NUR Najwa Sallehuddin menekan brek kaki dan
memasukkan gear parking. Brek tangan diangkat sehabis mampu. Semenjak kejadian
bertemu dengan kelibat lelaki yang berjubah dan berserban putih petang Jumaat
di kawasan parkir di bahagian basement bangunan pejabat itu, dia tidak lagi
berani untuk meletakan keretanya di sana. Biarlah berjemur di kawasan letak
kereta di tepi bangunan pejabat itu sahaja rasanya lebih selamat lagi kerana
dia sering pulang lewat sejak kebelakangan ini.
Nur Najwa terpaksa mengambil alih tugas Hans
Yusof, Pengurus Besar Mega Bina Holdings yang tiba-tiba menghantar surat
perletakan jawatan dalam tempoh 24 jam. Pengurusnya itu dikatakan telah
menerima tawaran gaji yang lebih lumayan lagi dari syarikat lain.
Tan Sri Azizan yang empunya syarikat
menelefon serta merta mengarah Nur Najwa untuk mengendalikan pejabat besar itu
sementara dia melantik pengurus yang baru. Kalau diikutkan, bukan payah sangat
pun. Sudah hampir 4 tahun dia bertugas sebagai setiausaha di Mega Bina Holdings
itu, sedikit sebanyak dia sudah sangat faham untuk menguruskannya. Cuma Nur
Najwa tidak dibenarkan membuat urusniaga tanpa bertanya atau mendapat kebenaran
dari Tan Sri Azizan itu sendiri terlebih dahulu walaupun Tan Sri Azizan sudah
sangat percaya padanya.
Walau penat, dia harus menunjukkan
kemampuannya mengendalikan syarikat itu atas kepercayaan dan rasa terhutang
budi terhadap Tan Sri Azizan yang telah membantunya di dalam kejadian ragut dan
langsung mendapatkannya kerja di syarikat itu.
Teringat dia akan budi baik
lelaki itu yang pertama kali dikenalinya semasa dia ditimpa dengan kejadian
ragut waktu tengahari usai menghadiri temuduga. Berhempas pulas jugalah dia melawan. Habis
kepakarannya selama menjadi samseng sekolah dulu ditunjukkan. Silapnya dia
mengenakan baju kebaya hari itu. Masakan dia hendak membuka langkah yang kurang
sopan? Kalau koyak rabak karang... macam mana dia hendak pulang? Dari cedera
parah bergelut dengan si peragut, dia rela sedekah wang baki yang ada di dalam
begnya itu. Alah... tak sampai RM50 pun. Cuma mungkin dia kena bersusah payah
buat laporan ke balai polis kerana kejadian itu yang menyebabkan dia kehilangan
kad pengenalan, lesen memandu dan kad ATMnya sahaja.Mujur pula kejadian yang berlaku tengahari itu
disaksikan oleh Tan Sri Azizan bersama Pak Hussin, pemandunya. Maka dengan
pantas Tan Sri Azizan menjulurkan kakinya ketika lelaki peragut itu berlari
melintasi dia dan Pak Hussin. Apalagi? Tersungkurlah lelaki peragut itu di
situ. Beg dompet yang diragutnya tadi terlempar jauh ke hadapan dengan
wang-wang syiling yang bertaburan. Pak Hussin pula cepat membantu mengutipnya.
Namun lelaki peragut itu cepat pula bangun dan melarikan diri sebelum sempat
ditangkap. Licik betul.
“Puan Najwa!”
Lamunan dan langkahnya yang menapak ke
bangunan pejabat Mega Bina Holdings pagi itu selepas memarkir kereta sama
terhenti bila terdengar namanya dipanggil.
“Ada apa Pak Hussin?”
“Tadi
bos baru ada kirim barang-barangnya. Dia pesan suruh puan tolong simpan dan
kemaskan dalam bilik pejabatnya.”
“Bos
baru?”
“Ha’ah.”
“Kenapa
dia tak datang kemas sendiri?”
Eh!
Perempuan ni... berapa banyak tanya daa? Tadi bos dah pesan jangan beritahu
sesiapa akan dirinya sebenar. Biar orang dalam pejabat itu tengok sendiri. Mana
boleh cakap? Dah janji. Tak pasal-pasal nanti kena pecat, siapa yang nak beri
makan anak bini aku? Pak Hussin berfikir panjang.
“Puan,
Pak Hussin ni hanya menjalankan perintah aje. Pak Hussin ni cuma supir... tadi
dia dah pesan jangan cakap lebih-lebih.”
“Dah
tu...” Nur Najwa menoleh kiri dan kanan. “....mana dia barang-barangnya?”
“Pak
Hussin dah letak dalam bilik pejabatnya. Puan jangan lupa pulak tolong kemaskan
ye? Kalau tidak nanti, masak Pak Hussin kena marah,” ujar Pak Hussin minta
tolong kerana tadi tuan pengurus baru itu kelihatan tidak peramah orangnya.
“Dia
datang ke tidak hari ni?”
“Tak
tau puan.”
“Ha...
okeylah...” tiba-tiba Nur Najwa teringat untuk bertanya. “Pak Hussin!” dia
menjerit memanggil bila melihat kelibat Pak Hussin sudah melintas ke sebelah
sana jalan.
Pak
Hussin menoleh.
“Siapa
nama bos baru tu?”
Pak
Hussin hanya angkat bahu.
Eleh! Itu pun nak rahsia.