Home Novel Komedi/Romantik Komedi YANG MANA SATU NI?
KOPI CAP TV

     “HUSSIN! Jangan lupa kopi saya,” jerit Tan Sri Azizan di depan pintu besar bangunan pejabat Mega Bina Holdings.

     “Baik tuan!”

     Pak Hussin, pemandu Tan Sri Azizan sama menjerit menyahut arahan dari tuannya. Memang setiap pagi, Pak Hussin sudah tahu akan tugasnya mencarikan secawan kopi dari warung Pak Ya.

     Kalau tengok cerita orang putih di TV tu, masing-masing sibuk dengan kopi dari Starbuck. Tetapi tuannya ini lain sikit... dia mahukan kopi yang dijual di warung pula. Sebab itu Pak Hussin siap minta thermos flask dari Cik Tipah. Masakan hendak diisi di dalam plastik aje atau dalam tin susu macam zaman P. Ramlee dulu?

     Mula asalnya, Tan Sri Azizan tertinggal bekalan air kopinya di rumah. Makcik yang selalu membuatkan kopi untuknya di pejabat, kebetulan bercuti sakit. Tan Sri Azizan itu pula sedikit cerewet orangnya. Dia tidak mahukan kopi two in one atau three in one yang mudah diguna itu kerana sudah terbiasa mendapat kopi bancuhan sendiri dari rumah.

     Maka Pak Hussin diarah untuk mendapatkan bekalan air kopi untuknya yang ketika itu memang sedang sibuk mengurus projek rumah kedai. Pak Hussin yang kebetulannya sedang menebeng di warung temannya tidak berfikir panjang terus sahaja membelinya dari warung itu. Nampak gaya, selera Tan Sri Azizan sudah tersangkut dengan kopi dari warung Pak Ya, semenjak dari hari itu.

     “Kopi apalah kau guna ni Ya, sampai tuan aku tu ketagih. Jangan sampai direndam dengan seluar dalam sudahlah,” leter Pak Hussin. Teringat dulu ada kisah sebuah warung makan yang merendam seluar dalam ke dalam periuk masakannya sebagai pelaris, Pak Hussin naik geli geleman.

     Sebagai pemandu, setiap pagi dia akan menghantar tuannya ke pejabat. Dia kemudian akan menaiki motosikal kapcainya ke warung Pak Ya hanya untuk mendapatkan bekalan kopi O kaw dari situ. Mercedes berbentuk lipas yang menjalar itu tidak berani dibawa melalui jalan masuk ke warung Pak Ya yang kecil bimbang digesel oleh motosikal-motosikal yang banyak digunakan oleh penduduk di kawasan kampung berdekatan.

     “Isy! Kamu ni Hussin, mulut tu jaga sikit. Aku ni masih ada agama lagi... tak ada maknanya aku nak guna ilmu yang tidak berfaedah itu untuk melariskan warung tempat aku cari makan ni,” ujar Pak Ya sambil menuangkan kopi yang siap dibancuh ke dalam bekas tahan panas yang dibawa oleh Pak Hussin.

     “Kamu guna kopi apa Ya?” soal Pak Hussin yang melihat pelanggan Pak Ya rata-rata minta kopi O kaw bila ke situ.

     “Kopi impot...” jawab Pak Ya. “...aku impot dari Johor.”

     “Ada orang yang bekalkan? Cuba beri aku sekilo, biar aku beri tuan aku tu. Boleh dibuat di rumahnya setiap pagi. Tidaklah perlu aku datang ke sini tiap-tiap hari.”

     “Alah... Rahman yang kerja dengan Kastam di Tanjung Pelepas tu yang bekalkan aku setiap bulan.”

     “Oo... si Rahman Isa tu ke?”

     “Ha’ah.”

     “Kopi apa tu?” tanya Pak Hussin gaya polis pencen pula. Bukan main jauh lagi Pak Ya dapatkan bekalan? Di sini tak ada bekalan kopi ke?

     “Kopi Cap TV dari Kluang, Johor. Menurut kata Rahman, almarhum Sultan Iskandar Johor dulu tu memang gemarkan kopi Cap TV. Itu yang famous sangat kalau di Johor tu. Aku ni pertama kali dikenalkan dengan kopi tu masa ke rumah si Rahmanlah.” Terang Pak Ya sambil menunjukkan bekas tin kopi yang diguna di warungnya itu. Berlabelkan televisyen yang berkaki waktu zaman gambarnya masih hitam putih dulu.

     “Hisy! TV zaman nenek aku dulu tu,” tegur Pak Hussin.

     “Ha’ah... kalau aku anak tokeh ni, dah lama aku tukar gambarnya jadi TV LCD flat screen,” usik Pak Ya sedikit berloyar buruk.

     “Cukup ke bekalan yang dibawanya untuk kamu di warung ni?”

     “Dulu tu pernah juga putus, aku mintak tolong dengan si Koi anak Pak Seman yang kerja dengan kilang Mamee tu dapatkan bekalan kopi 434 dari Muar, tapi orang tua-tua di sini memang dah ketagih dengan yang Cap TV tu. Mereka kenal rasanya yang berlainan. Tapi Alhamdulillah... sekarang ini bekalan kopi Cap TV tu memang mencukupi.”

     Panjang lebar Pak Ya bercerita kisah bagaimana asalnya dia membuka warung dengan memperkenalkan kopi Cap TV yang dibekalkan oleh teman lama mereka yang bekerja dengan Jabatan Kastam di Tanjung Pelepas, Johor itu.

     Di kawasan perumahan kos rendah yang masih dikelilingi dengan beberapa buah kampung yang berhampiran itu, warung kopi memang mudah didapati. Mungkin kerana mereka hanya perlu mendapatkan permit sahaja dari Majlis Perbandaran berbanding membuka restoran yang memerlukan lesen berniaga pula.

     Kalau dulu ada sebuah lagi warung yang diusahakan oleh Mak Siti, seorang ibu tunggal. Warung Mak Siti dulu ada menyediakan dengan menu sarapan yang mengiurkan. Bukan sahaja pelanggannya terliur dengan masakan Mak Siti, malah sama terliur dengan anak daranya yang bijak pandai tetapi payah hendak dipikat.

     Latifah, anak sulong Mak Siti yang sama pandai membuat kerja itu merupakan perempuan pertama di kampung itu yang belajar sehingga keluar negeri. Orang yang ingin melihatnya, cuma dapat tengok tangga rumah Mak Siti sahaja kerana Latifah, jarang benar keluar dari rumah jika balik bercuti di kampung.

     Memang penuh warung Mak Siti itu dengan pelanggan tidak kira pagi dan petang. Apatah lagi dia akan menyediakan lauk-lauk kampung untuk makan tengahari. Maka penduduk di sekitar kawasan perumahan itu tinggal masak nasi sahaja.

     Kini warung Mak Siti sudah lama tidak beroperasi setelah Mak Siti meninggal dunia. Anak perempuannya yang dua orang itu tidak bercadang mahu menyambung usaha arwah Mak Siti kerana mereka berkelulusan semuanya dan kini sudah tinggal di bandar. Automatik, warung dan rumah itu ditinggalkan usang begitu sahaja. Mereka juga tidak pernah lagi kembali ke situ menjengok apa yang telah berlaku.

     Bagi mereka yang sudah biasa dengan masakan Mak Siti itu terasa rindu juga dengan air tangan dan ramah mulutnya. Warung Pak Ya pula hanya menyediakan minuman sahaja. Kuih muih, nasi lemak, mihun dan mi goreng yang dibungkus dalam daun pisang itu dibekalkan oleh penduduk dari perumahan yang berdekatan.

     Yalah... Pak Ya tu kan duda, masa bila dia hendak memasak nasi lemak, menggoreng mi dan mihun? Setakat buat air dan roti bakar... lepas juga buat duit kocek dia yang tinggal menduda itu. Ramai aje yang menebeng tak kira masa. Tambah kalau hari hujan, yang tidak menoreh tu duduk bertunggu tangga berjam-jam sambil main dam haji yang sengaja dilukis di atas meja kayu. Cepernya pula diguna dari penutup botol sahaja. Cawan kopi dah dekat sedozen atas meja itu dipesan sejak pagi. Kalau tidak dihambat dengan bini masing-masing, mau sampai esok pagi. Pak Ya suka aje... dapat temankan dia yang sendirian berniaga. Walaupun dia tahu, di hujung hari nanti harga yang diminum akan dimasukkan ke buku tiga lima.

     Sebuah Kelisa yang berhenti pagi itu membuatkan lebih 20 biji mata tertumpu ke arahnya. Seorang perempuan yang kelihatan sopan berbaju kurung dan bertudung menjimbit sebuah bakul yang dipenuhi dengan nasi lemak yang berbungkus dengan daun pisang dan sebuah bakul lagi dipenuhi dengan kuih muih.

     Perempuan janda berhias itu sangat dikenali oleh penduduk di situ kerana majlis walimahnya yang bertukar menjadi tragedi. Puas orang taman makan nasi minyak free hari itu selepas majlis sanding yang tidak jadi. Ada yang datang siap bawa bekas kosong dari rumah. Senang sampai malam tak payah masak. Kumpulan ghazal yang dijemput oleh Pak Din untuk memeriahkan majlis sanding anaknya itu juga tidak membuatkan persembahan. Kecewa budak-budak yang sudah mula berkumpul di barisan paling depan hendak melihat orang menari joget lambak.

     Ada beberapa orang pemuda dan jejaka di kawasan itu yang cuba untuk mengisi jawatan kosong itu, tetapi sehingga setakat ini masih belum dipeduli. Langkahnya yang berkasut tumit tinggi itu diperhati.

     “Assalamualaikum Pak Ya!” tegur suara itu ramah.

     “Waalaikumsalam,” menjawab tuan punya warung yang dipenuhi dengan pelanggan lelaki di situ yang masih lagi belum mau bergerak pulang kerana menunggu nasi lemak yang dibawa oleh si janda berhias itu.

     “Lambat Wa?” tanya Pak Ya yang sudah cemas kerana pelanggannya asyik bertanyakan nasi lemak yang hendak dimakan bersama secawan kopi cap TV.

     “Terlajak tidur Pak Ya... semalam layan ayah tengok bola.”

     Buntang mata Pak Ya mendengar pernyataan Nur Najwa. Alangkah bahagianya jika dia juga punya anak gadis yang rajin meneman dia di warung itu berniaga. Tentu tambah maju dan dapat dia membuka restoran pula. Nur Najwa meletakkan dua buah bakul yang sarat berisi itu ke atas meja.

     “Nanti Pak Ya susunlah ya? Wawa dah lambat ni,” kata wanita itu terus berpaling menapak kembali ke Kelisanya.

     Pak Ya sama memerhati langkah anak Pak Din. Dulu Pak Din itu mahu dijodohkan dengan Latifah anak Mak Siti yang belajar di luar negeri. Tetapi pinangannya ditolak kerana Latifah sudah punya pilihan sendiri. Semenjak Mak Siti menjadi ibu tunggal, Pak Din menjadi pembantu di warung Mak Siti setiap pagi sebelum pergi kerja dan datang lagi sebelah petang untuk membantu menutup warung. Mak Siti berkenan sangat dengan Pak Din yang ringan tulang itu.

     “Hah! Apa yang korang pandang? Nak kena korek biji mata tu dengan Pak Din?” tegur Pak Ya kepada pelanggannya yang rata-rata lelaki kesemuanya.

     Pak Ya kemudian menghulurkan bakul yang berisi nasi lemak yang ditunggu oleh pelanggannya. Sementara itu dia mengatur kuih-kuih dari bakul yang lagi satu masuk ke pinggan. Pak Ya senyum senang bila masing-masing sudah sibuk menjamu nasi lemak pagi itu. Pak Ya tahu, kawan-kawannya yang menjadi pelanggan tetap di warungnya itu bukan takutkan Pak Din, tetapi lebih takutkan isterinya Mak Zah. Wanita itu baik hatinya, namun mulutnya... masya-Allah.

     Jika dia mula marah, ceramahnya memang tidak ada baris dan tidak ada noktah. Panjang betul. Siapa yang berani hendak berdebat dengan Mak Zah tu? Siaplah kalau dia mula dengar namanya timbul di dalam gosip tempatan... berlenggang dia datang menyerang.

     Sebab itu dia tinggal aman damai di rumahnya, tiada siapa yang berani hendak jadi AJK mesyuarat tingkap melainkan Mak Zah sendiri yang membuka agenda mesyuaratnya. Itupun hanya di tepi jalan selepas membeli ikan dan sayur dari pasar bergerak kepunyaan Pak Mail yang terkenal di kawasan itu.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh