Home Novel Komedi/Romantik Komedi YANG MANA SATU NI?
Bab 15 ~ Terkejut beruk

           SEORANG lelaki bersut hitam siap dengan tali leher masuk memimpin seorang kanak-kanak perempuan yang berusia lebih kurang 3 tahun.

           Tina di kaunter penyambut tetamu jatuh rahang. Lelaki yang seperti mencari seseorang itu membuatkan dia terpegun di situ. Lee Dong Wook? Tina terpaksa berpusing dua kali untuk melihat lelaki yang masuk ke situ bersama anaknya. Hisy! Dia kemudian menggeleng laju kepalanya menyedarkan diri. Inilah akibat menonton drama Korea semalam. Apatah lagi, lelaki pujaan hatinya menjadi hero di dalam drama itu. Kemudian dia cepat memanggil bila dilihatnya lelaki itu menonong masuk terus mengarah ke bilik pengurus.

           “Helo... encik!”

           Dia terus memanggil tetapi lelaki itu langsung tidak berpaling memandangnya. Anak kecil itu pula sempat melambai Tina.

           “Isy! Dia ingat ni nursery ke? Tempat nak hantar anak?”

           Adoyai! Tina baru mahu bangun mengejar, dia sudah terdengar suara lelaki itu menegur Nur Najwa yang berada di dalam bilik pengurus.

           “Awak!” begitu panggilannya.

           Nur Najwa yang sedang menyusun buku-buku yang dikeluarkan dari dalam kotak seperti yang diarah oleh Pak Hussin itu berpaling bila mendengar suara yang menegur. Apabila matanya terpandang seorang lelaki dengan anak kecil, dia bertanya.

           “Encik nak cari siapa?”

           “Awak tolong bawakkan anak saya ni ke tandas, dia nak buang air. Tak kan saya nak masuk tandas perempuan pulak?”

           Eh? Siapa dia ni? Enak-enak aje mengarah orang suruh bawak anaknya ke tandas. Ingat ini nursery ke? Eh! Pakcik ni salah tempat agaknya.

           “Encik!”

           Nur Najwa menunjukkan nama syarikat itu di dinding belakang tempat duduk Tina, si penyambut tetamu yang terbentang gah dengan nama MEGA BINA HOLDINGS. Dari cermin bilik pejabat itu dapat dilihat dengan nyata.

           Lelaki tadi sama memandang mengikut ibu jari Nur Najwa yang menunjuk sopan ke arah dinding itu dan kemudian berpaling merenungnya.

           “Awak ingat saya tak tahu baca?” katanya sombong.

           “Daddy, hurry up.... adik dah tak tahan ni...” kata si anak sambil terkepit-kepit membuat tap-dancing. Sebelah tangannya mengepit mainan berbentuk seekor itik berwarna kuning... muncung dan kakinya  oren. Ada reben bercorak petak-petak melilit leher itik mainan itu. Comel.

           “Cepatlah!” jerit lelaki itu pula. “Nanti terbarai dekat sini, macam mana?”

           Tanpa banyak bicara, Nur Najwa terus memimpin tangan si kecil untuk dibawa ke tandas.

           “Jom! Ikut aunty.”

           Si kecil juga tidak banyak songeh terus mengikut langkah perempuan yang mengaku aunty itu. Namun matanya masih menoleh ke belakang memandang si ayah.

           Si ayah pula hanya menganggukkan kepala.

           Tina di kaunter menekap mulut menahan gelihati. Secretary cum baby-sitter. Kihkihkih.....

            Nur Najwa berlalu sambil memberikan jelingan maut. Gelaklah.... nanti engkau!


“DAH?”

Si kecil mengangguk. “Daddy, adik laparlah,” katanya sambil meraba perut.

“Yalah... daddy pun lapar juga.” Lelaki itu memandang Nur Najwa. “Dekat pantry ada apa?”

Ewah... ewah... ini sudah lebih!

“Maaf encik, pantry tu untuk staff sini aje. Encik kalau nak breakfast, saya cadangkan kedai makan deret sini....” Ibu jari Nur Najwa menunjuk ke arah tempatnya. “...Sinaran Pagi nama restoran tu, makanannya pun sedap-sedap.”

“Hah... jomlah!” ajak lelaki itu.

Memang dari bilik hotel tempat dia menginap, dia masih belum sempat hendak bersarapan kerana terpaksa mengurus dan melayan anak yang tidak tahu di mana hendak ditinggalkan apabila dia masuk bekerja pagi itu. Bukan ayahnya tidak melawa untuk ditinggalkan di rumah agamnya... namun lelaki itu malu kerana kisah semalamnya yang mendukacitakan seluruh keluarga.    

“Tak apa encik, restoran tu dekat sini aje. Encik tak kan sesat punya.”

“Jom sayang!”

Lelaki itu mengajak anaknya yang masih berpimpin erat dengan Nur Najwa.

“Adik nak dengan mommy ni, daddy,” ujar si anak tidak mahu melepaskan tangan Nur Najwa. Dia bimbang akan dihantar ke mana pula selepas ini jika bapanya hendak pergi bekerja.

“Hah! Dia nak dengan awak,” jawab si bapa pula ambil mudah. Tidak terkejut langsung dia bila si anak menyebut membahasakan mommy dengan Nur Najwa.

Si anak kemudian menghulurkan patung itiknya untuk dipegang oleh si ayah. Tangannya itu cepat pula mencapai tangan si ayah yang sebelah lagi. Kini di kirinya ada mommy dan di kanan ada daddy. Nur Najwa tidak tahu apa lagi yang hendak dia cakapkan. Si kecil anak encik ini tidak faham bahasa langsung.

                                                                     

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh