CIK Tipah yang ditinggalkan terkebil-kebil
memerhati dari sebalik langsir tingkap kelibat Tan Sri Azizan di dalam kereta
yang dipandu oleh Pak Hussin. Dulu dia tidak pernah berpeluang melambai pergi
suaminya. Mereka sama-sama bekerja dan sering sahaja berebut-rebut untuk keluar
rumah waktu pagi.
Perkahwinan
mereka sangat bahagia pada tahun pertama, tetapi mengalami masalah bila si
suami sering bertanyakan tentang dirinya yang masih belum nampak ada perubahan.
“Bila
kita boleh nak ada anak ni?” tanya si suami.
“Belum
ada rezekilah agaknya,” jawab Cik Tipah pada kali pertama itu.
Dia
memang mengelak kalau boleh kerana dia sendiri sudah merasa tidak enak dan
seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya. Pemeriksaan yang dibuat
tanpa pengetahuan suaminya itu memberi jawapan yang ngeri dan nyeri. Mampukah
dia memberitahu suami tersayangnya tentang itu?
“Cik
Tipah nak keluar ke laman? Marilah Nor tolong tolak dengan kerusi roda ni.”
Tiba-tiba
Cik Tipah teringat dengan suara yang memujuknya untuk dibawa keluar dari bilik
tempat dia mengurung diri setelah mendapati dirinya cacat teruk selepas
kemalangan. Dia terus menjerit terlolong setiap hari bila tersedar. Berapa lama
suaminya boleh bertahan dengan perangainya?
Mujur adiknya yang masih belum
berumahtangga itu mahu membantu menjaganya. Tidak secara langsung, adiknya
terpaksa juga melayan makan minum suaminya. Lama dia perhatikan apa yang
berlaku kepada suaminya yang ketika itu sudah rupa hidup segan, mati tak mahu.
Padahal yang mengalami kemalangan itu bukan dia.
“Abang ambillah Nor jadi isteri abang,
Tipah izinkan.”
Akhirnya Cik Tipah memberi keizinan untuk
suaminya menikahi adiknya sendiri yang telah banyak membantu dia dan suaminya
di dalam rumah itu.
Adiknya yang ramah dan ringan tulang itu
dilihat dapat menceriakan suaminya.
“Ikut warna yang dah ditanda ni ke?”
Cik Tipah masih ingat suara adiknya yang
rajin membantu suaminya seorang arkitek itu membuat kerja-kerja mewarna.
“Jangan silap tau? Nanti puas abang kena
buat balik,” sahut suaminya.
Adiknya itu memang kelihatan manja dengan
suaminya, mungkin kerana dia tidak punya abang dan tidak pernah pula merasakan
kasih sayang dari seorang ayah.
“Tipah! Ada kawan abang ajak
kongsiniagalah...” suaminya memberitahu dia pada satu hari elok dia pulang dari
kerja. “Kalau abang ada modal besar, abang dapat miliki syarikat itu 51/49
peratus selain usaha abang membuat pelan bangunannya.”
“Ya ke?” sampuk adiknya yang datang dengan
dulang berisi teko kopi dan cawan seperti kebiasaan di waktu petang setiap kali
suaminya pulang.
“Bestnya! Abang tentu boleh dapatlah...
Cik Tipah kan bekas akauntan? Tentu Cik Tipah boleh bantu kerana ramai
kenalan.” Celah adiknya yang terlebih gembira dengan khabar itu. Lebih kepada
hendak mengembirakan hatinya.
“Macam
mana Tipah?”
“Katakan
boleh Cik Tipah! Ada fakta mengatakan, berfikir adalah satu cara terbaik untuk
melatih otak kita. Kurang berfikir membuatkan tahap kecerdasan otak menurun,”
jawab adiknya yang beria-ia memberi semangat untuk dia bangun semula setelah
jatuh terduduk itu.
Adiknya
yang tamat belajar dalam jurusan graphic design itu tidak dibenarkan mencari
kerja dahulu kerana harus membantu Cik Tipah di rumah sehingga dia benar-benar
pulih. Suaminya berjanji akan mengambil dia bekerja di syarikatnya nanti untuk
membalas budi baiknya itu.
“Cik
Tipah kan boleh buat kerja dari rumah aje?” pujuk adiknya yang ternyata risau
dengan perubahan yang berlaku di dalam dirinya.
Setelah
pulih, Cik Tipah menolak pelawaan untuk bekerja kembali. Dia malu dengan
keadaan fizikalnya. Dia mahu tinggal di rumah sahaja, tetapi dia tidak dapat
menjadi isteri kepada suaminya sebab itu dia cadangkan suaminya menikahi
adiknya pula.
“Tipah
cakap apa ni? Dah fikir betul-betul ke?” marah suaminya malam itu.
Cik
Tipah angguk sambil menahan sedih di hati. Dia sudah berjanji tidak mahu
menangisi diri jika itu sudah suratan takdir.
“Tapi
Tipah nak minta dilepaskan. Kalau ikatan itu sudah diputuskan, tidaklah Tipah
merasa sakit hati dan cemburu melihat abang dengan orang lain,” pinta Cik
Tipah. “Sekurang-kurangnya jika abang ambil Nor, Tipah dapat tumpang tengok
anak sedara Tipah yang berayahkan abang.”
“Tipah
nak ke mana? Nak hidup sendiri dalam keadaan diri Tipah macam ni?” Marah
suaminya.
Mungkin selama ini dia ada juga terfikir
untuk mencari lain tetapi dimanakah isterinya yang cacat itu hendak
ditempatkan?
“Tipah
dah tentunya akan terus macam ni, bang. Abang tu yang mengharapkan zuriat
sendiri macam mana pula?”
“Nantilah
abang fikirkan dulu.”
“KENAPA Cik Tipah sampai buat keputusan macam tu?”
marah adiknya bila dia mengutarakan cadangannya.
“Buat
untuk Cik Tipah... tolonglah!” rayu Cik Tipah terus. Dia lebih senang jika
suaminya mengahwini Normah... sekurang-kurangnya dia dapat lagi ke situ untuk
menjenguk anak-anak saudaranya nanti.
“Cik
Tipah nak ke mana?” tangis adiknya menghambur keluar. “Nor boleh bantu Cik
Tipah sampai benar-benar pulih, Nor janji,” ujar adiknya mengangkat tinggi
tangan kanannya. Mana boleh dia lupakan jasa baik Cik Tipah yang telah membiaya
pelajarannya sehingga dia berjaya?
“Itu
sahajalah cara kalau Nor nak balas jasa Cik Tipah.”
“Cik
Tipah ni dah tak ada hati ke? Itu kan suami Cik Tipah, Cik Tipah nak suruh Nor
kahwin dengan dia pulak? Apa kata orang keliling nanti?”
“Kita
susah orang tak tolong Nor, orang cuma pandai bercakap aje.” Cik Tipah masih
berusaha memujuk agar cadangannya itu diterima.
Lama
kelamaan, adiknya Normah dan suaminya menyetujui kehendak Cik Tipah dengan
syarat Cik Tipah tidak dibenarkan keluar dari rumah itu.
Syarat
itu terpaksa diterima untuk memudahkan urusan. Semenjak dari hari itu Cik Tipah
terus menyendiri dan pura-pura hilang ingatannya untuk menyesuaikan keadaan.
Dia mula membantu kerja-kerja rumah bila adiknya disahkan mengandung anak
pertama. Tidak sabar Cik Tipah hendak menunggu kelahiran anak saudaranya iaitu
anak kepada bekas suaminya.
“Kalau
lelaki, Cik Tipah nak letak nama dia Irfan Najmi,” kata Cik Tipah yang memang
sudah lama menyimpan nama itu tetapi tidak mampu memilikinya.