Home Novel Komedi/Romantik Komedi YANG MANA SATU NI?
Bab 8 ~ Pelancaran Rumah Contoh

“TIPAH dah lama nak tanya pasal Najmi, apa cerita dia dan anak isterinya tu?” tanya Cik Tipah satu pagi di meja sarapan ketika melayan Tan Sri Azizan yang tinggal berseorangan. Rindu benar dia dengan anak lelaki tunggal Tan Sri Azizan yang dipelihara sejak lahirnya itu.

Tan Sri Azizan memandang wajah yang bertanya. Dia tahu setelah kematian isterinya, Cik Tipahlah yang banyak membantu dia mengurus rumah itu walau dalam keadaan cacat. Tan Sri Azizan benar-benar terhutang budi dengan Cik Tipah yang bertahan menunggu dia dan keluarganya.

“Hurm... entahlah,” sahut Tan Sri Azizan malas.

Perangai Najmi mengecewakan Cik Tipah yang membesarkannya sejak kecil. Perangai Najmi membuatkan Cik Tipah rasa bersalah di atas kematian Puan Sri Normah. Sebab itu Tan Sri Azizan cuba mengelak dari menjawab pertanyaan tentang Najmi yang kini sudah diketahui akan kedudukan rumahtangganya yang mula dilanda badai itu.

“...kalau dia sedar dirinya siapa, baliklah dia tu nanti,” jawab Tan Sri Azizan cuba menyenangkan hati Cik Tipah.

Cik Tipah tu bukan apa... dia kasihan melihat lelaki itu menduda begitu lama. Kasihan melihat dia bersendirian. Jika ada anak dan cucu tinggal bersama, tentu dapat menghiburkan hatinya yang kerinduan. Cik Tipah hanya dapat membantu mana yang mampu sahaja.

“Habis... hal abang tu macam mana?”

Tan Sri Azizan melurutkan sedikit akhbar yang dibacanya itu sambil mengangkat kening bertanya.

“Hal apa?”

“Hal yang Tipah dan Pak Hussin cadangkan tu?”

Sudah beberapa kali dia cadangkan agar Tan Sri Azizan mengambil setiausaha di Mega Bina Holdings itu menjadi isterinya. Kebetulan juga Pak Hussin ada memberitahu bahawa si setiausaha itu juga kebetulan baharu sahaja menjanda.

“Tipah rasa... sesuai ke?”

Tan Sri Azizan masih bertanya tetapi wajahnya disembunyikan di sebalik akhbar yang dipegang. Malu kut? Dah pangkat ayah aje dia dengan Nur Najwa tu. Makanya dia pulak bukan dari golongan lelaki yang macam Dato’ Khairy tu asyik kerja hendak mencari saja... tak cukup dengan satu.

Cik Tipah memandang mencari wajah Tan Sri Azizan. Kemudian dia memberikan senyuman nipis segaris.

“Kata Ustaz Kazim Elias, orang lelaki ni tak patut menemui Allah dalam keadaan dia bujang.”

Cik Tipah tiba-tiba dapat idea untuk menyuarakan apa yang didengar dari ceramah Ustaz Kazim Elias dalam sebuah program yang membincangkan perihal kekeluargaan di Astro Oasis dengan tajuk Kalau Dah Jodoh.

“Abang kan seorang yang berkemampuan dari segi zahir dan batin?”

Tan Sri Azizan cepat melipat akhbar bila Cik Tipah buka kisah berkahwin lagi. Seram sejuk dia jadinya. Kisah lamanya mula berlumba-lumba mahu memutarkan tayangan percuma di minda pagi-pagi buta itu yang boleh membuatkan moodnya tonggang terbalik pula nanti.

Cawan kopi diangkat ke bibir. Kopi yang sudah sejuk itu terus dihirup sekali nafas. Memang kurang sedap masuk ke tekaknya. Sedap lagi kopi yang dibekalkan oleh Pak Hussin pada setiap pagi. Dia pura-pura menelek jam di pergelangan tangan.

“Abang pergi dululah,” kata Tan Sri Azizan cepat mahu melarikan diri.

“Fikirkan cadangan Tipah tu bang!”

Tan Sri Azizan hanya angkat sebelah tangan tanpa menoleh lagi.


HARI itu, Mega Bina Holdings melancarkan penjualan rumah Bina Ceria di atas tanah berkeluasan 300 ekar. Mereka yang berminat dialu-alukan datang melihat rumah contohnya. Seawal pagi, kawasan di hadapan bangunan Mega Bina Holdings itu telah dipenuhi orang ramai yang datang berduyun-duyun untuk dibawa melihat rumah contoh yang telah disediakan.

“Inilah rumah kedai tiga pintu yang papa beli tu.”

Nur Najwa terdengar suara seperti yang dikenalinya berada sama di dalam ruang yang tertebeng dengan logo sebesar alam bertulis ‘We Deliver Home In Paradise’ yang berlambangkan rumah di dalam taman. Replika model-model rumah dan pelan pembangunan Bina Ceria dipamerkan di atas meja besar di tengah-tengah ruang pameran untuk dirujuk oleh pelanggan.

Setiap blok rumah akan di sertakan dengan sebuah taman untuk penghuni berehat bersama anak-anak di hujung minggu atau beriadah kerana tersedia laluan berbasikal dan untuk orang berjoging. Di hadapan setiap rumah itu sudah ditanam dengan pokok-pokok yang dapat menyejukkan si penghuni itu sendiri. Tidak seperti sesetengah taman perumahan yang lapang tanpa ditanam dengan pokok-pokok yang boleh menyebabkan kawasan tersebut menjadi sangat panas.

“Excuse me?”

Nur Najwa menoleh ke arah suara yang sudah dekat di lubang telinga.

“Karl?” ucapnya sedikit terkejut walaupun tadi dia memang sudah menyangka jejaka itu berada sama di situ.

“Meet my mom, Datin Sabariah.” Khairul Syafiq memperkenalkan mamanya kepada Nur Najwa. Mereka bersalaman. “Inilah Nur Najwa yang Along ceritakan pada mama tu.”

Sudah beberapa kali dia membuka cerita tentang Nur Najwa dengan mamanya untuk memberi klu tentang kemahuannya. Akhirnya dia dapat peluang untuk mempertemukan wanita yang sering diceritakan itu dengan mamanya di majlis pelancaran rumah berkembar Bina Ceria, anak syarikat Mega Bina Holdings.

Datin Sabariah merenung Nur Najwa dari atas ke bawah. Perempuan janda berhias inilah rupanya yang ditunggu oleh anaknya dan sama digilai oleh suaminya. Patutlah... memang manis wajahnya dan kelihatan murah senyumnya. Namanya sudah lama didengar, tetapi itulah pertama kali dia berpeluang melihatnya dari dekat. Dia memang sudah lama menyimpan hasrat untuk bertemu empat mata dengan wanita yang bergelar janda berhias yang diminati oleh suaminya itu. Perubahan pada diri suaminya itu cepat sahaja dihidu.

“Papa ada projek baru ke Along?” tanya Datin Sabariah satu petang ketika kelibat anaknya itu baru sampai ke rumah.

Geram betul dia bila ditanya kepada suaminya tidak mahu mengaku pula. Tetapi angin sepoi-sepoi bahasa sudah mula meniup cuping telinganya dengan gosip yang berbau skandal itu. Entah apa biji butir yang diborakkan oleh teman-teman di kelab itu tidak didengarnya... yang pasti ayat ‘janda berhias’ itu lepas sahaja masuk ke lubang telinga. Setelah dikaji selidik, ternyata Nur Najwa itulah orangnya. Memang ayu dan manis... muda pula tu, siapa yang tak makan hati?

“Kenapa?” bertanya Khairul Syafiq pula.

“Orang dekat kelab tu dah puas bercakap, mama aje yang pekakkan telinga.” Datin Sabariah mengadu kepada anaknya. Tentu anaknya itu tahu apa projek yang sedang dijalankan oleh bapanya.

Pejam celik mata Khairul Syafiq mengingat. Rasanya memang tak ada projek terkini kerana pejabat baru Maya Sutera itu pun masih belum siap kerja-kerja pengubahsuaiannya. Dia banyak di lokasi lama jadi disangkanya papanya tentu sibuk mengurus lokasi yang baharu.

“Rasanya tak ada ma, tapi tak tahulah kalau papa tak beritahu Along pasal tu.”

“Along tolonglah tengok-tengokkan sikit papa tu. Dia kan dah pernah menduakan mama dulu, tak mustahil dia ada agenda untuk pasang lagi satu,” ujar Datin Sabariah yang seakan dapat menghidu rasa kurang enak kebelakangan ini.

“Mama dah letih hendak melayan perangainya. Kalau dia masih mahu mencari yang lebih baik dari mama, kali ini mama akan mengalah. Biarlah dia rasa hidup dengan isteri baru tanpa mama. Biar pula dia rasa susah senangnya hidup membina semula rumahtangga di usianya itu.”

“Mama rasa papa ada skandal ke?”

Datin Sabariah angkat bahu. Jika memang sudah tertulis dia bakal hidup bermadu, dibuat bagaimana baik pun, perkara itu tetap juga akan berlaku. Sekarang ini dia pasrah jika benar berlaku lagi. Daripada suaminya main sorok-sorok yang boleh menambah sakit hatinya, biarlah dia minta dilepaskan. Kalau dah tinggal sendiri, dia bebas lakukan apa yang dia mahu tanpa rasa cemburu di hati.

“Dia sukakan janda berhias, yang kerja di Mega Bina tu,” tutur Datin Sabariah sebak.

Siapa yang tidak merasa sedih bila sudah berusia begini suami mula pasang angan-angan untuk mencari yang muda? Sedangkan dia sendiri sudah sama berusia, tidak sedarkah?

“Lelaki ni makin tua makin laku Datin.”

Teringat kata-kata seorang dari temannya yang menyampaikan berita itu kepadanya pada suatu hari.

“Lagi-lagi lelaki yang berharta macam Dato’ tu.”

Yalah... nak buat macam mana? Bukannya boleh diputar kembali masa yang lalu. Lebih baik dia mengalah dari dia terus berbalah yang akhirnya bisa mengundang parah. Tidak perlu dia bertekak untuk menegakkan haknya sedangkan si suami masih dengan kehendaknya. Lagipun anak-anaknya sudah besar, mereka tahu dan mengerti apa yang berlaku nanti.

“Janda berhias? Siapa tu?”

Datin Sabariah merenung wajah anaknya. Oo... dia terlupa bahawa anaknya sama sukakan janda berhias itu, Cuma mungkin dia belum mengetahui identiti sebenar perempuan itu. Kalau untuk anaknya dia memang setuju benar. Tetapi sekarang wanita itu sedang menjadi rebutan antara anak dan suaminya pula.

“Najwa yang Along selalu cerita dengan mama tu?”

“Hah!?”

Datin Sabariah angguk.

“Papa minat dengan Najwa tu juga? Biar betul mama ni...”

“Ya! Kalau tak percaya cuba tanya Budin...”

Puas Budin, pemandunya itu disoal siasat berhubung dengan resit dari Blooming Florist yang ditemuinya itu. Mau tak mau, si Budin terpaksa memberitahu walau dia dah ‘kaw tim’ baik punya dengan si Tina penyambut tetamu Mega Bina Holdings itu.

“Ada yang berminat?” Pertanyaan dari Nur Najwa itu memecahkan lamunan Datin Sabariah. “Kalau rasa tak cukup besar, yang rumah berkembar ni boleh ambil dua pintu sekali, tapi kena renovate sikitlah,” ajar Nur Najwa kerana tadi ada beberapa pasangan yang mendapat idea sebegitu.

Jika hendak membeli sebuah banglo, harganya agak mahal juga. Jika diambil rumah berkembar itu terus dua pintu, memang tidak dinafikan akan keluasannya. Satu pintu rumah berkembar mempunyai 4 bilik tidur dan 3 bilik mandi. Bayangkan jika diambil dua pintu sekali? Mau tak besar jadinya? Bolehlah dapat halamannya kiri dan kanan sekali walaupun tidaklah sebesar padang bola. Boleh juga memuatkan sehingga 6 biji kereta.

“Mama berminat ke?” tanya Khairul Syafiq kerana tadi mamanya beria-ia minta dibawakan ke situ apabila dia mendengar ada pelancaran rumah contoh Mega Bina pemaju Bina Ceria itu.

“Bukankah papa kamu dah beli rumah kedai tiga pintu di Jalan Senyum Ceria tu?” sahut Datin Sabariah. “Nak buat apa banyak-banyak rumah?” sambung Datin Sabariah lagi. Banyak rumah kang, pandai pula dia pasang cawangan, fikir Datin Sabariah. Padahal niatnya memang mahu ketemu dengan tuan yang empunya nama Nur Najwa itu.

Serta merta Nur Najwa berdeham dan terbatuk beberapa kali. Terkejut betul dia dengan insiden tengah hari itu. Pernyataan dari Datin Sabariah tadi terus membawa mindanya kepada Dato’ Khairy. Kalau Datin Sabariah tahu suaminya pernah cuba memikat dirinya, macam mana? Mau kena ganyang tengah khalayak ni pula karang. Adoi!

Pada hari pelancaran itu, pengunjung yang datang untuk melihat rumah contoh dijamu dengan makanan seolah Tan Sri Azizan itu sedang mengadakan kenduri kahwin pula. Nur Najwa cepat mengajak Datin Sabariah ke khemah untuk menjamu selera. Datin Sabariah yang terasa mahu sangat mendekati Nur Najwa itu menurut.

“Jom Along! Mama rasa lapar pulak,” katanya sambil melihat jam di tangan yang sudah menunjuk hampir ke pukul satu tengahari.

Mereka bertiga beriringan ke khemah yang ditempatkan di luar bangunan pejabat rumah contoh itu. Datin Sabariah sengaja mencari peluang untuk duduk semeja dengan Nur Najwa agar dia dapat bercakap empat mata dengan Nur Najwa yang menjadi rebutan antara anak dan suaminya. Adakah Nur Najwa tahu akan hal itu? Adakah Nur Najwa sengaja mahu memporak perandakan rumahtangganya? Semua itu akan diselidikinya.

“Dah lama kerja dengan Mega Bina?” tanya Datin Sabariah ramah.

“Dekat empat tahun,” jawab Nur Najwa lurus.

Datin Sabariah angguk sambil matanya memandang ke arah Khairul Syafiq yang sedang mengisi makanan di dalam pinggan di meja buffet.

“Boleh saya jumpa awak bila-bila satu hari nanti?” Datin Sabariah cuba mengatur satu temujanji. Masakan dia mahu bertanya di situ? Jika didengar oleh anak kesayangannya itu bagaimana?

Nur Najwa berpusing memandang wajah yang bertanya. “Boleh Datin, tak ada hal... tapi ada apa ye?”

Mata Datin Sabariah masih mengerling melihat kelibat anaknya. Nur Najwa macam sudah mengagak apa yang mahu dicakapkan oleh Datin Sabariah kepadanya.

“Di sini tak sesuai... saya tak nak Karl dengar. Nanti saya call waktu lunch hour esok,” ujar Datin Sabariah.

“Sure,” jawabnya sopan.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh