Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 12

Kyoto, 1866.

 

Ah, bosannya.

 

Seorang budak lelaki sedang baring di atas rumput di taman di dalam sebuah kuil Shinto yang terletak di atas bukit, istana Maharaja dapat dilihat nun jauh di bawahnya. Kimono yang dipakainya kotor. Mukanya comot. Sudah empat hari dia tidak membaca buku. Bosan sungguh dirasakan. Oh lupa, sudah empat hari juga aku tidak makan.

 

Dia tidak tahu asal usulnya. Siapa ibu dan bapanya. Dia hanya hidup sedari kecil di sebuah gereja Jesuit selepas dibuang di situ oleh ibunya yang entah siapa. Paderi itu menjaganya, memberinya makan dan minum dan mengajarkannya bahasa asing. Dan dia gemar duduk melepak di dalam sebuah perpustakaan besar di dalam gereja yang menempatkan buku-buku keagamaan dan juga buku-buku berbahasa aneh dengan gambar-gambar menarik. Paderi itu juga mengajarkannya bahasa Inggeris dan Belanda atas desakannya itu kerana dia mahu membaca buku berbahasa itu. Gereja itu adalah yang terakhir di pulau Honshu. Selebihnya berada di Kyushu. 

 

Namun gerakan demi gerakan menghalau Barat semakin kuat di Kyoto, bandar diraja Jepun tempat dinasti Yamato bersemayam. Gereja dipaksa ditutup. Paderi-paderi dihalau keluar dari Jepun. Beberapa hari lepas gereja itu ditutup. Dia tidak lagi dapat makan atau membaca buku. Paderi itu telah meninggalkannya tanpa khabar, tiba-tiba. Dia berjalan, meminta dan meminta. Tiada sesiapapun yang sudi membantu. Perut berkeroncong hari ke hari. Dia teruskan berjalan sehingga menemui kuil ini. Selama empat hari dia hanya minum air di kolam depan kuil.

 

Aku mahu makan, namun aku tidak berduit. Mungkin aku boleh mengait duit yang dicampak pelawat? Aku akan tunggu sehingga malam.

 

Malam itu dia memulakan perancangannya.

 

Dia mencapai kayu kecil yang hujungnya berbentuk cangkuk. Kemudian dia memasukkannya ke dalam peti syiling tempat pelawat mencampak syiling berlubang-lubang. Dikuis-kuis. Ditarik. Satu pun dari syiling-syiling berlubang itu tidak sangkut.

 

Dia mencuba sekali lagi. Dapat! Satu duit perang. Dia meniru godekan yang sama, kerana difikirkan itulah godekan berhasil. Lagi satu menyangkut. Duit berwarna perak.

 

Cukuplah. Esok aku kait lagi.

 

Esoknya, dia cuba menggunakan duit itu membeli makanan. Dia turun dari bukit, menuju gerai penjaja. Hari itu ada matsuri (pesta keramaian) di kaki bukit. Banyak orang berkerumun di situ dan banyak kedai-kedai penjaja dibuka. Dia teringin benar makan takoyaki, kuih yang bulat-bulat itu. Air liurnya meleleh membayangkannya.

 

Dia nampak kedai takoyaki. Waktu itu masih awal, dan masih belum ada takoyakinya. Dia menunggu dan menunggu. Perut sambung berkeroncong sejak semalam lagi. Namun dikuatkan semangat menunggu. Melihat dan menerawang. Sekian lama menunggu, barulah takoyaki pertama diletak. Dia segera bergegas menghulur duit syiling yang dicurinya. Penjual itu berkata duit syiling itu tidak cukup. Dia hampa.

 

Aku lapar. Lama sudah aku menunggu. Dia menunggu peluang. Sekali lagi dia berundur. Menunggu sehingga orang mulai ramai.

 

Dia masuk semula setelah ramai orang mengerumuni pasar sehari itu. Dia cuba mencapai sebekas takoyaki, dan ketika dia senyap-senyap melarikan diri, tangannya dipegang. Dia ditangkap!

 

Ojii-san, berapakah harganya sebekas?” lelaki yang memegang tangannya itu bertanya kepada penjaja.

 

“Dua syiling perak.” Lelaki itu selamba mengambil lima bekas takoyaki dan membayarnya.

 

Kemudian lelaki itu memberikan kesemuanya kepada budak itu.

 

“Terima kasih, ojii-san.” Budak itu makan dengan lahapnya.

 

“Panggil aku Takasaki-san. Aku Takasaki Nakatsu desu.

 

“Namaku Shinji. Hanya Shinji.”

 

Takasaki mengambil Shinji untuk tinggal di rumah perlindungan. Dia meletakkan nama keluarga “Takeuchi” kepada Shinji. Dia tidak mahu meletakkan namanya, dikhuatiri penghuni-penghuni di rumah perlindungan itu menyangka Shinji anaknya.

 

**

 

Nota: Bagaimana Takasaki merekrut penghuni baru?

 

Dia menetapkan beberapa kriteria agar sumber terhad yang ada diperuntukkan sebaik mungkin. Dia akan mengutamakan anak-anak yatim yang merayau-rayau tanpa arah tujuan. Jika dia bertemu mereka namun tidak mampu mengambil mereka, dia akan menghubungi jaringan pertubuhannya di kawasan lokaliti itu segera menggunakan merpati yang sentiasa dibawa (homing pigeon). Merpati itu diambil dari pejabat pertubuhan di lokaliti itu dan telah dilatih menghantar khabarnya kembali ke pejabat tersebut.

 

Para pembaca mesti hairan mengapa sejak rumah perlindungan itu diasaskan tiga belas tahun lalu (1855, jika diukur dari tahun 1868), hanya sepuluh orang sahaja pelajarnya. Sabar. Itu bilangan pelajar terkini tahun 1868. Miura juga mati pada tahun itu. Takasaki perlu berhati-hati menambah orang selepas tahun tersebut, kerana pembiaya utamanya iaitu Miura telah tiada. Pada tahun-tahun sebelumnya juga dia perlu berhati-hati kerana Miura masih memperolehi hasil padi yang sedikit dan perlu bersaing dengan petani lain, sebelum dia berjaya meningkatkan kualiti dan hasilnya. Pelajar-pelajar lain yang pernah menghuni dan meninggalkan rumah itu sebelum tahun 1865 tidak didedahkan secara terperinci dalam jalan cerita ini, mungkin akan didedahkan juga jika diperlukan kelak.

 

Sila ambil perhatian tiada pelajar baru masuk dan keluar pada tahun 1867, iaitu tahun sebelum beradik Okuhida tiba.

 

**

 

Pertengahan musim panas, 1869.

 

Hamada semakin tidak senang duduknya. Dia mundar mandir di dalam bilik utama rumah kayu dan kertas keras itu. Dia tersepak botol sake. Ouch! Dia mengaduh, sambil menjengket-jengketkan kakinya. Mukanya merah. Dia terhoyong-hayang.

 

Dia baru menerima surat dari Maharaja yang meminta agar dia sukarela memulangkan kembali tanah-tanahnya atau akan dipaksa untuk melakukan sedemikian sekiranya dia enggan.

 

Saitou memberitahunya ramai daimyo dan samurai telah menyerahkan kembali tanah-tanah mereka kepada Maharaja. Daimyo dan samurai yang tidak bertanah dan sarat berhutang itu sebahagian besarnya telah berpindah ke Kyushu. Kebanyakannya adalah daimyo dan samurai yang sama fikiran dan pandangan dengannya, iaitu anti-Barat.

 

Aku tidak mahu berpindah ke Kyushu! Ini tempatku, aku biasa di sini. Aku sukakan pergunungan ini. Aku masih belum dapat menjejaki Takasaki dan pertubuhannya. Aku belum puas hidup di sini dan memusnahkan hidup penentang dan pengkhianatku! Aku belum puas berseronok di sini. Dia bermonolog.

 

Berkerut-kerut mukanya, semakin jelas pula kedut di muka. Debu-debu solekan mulai gugur. Gincunya berjejeran. Marah betul dia dengan perintah Maharaja.

 

**

 

Selepas kembali berkuasa, pada pertengahan musim panas 1869, Maharaja menarik pemilikan tanah-tanah daimyoDaimyo dilucutkan jawatan dan sistem samurai dimansuhkan.

 

Taishi Kimura, daimyo Hidagawa kehilangan kuasa untuk memindahmilik tanah Miura dan terpaksa memulangkan semua tanah di bawah jagaannya kepada Maharaja. Tanah bendang Miura menjadi milik Maharaja dan petani-petani lain yang pernah bersekongkol dengan Hamada membunuh Miura mula terkilan dan mendapat karma mereka. Taishi Kimura ditukar ke Kyushu menjadi gabenor di sana dan dibayar gaji sehingga pencen.

 

Sementara itu, Hamada pula dikekalkan di Shinagawa namun menjawat jawatan sebagai gabenor di Wilayah Gizen, nama baru bagi kawasan yang dijaganya selepas persempadanan semula oleh Maharaja. Meskipun menjadi gabenor dan dibayar gaji, dia tidak lagi memiliki tanah-tanah di wilayah itu. Samurai yang pernah berkhidmat di bawahnya seperti Saitou, Tarou dan Buntarou sudah meletak jawatan selepas sistem samurai dimansuhkan oleh Maharaja. Mereka berkelana ke merata Jepun mencari pekerjaan baru.

 

Hamada tidak punya sumber manusia bagi menjejaki Takasaki selain anaknya yang juga daimyo di Yozehama. Hagiura, anaknya itu, juga dikekalkan di Yozehama, namun memegang jawatan gabenor Wilayah Kodama, juga wilayah baru yang dibentuk oleh persempadanan semula wilayah.

 

Hamada menaruh hasad dan mahu menghapuskan Takasaki. Dia dengki dengan pengaruhnya dalam melobi Maharaja agar memperkenan pertubuhannya. Sementara itu pertubuhan Takasaki semakin mendapat tempat di Tokyo. Maharaja mengubah dasar dengan membuka Jepun kepada Barat malah menghantar rakyatnya mengembara ke Eropah menimba ilmu dari serata pelusuk dunia. Kekayaan sumber Takasaki menambah suka Maharaja kepadanya. Dia mencadangkan pelbagai karya dan buku untuk diteroka di Eropah oleh angkatan yang dihantar Maharaja.

 

**

 

Musim luruh 1869.

 

Lagi dua hari genaplah setahun pemergian bapa mereka. Ryouji bercadang menziarahi kubur bapanya bersama Hisamiko. Dia telah menyuarakan hasratnya kepada Takasaki awal-awal lagi. Takasaki membenarkan meskipun hatinya berat. Dia sedar kemahiran berpedang Ryouji telah meningkat, lebih-lebih lagi kerana dia kerap berlatih bersama Kobato. Namun dia masih risau, jika mereka terserempak dengan Saitou atau mana-mana orang yang dihantar Hamada sekali lagi. Lebih merisaukan jika orang-orang Hamada mengekori mereka sehingga ke rumah ini.

 

Namun, memikirkan yang Hisamiko juga semakin betah bertarung dan kemahirannya menjinakkan hayabusa, risaunya sedikit berkurang. Aku harus melepaskan mereka jua suatu hari nanti, fikirnya. Sekiranya berlaku perkara tidak diingini, mereka akan menghantar berita melalui hayabusa pengiring Hisamiko itu.

 

Ryouji harus berangkat hari itu juga, kerana perjalanan ke sana memakan masa dua hari memudik seberang sungai Miya ke hulunya di muara di utara, yang terletak di Yozehama. Seperti sebelumnya dia perlu melalui tiga buah kuil Shinto untuk sampai ke perkampungannya.

 

Mereka berkumpul di depan torii kecil di anjung sebelum berangkat. Chisato memberikan bento yang telah disiapkannya kepada Ryouji dan Hisamiko, bekas buluh itu indah dibalut kain pembalut bercorak sakura. Kedengaran siulan liar dari Kobato, dia kemudian memandang ke arah lain. Shinji menyeringai sahaja. Tsuneki pula mencuka sambil lengannya dipegang Funazuki bersaudara takut-takut dia menyerbu Ryouji. Tsuneki seperti hendak menangis. Mereka bukannya hendak pergi berperanglah!

 

Chisato memeluk Hisamiko sekuat-kuatnya, geram. Hisamiko hampir lemas. Kemudian, Chisato memegang kedua-dua belah bahu Hisamiko, merendahkan badannya dan memandang matanya tepat, sambil berkata “Ki wo tsukete, Miko-chan (Jaga dirimu, Hisamiko)”. Dia kemudian mendongak memandang Ryouji “Kimi mo, Ryouji. (kamu pun, Ryouji)” Matanya mula berair.

 

Terbeliak biji mata Kobato, Shinji dan yang lainnya mendengarkan ‘Ryouji’. Chisato memanggil nama peribadinya Ryouji! “Nanda kono fufu wa (apa kena dengan pasangan ini),” Kobato cemburu. Dia sebenarnya ada hati dengan Chisato, lama dahulu sebelum Chisato pantas menolaknya sebelum dia mengaku. Chisato membaca Kobato awal-awal lagi dan dia menolaknya awal supaya Kobato tidak patah hati.

 

Ittekimasu! Ryouji dan Hisamiko melaungkan, lalu melangkah keluar menelusuri teratak kerikil menuju ke gerbang bambu.

 

Mereka semua melaungkan “Itterashai!

 


Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov