KELIBAT Nur Najwa berjalan seiring dengan
seorang lelaki kacak dan seorang anak perempuan telah dilihat oleh Dato’
Khairy. Dia yang sedang menyandar di bahagian belakang kereta dan kebetulan
sedang melalui depan bangunan Mega Bina Holdings itu berpusing 180 darjah
memerhati siapakah gerangan lelaki dan anak perempuan yang bersama Nur Najwa
itu.
“Budin, siapa yang berjalan dengan Najwa
tu?” tanya Dato’ Khairy kepada pemandunya yang sama melayan rentak hidung
belang bosnya itu.
Yalah... sebagai pekerja mana boleh dia
hendak bangkang tidak tentu hala? Ikut pun apa salahnya... kalau disenangi oleh
bosnya, bagus untuk periuk nasi dia juga. Tetapi silap dia juga kerana membuka
cerita tentang janda berhias itu. Sekarang ini, selera bosnya asyik ke situ
sahaja.
“Tak pernah nampaklah bos... macam orang
Cina aje?” jawab Budin si pemandu.
Dato’ Khairy menggangguk senang hati.
Clientlah tu!
“Lepas ni nanti... singgah Blooming
Florist... beli tiga kuntum bunga ros warna merah. Hantar pada Najwa tu,” arah
Dato’ Khairy sambil menghulurkan wang kertas RM30. “Seperti biasa... tulis dari
Secret Admire.”
“Tiga kuntum aje bos?”
“Hisy! Berapa banyak pulak nak beri? Tiga
kuntum tu cukuplah... dia mesti faham maksudnya,” ujar Dato Khairy sambil
senyum melebar ke telinga. Baru dua tiga minggu ini dia beralih arah mahu cuba
memikat setiausaha si janda berhias yang bertugas di Mega Bina Holdings itu.
Si Budin yang memandu mengerling cermin
pandang belakang melihat telatah bosnya yang hidung belang. Sudah ada ura-ura
hendak ke Tanah Suci, tapi masih belum serik lagi rupanya. Masakan dia lupa dengan
kisah isteri muda yang baru tahun lepas diceraikannya itu? Lepas itu pula dia
sibuk memikat anak perempuan Tan Sri Azizan yang bekerja sebagai tutor kolej.
Rupanya, perempuan itu pula adalah teman wanita kepada anak sulongnya. Haru
betul skandal Dato’ Khairy ni... sampai anaknya merajuk dan membawa diri keluar
negeri.
Tak ingat?
Mujur dia tidak dihambat oleh Datin
Sabariah kerana bersubahat membawa bosnya itu menikah di Narathiwat.
Dalam kesibukan Datin Sabariah ke hulu dan
ke hilir sebagai Pengerusi Kelab Datin, dapat juga rupanya dia menghidu kisah
suaminya yang sempat membuka cawangan lain. Peliknya, selepas mendapat tahu,
dia tidak pula menangis melolong... malah dilihat bertambah baik dan manja
dengan suaminya. Ke mana sahaja suaminya pergi, tentu dia ada sama.
Hah! Part yang paling best tu, bila
giliran suaminya balik ke rumah isteri muda, Datin Sabariah sama mengekor ke
sana. Hehehe....
Pening kepala Dato’ Khairy melayan kerenah
manja tiba-tiba Datin Sabariah yang sudah macam anak kecil tidak mahu
dipisahkan dari bapanya itu. Tidak disangka Datin Sabariah mengatur strategi
yang berkesan sekali. Dia pula yang pandai-pandai menelefon si muda untuk
menyediakan makan tengahari untuk dia dan Dato’ Khairy yang akan pulang ke
situ. Si muda yang melihat rasa nak muntah hijau dibuatnya... dah gaya orang
gaji pula dia diperlakukan. Berbulu biji matanya melihat perangai manja madunya
itu... hanya Tuhan sahaja yang tahu.
Kawan rapat, saudara mara dan kenalan
semua geleng kepala melihat keakraban dan sportingnya Datin Sabariah di dalam
mengharungi hidup bermadu. Malah dia sama pelawa yang muda bila sampai giliran
Dato’ Khairy ke rumahnya. Memang gila... beranikah si muda itu mahu mengikut
sama kalau tidak diganyangnya?
Akhirnya... si muda beralah dan minta
diceraikan kerana tidak tertahan dengan kebaikan yang ditunjukkan oleh Datin
Sabariah. Memang cara yang digunakan itu makan dalam... ibarat kena santau si
muda itu kerana makan hati.
Budin senyum bila mengingatkan perangai
Datin Sabariah yang menang di dalam menangani masalah rumahtangganya itu.
Budin senyum lagi. Memang tak serik-serik
Dato’ ni... kalau dicadang merisik untuk anak lelakinya si Khairul Syafiq tu,
bukankah lebih baik? “Bos!” panggil Budin sambil mengerling
cermin pandang belakang.
“Apa lagi?” sergah Dato’ Khairy yang
menyangka si Budin mahukan duit tambahan. Macam Tina si penyambut tetamu Mega
Bina tu... tiap kali bila ditanya, tangan kanannya sudah ditadah minta habuan.
Cekik darah betul!
“Apa kata kita risik untuk Along?”
Budin cuba beri pendapat kepada yang lebih
baik pula.
“Hisy! Berserban dan berjubah macam tu... siapa
yang suka?” marah Dato’ Khairy. “Emaknya hantar keluar negeri suruh belajar
jadi pereka fesyen untuk ambil alih butik ni nanti... dia pergi jadi lebai
macam tu, apa kejadahnya?”