Home Novel Komedi/Romantik Komedi YANG MANA SATU NI?
Bab 5 ~ Eksekutif Pemasaran Baru

“AYAH!” panggil Noor Azizah malam itu di ruang tamu.

Mereka tinggal dua beranak sahaja. Anak sulongnya Najmi, entah bila mahu pulangnya belum lagi dengar khabar berita. Tan Sri Azizan pula memang sedang sibuk dengan projek Bina Ceria yang menyediakan rumah-rumah kediaman setelah rumah-rumah kedai mereka siap terjual. Kini Bina Ceria bakal melancarkan penjualannya, sebab itulah pihaknya harus menyiapkan rumah contoh untuk dipertontonkan kepada pembeli-pembeli yang berminat.

Tan Sri Azizan yang keletihan itu menyandar menonton berita perdana mengangkat kening memandang anak perempuannya.

“Kalau Jaja tanya, ayah jangan marah tau?”

“Apa dia?” tanya Tan Sri Azizan malas rasanya hendak bermain teka teki ni. Nak tanya, tanya ajelah...

“Ayah tak ada cadangan nak kahwin lagi ke?”

Tan Sri Azizan sentap. Dia terus menegakkan badannya. Terkejut dengan cadangan si anak. Mana ada anak yang suka emak dan ayah mereka berkahwin lagi? Pelik pula dengan anaknya ini.

“Kesian Jaja tengok ayah ni... sendirian aje. Kalau ada teman dapat ayah berborak sambil-sambil menonton TV. Mama pun dah lama pergi ayah, tak kan ayah nak harap Cik Tipah yang jaga ayah?”

“Kenapa tiba-tiba nak suruh ayah kahwin ni? Ayah ingatkan Jaja nak beritahu ayah, Jaja yang nak kahwin?”

“Jaja kena tukar mengajar ke kolej cawangan baru... siapa nanti nak teman dan tengokkan ayah?” Kata Noor Azizah yang asyik memikirkan soal itu semenjak dia diberitahu akan ditukarkan ke cawangan baru kolejnya. Dia tidak dapat menolak kerana kampus pusat itu menempatkan pensyarah-pensyarah yang berkelulusan dari luar negeri. Jika dia hendak naik ke pangkat yang bergelar pensyarah, dia dikatakan harus ada Master dan PhD pula. Adoi! Semakin canggih dunia sekarang ini. Bagaimana dengan mereka yang tidak punya sijil pendidikan yang tinggi?

Tan Sri Azizan terus merenung wajah anak perempuannya itu. Daripada dia sibuk hendak mengajar dan bertukar ke tempat lain, mengapa tidak dipelawa bekerja sahaja dengan syarikatnya? Kebetulan buat masa ini, Mega Bina Holdings memang sedang memerlukan kakitangan lebih bersempena akan membuka jualan projek Bina Ceria.

“Tak payahlah...” tiba-tiba Tan Sri Azizan bersuara keras.

Noor Azizah sedikit terkejut.

“Apa yang tak payahnya?”

“Tak payahlah pindah-pindah sana sini...” ujar Tan Sri Azizan membetulkan duduknya.

Sudah lama dia merindukan suasana riuh di dalam rumah itu. Sekarang ini, semakin sunyi pula. Jika dibenarkan anak perempuannya itu berpindah keluar, tentu nyanyuk dia jadinya. Masakan dia hendak ajak Cik Tipah itu melayan dia berborak? Hisy! Tak manis sungguh. Malah dia sendiri pun asyik melarikan diri sahaja bila terpaksa tinggal di rumah tanpa anak-anak.

“....kerja aje dengan ayah. Dapat tolong Nur Najwa di pejabat tu. Kami tengah sibuk sekarang ni dengan penjualan rumah projek Bina Ceria yang sedang dalam pembinaan tu.”

“Ayah ni... orang cakap lain, dia buka cerita lain pulak,” jawab Noor Azizah.

Tapi memang dia cadang nak tanya pasal kerja dengan syarikat ayah aje sekarang ni. Kesian ayahnya tinggal sendirian jika dia ikut arahan pihak pentadbiran kolejnya.

“Ayah nak Jaja kerja dengan syarikat ayah ke?” soal Noor Azizah pura-pura terkejut dengan pelawaan ayahnya itu. Hehehe...

“Jaja kahwinlah... lepas tu tinggal aje sini. Tidaklah ayah tinggal sendirian,” jawab Tan Sri Azizan mudah.

Dari dulu lagi ayahnya pernah offer selepas dia tamat pengajian tetapi ditolak mentah-mentah kerana dia lebih suka mengajar. Dia tidak mahu mengikut seperti di dalam drama-drama Melayu di mana anak-anak orang kaya bekerja dengan syarikat sendiri. Namun, apabila dia kini diarah untuk bertukar dari daerah itu, baru dia terasa akan kepayahan meninggalkan ayahnya yang masih solo.

“Ayah nak Jaja kerja dengan syarikat ayah ke?” tanya Noor Azizah minta kepastian.

“Kalau Jaja hendak, lagi ayah suka...” jawab Tan Sri Azizan bangga.

Kalau anak sendiri yang mengurus, tentu lebih senang. Anaknya itu bukan tidak punya kelulusan?

“Okey... nanti Jaja settlekan dengan pihak kolej untuk surat perletakan jawatan dan ayah kena sediakan jawatan untuk Jaja di syarikat ayah tu.” Petah Noor Azizah mengatur rancangan.

Bagus juga cadangan ayahnya itu... dari dia berpindah keluar dari situ, lebih baik dia terima sahaja tawaran dari ayahnya yang sudah tentu menyenangkan hidupnya. Rumah ada, kereta ada dan Cik Tipah juga ada. Dia sepatutnya sudah mengambil keputusan untuk bekerja dengan syarikat ayahnya sejak dahulu lagi semasa abangnya Najmi memberitahu mahu bermastautin di US. Entah mengapa waktu itu dia tidak terfikir langsung. Dulu dia memang benci sungguh jika anak-anak dari keturunan keluarga yang kaya-kaya itu terus mengambil keputusan bekerja dengan syarikat keluarga.

Pernah dia bertengkar dengan teman lelakinya Khairul Syafiq, yang memberitahu bahawa mamanya yang empunya Maya Sutera, mahu dia bekerja di butik itu sebaik dia tamat pengajian.

“Eleh! Klise sungguhlah family you ni... balik-balik kena kerja dengan syarikat sendiri... macam tak pandai nak berdikari pulak. Bukankah bagus kalau you terima aje lamaran pekerjaan dari gedung-gedung pakaian yang berjenama seperti H&M dan Macy di sana tu? Sekurang-kurangnya dapat cari pengalaman bekerja dengan orang putih di luar negeri,” bidasnya tajam dan pedas.

Namun, apabila dirinya dilanda masalah, dia terpaksa menjilat ludahnya kembali. Tawaran dari ayahnya itu cukup lumayan untuk ditolak. Sudah pastilah dia tidak perlu menyusahkan diri untuk mencari kerja lain atau menyambung belajar untuk mencari kedudukan yang lebih tinggi di kolej tempat dia mengajar itu. Baru dia tersedar diri... tetapi teman lelakinya itu entah ke mana perginya setelah perbuatannya menduakan lelaki itu diketahui.


“SAYA letak anak perempuan saya di bahagian pemasaran. Kita sangat memerlukan orang di bahagian itu sekarang memandangkan tidak lama lagi Bina Ceria akan dibuka untuk jualan,” terang Tan Sri Azizan yang memanggil Nur Najwa datang ke rumah agamnya untuk memberitahu tentang perlantikan baru itu.

Nur Najwa apa ada hal? Dia angguk ajelah.

“Tapi... saya nak bagi surprise,” ucap Noor Azizah sambil petik jari seakan dia ada idea baik punya. “Kalau boleh saya dengan awak macam tidak pernah kenal diantara satu dengan yang lain,” tambah Noor Azizah.

“Saya juga tidak mahu kakitangan tahu saya ni, anak kepada tuan punya Mega Bina Holdings,” sambung Noor Azizah.

Nur Najwa kemudian angguk faham. Nampak macam dia merendah diri pula kerana tidak mahu dikenali sebagai anak Tan Sri Azizan, tuan punya syarikat.

Tan Sri Azizan yang sama berpandangan dengan Nur Najwa itu angkat keningnya sambil mencebikkan bibir. Dia sendiri pun tidak tahu apa motif anaknya berbuat begitu. Nak surpriselah sangat. Habis namanya yang berbintikan Azizan tu nak diletak di mana?

Nur Najwa senyum dalam hati. Sudah tentulah raut wajah tu macam diphotocopy... cuma bezanya dia berambut panjang separas bahu yang dipotong lurus menyerupai penyapu. Jika dia bertudung, mungkin tidak nampak akan persamaan itu.

“Ayah pun, jangan tersasul nak panggil Jaja dekat pejabat tu nanti.” Noor Azizah memberi amaran. “Dekat opis, panggil Cik Noor Azizah,” pesannya lagi.

Tan Sri Azizan senyum sumbing. Bangga juga kerana nama yang isterinya cadangkan untuk anak perempuan mereka itu adalah dari cantuman nama isterinya Normah dan namanya Azizan. Cuma nama anak lelakinya sahaja pilihan Cik Tipah yang sangat teringinkan anak tetapi tidak mampu.


“ORANG perempuan ni, kalau pakai baju kurung kan cantik?” Tegur Tan Sri Azizan pagi itu semasa mereka menghadap sarapan pagi sebelum bertolak ke pejabat. Noor Azizah gemar memakai slack dan blaus berbanding Nur Najwa yang sering berbaju kurung.

Noor Azizah menjeling ayahnya dengan teguran itu. Ni apa hal nak suruh pakai baju kurung pulak?

“Ayah ni, dah tersangkut hati dengan Najwa tu ke?” perli Noor Azizah.

Dia tahu, ayahnya seakan suka dengan penampilan Nur Najwa yang seperti perempuan Melayu terakhir itu. Dia pun suka juga... tetapi tidak biasa dari mula, maka segalanya terasa payah dan serabut rasanya. Apatah lagi hendak mengenakan tudung... adoi! tengok wajah sendiri di cermin pun terasa pelik.

“Tanyalah... lelaki mana yang tidak sukakan perempuan yang berpakaian sopan seperti Najwa tu?” soal Tan Sri Azizan. “Mata memang gatal hendak memandang yang seksi, tetapi kalau isteri sendiri, mereka tentu mahukan yang menutup aurat,” ujar Tan Sri Azizan mengingatkan anak gadisnya.

Noor Azizah mencebik. “Payahlah ayah... serabut. Jaja suka yang ringkas, agar dapat bergerak pantas,” jawabnya pula.

“Keseluruhan tubuh wanita itu merupakan auratnya kecuali muka dan kedua tapak tangan.” Tan Sri Azizan cuba mengingatkan lagi anak gadisnya. “Jika Jaja mendedahkan aurat Jaja untuk perhatian orang, ayah sama menanggung dosa kerana tidak mengingatkan,” tambah Tan Sri Azizan. “Jaja bukan tak tahu balasan di akhirat nanti kepada perempuan yang terdedah auratnya? Bukankah Jaja pernah baca tentang kisah Nabi Muhammad SAW yang diangkat ke langit di hari Isra’ dan Mikraj... di mana baginda ditunjukkan azab yang diterima oleh kaum perempuan yang mendedahkan auratnya?”

“Ayah ni dah nak bertazkirahlah pulak,” tegur Noor Azizah tidak dapat menerima apa yang ayahnya cuba sampaikan itu.

Bukan dia tidak boleh menerima, mungkin kerana lebih kepada rasa malu bila ditegur di hadapan Cik Tipah dan seakan cuba dibandingkan pula dengan Nur Najwa. Lagipun, sebagai tenaga pengajar, dia biasa menegur sebab itu dia tidak dapat menerima bila ditegur.

“Bukankah itu sememangnya tanggungjawab ayah untuk menegur? Jika Jaja dah berkahwin, itu menjadi tanggungjawab suami Jaja pula,” jelas Tan Sri Azizan lagi.

Tan Sri Azizan bukan tidak pernah menegur, tetapi tegurannya itu seakan menjirus air ke daun keladi. Jika masih kecil, boleh juga dipukul bantai. Apabila sudah besar panjang, Tan Sri Azizan berharap benar anaknya itu mendapat hidayah dan akan berubah ke arah yang lebih baik. Tidaklah bersusah payah dia hendak membebel atau bertazkirah yang sudah tentunya tidak digemari oleh anak-anak yang berpelajaran tinggi dan berkerjaya seperti anak-anaknya.

Itu sebabnya semasa pertama kali dia bertemu dengan Nur Najwa secara tidak sengaja suatu pagi itu, dia terus tertarik hati dengan penampilannya. Hatinya terasa sejuk memandang wanita itu dan terus terpanggil untuk membantu mendapatkan kerja di syarikatnya walhal, semasa dia menelefon Hans Yusof, pengurusnya itu, beliau sudah ada seorang yang memenuhi kriteria jawatan yang ditawarkan.

“Tan Sri, kalau Nur Najwa tu payahlah sikit... perempuan tu kan bertudung? Masakan dia hendak mengikut saya ke sana ke mari?” Begitu jawab Hans Yusof semasa ditanya oleh Tan Sri Azizan tentang temuduga yang dijalankannya pada hari itu.

“Awak nak bawak dia ke mana?” soal Tan Sri Azizan dengan pernyataan pengurusnya itu.

“Tak adalah... sopan ayu macam tu, mampu ke dia buat kerja yang diarahkan nanti?”

“Dia ada bersama saya sekarang ini... dan saya gerenti dia mampu buat apa yang awak arahkan nanti, melainkan yang di luar dari batasnya.”

“Baik Tan Sri,” jawab Hans Yusof menerima arahan.

“Ayah carikan suami ustaz untuk Jaja, nanti Jaja berubah macam Najwa tu,” jawab Noor Azizah memecahkan lamunan ayahnya.

Tan Sri Azizan merenung wajah anaknya. Perangai dan sikapnya lebih kurang Nur Najwa sahaja kerana masing-masing tegas dan tangkas dalam melakukan kerja-kerja yang dipertanggungjawabkan. Apa orang lelaki boleh buat, mereka juga mampu melakukannya. Cuma bezanya, anaknya Noor Azizah ini kurang sifat femininnya.


“BOS!” panggil Tina yang menghantar masuk surat-surat yang perlu diambil perhatian oleh Nur Najwa di bilik pejabatnya. “....bini baru Tan Sri ke tu?” tanyanya ingin sangat tahu kerana Tan Sri Azizan datang bersaing dengan Noor Azizah satu kereta dihantar oleh Pak Hussin.

“Entah!”

Nur Najwa angkat bahu.

“Manalah akak tahu,” jawab Nur Najwa tanpa melihat wajah kepoh yang bertanya. Dia mula menarik surat-surat rasmi yang siap dibuka untuknya, tinggal ditandatangan sahaja untuk disimpan di dalam fail.

“Ala bos... dia yang dah biasa dengan keluarga Tan Sri tu... tak kan tak tahu kut?” usik Tina sambil berpaling untuk keluar dari bilik itu.

Dia pun pandai juga menghormati bos barunya, staff kesayangan Tan Sri Azizan itu. Kalau baik prestasi kerjanya sudah tentu cepat naik pangkat serta naik gaji juga. Siapa sangka wanita itu dulu cuma setiausaha sahaja? Bila Hans Yusof meletakan jawatan, Tan Sri Azizan terus mengarahkan Nur Najwa mengambil alih jawatan itu sementara dia melantik pengurus baru.

Suasana di dalam Mega Bina Holdings itu kini bertambah gosipnya apabila Tan Sri Azizan datang dengan seorang lagi perempuan muda. Eksekutif bahagian pemasaran itu dilihat bukan main mesra lagi dengan Tan Sri Azizan. Siap pegang-pegang lengan dan kekadang tu Tan Sri Azizan sendiri berjalan sambil memeluk bahu perempuan itu. Amboi! Tak sangka boleh tahan juga perangai Tan Sri Azizan itu.

Nur Najwa hanya memberikan senyuman. Dia sudah berjanji dengan Noor Azizah untuk tidak saling mengenali, jadi dia tidak berani hendak memberikan apa-apa komen tentang hal itu.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh