WAKTU tengahari itu, selepas siap membersihkan
kolam renang, Pak Hussin duduk menyandar di bawah pohon pauh yang rendang di
belakang rumah sambil menghisap rokok daun. Dia senyum mengingatkan cadangan
Cik Tipah supaya mencarikan seorang isteri yang sesuai untuk Tan Sri Azizan
memandangkan dia yang rapat dan sering ke hulu dan ke hilir dengan majikannya
itu.
“Eh?
Kenapa kita yang memandai-mandai nak carikan dia calon isteri?” tegur Pak
Hussin pada mulanya. Yalah... apahal Cik Tipah pula yang sibuk-sibuk, kan?
“Begini
Sin... biar saya berterus terang saja dengan kamu,” ujar Cik Tipah satu hari
semasa rumah itu tiada berorang.
Tan Sri Azizan sudah sibuk keluar
berdakwah mengikut kumpulan Tabligh yang dikenali semasa berjemaah di surau
yang berdekatan. Cik Tipah risau kerana lelaki itu sudah tidak lekat di rumah.
Najmi memang sudah bakal menetap di US waktu itu dan entah bila akan pulang.
Noor Azizah pula sibuk dengan aktiviti kolejnya ke hulu ke hilir tidak sempat
panas punggung. Tidak secara langsung, Cik Tipahlah yang menjadi penunggu tetap
di rumah agam itu.
Kebetulan bila Cik Tipah sampaikan
kehendak Pak Hussin untuk membuat kerja-kerja sambilan di kawasan rumah itu
bagi mendapatkan sedikit upah, Tan Sri Azizan terus sahaja menerimanya. Maka,
jadilah mereka kawan berborak... jika tidak tentu Cik Tipah jadi bisu kerana
tiada siapa yang mahu dijadikan teman di rumah itu.
“Duduklah!” arah Cik Tipah yang sudah sama
menyandar di kerusi laman itu. Pak Hussin yang sedang membersihkan kawasan tepi
rumah itu diajak duduk bersembang. Air oren dituang ke dalam gelas dan disuakan
ke depan Pak Hussin.