Jam digital di tepi meja tulisnya sudah
menunjukkan angka 1.45 pagi. Melodi hujan awal pagi masih kedengaran. Iramanya
lunak menimpa bumbung rumah. Lunak bergendang dengan tanah basah dan lopak yang
bertakung.
Hujan itu turun dari petang tadi lagi.
Sehingga sekarang pun masih belum ada tanda-tanda untuk mengundur diri. Orang tua-tua kata hujan renyai malam lambat
berhenti. Entahlah…
Di depan sana, televisyen sedang bersuara
sendiri. Tiada siapapun yang menontonnya. Pendukung-pendukung watak dalam CSI:
Miami sedang beraksi di kaca televisyen LCDnya melalui siaran 701. H.
Firas hanya menontonnya sekejap-sekejap.
Sekejap-sekejap lagi pula menyambung bacaan yang masih belum berganti mukasurat
sejak sejam yang lalu. Tidak tahu di mana mula tanda bacanya.
Hakikatnya, minda Firas tidak fokus.
Biarpun dia peminat terlampau siri Crime Scene Investigationdan juga
ulat kepada segala jenis buku, namun fokusnya saat ini berpaksi kepada satu
subjek yang lain.
Nafasnya dia tarik dalam-dalam.
Kemudian melepaskannya perlahan. Tarik, lepas... tarik, lepas.... Penyaman
udara yang kemas melekap di dinding bilik bercat putih itu dikerling.
Kedinginan yang menjalari tubuh mula terasa menggigit belulang.
Tadi, meskipun di luar hujan lebat,
dia masih merasa bahang. Lalu dia menekan remotepada suhu 18 darjah.
Memangpun suhu dan cuaca dunia sudah menjadi semakin pelik.
Dia masih ingat ketika belajar sains
dalam tingkatan tiga di sekolahnya dulu. Guru Sainsnya waktu itu seorang guru
China. Cikgu Phua namanya. Bibirnya seraya menggaris senyuman. Kembali
membayangkan lelaki China yang besar dan tinggi itu. Sekali pandang macam Hulk Hogan bangsa
China, versi Malaysia.
Dulu Cikgu Phua kata aktiviti industri
yang mengeluarkan asap dan habuk serta aktiviti pembakaran akan membahayakan
dunia. Bagaimana? Itulah soalan yang ditujukan
kepada Cikgu Phua.
“Apabila sudah telampau banyak
aktiviti pembakalan dan pencemalan udala dali aktiviti industli, lama-kelamaan
ia akan mentipiskan lapisan ojon bumi.Lama-kelamaan lapisan ojon akan sudah tidak ada
lagi. Pada masa itu, sinalan ultla-violet akan menembusi bumi kita tanpa ada
tapisan lagi. Masa itu cuaca akan jadi sangat panas.”
Terus mengulum senyum panjang. Dahulu, di
zaman persekolahan mereka menggunakan bahasa melayu sebagai medium perantaraan.
Sekarang pelajar-pelajar sekolah rendah belajar sains dan matematik dalam
Bahasa Inggeris.
Cikgu Phua walaupun sudah berbelas tahun
mengajar di Sekolah Kebangsaan, tetapi lidahnya masih tidak boleh menyebut
dengan fasih beberapa perkataan melayu terutamanya ejaan yang melibatkan huruf
r, t dan imbuhan.
Perkataan menipiskan disebut oleh Chikgu
Phua sebagai mentipiskan. Paling dia dan rakan-rakan sekelas tidak boleh tahan
gelak bila mendengar bunyi Cikgu Phua menyebut ozon. Ia akan jadi sebutan
o-jon.
Cikgu Phua pun bukan tidak tahu mereka
mentertawakannya. Sebaliknya Cikgu Phua sendiripun tidak pernah marah. Dia
tidak pernah pun mencuba untuk mengubah atau memperbaiki sebutannya.
Semakin dia buat-buat adalah. Malah Cikgu Phua akan turut ketawa bersama
mereka. Menjadikan suasana kelas dan pembelajaran begitu menyeronokkan. Segala
yang diajar oleh Cikgu Phua mudah sahaja untuk mereka ingat. Walaupun sesudah
dimuntahkan di atas kertas peperiksaan.
Memang betullah kata Cikgu Phua. Zaman ini
lapisan ozon sudah menipis. Hingga begitu terasa keringnya bahang mentari yang
menggigit kulit. Aduhai, apatah nanti di padang Mahsyar? Firas insaf.
Butangoff pada remotepenyaman
udara ditekan. Kedinginan itu terasa sudah mencengkam sum-sum. Matanya kemudian
berkalih lagi ke arah televisyen. Siaran
CSI : Miamimasih belum tamat. Buku di tangan juga belum beralih
halaman.
Ada sesuatu yang mengganggu di fikiran.
Sejak tadi cuba dinafikannya. Malah dia telah berusaha keras mengusir lintasan
seraut wajah itu. Digantikannya pula dengan
wajah Cikgu Phua yang sudah berbelas tahun terbenam dalam lipatan masa
dan usianya.
Ah, Cikgu Phua dan cerita ’ojon’nya yang
kini menjadi realiti itu sekadar satu escapism.Satu penafian.
Sebetulnya Firas sedang cuba membohongi diri. Berbohong mengenang Cikgu Phua.
Sedangkan yang menjelma di dalam hatinya, perasaannya, akalnya dan di dalam
sepasang korneanya adalah...
Firas menutup buku di tangannya dengan
keras. Tanpa niat. Tanpa sedar. Wajah tenang Horatio dia cemburui kala itu.
Kenapa pula harus aku cemburu? Hatinya mendengus. Bukankah Horatio itu memang
semulajadinya, atau memang sudah wataknya tenang sahaja biarpun sedang
menyelesaikan kes yang berbahaya.
Sedangkan dirinya saat itu, biarpun
bertopengkan wajah tenang, namun hatinya yang di dalam balutan kulit dan
belulang itu bergelodak. Lemas dan sesak dalam limpahan darah dan air dalam
badannya yang sedang berperang.
Apakah sebenarnya yang sedang bergolak dalam
dirinya itu? Dia sendiri tidak pasti. Mahupun memahami. Firas merasakan dirinya
sedang lemas dalam sesuatu. Terasa dirinya yang sebenar di dalam jasadnya itu
meronta-ronta minta dilepaskan dari suatu suasana.
Keluhannya berat. Badannya disandar keras
ke empuk kerusi study.Mengapa semakin dia cuba melupakan, semakin itu pula ia datang mendera? Ya,
hidupnya kini terdera oleh suatu perasaan aneh. Perasaan yang berbaur terhadap
seorang gadis.
Ya, gadis itu.
Dan kini seraut wajah redup dan
lembut gadis itu yang menjelma di mata hatinya seketika tadi diusir oleh lintasan
seraut wajah lain yang kini merobek diri.Firas mengertap bibir.
No! I should not give in to this feeling!
Never!
Pintu biliknya terkuak. Tegak lehernya tatkala
mendengar bunyi daun pintu yang berkeriut.Tersenyum memandang abah yang seketika
kemudian menjengah di muka pintu.
“Bah?” tegurnya.
Abah sudah masuk ke dalam bilik dengan dua
gelas mug yang kelihatannya masih mengeluarkan asap. Dari aroma yang terhidu, Firas
tahu abah membawakannya satu mug kopi panas.
“Lah, kenapa abah belum tidur ni?” Firas
bertanya sewaktu bangun menyambut mug dari tangan abah.
Lelaki tua berusia lewat enam puluhan itu duduk
di atas kerusi malas yang memang selalu terletak di tepi jendela yang terbuka
itu. Kerusi itu dipusingkannya perlahan dengan kudrat tuanya agar mengadap ke
luar. Biar nampak dada
malam yang hitam itu. Pun biar dia dapat merasa bayu malam yang dingin dek
hujan yang masih turun.
“Tak boleh tidur. Sejuk sangat, tu
buat kopi…” balas abah sambil meniup-niup air kopi panas.
“Kalau abah nak minum kopi kan boleh suruh
Firas buatkan je?”
Firas bangun sambil membawa bersama
mug kopinya. Dia tarik sebuah kerusi lalu diletakkan di sebelah abahnya. Dua
beranak itu sama-sama mengadah pandang ke luar. Ke dada malam yang pekat.
Sesekali air hujan tertepis masuk.
Tempias. Firas cepat pandang abahnya yang leka menghirup kopi hitam dari dalam
mug.
“Abah tak boleh kena angin macam ni,” larangnya
dalam nada menasihati.
Abah tidak menjawab.
“Bah?”
“Alah, kalau tak kena angin ni pun, abah
memang sakit juga…”
Alasan abah sudah selalu dia dengar
begitu. Kalau tidak disebabkan apa-apapun, abah kata dia memang sudah pun
sakit. Firas tarik nafas. Memang abahnya begitu. Tidak boleh dilarang dan
dinasihati lagi. Lebih-lebih lagi kebelakangan ini.
Kalau dia berkeras juga nanti abah akan
beralih topik. Akan mula bercakap tentang hidup yang tersia dan kematian yang
akan pasti. Dan Firas memang tidak mahu abah bercakap tentang semua itu lagi. Tentang
perkara-perkara yang bisa membuat hati dan kepalanya bengkak. Biarlah, kalau
abah suka duduk di situ dan dicium dingin hujan malam. Dia tidak akan tegah
lagi.
Kalau abah sakit lagi nanti, dia akan beri
ubatnya. Begitulah seadanya. Penyakit abah kalau diikutkan tiada ubat yang
mampu membantunya lagi. Semua ubat pun tidak lagi memberi sebarang tindak balas
yang memberangsangkan.
Tetapi tak apalah. Bukankah dia seorang
doktor? Sekarang banyak ubat-ubatan dan teknologi termoden untuk merawat
penyakit. Dia akan rawat abah sedaya upayanya. Seadanya. Dengan izin-Nya.
“Firas…”
Dia menoleh ke sisi bila mendengar abah
memanggil namanya.
“Ya bah?”
“Awak ni sampai bila nak membujang?”
Hatinya berdetak. Nampaknya abah sudah
dapat soalan baru untuk kertas peperiksaan ini. Abah sudah mula bertanya soalan
yang berkaitan dengan dirinya pula. Selalunya abah akan bertanya tentang
tugasnya di hospital. Tentang pesakit dan penyakit, tentang dunia dan alam
sekitar.
Selalunya abah akan ajak dia berbual
tentang isu-isu semasa yang dia dapat idea dari berita yang dia tonton. Tetapi
saat itu abah bertanya satu soalan paling baru. Ada perubahan silibus
nampaknya.
Senyap. Firas bawa diri menzahirkan reaksi
bersahaja dalam kebisuannya. Tetapi kelewatan Firas membalas tanya itu
membuatkan abah bersandar dan terus berkata sesuatu yang menyimbah hiba dalam
hati lelakinya.
“Abah ni entah sampai bila dapat temankan
awak Firas. Carilah seorang gadis yang baik, yang dapat temankan awak, jaga
awak sampai hari tua nanti…” nasihat abah dalam nada yang terlalu dalam
menyirat makna.
Entah bagaimana harus dia sahut atau
sambut kata-kata abahnya itu juga tidak Firas tahu. Topik baru itu sebenarnya
tidak pernah dia suka. Umurnya sudah jejak angka tiga puluhan. Walaupun jumlahnya
nampak banyak, namun Firas yakin masih terlalu awal untuk dia berfikir ke arah
itu.
Pun rasanya tidak ada keperluan untuk
memikirkan semua itu. Nikah kahwin. Hidup berteman dan sebagainya kalau ikut
istilah abah. Firas cuma tidak mahu peristiwa pahit yang pernah terjadi dalam
hidupnya dan abah dulu berulang lagi.
“Jangan buang rasa kasih dan sayang dari
hati awak…”
Untuk sedetik itu Firas jadi terpanar.
Abah sudah dan sedang membaca gerak hatinya. Benarlah orang tua itu sudah
banyak asam garam dalam kehidupan mereka. Garam kasar lagi tu!
“Kita hidup ni berpasangan, Firas. Semua
makhluk dan kejadian di muka bumi ini ada pasangannya. Ada sebabnya Tuhan
jadikan begitu,” abah bertutur lembut.
Bukan dia mahu menafikan. Cuma Firas tidak
mahu layan sangat sentimen abah itu, “Abah, dah lewat sangat ni. Esok…”
Abah geleng kepala, “Abah tidak pernah
salahkan dia. Tidak pernah…”
Kata-kata abah itu hanya membuat hati
Firas tambah mengeras. Mengapa abah harus bincangkan lagi semua ini? Tidakkah
abah tahu bagaimana dia telah menjalani usianya dengan percubaan yang begitu
keras melupakan segalanya itu?
“Semua yang terjadi ada sebabnya yang kita
tak nampak.”
Diam sambil memejam matanya. Menghela
nafas perlahan-lahan. Betullah tu.Firas tidak pernah menafikannya pun. Semua makhluk dan kejadian memang
telah Allah ciptakan berpasangan.
Terisi di antaranya sifat saling
memerlukan dan melengkapi. Dan bila sesuatu itu saling perlu-memerlukan dan
lengkap-melengkapi, pastilah harus hadir sebuah perasaan berkehendak dengan penuh
kasih dan sayang.
Tidak perlu disebut tentang Romeo Juliet
atau Taj Mahal. Semua itu cinta dunia. Sekeras-keras hati Firas, dia masih
meyakini kasih yang abadi. Seperti abadi dan luhurnya cinta Adam bersama Hawa.
Satu-satunya cerita cinta paling kudus
yang dia percaya dalam kewujudan hidup ini. Cinta syurga. Dan Firas yakin tidak
pernah akan wujud cinta paling suci begitu di maya pada ini.
Tetapi bukanlah bermakna Firas langsung
tidak percayakan kasih sayang atau cinta itu sendiri. Cuma dia tidak mahu
pengulangan memori pahit itu mencalarkan lagi kehidupan yang telah dia bentuk
kini.
Firas tetap juga percaya segala yang
pernah berlaku dalam hidupnya dan abah ada sebabnya. Walaupun sebab itu tidak
pernah mampu untuk dia terima. Hatinya tidak pernah nampak sebarang kebaikan di
dalam sebab itu.
Dia cuma tahu rasa kepingin untuk
mengetahui siapakah wanita yang melahirkan dirinya membuatkan Firas semakin
benci kepada makhluk itu. Dia benci kepada semua perempuan dalam dunia ini.
Bagi Firas, kehadiran wanita dalam hidup
ini hanya akan membawa sengsara. Bukankah orang putih selalu kata ‘no woman
no cries’?.Wanita itu yang melahirkan dia juga adalah seorang wanita yang
sangat kejam. Tega meninggalkan dia dan abah terkontang-kanting di ambang
keyakinan hidup.
Jangankan sekeping gambar, kalau dia perah
minda ini pun belum tentu dia mampun untuk mengingati seraut wajah itu. Umurnya
baru dua-tiga tahun saat wanita itu pergi. Setidaknya itulah yang diceritakan
abah sekali dulu. Pertama dan terakhir. Tiada lagi cerita selepas itu.
Seperkara yang dia tidak akan boleh lupa
ialah bilamana hari wanita itu pergi menjadi hari terakhir abah bercakap
tentang perkara itu di saat dia sudah cukup mengerti akan kehidupan.
Tidak, abah tidak pernah menanamkan rasa
benci dan sesal ini dalam hati Firas. Abah tidak pernah mengajar Firas hidup di
dalam dendam sebegini. Tetapi setiap kali abah bercerita tentang wanita itu,
tentang cinta, tentang kasih atau sayang, rasa yang cuba dia sembunyi dan
nafikan itu menjadi sebuah hakikat.
Yang dia tahu dan ingat, hakikat itu yang
telah merubah hatinya jadi beku. Dan dia benci makhluk yang bernama perempuan!
Sehingga saat ini. Dan saat ini pula abah cuba membuka pintu itu yang masih
teguh berkunci.
“Jangan kerana dia, awak tutup hati untuk
kasih dan sayang,” abah pandang jauh ke langit yang terbentang. Hitam.
“Jangan lupa Firas, kasih sayang itu sudah
lama wujud. Kita ni manusia wujud kerana kasih sayang yang Allah berikan kepada
Adam dan Hawa,” abah bersuara lagi. Perlahan.
Kenapa Firas enggan mengakui
kebersungguhan maksud dalam kata-kata abah itu? Atau mungkin kerana Firas malu
untuk mengakui kebenaran itu. Ataupun mungkin Firas malu kalau abah memang sebenarnya
sudah mampu membaca tahap rontaan hatinya untuk mencair? Dan abah tahu dia
hanya perlukan sedikit cahaya untuk berjalan di tanah yang terang?
“Awak lahir pun, kerana kasih sayang.
Kasih sayang yang pernah ada antara abah dengan dia. Apapun yang telah berlaku
tidak akan mengubah hakikat bahawa dia tetap wanita yang telah mengandungkan
dan melahirkan awak. Dia tetap ibu awak Firas,” ujar abah agak lemah di hujung
bicaranya sebelum menyedut udara yang masuk dari bukaan jendela agar helaan
nafasnya sedikit regang.
Batuknya kedengaran sekali dua.Keras. Tangannya meraba dan
menggosok-gosok dada. Kulit muka abah yang putih berubah merah. Mungkin menahan
kesakitan yang mencengkam dalam rusuk dada yang semakin dimamah usia.
“Berubahlah nak…” abah sudah seperti
merayu pula.
Nafasnya abah hela lagi dengan begitu
payah. Masih juga jemarinya mengurut dada. Seperkara yang tidak berubah
hanyalah buangan pandangnya yang masih tertancap di dada malam.
“Sekurang-kurangnya untuk abah yang entah
esok lusa dah nak balik. Kalau boleh abah nak balik dengan aman, dengan kasih
sayang… hanya dengan kasih sayanglah yang dapat menjadikan pemergian setiap
insan itu terlalu manis dan mudah buat dirinya dan orang-orang yang dia
tinggalkan.”
Abah tunduk saat menyudahkan kata-kata
sememangnya sudah dia tahu. Firas masih belum mampu bersuara. Hatta air kopi
yang pekat hitamnya di dalam mug juga tidak tertelan. Sejuk bersama hatinya
yang dingin.
Ish, abah ni… cakap seperti sasterawan
negara pulak…