Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 66

“Shinji!” Megumi memanggil Shinji sambil berlari anak mengejarnya.

 

Shinji berhenti.

 

“Mengapa, Megumi-san?” Shinji masih berdiri, tidak menoleh.

 

“Engkau akan ke Kawamoto bukan? Engkau akan bersemuka dengan Hamada bukan?”

 

Shinji tidak menjawab.

 

“Shinji, aku mohon jangan...”

 

“Megumi-san, aku harap engkau tidak mencampuri urusanku.”

 

“Engkau akan mati, Shinji!”

 

“Jadi?”

 

“Jika ibumu masih hidup dia pasti akan menghalangmu. Jangan kecewakan dia Shinji. Aku mohon.”

 

“Atau kalian mahu aku hidup demi kelangsungan Kogen?”

 

Megumi tersentak.

 

“Tidak. Saat aku mendengar khabar engkau dan rakanmu berpindah ke sini, aku terlalu gembira. Engkau tidak lagi berjauhan dari jangkauan mataku. Shinji, aku menganggap engkau seperti anakku sejak hari aku membidani kelahiranmu.”

 

“Maafkan aku Megumi-sanSoshite, arigatou. Atas bantuanmu membidani kelahiranku. Namun aku tidak pernah merasakan kasih seorang ibu. Tidak perlulah engkau menganggap aku seperti anakmu. Aku tidak tahu bagaimana membalasnya.” Ujar Shinji tanpa menoleh.

 

Kemudian barulah dia menoleh memandang Megumi.

 

“Aku perlu bertemunya. Aku mahu mengetahui alasannya mengapa dia membunuh ibuku. Mungkin ini sahaja yang mampu aku lakukan demi membuktikan kasihku pada okaa-san yang aku tidak ingat wajahnya.”

 

Shinji berlalu meninggalkan Megumi.

 

“Koyama-san... Koyama Megumi-san...” Kedengaran suara seorang lelaki menegur Megumi dari belakang. Megumi menoleh. Tatsuhiro berdiri tercegat di tepinya.

 

“Engkau mendengarnya bukan, Yamada-san?”

 

“Serahkan padaku. Kotobuki telah mengarahkanku mengekorinya.”

 

Arigatou, Yamada-san.”

 

“Ini sememangnya tugasku.”

 

**

 

Tibalah hari yang ditunggu-tunggu.

Pada hari ini, Shinji akan membawa Tsuneki ke lembah Amaguri. Tsuneki membawa busur dan panah baru yang dicipta khas Shinji. Sementara Shinji membawa peta dan kompas, alat pembuka mangga iaitu batang besi kecil yang hujungnya bengkok itu, senjata api dan beg berisi makanan. Mereka keluar dari rumah di tengah malam, dan merancang menceroboh perpustakaan.

“Ke mana kita akan pergi, Shinji?”

“Ke tempat yang menarik.”

“Tempat apa?”

“Adalah.”

Sebaik tiba di pintu luar perpustakaan, Shinji mengeluarkan batang besi kecil yang hujungnya bengkok, kemudian memasukkannya ke dalam lubang mangga dan mendekatkan telinganya pada kotak mangga, sementara Tsuneki ditugaskan memerhati sekeliling takut-takut kedapatan peronda.

Sekejap sahaja masa diambil Shinji bagi meleraikan mangga. Dia membuka pintu perlahan-lahan demi mengurangkan bunyi engsel. Tsuneki masuk dahulu. Shinji menyusul dan menutup kembali pintu.

Tingkat paling atas perpustakaan yang berada di atas tanah adalah kompleks bangunan kayu namun berbumbungkan jerami tebal sepertimana rumah-rumah yang berada di tanah tinggi ini. Kompleks ini amat besar seperti saiz salah satu bangunan dalam kompleks istana di Kyoto. Keluasan lantainya sekitar dua puluh langkah kali lapan puluh langkah. Perpustakaan tersebut dikunci pada waktu malam, namun Shinji berjaya membukanya kerana hanya dikunci oleh mangga kayu dan logam seperti bangsal kuda di situ. Mereka tidak fikir rancangan menyelinap ini boleh dilakukan pada waktu siang kerana Tsuneki membawa busur dan panahnya yang besar, dibimbangi akan menimbulkan curiga pustakawan.

Mereka turun sehingga tiba di tingkat paling bawah di bawah tanah. Shinji dan Tsuneki masing-masing menggunakan batu tama-no-iwa mereka bagi menerangi gelap perpustakaan. Shinji sampai di dinding rahsia, dan meniru gerakan Tatsuhiro yang dilihatnya. Sekali cuba, dinding itu terbuka dan terpampanglah bilik unjuran dengan rak penuh buku di kiri dan kanannya sehingga mencecah bumbung.

Tsuneki melopong sahaja melihatnya. “Engkau rahsiakan tempat ini dariku selama ini Shinji? Sampai hati engkau...”

“Shhh! Musang, engkau kalau tidak buat bunyi memang tidak keruan hidupmu ya?”

“Tapi, buku-buku apakah ini?” Tsuneki pantas mencapai salah sebuah buku. Dia langsung membukanya dan membelek halaman sehelai demi sehelai. Terbeliak biji matanya melihat gambar-gambar di dalam. Dia pantas menutup buku itu dan meletakkannya kembali. Mukanya pucat. Shinji memandangnya.

“Tahu pun!”

“Shinji, engkau memang suka buku-buku begini ya?”

“Bukan buku akulah! Aku masih kurang mengerti mengapa Kogen menyimpan buku-buku ini di sini.”

Shinji menyuluh batu tersebut ke lantai, sehingga menemui keganjilan yang pernah ditunjukkan Tatsuhiro. Dia menekan-nekan lantai sedang telinganya menumpu. Berjaya. Penutup terowong pada lantai terjungkit keluar. Dia mengangkat kepingan kayu penutup lantai itu, meletakkannya ke tepi.

“Aku akan turun dahulu.” Shinji mengikat batu tama-no-iwa itu di lehernya kemudian turun. “Engkau akan menyusul.”

Tsuneki mengangguk. Dia sebenarnya ketakutan. Oleh itu pantang sahaja Shinji menjarak darinya dia akan cepat-cepat merapat. Menyedari dia berseorangan di dalam bilik perpustakaan itu selepas Shinji turun, cepat-cepat dia turun ke dalam terowong, menghasilkan bunyi yang agak kuat pabila kakinya menapak pada tangga.

“Shhh!! Engkau turun perlahan-lahanlah!” Shinji menegah separa berbisik. Suaranya bergema di dalam terowong yang malap itu.

“Engkau janganlah tinggalkan aku.”

“Aku masih di sinilah. Takkan aku tinggalkan engkau pula. Engkau diperlukan dalam rancanganku.”

Tsuneki menengadah bumbung terowong yang malap disinari batu-batu tama-no-iwa mereka. Mungkin inilah terowong yang dimaksudkan Tatsuhiro itu. Nampaknya Shinji sudahpun mengetahuinya.

Mereka berjalan sehingga ke hujung terowong dan keluar dengan membuka penutup di atas kepala. Shinji terkejut.

“Mengapa Shinji?”

“Tidak, tidak! Ini bukan tempatnya! Namun aku memang ingat benar, laluan terowong itu memang laluan ke sana. Dan pintu keluarnya hanya satu! Bagaimana pula tempatnya boleh berubah-ubah?”

Tsuneki pula melopong. Bukankah sini tempat aku keluar berkuda dan bertemu Tatsuhiro? Bukankah itu pokok kaede yang dikencingku?

“Shinji, aku fikir aku tahu tempat ini. Ia di bawah Kogen-no-shita, aku bertemu Tatsuhiro di sini selepas membawa keluar kuda Kogen pada hari itu.”

“Aku tidak faham. Aku tidak faham!” Mati aku. Jika aku tidak menemui lembah Amaguri, segala harapan dan perancanganku musnah. Aku tidak akan dapat menangkap Hamada.

Kedengaran bunyi mengilai dari kejauhan.

Hampir serentak kelihatan objek putih memantul cahaya bulan separa dan batu penyuluh tama-no-iwa mereka, sedang terbang menghala ke pokok kaede. Kemudian objek putih itu berhenti bertenggek di tengah-tengah dua dahan kaede yang mencabang. Ia perlahan-lahan mengangkat wajahnya, memandang Shinji dan Tsuneki.

Ia berupa seorang wanita berambut hitam panjang keriting mengurai, wajahnya disolek dengan solekan putih tebal dan memakai yukata dalam, berwarna putih dan penuh dengan tali-tali pengikatnya. Sedikit demi sedikit rambut panjang itu terselak ke sisi ketika wajahnya selesai diangkat, mendedahkan penuh wajahnya yang cerah disolek tebal seperti bulan purnama. Atau seperti geisha.

Tsuneki ketakutan seraya memeluk Shinji erat-erat. Shinji pula terpaku sejenak memandang makhluk itu, namun memberanikan diri mendekatinya. Dia perlu segera bertindak, dia tidak punya banyak masa lagi. Mungkin makhluk ini punya rahsia mengapa lembah Amaguri hilang dari muka terowong.

Semakin mereka hampir dengan makhluk itu, semakin jelas rupanya; seorang wanita muda dalam lingkungan dua puluhan, matanya sepet runcing ke dalam, bibirnya nipis dan merah digincu seperti daun momiji di musim luruh. Ada gigi taring terkeluar dari rahang atasnya.

“Garghhh!!” Makhluk itu menganga, menayangkan taringnya penuh. Semakin kuat Tsuneki memeluk Shinji.

“Apa kalian buat di sini?” Makhluk itu bertanya. Jelas suara seorang wanita muda dua puluhan, normal. Tsuneki perlahan-lahan meleraikan pelukan ke atas Shinji.

“Siapa engkau?” Shinji memberanikan diri bertanya.

“Aku pengintip Kogen.”

Tambah seorang lagi manusia pelik seperti Tatsuhiro.

“Aku tidak percaya. Pengintip Kogen memakai pakaian hitam!”

Wanita itu ketawa mengilai. Tsuneki kembali memeluk Shinji. Shinji mulai rimas dengan Tsuneki seraya menjarakkan sedikit kepalanya yang rapat dengan kepala Tsuneki yang penakut itu.

“Tsuneki, engkau jangan rapat sangat boleh? Dan jika engkau hendak terkencing, pergi jauh-jauh dariku sekarang!” Shinji membisik keras ke telinga Tsuneki.

“Shinji, aku fikir inilah hantu yang menghisap darah yang engkau ceritakan itu.”

Shinji buat-buat tidak mendengarnya.

“Mengapa engkau naif sangat budak? Tidak semua dari kami berpakaian hitam.”

“Habis, mengapa engkau berpakaian dalam? Dan engkau terbang!”

Wanita itu turun dari pokok, seraya menanggalkan pakaiannya satu persatu. Shinji memaling muka dan menutup mata Tsuneki dan memusingkan kepalanya.

Tak guna, perempuan gila! Berani engkau bogel di hadapanku!

Wanita itu menterbalikkan pakaian yang ditanggalkannya kemudian menyarungkannya kembali. Ia kini berwarna hitam, dan benar-benar seperti pakaian ninja yang selalu dipakai pengintip Kogen. Dia mencabut gigi taring palsunya. Kemudian dia mengeluarkan tali pengikat rambut dan mengikat rambut panjang keriting yang berjuraian seperti pokok bunga fuji (wisteria) itu. Dia mengambil kain dan mengelap wajahnya, menyerlahkan kesan jerawat lama di pipi yang jelas disinar bulan purnama.

“Shinji, okaerinasai. Engkau sudah besar nampaknya.” Shinji, engkau benar-benar mirip ibumu. Matanya yang kecil dan kulitnya yang cerah.

“Siapa engkau? Bagaimana engkau tahu namaku?”

“Aku Hotaru, nazir Kogen.”

“Nazir?”

“Ya. Nazir ialah pengintip Kogen yang dikhususkan memerhati penjaga rumah perlindungan Kogen. Engkau tidak pernah mendengarnya?”

“Tidak. Jadi, apa yang engkau buat di sini?”

“Tugas sambilan. Aku juga ahli Skuad Sakura.” Wanita itu menghampiri mereka berdua.

“Skuad Sakura?”

“Ya, unit baru di bawah Ayame.”

“Unit baru? Jadi apa kaitannya dengan engkau berada di sini?”

“Aku di sini memerhati kalian. Apa kalian berdua buat malam-malam buta di sini? Tahukah kalian akan dihukum sekiranya keluar tanpa kebenaran?”

“Tahu. Kami akan digantung terbalik di pokok.”

“Pandai! Pastinya ini bukan kali pertama kalian keluar tanpa kebenaran bukan?”

Shinji mengangguk, segan diteka betul wanita itu. Tsuneki berdiri di sebelahnya kebingungan. Siapa wanita ini? Bagaimana dia mengenali Shinji?

“Bagaimana engkau tahu namaku, Hotaru-san?”

“Panjang ceritanya.”

“Ceritakan.” Shinji merenung Hotaru.

“Mari, ikuti aku.” Hotaru mengisyaratkan dengan tangan agar mengikutinya.

Hotaru berjalan mendaki lereng berumput itu menuju ke kawasan di mana hutan sugi tumbuh berkelompok, diekori Shinji dan Tsuneki.

“Maafkan aku Shinji. Aku hanya terlewat sedikit pada hari itu. Aku diberitahu paderi di gereja Kyoto agar menjejaki ibumu yang sedang dikejar orang-orang Hamada.” Ujar Hotaru, masih memimpin mereka berjalan menuju ke hutan sugi.

Hotaru menyambung, “Setibanya aku di sana, pegawai Kogen yang cuba menyelamatkannya telah terbunuh, sementara ibumu pula telah ditikam pedang pengejarnya.”

Shinji mengetap bibir menahan marah mendengarkan kekejaman yang dilakukan ke atas ibunya. Namun dia cuba menahan diri dari menangis lagi.

“Kami dapati kemudiannya pedang itu dicelup dengan racun. Ibumu meninggal dunia ketika membonceng kudaku. Dia mewasiatkan agar mayatnya dikebumikan di lembah Amaguri. Maafkan aku, Shinji kerana gagal menyelamatkannya.”

“Hotaru-san, ia bukan salahmu. Ia salah Hamada. Hamada yang membunuh ibuku. Aku akan menjejaki Hamada. Aku akan pastikan nyawa ibuku dituntut bela!”

Tsuneki terpana mendengar kisah latar Shinji. Dia menggosok-gosok belakang badannya.

“Aku tidak apa-apa Tsuneki.”

“Benarkah engkau tidak apa-apa?”

“Hotaru-san, apakah terowong itu boleh berubah-ubah destinasi?” Shinji pantas bertanya Hotaru dan mengabaikan Tsuneki, mengambil kesempatan merungkai kekusutan dalam benaknya. Dia tidak mahu melayan perasaannya. Jika dilayan, mungkin dia akan menitiskan air mata lagi. Kali ini lebih memalukan, kerana dia akan melakukannya di hadapan Tsuneki. Nampaknya rasional Shinji masih lebih menguasai diri berbanding emosinya.

“Terowong itukah? Ya. Mengapa?”

“Sebelumnya ia membawa aku ke lembah Amaguri. Namun kali ini ia membawa aku ke sini.”

“Engkau mahu ke lembah Amaguri bukan?”

“Ya.”

“Untuk apa? Keluar ke Kawamoto menjejaki Hamadakah?”

Shinji tidak mengiyakan, hanya membisu.

“Shinji, lupakan dendammu. Hamada tidak boleh ditewaskan semudah yang kau sangka. Jika begitu mudah menewaskannya, sudah lama kami melakukannya.”

“Terima kasih atas amaranmu. Namun aku fikir aku perlu bertemunya. Aku mahu berbicara dengannya. Aku mahu mendengar apa salah kami diperlakukan begitu.”

Hotaru seolah-olah tidak mengendahkan kata-kata Shinji. Dia terus berjalan di hadapan. Seketika kemudian dia kembali bertanya Shinji, “Bagaimana engkau tahu tentang terowong itu?”

“Aku terserempak ketika berada di perpustakaan.” Shinji pantas menutup mulut Tsuneki sebaik dia melihatnya cuba untuk memberitahu bahawa Tatsuhiro yang menunjukkan pada mereka.

“Pasti Tatsuhiro yang membawamu bukan?”

Shinji mengeluh seraya menjawab, “Ya.” Dah tahu masih lagi bertanya? Sia-sia sahaja aku menutup mulut musang ini.

“Hotaru-san, kawasan ini di luar Kogen bukan? Pasti ramai pengintip Hamada di sini.”

“Tidak. Kawasan ini masih dalam lingkungan kuasa Shirasaka. Dengan kata lain, kawasan ini masih di Gunung Kogen yang dikelilingi Gaung Maut.” Sebaik menghabiskan kata-kata, Hotaru memandang ke atas pokok-pokok, seperti berkomunikasi dengan seseorang menggunakan mata sambil kakinya mengatur langkah merentas hutan sugi tinggi-tinggi yang tumbuh sekelompok di situ. Shinji perasan sekali-sekala Hotaru mengangguk kepalanya sedikit.

Gunung Kogen? Gaung Maut? Apa yang engkau cuba sampaikan ini Hotaru-san?

Sejurus itu kedengaran bunyi desiran seperti daun berselisih dengan sesuatu yang bergerak dengan pantas. Hanya Shinji yang mampu mendengarnya. Tsuneki pula hanya kebingungan mengikut mereka.

“Engkau mendengar mereka bukan, Shinji?”

“Ya. Siapakah mereka?”

“Rakan-rakanku. Perkenalkan.”

Seorang gadis berpakaian hitam seperti Hotaru turun tiba-tiba dari atas pokok, betul-betul di hadapan Shinji. Dia lebih rendah dari Hotaru yang berketinggian lima kaki empat inci itu.

“Aku Yoruno Hikari.” Namanya Hikari.

“Kalian, dia adik perempuanku.”

Kemudian turun dua lagi gadis berpakaian hitam seperti Hotaru.

“Sagami Rikka.” Gadis sebelah kanan Shinji bernama Rikka.

“Kazu Futaba.” Gadis sebelah kiri Shinji pula bernama Futaba.

Shinji memperkenalkan dirinya kepada mereka, dituruti Tsuneki.

“Shinji, maaf lewat memberitahumu. Kami telah diarahkan agar memastikan kalian kembali ke Kogen.”

“Apa?”

“Jika kalian berdegil, kami tiada pilihan. Pulang sekarang, atau kami terpaksa menangkap kalian dan kalian akan digantung di pokok sebagai hukuman. Pertimbangkanlah keringanan yang kami tawarkan ini, Shinji.”

Shinji mengetap bibir menahan geram. Rupanya kami diperhatikan sekian lama, mungkin sejak sebelum kami memecah masuk perpustakaan tadi! Masalahnya siapa yang memerhati kami di situ? Tatsuhiro?

Tsuneki ternganga melihat wanita-wanita tersebut mengepung mereka. Semua mereka ini kelihatan dalam lingkungan dua puluhan dan hanya layak dipanggil kakak atau nee-san sahaja.

“Shinji, batu apakah di lehermu itu?” Hotaru bertanya. Kesemua tiga orang pengikutnya sudah bersedia di sekeliling mereka.

“Mengapa engkau ingin tahu?”

Sa ne. Demi keselamatan Kogen, kami perlu tahu.”

Shinji memandang semua wanita-wanita itu. Wajah mereka semuanya tenang. Namun lengan dan kaki mereka dalam keadaan bersedia untuk menangkapnya.

“Tatsuhiro memberikannya kepadaku.”

“Engkau tahu kegunaan lain selain dari menerangi gelap?”

“Tidak. Kalian, aku mahu pulang. Tsuneki, ayuh!” Shinji menarik tangan Tsuneki seraya berlari pantas di celah kepungan mereka, mahu berpatah balik ke pintu terowong.

“Shinji, mengapa engkau...” Tsuneki terpinga-pinga sedang lengannya ditarik Shinji.

“Lupakan. Kita akan teruskan rancangan ini pada hari lain.”

Tak guna. Aku bilang tiada sesiapa yang mengekori kami. Bagaimana perancangan kami boleh terbongkar? Selain Tsuneki, hanya Kotobuki dan Tatsuhiro sahaja yang tahu. Apakah Kotobuki atau Tatsuhiro telah mengarahkan mereka? Atau mungkin, orang mereka sendiri yang digelar Skuad Sakura itu? Apakah Skuad Sakura sebahagian dari Kogen, atau pasukan renegad (renegade)?

**

Nee-san, perlukah kita mengejar mereka?” Tanya Hikari.

“Tidak perlu. Hanya ekori mereka sehingga ke pintu terowong.”

Ketiga-tiga gadis berpakaian hitam bergegas mengekori Tsuneki dan Shinji meninggalkan Hotaru berseorangan di hutan sugi itu.

Hotaru termenung mengimbau kenangan lama.

Empat belas tahun lepas, Paderi Alvito ada memintaku melindungi Chiyo ibu Shinji itu ketika dia dikejar orang-orang Hamada. Aku sememangnya sudah lama mengenali Chiyo, sebelum dia berpindah mengikut suaminya, dan aku agak terkejut mendengarkan dia tiba-tiba kembali ke Kyoto dikejar Hamada selepas sekian lama tiada khabar berita. Malangnya, aku terlambat. Chiyo telah ditikam pedang. Sebelum mati, dia meminta dikebumikan di lembah Amaguri. Kotobuki tidak memberitahu identiti Chiyo yang sebenar, dia hanya membantuku mengebumikan mayat Chiyo di situ.

Aku tidak tahu apa-apa berkenaan Amaguri dan keturunannya selain dari lembah itu. Sehinggalah sekarang, selepas Ayame sendiri menceritakan pewaris Amaguri mampu menghapuskan kuasa tama-no-iwa dan meminta aku menjejakinya. Aku tahu Ayame bimbangkan rumah-rumah perlindungan kami. Meskipun aku mengecam rupa Shinji, namun aku perlu bukti tambahan yang dia sememangnya Amaguri dan punya kuasa puak itu.

Aku fikir Kotobuki hanya mahu mengugut Ayame dengan menghapuskan kuasa tama-no-iwa. Aku tahu Kotobuki tidak berminat dengan Kogen. Dia mahu menyerahkannya kepada Maharaja dan Maharaja akan meletakkan pasukan pelindung rumah perlindungan tanpa memerlukan tama-no-iwa lagi.

Apa yang akan dilakukan Shinji? Jika benar dia pewaris Amaguri, apakah dia akan memilih untuk menamatkan kuasa tama-no-iwa, demi menumpaskan Hamada dan menuntut bela ibunya?

Berkenaan Ayame pula, jika meletakkan individu penjaga sudah memadai sepertimana rancangan Kotobuki, mengapa Ayame beriya benar mahu mempertahankan kuasa tama-no-iwa? Atau dia sebenarnya punya kepentingan lain? Batu itu juga melindungi kawasan-kawasan tersembunyi di sini seperti hab senjata, penjara dan makmal ubat-ubatan.

Apapun, aku telah mengalihkan destinasi terowong itu ke sini. Aku harap Shinji tidak benar-benar bijak untuk memperbetulkan laluan terowong itu. Jika dia berjaya melakukannya, maka benarlah dia pewarisnya.

Namun walau apapun motif Ayame, aku percayakan dia. Segala yang dilakukannya adalah demi keselamatan anak-anak kami. Aku tidak seharusnya mengesyaki dia begini. Hotaru menepuk-nepuk kepalanya.

Dia tiba kemudian di tempat persembunyian, memerhati Shinji dan Tsuneki bersama tiga pengikutnya.

“Kalian kembali ke tempat masing-masing dan berkawal seperti biasa. Aku akan memerhati Shinji dan Tsuneki seorang diri.” Hotaru memberi arahan.

“Baik, Hotaru-san.

Previous: Bab 65
Next: Bab 67

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov