najwa menunjuk ke arah tempatnya. “...Sinaran Pagi nama restoran tu,
makanannya pun sedap-sedap.”
“Hah... jomlah!” ajak lelaki itu.
Memang dari bilik hotel tempat dia
menginap, dia masih belum sempat hendak bersarapan kerana terpaksa mengurus dan
melayan anak yang tidak tahu di mana hendak ditinggalkan apabila dia masuk
bekerja pagi itu. Bukan ayahnya tidak melawa untuk ditinggalkan di rumah
agamnya... namun lelaki itu malu kerana kisah semalamnya yang mendukacitakan
seluruh keluarga.
“Tak apa encik, restoran tu dekat sini
aje. Encik tak kan sesat punya.”“Jom sayang!”
Lelaki itu mengajak anaknya yang masih
berpimpin erat dengan Nur Najwa.
“Adik nak dengan mommy ni, daddy,” ujar si
anak tidak mahu melepaskan tangan Nur Najwa. Dia bimbang akan dihantar ke mana
pula selepas ini jika bapanya hendak pergi bekerja.
“Hah! Dia nak dengan awak,” jawab si bapa
pula ambil mudah. Tidak terkejut langsung dia bila si anak menyebut
membahasakan mommy dengan Nur Najwa.
Si anak kemudian menghulurkan patung
itiknya untuk dipegang oleh si ayah. Tangannya itu cepat pula mencapai tangan
si ayah yang sebelah lagi. Kini di kirinya ada mommy dan di kanan ada daddy. Nur
Najwa tidak tahu apa lagi yang hendak dia cakapkan. Si kecil anak encik ini
tidak faham bahasa langsung.