Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 67

Shinji dan Tsuneki kembali ke pintu terowong.

Dia mengamati cahaya bulan yang bercampur warna kuning dan biru, sehingga kelihatan hijau. Dia mendapati cahaya hijau dari bulan diserap ke satu tempat, kemudian dipantulkan oleh sesuatu di situ menghala ke muka terowong.

Shinji bergerak ke sana.

“Shinji engkau hendak ke mana?”

“Ikut aku. Aku nampak cahaya hijau.”

“Cahaya hijau? Shinji, apa yang engkau mengarut?”

“Cahaya dari bulan. Hanya aku yang dapat melihatnya.” Terdapat objek di tempat pemantul itu sehinggakan kuasaku dikeluarkan di sini, dan aku dapat melihat cahaya hijau. Barangkali objek tersebut batu-batu dari tama-no-iwa.

Shinji tiba di tempat di mana cahaya hijau mula dipantulkan. Dia mendapati cahaya hijau dari bulan dipantulkan kumpulan batu-batu, disusun dalam bulatan, sehingga cahaya tersebut menghala ke muka terowong. Shinji mengalih batu-batu pemantul di situ sehingga permukaannya tidak lagi memantulkan cahaya hijau ke muka terowong.

“Tsuneki, aku bilang mungkin cara ini berkesan. Aku fikir batu-batu ini seperti batu penerang terowong, iaitu tama-no-iwa.” Shinji mengambil beberapa batu tama-no-iwa pemantul cahaya hijau itu dan menyimpannya. Sesiapa yang cuba menyusunnya kembali sehingga memantul cahaya hijau ke muka terowong tidak akan berjaya kerana bilangannya sudah dikurangkan.

Dari jauh, di atas sebatang pokok, Hotaru memerhati mereka.

“Maka benarlah engkau pewaris Amaguri, Shinji. Hanya mereka yang dapat melihat cahaya hijau sahaja yang mampu melakukannya. Aku akan melaporkan kepada Ayame. Kami akan pastikan engkau dalam kawalan kami!”

Shinji dan Tsuneki kembali masuk ke dalam terowong, berjalan terus ke unjuran di perpustakaan.

“Shinji, apa sebenarnya yang engkau mahu lakukan? Mengapa kita pulang?”

“Tsuneki, kita akan mengulang ke hujung terowong ini kembali. Aku bilang dengan cara ini sahaja kita akan dapat sampai ke tempat yang sebenarnya aku mahu tujui.”

“Aku mengantuklah.” Tsuneki menguap panjang.

“Bertahan dahulu Tsuneki. Sekejap sahaja, onegai (tolong).”

Kemudian mereka masuk kembali ke terowong dan membuka penutupnya.

“Berjaya!” Jerit Shinji. “Kita tiba di sini akhirnya.”

Tsuneki tercengang. Di manakah tempat ini? Mengapa begitu sunyi sekali di sini, seperti sebuah tempat yang mati tanpa hidupan?

“Di manakah kita?”

“Lembah Amaguri. Tsuneki, sekarang aku perlukan pertolonganmu.”

“Apa? Lembah Ama...”

Shinji tidak menjawab, seraya terus berjalan menuju ke tama-no-iwa utama Amaguri.

“Tsuneki, aku mahu engkau panah tiang batu ini sehingga terhasil serpihan-serpihan.” Shinji menunjuk ke arah batu tama-no-iwa utama Amaguri, tiang batu setinggi dirinya.

“Oh, ini rancanganmu rupanya. Serahkan padaku.”

Tsuneki merapati tiang batu itu. Dia mengeluarkan batu penyuluh bagi meneranginya. Dia meneliti sebarang retakan pada tiang batu, dan juga memeriksa arah angin seperti latihan sebelumnya.

Aku tidak faham engkau Shinji dan aku amat mengantuk. Namun tidak mengapa. Aku akan cuba tolong apa yang kumampu. Kerana engkau telah membantu mengajarku menunggang kuda.

Tsuneki kemudian mengambil jarak, menyarung panah pada busur, menarik dan melepaskannya. Tiang batu itu menyerpih pada rekahan yang disasar Tsuneki.

“Berjaya!” Shinji menjerit keterujaan.

“Sekali lagi, Tsuneki. Aku perlukan lagi lima ketul.”

“Shinji, untuk apakah semua ini?”

“Ujikaji.”

“Ujikaji?”

“Aku bilang dengan kaedah ini, kita mampu ke tempat lain tanpa perlu berkuda, malah kita mampu lari dari tempat itu sekelip mata tanpa perlu menghabiskan masa berhari-hari berkuda.”

“Wah, menarik Shinji! Aku tidak pernah mendengar perkara ini. Mana engkau tahu semuanya?”

“Adalah, nanti aku ceritakan. Cepat Tsuneki, kita tidak punya banyak masa.”

Tsuneki terus-terusan memanah, sehingga cukup lima ketul semuanya. Shinji mengumpulkan serpihan-serpihan yang dipanah Tsuneki, bersama-sama serpihan yang sedia ada bertaburan di kaki tiang batu utama Amaguri itu, dan serpihan yang diambil di tempat dia bertemu Hotaru. Dia menyusun serpihan-serpihan itu dalam bentuk bulatan di suatu tempat terbuka yang terdedah kepada cahaya hijau dari bulan.

Aku tidak pasti apakah cara ini akan berhasil. Sepatutnya aku perlu menyusun batu-batu ini di sana di rumah Hamada atau di Kawamoto. Aku tidak pasti adakah prinsip itu juga terpakai secara songsangan.

Jumlah ketulan batu itu cukup-cukup sahaja untuk membentuk sebuah bulatan yang sesuai saiznya untuk dia dan Tsuneki masuk jika ia berjaya dijadikan portal merentas ruang.

Selesai menyusun, Shinji mengalih-alihkan permukaan batu-batu itu agar ia memantulkan cahaya hijau dari bulan menghala ke Kawamoto, tempat letaknya rumah Hamada. Dia mengeluarkan kompas dan peta bagi memastikan arah ke Kawamoto dari situ.

Shinji hampa. Cubajayanya langsung tidak mendatangkan keputusan yang dimahukan.

Dia menepuk dahi tiba-tiba. Bukankah ini Hidagawa?

“Bukankah sini Hidagawa?” Shinji berkata kuat, Tsuneki terkejut seraya menoleh. Dia sedang sibuk melilau memerhati akar pokok gergasi tidak jauh dari situ.

Dia kembali mengeluarkan kompas dan peta bagi mencari arah Kawamoto yang betul dari Hidagawa. Dia memusingkan batu-batu itu agar cahaya hijau dipantulkan pada arah Kawamoto yang telah diperbetulkan.

Masih, tidak berhasil.

“Masih tidak berhasil, Shinji?”

“Ya.”

“Mungkin aku boleh menolongmu? Apa yang engkau mahu capai dengan batu-batu ini?”

Sulit bagi Shinji untuk menerangkan, kerana hanya dia yang dapat melihat cahaya hijau dari bulan. Namun dia tetap mencuba.

“Begini, Tsuneki. Engkau tidak dapat melihat satu cahaya hijau dari bulan.”

“Aku tahu. Tadi pun engkau ada kata perkara sama.”

“Hanya aku yang memerhatinya sekarang. Ia akibat darah keturunanku. Ia datang dari bulan dan dipantulkan batu-batu itu menuju ke muka terowong.” Shinji menunjuk ke arah yang lain, juga kedapatan bulatan yang dibentuk batu-batu tama-no-iwa. Itu kawasan yang ditemui ketika pulang selepas bertemu Tatsuhiro.

“Aku mahu mencipta laluan sama untuk bertemu Hamada di Kawamoto.”

“Aku fikir engkau perlu mengorek terowong tersebut di sana di Kawamoto, Shinji.”

“Aku tahu, tetapi aku ingin melakukannya di sini.”

“Entahlah, aku fikir aku tidak arif perkara begini. Namun Shinji, bukankah lebih mudah jika berkuda dari sini. Engkau kata sini Hidagawa bukan? Jika begitu, ia lebih dekat dengan Nakasendo. Kita boleh terus berkuda telusuri Nakasendo sehingga bertemu Kawamoto.”

“Namun bagaimana kita boleh membawa kuda ke sini?”

“Kita tidak perlu bawa kuda ke sini. Kita tumpang sahaja pedagang yang melalui Nakasendo. Engkau tahu bagaimana keluar dari sini?”

Shinji cuba mengingat. Kemudian dia membuka kompas. Nakasendo sepatutnya berada di selatan dari tempat mereka.

“Aku fikir amat berisiko keluar begini. Kita akan digantung lagi, Shinji. Kali ini dua jam. Engkau mahukah? Sakit pada hari itu masih belum hilang dari memoriku.”

“Aku fikir kita pulang dahululah.” Shinji bersuara hampa, seraya melangkah longlai menuju ke muka terowong. Tsuneki menurut.

Tujuannya menggunakan batu itu bagi membolehkannya ke Kawamoto tanpa disedari Kogen kerana kaedah ini lebih pantas, namun jika dia keluar secara normal melalui Nakasendo, tiada maknanya kerana dengan itu Kogen pasti akan menghukumnya lagi kerana keluar tanpa kebenaran. Lagi pula perjalanan ke sana melalui Nakasendo memakan masa dua hari berkuda.

Sesampai di rumah, mereka terus menghempas tubuh ke muka katil. Ryouji sudah lama nyenyak di katilnya.

**

Ketika dinihari dan tidak lama sebelum matahari terbit, Shinji bangun mengejut dan terus duduk di kepala katil, seraya memanggil Tsuneki.

“Tsuneki! Aku dapat idea baru!”

Tsuneki masih enak dibuai mimpi. Dia sedikit terkejut mendengar suara Shinji, mengubah posisi baringnya, kemudian sambung tidur.

Shinji mengambil sebuntil kain yang mengandungi batu-batu tama-no-iwa yang dikumpulnya malam tadi. Dia membawa bersama kompas dan peta, beserta sepucuk pistol disisip di pinggang, seraya bergegas keluar meredah kelam dinihari menuju ke perpustakaan.

Sejak semalam aku memikirkan bagaimana dengan hanya mengalihkan batu-batu tama-no-iwa di tempat aku bertemu Hotaru telah menyebabkan laluan terowong itu kembali diperbetulkan menghala ke arah lembah Amaguri. Aku sedar lubang masuk terowong itu tetap di situ selepas batu-batu itu dialihkan. Bahkan aku berjaya kembali ke unjuran di perpustakaan itu. Ini bererti laluan di antara unjuran perpustakaan dan tempat Hotaru tidak dikesani oleh kuasa tama-no-iwa. Batu itu hanya mengesani laluan ke lembah Amaguri sahaja.

Bererti, hanya laluan yang pertama itu yang dikorek secara fizikal, sedang laluan ke lembah Amaguri hanya laluan yang terhasil dari kuasa itu. Adalah mustahil terowong begitu dikorek dari sini ke Hidagawa yang jauh itu secara fizikal.

Aku perlu lekas, sebelum mereka menyusun kembali batu-batu itu. Jika tidak aku perlu membuang masa merosakkannya kembali. Oh ya, tidak mungkin mereka mampu menyusun kembali, kerana aku telah mencuri sebahagiannya.

Shinji mendapati mangga yang telah dipecahkan sebelumnya telah dibuang. Dia menolak pintu perpustakaan, pantas masuk dan menutupnya kembali. Dia tiba di pintu bilik unjuran. Dia menekan-nekan dinding itu sehingga ia terbuka. Ketika itu matahari mulai menerangi segenap pelusuk alam.

Alangkah terkejutnya Shinji mendapati Tatsuhiro sedang tidur nyenyak sambil menutup muka dengan bukunya, berbaring di atas penutup terowong itu, dalam kelam cahaya malap dari batu yang dibawa Shinji dan pelita di hujung kepala Tatsuhiro.

Kono gaki (budak ini)!

Shinji menggoncang-goncang Tatsuhiro.

“Ah, engkau Shinji. Apa kau buat di sini dinihari begini?”

Shinji tidak menjawab.

“Engkau memecah masuk bukan? Rupanya engkau yang melakukannya.”

“Mengapa engkau di sini Tatsuhiro?”

“Peronda melapor kepadaku mangga perpustakaan telah dibuka. Aku berjaga di sini kerana aku fikir memang engkau yang melakukannya. Rupanya betul.”

“Maka engkau sudah tahu. Tatsuhiro, aku harap engkau tidak akan melaporkan kepada Kogen.”

Ne, Shinji. Apa yang engkau cuba lakukan?”

“Tatsuhiro, aku perlukan bantuanmu. Aku mahu ke suatu tempat.”

“Kawamoto?”

“Ya. Aku tidak mahu keluar secara normal. Ia memakan masa. Aku mahu keluar senyap-senyap dan kembali menggunakan terowong seperti ini. Aku tidak mahu diketahui sesiapa terutama Kotobuki dan Ryouji.”

“Engkau mahu bertemu Hamada bukan?”

“Ya.”

“Jangan buat kerja gila Shinji. Engkau tahu bertarungkah?”

“Aku tidak tahu bertarung, namun bukankah aku punya kuasa?”

“Ya, benar. Kuasa itu merawat kecederaanmu. Namun ia tidak akan mampu menyambungkan tangan atau kepala yang terputus dek pedang.”

“Tatsuhiro, aku hanya mahu bersemuka dengannya. Aku mahu dia jelaskan mengapa dia membunuh ibuku. Dan aku mahu dia meminta maaf dariku. Jika dia enggan, aku mahu menangkap dan menghukumnya.”

“Dia akan membunuhmu tanpa soal, Shinji. Kerana engkau mampu menghapuskan kuasa tama-no-iwa. Apakah engkau punya perancangan? Hamada tidak semudah itu dapat ditangkap, kerana kuasa tama-no-iwa-nya.”

“Aku harap engkau dapat menyertaiku, Tatsuhiro.”

“Shinji, maafkan aku. Aku tidak dapat membantumu.” Shinji, Hamada tidak semudah itu ditangkap. Jika demikian, sudah pasti orang-orang kami telah lama menangkapnya. Bahkan, dia dilindungi pahlawan-pahlawan yang mahir kaminari. Ia tidak semudah yang kau sangka.

Naze da (mengapa), Tatsuhiro? Mengapa engkau membongkarkan sejarah itu kepadaku? Bukankah lebih baik jika aku tidak tahu?”

“Ia arahan Kotobuki. Engkau perlu belajar memilih, dan mengawal dirimu sebagai sebahagian dari latihan kami. Aku hanya mampu nasihatkan engkau jangan pergi, Shinji. Risikonya besar. Namun jika engkau berdegil, maka aku terpaksa menahanmu.” Tangan Tatsuhiro bersedia menangkap tangan Shinji. Shinji perasan itu.

“Aku harap engkau beringat selalu, di mana ada rumah perlindungan kami memang terletak benar-benar berdekatan dengan kawasan perompak dan binatang buas. Akan ada yang diserang dan dibunuh jika engkau menamatkan kuasa tama-no-iwa. Sanggupkah engkau?”

Tatsuhiro melangkah perlahan-lahan mendekati Shinji, bersedia menangkapnya.

“Engkau harus memilih, Shinji. Kuasa di tanganmu sekarang.”

“Ya, aku telah memilih. Aku memilih untuk mati!” Shinji pantas mengeluarkan pistolnya dan mengacukan ke arah kepalanya.

“Shinji, kami tidak akan sekali-kali benarkan engkau mati.”

“Mengapa? Kerana aku amat bernilai pada kalian?”

“Benar. Engkau adalah harapan kami.”

“Tidak, Tatsuhiro. Kalian telah tersilap percaturan. Kalian telah menggali lubang kubur aku dan kalian sekali.”

“Shinji, apa yang engkau mahu lakukan?!”

“Jangan dekati aku atau aku akan tembak diriku sekarang.”

Sejurus itu Shinji mengangkat penutup terowong dengan kakinya, mencampakkan buntil kain yang dibawa ke dalam, kemudian terjun ke bawah.

Sayonara!”

Dia berlari menuju hujungnya.

“Shinji, matte!” Tatsuhiro cuba mengejar namun sudah terlambat. Shinji pantas membuka dan menutup kembali penutup terowong dan menindih penutup itu dengan duduk di atasnya. Dia kini berada di lembah Amaguri.

Mujur tiada sesiapa yang membetulkan susunan batu-batu di tempat Hotaru. Aku berjaya sampai ke sini, lembah Amaguri, sekali lagi.

Sedang dia masih duduk di atas penutup terowong di pagi yang cerah dan bening itu, dia melihat matahari biru. Dia mengamati bagaimana cahaya dari matahari biru dipantulkan ke penutup terowong itu, dan menyimpulkan di mana pemantulnya atau bulatan yang dibentuk ketulan-ketulan tama-no-iwa itu berada. Pantas dia membidik pistolnya ke arah salah satu batu yang membentuk bulatan itu seraya menembaknya, sekaligus memusnahkan integriti kumpulan batu pemantul itu. Cahaya matahari biru tidak lagi memantul ke penutup terowong.

“Aku harap dengan cara ini sesiapapun tidak akan dapat menjejakiku sekarang di sini. Dan selama aku di sini aku akan mencari jalan bagaimana untuk ke Kawamoto. Hamada, aku akan menuntut bela kematian ibuku.”

Shinji perlahan-lahan membuka penutup terowong. Dia terkejut beruk mendapati lubang tersebut hilang.

Bagaimana mungkin aku boleh pulang ke Kogen? Shinji menampar-nampar kepalanya. Sebentar, jika lubang tersebut hilang, bererti ia tidak dikorek secara fizikal? Ini bermakna terowong dari sini berlainan kejadiannya dengan terowong dari tempat Hotaru. Terowong di sini datang dari sihir Amaguri. Telahanku benar!

Maka adalah tidak mustahil terowong sihir begini boleh dihasilkan bagi menghubungkan sini dengan Kawamoto, tanpa perlu dikorek!

Apapun, aku akan kaji ia kemudian. Ia rumit. Ia di luar ilmuku. Bahkan mungkin, ia ilmu Amaguri. Mungkin dia telah mencatitnya di sini, di pondok akar pokok gergasi itu. Nanti aku akan selidiknya.

Aku sekarang di Hidagawa. Aku telah menyekat mereka dengan menutup terowong itu. Aku sudah tidak peduli akan hukuman Kogen. Aku sedia lari dari Kogen, dan aku sedia untuk mati. Selagi mana aku tidak bertemu Hamada, aku tidak akan tenang. Okaa-san tidak akan tenang di sana.

Aku akan mencari jalan keluar ke Nakasendo. Kemudian aku akan menumpang pedagang. Jika aku bertemu perompak aku akan mengugut mereka dengan pistol ini. Dan mungkin, aku boleh memeras ugut menggunakan pistol ini, untuk makan? Apapun aku akan rancang kemudian.

Shinji berjalan sambil memerhati kompas di tangannya. Sekelilingnya masih keunguan. Selagi mana dia di dalam lembah Amaguri, maka keunguan itu tidak akan hilang kerana kesan sihir lembah itu. Oleh itu, hanya apabila dia berjalan keluar dari kawasan keunguan ini sahaja maka dia akan berada di dunia luar, di mana barangkali dia akan bertemu Nakasendo. Untuk itu, peta masih diperlukan nampaknya.

**

 

Matahari sudahpun terbit. Pagi membuka tirai pada hari itu dengan garis-garis kirmizi di kaki langit. Petanda hari yang cerah. Hijau daun kaede dan pohon-pohon konifer yang tumbuh jarang-jarang di perbukitan itu, perbukitan dengan padang rumput dan pokok-pokok tumbuh berjarak di mana Shinji dan Tsuneki bertemu Hotaru malam sebelumnya, mulai jelas.

 

Seorang lelaki tua berkepala botak, berumur dalam lingkungan lima puluhan, berpakaian serba putih seperti seorang petapa shugenja, menghentikan langkahnya di tepi bulatan yang dibentuk batu-batu tama-no-iwa yang masih berbaki beberapa ketul, tidak jauh dari muka terowong tempat Shinji dan Tsuneki keluar dan masuk.

 

Yare yare, siapa yang merosakkan kedudukan batu-batu ini? Bahkan beberapa ketul juga telah dicuri.”

 

Dia menyeluk beg kain yang dibawanya dan mengeluarkan beberapa ketul batu, ia tama-no-iwa.

Kemudian dia menyusun batu-batu itu sehingga bulatan tersebut kembali sempurna, dan arah permukaannya seperti sebelum dirosakkan Shinji.

 

“Beginilah kedudukannya seperti dalam memoriku. Hotaru, aku telah menunaikan permintaanmu.”

 

Lelaki tua itu berlalu menuju jauh ke tebing lereng.

 

 

**

 

Sebelumnya, selepas Kotobuki menemui Shinji di pejabat, dia telah bertemu Tatsuhiro terlebih dahulu.

Kotobuki menunggu sehingga Megumi benar-benar jauh dari pejabat. Dia berdiri di muka pintu bagi memastikan. Dia menutup pintu gelangsar.

“Tatsuhiro, sekarang engkau boleh keluar.”

Pintu gelangsar di belakang Kotobuki yang disembunyikan di dalam dinding dan para buku terbuka.

“Tatsuhiro, perhatikan Shinji. Dia akan ke Kawamoto.”

“Baiklah. Kotobuki, boleh kita berbincang sebentar?”

“Silakan. Duduklah.” Kotobuki menuang teh hijau ke dalam cawan dan ditolak ke hadapannya. “Minumlah.”

Arigatou.” Tatsuhiro mengambil cawan itu dan menghirup sedikit.

“Kotobuki... mengapa engkau melakukan semua ini?”

“Dia tidak akan melakukannya. Usah engkau risau.”

“Bagaimana jika dia melakukannya? Apakah engkau punya rancangan lain?”

“Ya.”

Seperti menyerahkan Kogen kepada Maharaja? Kotobuki, aku tidak kisah engkau memutus demikian. Namun sanggupkah engkau melepaskan apa yang dibina Omi di sini? Apakah pengurusan yang dilantik Maharaja nanti mampu meneruskan legasi kalian? Atau akan lebih berleluasa keculasan dalaman di bawah mereka?

“Engkau mengelamun Tatsuhiro? Usah kau risau. Percayai aku. Dia tidak akan melakukannya. Aku hanya mahu mengujinya.”

“Bagaimana dengan keselamatan anak-anak kita sekiranya kuasa itu dilesapkan?”

“Tatsuhiro, kita terlalu bergantung dengan kuasa tersebut, sejak dari awal penubuhan pertubuhan ini lagi, tujuh dekad lepas. Maka apa gunanya penjaga rumah perlindungan yang tahu bertarung itu jika mereka tidak mempertaruhkan nyawa mereka melindungi anak-anak kita?”

“Kotobuki-san...”

“Itu ikhtiar terakhir aku. Saat itu, kita akan dapat mengesan siapa yang sebenarnya ikhlas melindungi mereka, atau siapa yang sebenarnya menangguk di air keruh atau lebih teruk, menjadi duri dalam daging.”

Kotobuki mengangkat cawan dan menghirup teh hijau yang sudah suam sejenak. Kemudian dia menyambung.

“Engkau lupakah ikrar semua penjaga rumah perlindungan ini sewaktu mereka menerima jawatan mereka? Mereka perlu melindungi anak-anak kita dengan nyawa mereka sendiri. Jika mereka culas, Kod Kogen akan membayar keculasan itu dengan nyawa mereka. Seperti yang telah kami lakukan ke atas pasangan Segawa itu.”

“Lalu mengapa sekarang, Kotobuki-san? Mengapa baru sekarang engkau merancang melakukan semua ini?”

“Omi-san, pemimpin kita sudah terlalu tua. Ini kesempatan yang aku ada. Dia telah menyerahkan kepadaku separuh kuasanya.”

“Separuh kuasa? Maksudmu?”

“Kuasa sebagai pemimpin Kogen, bukan kuasa tama-no-iwa. Omi akan menumpu pada urusan para pengintip, bersama dengan Ayame, ia juga merangkumi urusan berkaitan kes-kes dalaman. Sementara aku akan mengendali urusan berkaitan masa depan rumah-rumah perlindungan kita yang berjumlah dua ratus buah itu.”

“Bagaimana dengan Ayame?”

“Aku pasti dia sedang menggunakan orang-orangnya mengawasi Shinji.”

Kotobuki memandang tepat Tatsuhiro.

“Aku akan memerhati orang-orang Ayame.” Tatsuhiro menyuarakan perancangannya.

Sasuga ore no Tatsuhiro da (seperti kujangka Tatsuhiroku). Bersetuju sebelum aku mengarahkan.” Kotobuki menepuk-nepuk kedua-dua belah bahu Tatsuhiro yang sedang duduk bersetentang dipisahkan meja teh, dia tersenyum lebar.

“Kotobuki-san. Aku ingin meminta satu perkara darimu.”

Tatsuhiro meminta sesuatu dari Kotobuki, dalam nada perlahan separa membisik.

“Aku benarkan engkau menggunakan Kazuhito.” Kotobuki memberi lampu hijau.

Tatsuhiro cuba menenangkan diri, meskipun dia masih diselubung kegusaran. Mengapa Kotobuki merisikokan masa depan Kogen dengan meletakkannya di bahu seorang yang sedang berdendam? Bukankah itu amat merbahaya? Apakah Kotobuki punya muslihat atau rancangan alternatif bagi melindungi anak-anak kami?

**

“Sinikah Kawamoto?”

Shinji terpinga-pinga. Dia baru sahaja turun dari kereta kuda pedagang yang ditumpanginya.

Dia berada di tengah-tengah laluan utama pekan Kawamoto, yang sesak dengan berbagai ragam manusia. Ada yang menarik kereta kayu dengan tangan, dan kereta itu penuh dengan muatan seperti sake, dan sushi, ada yang menunggang kuda, ada yang sedang tawar-menawar harga barangan di bahu kiri dan kanan laluan utama. Penjaja di bahu kiri dan kanan menjual berbagai jenis barangan. Yang menjual barangan basah berniaga di bahu kanan, manakala yang meniaga barangan kering termasuk hasil-hasil kraftangan membarisi bahu kiri.

Dia hampir-hampir dilanggar pembawa kereta kayu, kerana berdiri di tengah jalan. Meskipun sesak, laluannya kemas tersusun, di mana laluan tengah diperuntukkan hanya kepada kenderaan seperti kuda dan kereta kayu, manakala pejalan kaki akan berjalan di bahu laluan ini. Mereka hanya dibenarkan melintas jalan oleh seorang pengawal trafik yang tidak pernah lelah menjalankan tugasnya.

Tiada sebutir sampahpun yang dapat dilihat di mana-mana di atas tanah berdebu itu. Sungguh bersih dan tersusun. Sampah-sarap disusun di satu tempat di bahu jalan dan akan dipungut oleh pengurusan pekan tersebut yang diselia pegawai berstatus samurai.

Beginikah kota Kawamoto, tempat gabenor syaitan itu tinggal? Bagaimana pekan ini boleh diurus sebegini cantik, kemas dan bersih oleh syaitan itu?

Shinji bertanyakan seorang penjaja ringo (epal) akan rumah Hamada, dan dia memberitahu ia berada di atas bukit sana yang lerengnya dilitupi hutan, yang mana di kakinya terletak bangunan majistret. Shinji bergegas berjalan menuju bukit tersebut. Dia mengamati dan menemui tangga kerikil yang disembunyikan belukar. Dia mendaki bukit itu, termengah-mengah, dan kerap berhenti mengambil rehat. Shinji tidak cergas dalam bab-bab begini.

Dalam keadaan mencungap, dia akhirnya tiba di puncak. Diselaknya belukar yang berselirat menutupi puncak itu, namun cepat-cepat dia menutupnya melihatkan tiga orang pemuda sedang keluar dari sebuah rumah besar menuju ke taman bonsai yang penuh dengan pokok momiji.

Previous: Bab 66
Next: Bab 68

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov