“ITULAH Tan Sri... kakitangan sikit punya
ramai, yang Tan Sri nak menyibukkan diri juga tu kenapa?” marah Pak Hussin
sambil menghulurkan sebotol air mineral untuk diminum dengan ubat darah tinggi
yang diambilnya.
Semasa
waktu makan tengahari tadi, bila Pak Hussin menghulurkan ubatnya, dia hanya
menyikunya sahaja. Kenapa? Malu ke? Selepas menjawab panggilan dari Najmi,
tiba-tiba dia berpeluh sejuk dan mengurut dadanya.
“Bukan
pasal itulah Hussin... Najmi call tadi...”
Dia masih lagi menyandar di kerusi bilik
pejabatnya. Butang baju kemeja sudah dibuka hingga ke paras perut. Pak Hussin
pula sibuk memicit remote penghawa dingin untuk mencari suhu yang lebih sesuai.
“Dia dah nak balik?” tanya Pak Hussin
berpaling memandang Tan Sri Azizan.
“Dia dah bercerai...” ujar Tan Sri Azizan.
Pak Hussin sama beliak mata. “Habis, si
kecik tu macam mana?” Automatik Pak Hussin menyoal bertanyakan tentang cucu Tan
Sri Azizan. Dia tahu juga serba sedikit cerita tentang anak sulong Tan Sri
Azizan yang bernama Najmi itu.
“Saya
suruh Najmi bawak balik ke mari.”
Pak Hussin angguk setuju dengan cadangan
majikannya itu. Dia kemudian melabuhkan duduknya di sofa menghadap Tan Sri
Azizan yang menyandar keletihan. Duit banyak, rumah besar, tak teringin ke Tan
Sri ini menikah lagi? Sekurang-kurangnya adalah isteri yang dapat menjaga makan
pakainya. Apatah lagi di waktu tidak enak badan begini. Orang yang kerja kuli
itu pun masih merah lagi tanah kubur si isteri sudah mula resah hendak mencari
pengganti.
“Tan Sri tak ada cadangan untuk menikah
lagi ke?” tanya Pak Hussin tanpa berkira-kira.
“Hukhukhuk!” Tan Sri Azizan tersedak.
Bersembur-sembur air mineral yang baru diteguknya itu. Apa hal dia orang semua
ni sibuk nak suruh aku kahwin? Desis Tan Sri Azizan.
Pak Hussin memang dah tak sayang mulut
lagi. Jika Tan Sri Azizan marah pun dia tidak hairan kerana dia runsing dengan
kesihatan Tan Sri Azizan yang tidak terjaga itu. Kebelakangan ini dia
dibebankan pula dengan masalah anak yang hanya dua orang itu sahaja. Kalau anak
sepuluh macam orang yang tinggal di kampung itu, entah macam mana pula
kesihatannya.
Tan Sri Azizan pula dikejutkan dengan
pertanyaan itu. Bermakna sudah masuk kali ketiga dia diajukan dengan pertanyaan
serupa itu. Baru-baru ini, anaknya Noor Azizah dan Cik Tipah juga ada
menyoalnya sedemikian.
“Siapalah yang mahukan orang tua macam
saya ni Sin?” soal Tan Sri Azizan sedikit menegakkan badan bila diajukan dengan
soalan itu.
Bila sering diajukan dengan soalan itu,
mindanya mula berfikir mencari wajah-wajah yang boleh dijadikan teman hidupnya.
Lama sungguh dia buat tidak tahu sahaja dengan urusan itu walau di dalam hati
ada juga terfikir untuk beristeri lagi. Memandangkan dua anaknya itu masih
belum lepas lagi, maka dia pendamkan dahulu hasratnya. Tetapi kesihatannya
kebelakangan ini sedikit terganggu dengan kejadian yang menimpa anak lelakinya
itu. Sakit peningnya hanya Pak Hussin sahaja yang diberitahu.
“Yang dah ada di depan mata tu, Tan Sri
tak nak cuba ke?”
Depan mata? Tan Sri Azizan terus duduk
menegak sambil membutangkan kembali baju kemejanya. Dahinya berkerut-kerut hendak
menjawab pertanyaan Pak Hussin. Cik Tipah ke?
“Siapa Sin?” Tan Sri Azizan pura-pura
bertanya. Padahal dia tahu Cik Tipah ada mencadangkan dia mengambil Nur Najwa
setiausaha di Mega Bina Holdings itu. Tetapi mana tahu jika Pak Hussin pula
mahu mencadangkan agar diambil Cik Tipah itu sahaja memandangkan wanita itu
memang sentiasa ada di depan mata?
“Puan Najwa tu?”
“Hisy! Kamu ni Sin... muda sangat untuk
saya tu,” ujar Tan Sri Azizan dengan senyum kelat.
Tidak disangka Pak Hussin dengan Cik Tipah
sama sekepala menaruh cadangan agar dia menikahi Nur Najwa.
Alah! Itu semua kan bisa diatur? Desis
hati Pak Hussin.
“Itulah
Tan Sri ni asyik-asyik nak ambil hati anak-anak dan asyik nak jaga kebajikan
orang lain. Diri Tan Sri sendiri, ada sesiapa ke yang nak ambil peduli?” Marah
Pak Hussin.
“Waktu macam sekarang ni, siapa yang ada
nak ambil tahu? Orang hanya pandai bercakap aje,” tambah Pak Hussin lagi yang
tidak peduli sekarang ini. Apatah lagi majikannya itu berkemampuan dari segala
segi. “Ustaz Azhar yang dah berbini dua tu pun masih cari lagi, setakat Tan Sri
yang mahu mencari pengganti ni, apa ada hal?”
Tan Sri Azizan terdiam bisu. Ada ke Nur
Najwa? Muda gila kut? Lebih kurang baya anak-anak dia aje. Sudah pasti anak
perempuannya Noor Azizah tidak menyetujui cadangan itu.
“Kalau
saya risik-risik dengan Pak Din dan bagi klu sikit, macam mana Tan Sri?”
“Jaja
macam mana? Mahu ke dia?” sempat Tan Sri Azizan bertanya masih mengelak kalau
boleh.
Pak Hussin merenung wajah lesu yang masih
mahu memikirkan soal anaknya yang sudah besar panjang itu.
“Dia tentu suka jika melihat ayahnya sudah
ada orang yang jaga,” pujuk Pak Hussin memutar anggapan kepada yang lebih
positif.
Tan Sri Azizan mengangkat wajah merenung
Pak Hussin. Pak Hussin angguk dengan senyum segaris.
“Lihat sekarang ni aje Tan Sri... mana dia
ada di sini hendak menunggu ayahnya? Kalau ada isteri ni lain sikit Tan Sri,”
pujuk Pak Hussin lagi.
Tan Sri Azizan angguk faham. Memang benar...
waktu sakit inilah terasa mahukan belaian seorang isteri. Macam mana sibuk dan
garang isterinya dulu, waktu dia tidak enak badan, si isteri akan berada di
samping menemaninya, menyuap makan dan sentiasa menjaga pengambilan ubat yang
telah ditetapkan oleh doktor. Tetapi mengapa Pak Hussin cadangkan si Nur Najwa
tu? Tan Sri Azizan tidak sudah-sudah memikir.
“NAJWA!”
Suara Tan Sri Azizan yang sedikit meracau
mengganggu lenanya itu diperhati oleh Pak Hussin. Entah Najwa mana yang
dipanggilnya, Pak Hussin tidak tahu. Mungkin Najwa cucunya kerana berita yang
baru diterimanya itu. Hendak terus dikejutkan tadi, nampak macam dia penat
sangat. Kelihatan peluh merenik di dahinya. Pak Hussin mendekatkan belakang
tapak tangannya ke dahi Tan Sri Azizan. Terasa panasnya berlebihan. Sudah
diajak untuk dihantar berehat di rumah sahaja tadi... dia menolak pula dengan
alasan mahu berehat sekejap untuk melepaskan penatnya.
Pak Hussin cepat keluar dari bilik itu
mendekati Nur Najwa yang tumpang berkongsi meja dengan Tina.
“Pak Hussin rasa
kamu kena panggilkan doktor peribadinya...” ujar Pak Hussin yang kelihatan
cemas itu. “...badan dia panas sungguh.”
Nur
Najwa angguk. Dia cepat mendail nombor doktor peribadi Tan Sri Azizan untuk
segera ke situ bagi memberikan rawatan. Dia kemudian sama mengekor Pak Hussin
ke bilik pejabatnya di mana Tan Sri Azizan dari tengahari tadi tumpang berehat.
“Anak
dia mana?”
Nur
Najwa bertanyakan tentang Noor Azizah. Sepatutnya Noor Azizah sudah datang
melihat ayahnya yang dari tadi sudah diberitahu.
Pak
Hussin hanya menggelengkan kepala. Dia pun hairan dengan anak gadis Tan Sri
Azizan yang dulunya sangat peramah dan baik budi pekertinya itu tiba-tiba
berubah laku. Macam ada sesuatu yang tidak kena hendak dicemburukannya.
“Nanti
saya cuba call lagi,” ucap Nur Najwa sambil keluar dari bilik itu.
Nur
Najwa kemudian masuk lagi dengan membawa sebekas air dan kain tuala kecil.
“Nah!
Pak Hussin tolong lapkan dahinya dengan tuala ni...” Suruh Nur Najwa sambil
tuala itu dibasahkan dengan air dan diperah pula. “...sementara nak tunggu
doktornya sampai,” tambahnya lagi.
TAN Sri Azizan sudah dibawa pulang ke rumah.
Selepas memapah Tan Sri Azizan ke biliknya, Pak Hussin turun semula ke bawah.
Nur Najwa masih sedang membantu majikannya untuk mendapatkan kedudukan lebih
selesa sementara Cik Tipah sibuk di dapur memasakkan bubur yang diminta.
“Ubat
yang ni, lepas makan nanti Tan Sri,” beritahu Nur Najwa selepas menunggu
majikannya itu mengambil beberapa jenis ubat yang harus diambil sebelum makan.
“Jaja
mana?” tanya Tan Sri Azizan yang duduk menyandar berlapiskan beberapa biji
bantal. Dia perasan sejak pagi dia tidak nampak kelibat anak perempuannya itu.
“Saya tak dapat nak hubungi dia Tan Sri.
Hensetnya kehabisan bateri, barangkali,” tambah Nur Najwa lagi. “Tapi saya dah
tinggalkan nota untuknya di pintu bilik pejabat saya tadi.”
“Awak tunggu saya di sinilah sampai dia
balik nanti, boleh?” pinta Tan Sri Azizan yang kelihatan sangat letih sekali.
Nur Najwa pula tidak fikir panjang. Apa
salahnya dia menunggu majikannya itu yang memang sedang bersendirian? Bukannya
mereka tinggal berdua-duaan sahaja di dalam rumah itu?
Nur Najwa angguk. “Boleh Tan Sri, no hal,”
jawabnya dengan senyuman segaris.
“Tolong ketepikan bantal ni, tinggi sangat
pulak,” suruh Tan Sri Azizan yang terasa mahu melelapkan matanya sementara
menunggu Cik Tipah menyiapkan bubur nasi yang dimintanya.
Nur Najwa mendekati katil majikannya.
Kepala lelaki itu diampu dengan sebelah tangan, manakala tangan yang sebelah
lagi menarik bantal yang tadi dilapis semasa diberi makan ubat.
“Hoi! Dah pandai masuk sampai ke bilik
tidur ni, apahal?” Tanya Noor Azizah di muka pintu.
Dua kepala sama berpaling ke pintu. Bunyi
suara yang menegur itu tidak enak benar menerjah ke lubang telinga.
“Jaja! Huk! Uhuk!” Tegur Tan Sri Azizan
sambil terbatuk-batuk.
“Ayah pun bukan main melayannya, kenapa?”
Noor Azizah terus menyerang. “Jangan nak buat-buat terbatuk pulak, Jaja dah nampak
dengan mata Jaja sendiri.” Menyinga betul dia dengan insiden yang dilihatnya
itu.
Perempuan ni memang dasar nak tangkap ikan
jerung agaknya, bisik hati Noor Azizah. Selepas beberapa bulan bekerja dengan
ayahnya, sekarang ini cerita tentang Nur Najwa semua sudah ada di dalam
koceknya.
“Jaja cakap apa ni?” soal Nur Najwa pula
yang memang benci kalau diserang tanpa mengetahui apa sebabnya.
“Saya bukan Jaja awak, jadi tak payah nak
tunjuk mesra dengan saya,” marahnya terus membara. Entah kenapa rasa cemburunya
dengan wanita yang bernama Nur Najwa itu meluap-luap pula rasanya semenjak dia
mula bekerja sama sebumbung dengannya. Sana sini orang memperkatakan tentang
kebaikan Nur Najwa... sehingga Karl yang baru ditemui kembali itu juga sama
sibuk mahu tahu tentang Nur Najwa.
“Maaflah Tan Sri, anak Tan Sri dah ada ni,
elok saya balik dulu,” ujar Nur Najwa sama naik geram. Kalau diikutkan hatinya
mahu sahaja rasanya ditampar mulut yang berbunyi sangat kurang ajar itu.
Macamlah kita ni tak kenal dosa pahala sengaja hendak berpeleseran dengan
ayahnya di bilik itu, desis Nur Najwa.
Tan Sri Azizan hanya mengangguk kecil
beberapa kali. Dia kelihatan memang tidak larat benar hendak berhujah dengan
anak perempuannya yang sudah mula berubah laku itu. Dia terus memejamkan mata.
Noor Azizah yang tidak dilayan oleh ayahnya
itu makin tambah geram. “Ayah jangan nak pura-pura tidur pulak. Jaja nak ayah
cakap dengan Jaja, apa perempuan tu buat dalam bilik ayah tadi?”
“Jaja!” Suara Cik Tipah mematikan
pertanyaan Noor Azizah terhadap ayahnya. “Ayah Jaja tak sihatlah, Puan Najwa
dan Pak Hussin yang hantar dia balik ke sini tadi,” ujar Cik Tipah sambil
meletakkan dulang yang berisi bubur nasi dan air suam yang diminta oleh Tan Sri
Azizan semasa dia baru sampai tadi.
“Hai? Cik Tipah tak boleh urus ayah,
kenapa perempuan tu pulak yang disuruh masuk ke bilik ni? Berdua-duaan pulak
tu?” Jawab Noor Azizah tidak mahu kalah. Dia menunda Cik Tipah yang keluar dari
bilik itu hingga ke mata tangga.
“Yalah... nanti ayah dah sihat, Cik Tipah
sarankan agar mereka berdua menikah aje. Biar senang sikit ayah Jaja nanti ada
orang yang nak layan sakit pening dia,” ujar Cik Tipah yang tadi sudah berbual
dengan Pak Hussin di dapur membincangkan tentang kesihatan Tan Sri Azizan yang
kini tiada siapa yang ambil peduli.
Tan Sri Azizan di biliknya itu mendengar
terang dan nyata hujah Cik Tipah. Dia tidak kisah kerana anak daranya itu
sedari kecil dibesarkan oleh Cik Tipah. Sekali sekala, jika sudah melanggar
tatasusila, dia wajib ditegur juga.