Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 103

Kanopi hutan sugi tidaklah terlalu melitup di situ kerana daunnya tidak lebar. Di sini juga kekurangan pokok-pokok berdaun lebar seperti sakurashirakaba dan ichou. Maka di hari yang cerah dan waktu menghampiri tengahari, tiada halangan bagi petarung-petarung di sini memerhati sekeliling mereka dengan jelas. Ryouji memerah otak, cuba memikir gerakan-gerakan yang paling wajar.

Hisamiko dan Tsuneki masih mengawasi dua puluh orang pengikut Suzuki yang sedang mengepung mereka dari celah-celah belukar. Hisamiko menetak mana-mana panah yang melayang ke arah mereka, sementara peranan Tsuneki yang lebih proaktif ialah memanah mana-mana pemanah di balik daun-daun hutan yang berjaya dikesannya.

“Tsuneki, boleh pinjamkan aku Saishi-tou-mu?” Tanya Ryouji tiba-tiba.

“Di mana Saishi-tou engkau? Jangan-jangan engkau hilangkannya?”

“Nanti aku kisahkan. Pinjamkan dahulu pedangmu.”

“Baiklah, aku pun jarang menggunakannya. Jangan hilangkan!” Tsuneki mencampakkan pedang Saishi-tou-nya. Pedang tumpul itu benar-benar sama bentuk, panjang dan beratnya dengan pedang Saishi-tou Ryouji yang telah dipatahkan itu.

Campakan Tsuneki ditangkap oleh Hisamiko yang mengesannya dengan deria istimewa, yang berdiri lebih hampir dengan Ryouji.

Onii-san.” Hisamiko memberikan pedang itu kepada abangnya. “Arigatou, Miko.” Ryouji tidak menoleh, mengambil terus pedang itu dari tangan Hisamiko. Dia menghayun pedang itu, cuba menaksir beratnya dan menyesuaikan diri.

Amat sesuai denganku. Beratnya benar-benar sama seperti Saishi-tou aku yang telah dipatahkan itu. Harapnya Saishi-tou Tsuneki ini mampu bertahan. Bahkan, ia direka menggunakan kaedah sama yang digunakan bagi menghasilkan Saishi-tou Hisamiko, iaitu kaedah yang telah ditambahbaik oleh Shinji.

“Apa muslihatmu, Ryouji?” Suzuki bertanya kehairanan melihat Ryouji menukar pedangnya, seraya pantas meluru ke arah Ryouji, cuba menyasarkan tetakan pada lehernya, terus di jurus kelapan. Ryouji menepis dengan pedang Saishi-tou, kini lebih mudah naik pada jurus kelapan dengan pedang tersebut. Namun Ryouji menyedari berat pedang Kawasaki di pinggang menyukarkannya. Dia menarik pedang tersebut dari sarung dan melibas ke arah Suzuki, menyebabkan dia berundur. Ryouji mencampakkan pedang Kawasaki bersama sarungnya ke lokasi Tsuneki.

“Tsuneki, simpan pedang yang kupungut ini. Mungkin berguna nanti.”

Ryoukai.” Tsuneki mengambil dan menyisipkannya ke pinggang.

“Ia pedang bermata. Hati-hati.”

“Hmm.” Tsuneki menyahut peringatan Ryouji.

Imagawa peka memerhati sekeliling, melihatkan Suzuki menumpu pada Ryouji. Dia perlu berwaspada pada sebarang serang hendap oleh pengikutnya yang mungkin sedang bersembunyi, atau jika Suzuki cuba beralih menyerangnya sekali lagi. Dia harus membantu Ryouji. Nyawa Ryouji, Hisamiko dan Tsuneki adalah keutamaannya, demi arahan Kogen.

Berdasarkan pengalamanku, Suzuki ini amat benci sebarang campur tangan dalam pertarungannya. Seperti mulanya, dia terang-terangan memberi amaran akan membunuh sesiapa dari kalangan pengikutnya yang cuba campur tangan. Namun aku tidak boleh menumpu kepada pengikutnya sekarang. Jurus anehnya itu kulihat amat berbahaya, ia mengelirukan. Aku perlu membantu Ryouji.

Imagawa memerhati sekeliling. Dia terdengar bunyi deruan dari jauh menghampiri kawasan itu. Wajahnya berubah kelam. Ia nampaknya seperti pasukan tambahan Suzuki! Tetapi...

Suzuki masih menghunus pedangnya setelah ditepis Ryouji, menganjak beberapa langkah ke belakang dan berpusing dalam bulatan, diekori Ryouji, masing-masing menanti gerakan seterusnya.

Aku tidak boleh membiarkan Imagawa diserang dengan jurus penggandaan itu. Dia mahir bertarung pedang, namun tidak arif kaminari. Namun kemahirannya setanding dengan petarung yang arif jurus rendah kaminari seperti jurus tiga. Bila-bila masa sahaja Suzuki mampu menebas lehernya jika dia terleka sedikit.

Seorang demi seorang pemanah dari kalangan orang-orang Suzuki tumbang dipanah Tsuneki yang mana mata panahnya dicalit pelali Kogen yang memengsankan itu. Jika nasib mereka tidak baik, pendarahan berterusan dari panahan itu akan mencabut nyawa mereka. Jika sebaliknya, mereka akan pengsan untuk suatu tempoh, sekurang-kurangnya sejam. Yang berbaki mengepung sekarang hanya dalam sekitar sepuluh orang, namun lokasi mereka semakin jelas dan merapat, dapat dilihat dari celah daun-daun belukar. Kini ada yang memerhati dari atas pokok, sesuatu yang tidak dapat dilakukan sebelumnya kerana kurangnya pokok-pokok tinggi berdekatan kawasan itu. Tsuneki dan Hisamiko kini perlu meluaskan lingkungan radar waspada mereka ke atas jemala pula. Mengamati atas dan bumi berulang-ulang kali amat memeningkan, lebih-lebih lagi jika silau matahari turut mengganggu penglihatan mereka.

Tidak semena-mena semua sepuluh orang yang berada di sekeliling mereka dipanah dari belakang. Siapa yang menyerang?

Kelihatan kelibat pasukan pemanah berpakaian serba hitam seperti ninja dengan menutup muka, dalam sekitar dua puluh orang, melompat dari pokok ke pokok. Nampaknya semua mereka adalah wanita, melihatkan rata-rata bertubuh tubuh kurus, kecil dan punya ekor rambut yang diikat ke belakang, terjulur keluar dari sarung muka yang hanya menampakkan mata. Bahkan pakaian ninja itu menampakkan bentuk tubuh rata-rata mereka.

Aku sudah agak, getus Imagawa. Kotobuki, perancanganmu sudah dibocorkan kepada pecahan Ayame. Skuad Sakura sudah mengetahuinya! Sekarang, apa yang harus aku lakukan? Sefaham aku Ayame mahu merampas Kogen. Apa kaitan dengan Tsuneki? Apa pentingnya Tsuneki kepada Ayame?

“Imagawa, Ryouji, Hisamiko dan Tsuneki, kami Skuad Sakura, unit khas di bawah Kogen. Kami dihantar Ayame untuk membantu kalian.” Umum salah seorang dari ‘ninja’ tersebut, suara wanita muda.

Hotaru! Mengapa engkau di sini? Ryouji menyoal dalam hati, amat mengenali suara itu.

“Kalian... kalian memang benar-benar mengharapkan pertumpahan darah besar-besaran di sinikah?” Bentak Suzuki.

“Ryouji, apakah mereka boleh dipercayai?” Tanya Imagawa, matanya masih memerhati Suzuki.

“Aku tidak pasti. Aku pasti wanita yang bersuara itu Hotaru, ahli Kogen.”

“Hotaru? Apa dia buat di sini?”

“Dia membantu kita nampaknya. Aku tidak pasti. Yang aku pasti, rancangan kita sudah dibocorkan kepadanya. Aku tidak tahu angkara siapa.”

Imagawa menepuk dahinya. Semua pengikut Suzuki sedang pengsan kesan pelali dari panah. Suzuki masih berdiri menunggu. Imagawa, Ryouji , Hisamiko dan Tsuneki berdiri menghadapnya. Sementara Skuad Sakura masing-masing bertenggek di atas pokok.

“Sekarang orang-orangku semua sudah ditewaskan. Jadi, Ryouji dan engkau orang tua. Apa tunggu lagi? Aku berseorangan sekarang. Teruskan serangan kalian!” Suzuki berkata dengan angkuhnya, suaranya nyaring menerobos segenap penjuru hutan.

Imagawa berpesan kepada Ryouji separa berbisik, sedang matanya terpaku ke arah Suzuki.

“Ryouji, engkau dan Hisamiko dan Tsuneki, teruskan ke Yokuma.

“Imagawa-san! Engkau tidak tahu kaminari...engkau akan tewas!”

“Aku akan menghalangnya. Ryouji, usah kau bimbang denganku.”

“Imagawa-san...” Ryouji terkejut melihat Imagawa menghulurkan sesuatu, berupa patung kayu berbentuk samurai dengan peti kayu kecil.

“Ryouji...” sebaik habis menyebutnya, darah meleleh keluar dari hidung Imagawa. Dia menyeka darah itu dengan lengan yukatanya seraya menyambung, “Suzuki telah mencederakanku sebelum dia melompat dan berundur dari kita tadi. Suzuki sedar aku tidak tahu kaminari seraya mengambil kesempatan ke atasku.”

“Di mana cederanya? Di mana?! Beritahu aku Imagawa-san!”

“Dalaman. Dia menghentak belakang kepalaku dengan belakang pedangnya. Hanya itu yang sempat dia lakukan ketika berundur dari kita tadi.”

“Ryouji, sementara hayatku masih berbaki, kalian berundur segera. Pergi, pergi!” Imagawa menolak perlahan tubuh Ryouji.

Sebaik habis berpesan kepada Ryouji, dia kemudian pantas meluru ke arah Suzuki dan berteriak “Ryouji, tunaikan wasiatku di dalam surat itu!”, merujuk kepada surat yang baru diberikan.

Imagawa bertarung bermati-matian dengan Suzuki.

Ryouji, Tsuneki dan Hisamiko meninggalkan Imagawa menunggang kuda. Tsuneki kini menunggang kuda Imagawa. Skuad Sakura mengekori mereka bertiga dari jauh juga dengan menunggang kuda.

Ryouji tidak menoleh meskipun sebak menikam dada. Dia bimbang, jika dia menoleh dia akan mengubah fikirannya saat-saat akhir.

Arigatou, Imagawa-san!

**

**

“Hotaru-san!”

Hotaru menutup telinganya, mendengar bentakan Ryouji. Mereka kini jauh dari lokasi pertarungan Imagawa dengan Suzuki.

“Ayame menghantarku ke sini. Aku tahu bertarung kaminari Ryouji.”

“Dan pasukanmu? Pasukanmu hanya tahu memanah bukan?”

“Hanya mereka yang kuada demi membantuku. Ryouji, aku akan melindungi mereka.”

“Kalian, usah memandang ringan pasukan Hamada di sini. Aku fikir lebih baik kalian meninggalkan kami bertiga. Kalian pulanglah. Kami bertiga akan ke Higashi-no-yane.”

Hotaru berdiam sejenak. Dia kemudian menutur perlahan, “Baiklah. Ryouji, jangan engkau mati. Hisamiko, Tsuneki, kalian pun. Bantu Ryouji.”

“Hotaru nee-chan...”

“Ya Hisamiko.” Hotaru masih belum menanggalkan topengnya.

Nee-chan arigatou. Atas pertolongan kalian tadi.”

“Memang tugasku, Hisamiko. Nee-chan sentiasa menantimu di Kogen jika engkau berubah fikiran suatu hari nanti.”

“Aku akan kembali, nee-chan.” Air mata Hisamiko mengalir tatkala dia merenung Hotaru dari atas kudanya. Hotaru turut bersedih, dia juga di atas kuda. Ingin sekali dia memeluk Hisamiko, namun dibimbangi kelekaan mereka akan menarik pengintip Hamada yang mungkin sedang memerhati di balik daun-daun hutan, mereka membatalkan hasrat.

“Usah menangis Hisamiko. Kami akan berkawal di luar Higashi no Yane.”

“Hotaru-san! Usah berdegil, segeralah kalian pulang!”

“Ryouji, engkau tidak tahu pasukan Kogen dari Nagano sedang menuju ke sini?”

Ryouji, Hisamiko dan Tsuneki melopong.

“Kami mengerah pasukan simpanan di Nagano ke Narai-juku yang telah dibakar konco Hamada. Sebaik pasukan Nagano mendapat tahu kalian ke sini, mereka mengerah pasukan tambahan membantu kalian. Kami Skuad Sakura bersekutu dengan mereka.”

**

Ayame berdiri di pinggir Shirasaka-no-kogen, di tepi sebuah gaung. Gaung yang dalam itu memisahkan tanah tinggi tersebut dari hutan di seberangnya. Kabus tebal mengaburi pemandangan di dasar gaung. Sesiapa yang ingin menjejaki Shirasaka-no-kogen akan dihalang dua perkara; kuasa tama-no-iwa Shirasaka, dan jika mereka berjaya menyahsaktikan kuasa ini – di mana amat mustahil ia dapat dilakukan – mereka akan dihalang pula secara fizikal oleh gaung ini.

Ayame merenung jauh ke bawah, berdiri memandang gaung yang mendasar entah sedalam mana, kemudian memandang kejauhan, hutan-hutan tebal sugi dan puncak-puncak bersalji putih banjaran Tateyama. Di sini adalah tempat dia selalu bersendiri, menenangkan dirinya, dan menyusun strategi.

Maka pewaris Higashihara adalah Tsuneki. Kerana tidak mungkin dua orang itu, kerana mereka Okuhida, bisiknya.

Sebelumnya, Hotaru datang melaporkan intipan terhadap Kotobuki dinihari semalam.

“Hotaru, pimpin Skuad Sakura membantu mereka bertiga. Pastikan Tsuneki mendapatkan kembali kuasanya.”

“Baik, Ayame.”

Aku mahu otou-san mempercayaiku. Aku tidak ingin langsung kedudukan dan kuasa. Aku hanya mahu mengembalikan Kogen ke landasan yang betul. Kod Kogen sekarang harus dikekalkan. Hukuman bunuh terhadap perogol dan pelaku cubaan rogol mesti dikekalkan bagi menakut-nakutkan sesiapa jua yang cuba melakukannya! Dan aku mahu melihat Kogen berada di bawah kepimpinan wanita. Semua lelaki hanya akan menjadi orang bawahan kami. Aku sedar, tidak semua mereka binatang. Aku tahu itu. Ada yang baik, seperti Ryouji dan Tokui. Seijuro dan Takajiro, Takumi, dan Touma. Bahkan ramai lagi. Namun mereka amat berbahaya jika nafsu binatang itu mengawal kepala mereka, bahkan mana-mana lelaki sekalipun, seperti beberapa peristiwa yang telah berlaku di hadapan mataku.

Aku tidak membenci lelaki. Aku mahu semua mereka dikawal, di bawah telunjuk aku dan para pengikut wanita yang kulatih di bawah payung Skuad Sakura.

Disebabkan itu, aku perlu memastikan Kogen senantiasa berada di bawah kepimpinan wanita. Hanya itu kumahukan. Aku tidak ingin langsung menumpahkan darah, seperti ramalan Amaguri yang sangat dipercayai otou-san itu.

Otou-san, kesetiaanku hanya kepada Kogen. Aku hanya ingin mengangkat dan melindungi maruah wanita-wanita Yamato. Tidak sedikitpun dalam hatiku kepingin akan kuasa, dan pertumpahan darah.

Aku amat berharap dengan tindakanku ini, engkau memahamiku dan mempercayaiku. Bahawa aku langsung tidak menginginkan kuasa dari Tsuneki. Bahawa aku mahu Hamada, bapa kepada sengsara kita, dihapuskan. Bahawa aku ingin kembali melihat Kogen dipercayai seperti dahulu.

Kerana otou-san, aku amat menyayangimu meski sebesar mana sekalipun wasangka engkau terhadapku.

**

Musim bunga, 1858 (ketika Ayame berumur dua belas tahun)

Omi berbual dengan Kotobuki.

“Kotobuki, aku fikir ramalan Amaguri sudah menjadi kenyataan. Ayame adalah Kaisenjyo.”

Otou-san. Aku tidak mempercayai karutan itu selagi tiada bukti.”

“Bukankah Kaisenjyo akan muncul dari kalangan pemedang handal? Siapa lagi?”

“Aku fikir...”

“Miura bukan?”

Kotobuki hanya mengangguk, mengiyakan.

“Bagaimana pula? Dia sudah punya anak yang berkemungkinan dipilih menjadi Kaisenjyo?”

“Dia merahsiakannya. Aku tahu dari pengintipku. Dia punya seorang anak lelaki sekarang, berumur empat tahun.”

“Kotobuki, Kaisenjyo hanya perempuan...”

“Masih ada harapan bukan? Bukankah itu bermakna isterinya subur? Dan tidak mungkin isterinya akan ditimpa sumpah seperti Tsubomi kerana dia bukan dari puak Okuhida mahupun Shirasaka. Miura pasti akan mendapat seorang anak perempuan bukan? Dan pasti Kaisenjyo akan dipilih dari kalangan mereka dan Ayame akan terbebas darinya bukan?”

“Jangan terlalu mengharap Kotobuki. Engkau tidak akan mampu menghalangnya jika Ayame dipilih.”

Kotobuki melepaskan keluhan panjang. Otou-san, bolehkah engkau membiarkan aku sekadar menyedapkan hatiku barang sejenak cuma?

“Jujurnya inilah sebabnya mengapa aku tidak mahu berkahwin...”

“Kaisenjyo tidak akan menumpahkan darah seperti ramalan Amaguri, jika engkau mendidiknya dengan betul. Pilihanmu untuk berkahwin bukan satu kesilapan.”

“Engkau tahu bagaimana?”

“Ayame sudah kehilangan ibunya, dia pastinya kesunyian. Kotobuki, berbicaralah dengan dia selalu.”

Aku tidak gemar berbual panjang. Mungkin itulah masalah sebenarku. Mungkin aku memang tidak layak menjadi seorang bapa atau suami sejak mula lagi, kerana sikap pendiamku ini.

“Atau, sekurang-kurangnya selalu menadah telinga mendengar dia berbicara. Kotobuki, ramalan Amaguri hanya akan menjadi kenyataan bilamana Kaisenjyo berputus asa dengan kalian semua. Ingat itu.”

“Saat itu, mereka akan menutup pintu hati mereka dan menghilangkan kemanusiaan mereka dan tiada sesiapapun yang dapat menghalang mereka dari menghancurkan negara yang kita bina bersama Maharaja ini. Ingat Kotobuki, matlamat mereka pada saat itu ialah menjadikan pulau Yamato ini pulau tunggal mereka, dan satu-satunya cara yang tinggal ialah memindahkan Kaisenjyo ke pulau yang jauh terasing dari sini sebelum dia melakukan itu semua. Engkau mahu begitu?”

Kotobuki membisu seribu bahasa, memikirkan kata-kata Omi. Omi menyambung.

“Engkau sayangkan dia bukan?”

“Dia satu-satunya anakku.”

“Belajar menjadi pendengarnya. Aku yakin dengan engkau Kotobuki. Ramai ahli Kogen memuji sikap pendengarmu. Mereka kata engkau pendengar yang baik.”

“Tak adalah otou-san. Mereka hanya mengarut denganmu.”

Omi hanya tersenyum mendengar penafian kosong Kotobuki. Kotobuki mengumpul pengikut  dan meraih kesetiaan dari dalam kalangan ahli Kogen sedikit demi sedikit dengan mendengar mereka, sepertimana yang telah dilakukan Ryouji ketika di rumah perlindungan Takasaki. Ahli Kogen hampir semuanya punya sejarah hitam. Diserang, dipinggirkan, dirundung trauma. Kotobukilah yang menjadi pendengar sebahagian dari mereka yang berada di tahap kritikal, mendekati mereka seorang demi seorang. Kesetiaan itu bertahan selama mana Kotobuki tinggal di Kogen, sehinggalah dia menjadi pengintip dan sami di Furukawa. Kemudian perlahan-lahan dia dilupakan, dan pengaruh Ayame mula bertapak ketika Ayame ditugaskan ke Kogen kemudiannya beberapa tahun kemudian.

Ayame mendengar perbualan Omi dan Kotobuki dari jauh. Dia sedang duduk bersandar di tepi bangunan pejabat Omi bersebelahan taman bonsai tempat mereka berdua sedang berbual.

Kaisenjyo? Apakah itu? Aku? Aku adalah Kaisenjyo? Mengarut! Mereka mengatakan aku akan membunuh orang?

Mengarut!

**

Ryouji membuka peti yang diberikan Imagawa bersama patung kayu berbentuk samurai. Peti itu berisi surat. Isi surat itu berbunyi begini;

Kepada Ryouji dan rakan-rakan,

Aku menulis surat ini kerana bimbang aku mungkin akan mati tiba-tiba tanpa sempat bercerita panjang kisah latarku. Juga ada pesan yang ingin aku tinggalkan buat kalian. Mungkin hanya itu sahaja permintaanku sebagai balasan di atas bantuanku sehingga saat ini. Bukan aku meminta balasan kalian, pertolonganku ikhlas. Namun kufikir hanya kalian sahaja yang boleh kuharapkan agar membantuku, di atas pengalaman kalian bersama insan itu.

Engkau pasti pernah bertemu adikku beberapa kali bukan? Jika engkau tidak menyedarinya, adikku ialah lelaki yang kalian gelar Tsugiyama itu, yang nama sebenarnya Soichiro. Dia adik kembarku. Dia hilang sewaktu peristiwa kebakaran di kampung kami di Koharu di utara ketika kami masih berumur empat tahun. Aku bertemunya kembali empat tahun lepas. Namun dia telah berubah, setelah lama hidup bersama Hamada. Bahkan dia telah kembali berkhidmat semula kepada Hamada tidak lama selepas pertemuan itu.

Ryouji, aku ingin sekali membunuhnya, kerana aku tidak sanggup menanggung malu memiliki adik yang menumpahkan darah sewenang-wenangnya. Aku tidak sanggup melihat dia melakukan kemusnahan di serata Honshu demi syaitan itu. Namun aku tidak mampu. Dia satu-satunya ahli keluargaku yang tinggal. Aku terbeban oleh emosi sendiri. Hari-hari yang kulalui dibayangi rasa serba salah. Sesaat aku berdiam, mungkin sesaat itulah nyawa mangsanya melayang. Lantas aku cuba melupakan dan berdoa agar aku tidak menemuinya lagi. Kemudian aku diberitahu yang dia dibunuh kalian, ketika peristiwa kebakaran rumah Takasaki, oleh salah seorang pengikutnya yang bernama Tatsuya.

Ryouji, arigatou. Kerana membunuhnya. Benar, memang aneh bunyinya aku berterima kasih begini, namun dengannya aku telah dapat menghindar dari membunuhnya dengan tanganku sendiri. Sungguh, aku masih amat menyayanginya meski sekeji mana sekalipun perlakuannya. Padaku dia hanyalah seorang adik kecilku yang terabai sekian lama. Yang diabaikan abangnya sendiri tatkala dia sibuk melarikan diri dari kebakaran itu.

Ryouji, aku amat berharap aku telah menebus dosa-dosa Tsugiyama dengan bantuanku ini. Maafkanlah dia, meskipun mungkin berat untukmu melakukannya. Dan maafkanlah aku, kerana hanya ini yang termampu aku berikan. Hanya satu kupinta untuk kali terakhir, sebagai membalas pertolonganku sehingga saat ini. Ryouji, tanamkan patung kayu kesayangannya ini di pusaranya. Hanya itu.

Arigatou, arigatou, soshite sayounara. (Terima kasih, dan selamat tinggal)

Imagawa Ichiro kara (dari Imagawa Ichiro).”

 

Previous: Bab 102
Next: Bab 104

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov