BUKU 1: HAYABUSA
ARKA 2: KOGEN
*****
Pertengahan musim panas, 1870, di pekan Furukawa (selepas Sonzaemon dan rakannya diserang balas oleh Ryouji di dalam sebuah bangunan usang)
“Ootoshi, Ootoshi!” Sonzaemon mengejutkan rakannya yang pengsan dilempar kayu beluti oleh Ryouji. Kepalanya berdarah.
“Ah...Son-zae-mon. Siapa Ootoshi? Di mana aku sekarang?”
Engkau hilang ingatan pulakah Ootoshi?!
Arghhh! Terdengar suara erangan di sebelahnya. Satoshi, pengikutnya yang seorang lagi, memegang kaki yang parah ditembak.
Sonzaemon mengoyak hujung kain umanori-nya menggunakan kepingan kayu tajam yang banyak bersepahan di dalam bangunan usang yang pernah ditimpa gempa itu dan dibalut pada kaki Satoshi. Mujur tembakan itu tidak terkena tulang. Pelurunya hanya menghiris betis Satoshi, tidak menembusinya. Barangkali Ryouji tidak cekap menggunakan senjata api, atau memang dia sengaja menembak mereka sipi, dia tidak tahu.
Sebentar, di mana Kazunari? Tadi aku lihat dia mengejar Ryouji dalam terhenjut-henjut. Kakinya juga ditembak tanpa ditembus, hanya dihiris peluru seperti Satoshi.
Melihatkan mereka cedera begini, bagaimana harus aku teruskan kehidupan di sini? Aku tidak boleh merompak berseorangan, dengan fizikal yang gemuk dan lembab begini. Aku perlu mencari rakan kongsi baru.
Namun itu sukar. Mereka bertiga ini sudah kukenali setahun lebih. Amat sukar membina kepercayaan baru dengan rakan kongsi baru. Ia memakan masa, dan aku letih. Hidup begini terlalu berisiko, dan ia lebih berisiko jika aku tidak mempercayai pengikutku sepertimana percayanya aku pada mereka bertiga ini. Alangkah bagusnya jika Maharaja tidak merampas tanah-tanah padi, mungkin aku masih di kampung itu sambil berbaring selesa di atas jerami kering merenung langit. Tidak perlu risau akan kelaparan. Meskipun hasil padiku sedikit berbanding Miura, namun ia tetap cukup. Lebih cukup berbanding kehidupan daif dan tidak menentu yang aku lalui sekarang, sebagai perompak di Furukawa.
Sonzaemon bersandar pada tiang bangunan itu, melepaskan keluhan panjang.
Mengapa baru sekarang aku memikirkan perkara ini?
Sebentar, jika difikirkan kembali, jika aku berdiam pada waktu itu sekalipun, Maharaja akan tetap merampas tanah-tanah kami. Aku tetap akan kehilangan tanah akhirnya. Pembaharuan itu nampaknya satu kecelakaan! Aku akan menyertai mereka yang merancang menentang Maharaja. Aku mahu tanahku dikembalikan!
Apapun, sekarang pertama sekali aku akan memanggil Tsukemaru untuk merawat mereka bertiga ini. Kemudian aku akan melarikan diri ke luar pergunungan ini. Mungkin di pantai utara? Ya, pantai utara, di Yozehama. Mungkin ada peluang menjadi nelayan di sana. Aku tidak boleh membiarkan Hamada menemuiku, atau aku akan dibunuhnya kerana memungkiri kontrak kami. Aku perlu bekerja dan mencari pengikut baru. Mungkin, aku akan menemui bekas samurai yang berdendam dengan Maharaja di Yozehama. Selepas itu aku akan bersekongkol dengan mereka. Kami akan membakar Tokyo sehingga seluruh bandar itu menjadi abu!
Maharaja, nantikan aku. Aku akan menderhakaimu atas apa yang telah engkau lakukan.
“Ampunkan aku, Heika (Tuanku)!” Sonzaemon mengujar sinis dalam hati, mulutnya menyeringai. Dia terlalu yakin nampaknya. Dia tidak sedar, Maharaja dilindungi pahlawan-pahlawan baru yang mampu menewaskan Tetsugawa meskipun bekas shogun itu dilindungi pemedang-pemedang handal Shinsengumi sewaktu pertempuran di Hakodate tahun lepas. Bererti pahlawan yang melindungi Maharaja lebih dari itu, barangkali arif kaminari. Barangkali juga ahli Kogen yang arif kaminari. Atau menggunakan taktik pengecut seperti senjata api, taktik sama yang telah membunuh pemimpin kedua Shinsengumi bernama Hijikata Toshiyuki itu.
**
Musim bunga 1872 (Ahli rumah perlindungan Takasaki dalam perjalanan ke Kogen)
Atas arahan Omi, semua penghuni rumah Takasaki perlu berpindah ke Shirasaka-no-kogen. Ryouji memilih hari ini untuk tujuan tersebut. Juga pada awal paginya, rumah mereka telah diserang oleh orang-orang Tsugiyama. Ryouji masih di rumah tersebut memujuk Mariko meninggalkannya. Namun segalanya berakhir dengan tragedi. Mariko telah terbunuh. Dan ia masih di luar pengetahuan rombongan berkuda dari rumah Takasaki itu.
Rombongan berkuda diketuai Goryuuin itu sudah semakin hampir dengan Shirasaka-no-kogen tatkala hari sudah sedikit melepasi tengahari. Di sekeliling mereka adalah hutan pergunungan seperti di Hidagawa, penuh dengan pokok sugi,matsu dan karamatsu, iaitu pokok-pokok konifer tanpa daun lebar. Langit cerah tanpa awan. Suhu nyaman sekali meskipun tanpa angin. Nafas mereka memeluwap semakin tinggi mereka naik dari paras laut.
Berselang-seli dengan bunyi hentakan kaki kuda rombongan mereka, Shinji mendengar bunyi dentingan pedang yang datang dari celah-celah pepohon dan dedaun hutan, sayup-sayup. Namun dia tidak dapat mengesan siapakah yang bertarung.
Dia melihat sekelililing. Tsuneki sedang tidur sambil memeluk penunggang kudanya, Natsuki yang bergerak di sebelahnya. Tsuneki mabuk gunung ketika menaiki cerun curam sebentar tadi dan telah diberikan ubat minum oleh Natsuki.
Shinji pula sedang membonceng kuda yang ditunggangi Hatsuki.
“Hatsuki, engkau dengar sesuatu?” Shinji bertanya.
“Aku tidak dengar apa-apapun.”
Kuda Shinji kemudian lalu bersebelahan kuda Goryuuin yang dibonceng Chiho. Dia mengulang pertanyaan sama.
“Goryuuin-san, engkau dengar sesuatu? Seperti dentingan pedang.”
“Aku tidak dengar apa-apapun.”
Biar betul? Bunyi dentingan itu masih kedengaran di telingaku. Namun Goryuuin tidak mendengar apa-apa?
Anehnya! Ia benar-benar jelas di telingaku. Ia seolah-olah datang dari sebelah kanan, jauh di balik belukar sana.
Menakutkan. Ryouji, apakah tempat yang kami tujui ini selamat?
Kebetulan Hisamiko pula menunggang kuda di sebelahnya, dibonceng Chinami.
“Okuhida-san, engkau ada mendengar bunyi sesuatu? Seperti dentingan pedang di sebelah kananmu?”
“Tidak, Takeuchi-san. Aku langsung tidak mendengar apa-apa.”
Shinji pucat wajahnya sepanjang perjalanan. Tangannya sentiasa memegang pistol di pinggang, bersedia dengan segala kemungkinan buruk. Tidak lama selepas itu, dia terdengar pula bunyi bingit yang lemah. Dua petarung Kogen yang membawa tawanan mereka sudah jauh di hadapan.
Bunyi bingit itu semakin lama semakin kuat. Shinji mengesan bunyi itu datang dari atas dan juga Hisamiko. Dia memandang Hisamiko. Bunyi itu seolah-olah datang dari belakang wajahnya, lebih tepat, belakang hidungnya. Kemudian dia memandang ke atas. Kelihatan Azuchi sedang terbang rendah. Bunyi yang sama turut dikesan datang dari belakang paruh Azuchi.
Bunyi apakah itu? Ia seperti bunyi nyamuk. Ia semakin jelas pada telingaku. Aku sudah kerapkali melihat Azuchi bersama Hisamiko namun belum pernah aku mendengar bunyi begini datang dari kedua-duanya.
Ketika kuda Shinji kembali beriringan dengan kuda Hisamiko, Shinji menegurnya sekali lagi.
“Okuhida-san, engkau ada mendengar bunyi bingit berdekatanmu? Seperti bunyi nyamuk?”
“Tidak Takeuchi-san.” Hisamiko mula berasa sedikit rimas dengan pertanyaan Shinji.
Shinji melihat Azuchi mula terbang tinggi dari Hisamiko. Pada ketika itu bunyi tersebut mula berkurangan. Setiap kali Azuchi mendekati Hisamiko,setiap kali itulah bunyi tersebut menguat.
Aku fikir aku perlu merakamkan semua ini dalam memoriku, dan mengkajinya. Bertanyakan orang, hanya akan merimaskan mereka. Mungkin, tahap pemikiran dan deria mereka tidak setinggiku. Mungkin disebabkan itu mereka tidak mampu menerima perkara baru yang hanya aku mampu mengesannya.
Mereka melepasi satu kawasan di mana Shinji mengesan beberapa kumpulan berpakaian hitam melompat dari pokok ke pokok beredar sebaik melihat Goryuuin dan rombongan mereka melepasinya. Selepas mereka sudah agak jauh meninggalkan tempat itu, Shinji mendengar pergerakan mereka kembali ke tempat asal masing-masing di atas pokok. Shinji yakin mereka orang-orang Kogen yang berkawal di sekitar tanah tinggi Shirasaka.
Mereka tetap sampai dengan selamat ke Shirasaka-no-kogen akhirnya.
**
Ryouji tiba di Shirasaka-no-Kogen seorang diri esoknya selepas selesai menguruskan kematian Mariko. Mayat Mariko dikebumikan di sebuah kawasan permakaman berhampiran kuil Furukawa beronsen, dibantu Ayame. Ayame tetap di kuil Furukawa atas urusan Kogen.
Ryouji memanggil kesemua rakan-rakannya berhimpun di bilik makan utama rumah baru mereka, bagi menyampaikan berita dukacita pemergian Mariko. Suasana suram menyelubungi bilik makan tersebut, masing-masing bertafakur mengenang jasa-jasa dan memberi penghormatan terakhir buat Mariko. Meski Mariko bukanlah ibu kandung mereka, dia telah menjalankan tugas yang telah diamanahkan Kogen dengan baik sehingga mempertaruhkan nyawanya.
**
Beberapa hari kemudian Shinji memutus untuk berkongsi pengalaman anehnya itu dengan Ryouji. Dia fikir hanya Ryouji sahaja yang boleh dipercayai dan matang untuk menjadi pendengarnya pada masa ini. Dia masih belum benar-benar mengenali penghuni-penghuni lain di Kogen-no-shita.
Pada suatu malam, di bilik mereka, ketika Tsuneki dirasakannya sudah tidur.
“Ryouji, engkau sudah tidur?” Shinji bertanya separa berbisik, tidak mahu didengari Tsuneki. Dia masih berbaring di atas katilnya.
“Belum. Mengapa?”
Shinji merapat ke katil Ryouji. Kedua-dua mereka menempati katil aras bawah di dalam bilik itu, yang hanya memuatkan dua buah katil dua tingkat.
“Aku mahu keluar sebentar. Aku mahu bincang sesuatu denganmu.”
Ryouji bangun perlahan-lahan. Dia berdiri menjenguk Tsuneki di katil atas bagi memastikan dia benar-benar sudah tidur. Mendengarkan bunyi dengkuran dan melihatkan dia memeluk bantal peluknya, dia yakin Tsuneki sedang nyenyak.
Mereka berdua perlahan-lahan menjengket keluar dari bilik menuju ke taman zen.
Shinji mengambil tempat di sebelah kiri sementara Ryouji di kanan bangku. Cuaca pada malam itu agak dingin, tanpa angin. Langit diterangi bulan mengambang penuh. Air terjun tidak jauh dari mereka menghasilkan hingar kosong yang menenangkan. Cahaya pelita minyak ikan paus yang digantung pada tiang-tiang kayu dicacak ke dalam tanah, menerangi teratak kerikil di hadapan rumah itu yang merentas dataran luas tempat berlatih bertarung, menghala ke taman zen. Azuchi bertenggek di atas pohon shirakaba tunggal yang ditanam di tepi taman zen, memerhati mereka berdua. Ryouji mendongak ke atas sejenak, memandang burung itu. Burung itu terbang ke pohon lain seolah-olah faham Ryouji tidak menyenangi dia berada di situ mendengar perbualan mereka.
Macamlah aku faham bahasa kalian! Gerutu Azuchi.
“Ryouji, ketika rombongan kami naik ke sini minggu lepas aku ada mendengar bunyi orang bertarung pedang di celah hutan namun aku tidak dapat mengesan lokasinya.”
Shinji berhenti sejenak merenung dan menunggu reaksi Ryouji.
“Ceritakan lagi, Shinji.”
“Engkau sudah tahu?”
“Aku akan tambah kemudian. Ceritakan pemerhatianmu dahulu.”
Shinji menceritakan kembali apa yang didengarinya dan lokasi ia berlaku.
“Yang anehnya, kebanyakan ahli rombongan kami tidak mendengarnya.Selain itu, aku turut mendengar beberapa orang di atas pokok beredar sebaik kami melalui satu kawasan berhampiran sini, dan mereka kembali ke tempat mereka sebaik kami sudah jauh meninggalkannya.”
Ryouji menambah pada kisah Shinji, “Aku terserempak dengan beberapa orang Kogen di hutan tidak jauh di bawah tanah tinggi ini, ketika berkuda kesini selepas menguruskan kematian Mariko-san.Mereka kulihat seperti mengejar sesuatu dengan pantas, malah ada yang melompat dari pokok ke pokok.”
“Seperti ninja?”
“Ya. Mereka semua juga berpakaian hitam dan menutup wajah.”
“Kemudian ketika aku semakin hampir dengan tempat ini, seorang lelaki, berpakaian seperti orang-orang Kogen yang kulihat sebelumnya, menahanku dan menyoal latar belakangku. Selepas aku memberitahu namaku dia terus melepaskan tanpa menyoal lanjut.”
“Wah, engkau terkenal Ryouji!”
“Tidaklah, Shinji. Aku tidak ingin langsung menjadi terkenal. Namun ketika aku ke sini sebelumnya bersama Ayame-san dan Chisato, tiada pula yang menahanku begitu.”
“Barangkali disebabkan Ayame-san ada bersamamu.”
“Mungkin juga.”
“Ryouji, apakah kawasan ini benar-benar selamat?”
“Aku bilang kawasan ini selamat selagi mana kuasa tama-no-iwa-nya berkesan.”
“Tama-no-iwa? Oh ya. Takasaki pernah memberitahuku berkenaan lembah kalian. Keluarga Shirasaka melindungi lembah ini dari penceroboh dengan meletakkan batu tersebut. Tiada sesiapapun yang boleh mencabut dan menanamnya melainkan puak Shirasaka. Begitu juga dengan puakmu Okuhida.”
“Namun aku fikir kawasan hutan di luar ini belum tentu selamat dari penceroboh. Oleh itu, musuh Kogen boleh sahaja mengepung lembah ini dari luarnya dan menyekat logistik orang-orang Kogen.”
“Aku tidak fikir logistik soal yang besar, Ryouji. Aku lihat mereka menghasilkan makanan mereka sendiri di sini.”
“Aku tidak fikir begitu. Tidak semua makanan dapat dihasilkan di sini. Bahkan mereka juga memerlukan bahan mentah untuk ujikaji senjata dan ubat-ubatan mereka, dan maklumat pengintip dari luar. Ada yang tidak dapat diperolehi di sini, maka mereka perlu mendapatkannya dari luar, termasuk dari luar Jepun.”
“Maksudmu?”
“Aku teringat bapaku pernah menyeludup sejenis bahan dipanggil garam Chile (shouseki) bersama pedagang Belanda ke sini. Namun itu lama dahulu, sebelum Perang Boshin (perang Maharaja menentang shogun Tetsugawa).”
“Garam Chile? Sebentar. Bukankah garam itu digunakan untuk membuat ubat bedil?”
“Benar. Aku dengar pada waktu itu mereka merancang untuk menyebelahi Maharaja menentang Tetsugawa dalam Perang Boshin.”
“Bilakah bapamu melakukan penyeludupan itu?”
“Pada tahun 1860, lapan tahun sebelum perang tersebut.”
Bererti agak lama sudah mereka membuat persediaan, getus Shinji.
“Ketika itu Takasaki membantu mereka memindahkan garam itu. Bapaku ada menasihatinya agar memberikan alasan bahawa garam itu digunakan untuk membaja sawah padi jika orang-orang Hamada bertanya. Penyeludupan pada waktu itu aku fikir lebih mudah, mungkin kerana Hamada tidak memasang ramai orang-orangnya di Yozehama, dan Shirasaka. Sekarang mungkin keadaan sudah berubah selepas Perang Boshin. Mungkin dia akan lebih keras terhadap Kogen.”
“Aku fikir telahanmu ada kebarangkalian tinggi. Ketika di bengkel senjata aku temui rekod sejarah penyelidikan senjata Kogen. Hab simpanan senjata (cantonment) rahsia kita di Yozehama yang engkau kisahkan itu dipaksa tutup oleh Hagiura dua tahun lepas (1870). Mungkin mereka telah menyedari kehadiran kita di sini dan memasang orang-orang mereka di sekitar Yozehama sejak itu.”
“Selain itu Shinji, aku fikir ada sebab lain juga mengapa mereka beriya benar mahu mengesan dan menghapuskan Kogen. Hamada aku fikir menaruh dendam terhadap Maharaja. Bayangkan, dia sudah kehilangan tanah dan samurainya. Dia mungkin sedang menyusun kekuatan untuk melancarkan pemberontakan. Kogen yang sejak Perang Boshin menjadi sekutu Maharaja adalah batu penghalang utama kepada rancangannya. Itu pandangan aku sahaja Shinji. Mungkin engkau lebih tahu dariku.”
“Ada kemungkinan. Aku sependapat denganmu. Dia memegang wilayah terbesar di Honshu. Mana-mana daimyo pun pasti menaruh dendam, melainkan mereka yang taat kepada baginda dan juga bersekutu dengan Kogen. Yang kudengar dari Takasaki dahulu, ramai dari mereka sudah berpindah ke Kyushu, termasuk daimyo wilayahmu Kimura Taishii. Sekarang ini, aku fikir yang masih tinggal dan bersama Hamada ialah anaknya Hagiura, gabenor yang menguasai wilayah tempat kita huni ini.”
“Mungkin hanya itu sekongkolnya, atau mungkinkah Hamada bersekongkol dengan daimyo lain juga?”
“Aku tidak pasti hubungannya dengan daimyo lain. Daimyo Hoshimiya di utara juga bersekutu dengan Maharaja. Merekalah yang membantu dan membuka laluan untuk tentera Maharaja ke utara ketika mengejar orang-orang Tetsugawa. Begitu juga Daimyo Yoshihisa, Ninomiya dan Goryuuin yang menjaga pecahan Tsugaru yang besar itu.”
Tsugaru ialah wilayah besar yang merangkumi keseluruhan timur laut dan utara Honshu. Ia dipecahkan kepada sub-wilayah-sub-wilayah kecil yang ditadbir oleh pecahan puak Hoshimiya yang terbahagi tiga; Yoshihisa, Ninomiya dan Goryuuin. Keempat-empat daimyo dari puak ini dikekalkan sebagai gabenor di wilayah masing-masing selepas Pembaharuan. Namun wilayah-wilayah mereka dikecilkan dan wilayah baru yang dibentuk ditadbir oleh gabenor baru yang dilantik terus oleh Maharaja.
Shinji memperlahankan sedikit suaranya, menyambung, “Ryouji, aku ramalkan akan berlaku perang saudara sekali lagi. Mungkin bermula dari Kyushu, mungkin dari sini, atau mungkin dari kedua-duanya. Aku tidak pasti sama ada Kogen akan sekali lagi terlibat dalam perang ini. Aku masih memerhati sekitar sini bagi mendapatkan petunjuk.”
Ryouji membisu sejenak, meneliti kata-kata Shinji. Bagaimana jika Kogen turut terlibat?
“Shinji, apakah engkau akan tetap di sini? Walau apapun yang bakal berlaku terhadap Kogen?”
“Entahlah. Aku tidak punya perancangan. Setakat ini aku hanya mahu bersama kalian, di sini. Aku mahu ke Eropah sebenarnya, namun aku fikir aku hanya mahu di sini dahulu dan memerhati keadaan di sini.”
Shinji pantas mengalih topik, dia tidak mahu memikirkan lanjut perkara itu, “Ryouji, apa pandanganmu? Berkenaan kejadian-kejadian di hutan sekitar kawasan ini? Jika kita memerlukan logistik yang baik, bererti ia satu ancaman kepada kita.”
“Aku fikir Hamada mungkin sudah mula menggunakan kekerasan terhadap orang-orang Kogen. Dan Hamada juga mungkin sudah dapat mengagak di mana lokasi tempat ini secara kasar dan mungkin sedang merancang mengepungnya.”
Ryouji menyambung, “Namun selagi mana orang-orang Kogen mematahkan kepungan itu, kita masih akan selamat. Namun itu tidak bermakna kita boleh selesa di sini. Kogen perlu menambahbaik pasukan pengintip kita demi berterusan mematahkan kepungan itu.”
“Ryouji, aku fikir orang-orang Kogen mungkin akan menangkap atau mungkin, membunuh mereka meskipun mereka amat menghargai nyawa. Jika tawanan ini dibiarkan terlepas, mereka akan melaporkan kepada Hamada dan semakin ramai yang terlepas, semakin tepat anggaran mereka berkenaan lokasi tempat ini.”
“Aku tidak fikir Kogen bertindak bertentangan prinsip mereka. Tahanan-tahanan itu pastinya ditangkap hidup-hidup. Engkau tahu di mana mereka ditahan?”
“Aku tidak nampak di mana sepanjang berada di sini. Dan tidak pula aku nampak mereka dibawa ke sini.”
Shinji dan Ryouji membisu seperti batu-batu di taman zen di hadapan mereka, berfikir. Angin gunung bertiup lembut menambah kedinginan malam musim bunga itu. Kedua-dua menggigil menahan sejuk. Kemudian Shinji bersuara.
“Ryouji, sepanjang kita tinggal di rumah Takasaki aku tidak pernah melihat penceroboh sampai ke rumah tersebut sehingga selepas kematiannya. Aku bilang ada persamaan dengan lembah kalian, Shirasaka dan Okuhida.”
Kemudian, Shinji membuat telahan di luar kotak.
“Aku fikir mereka memotong sebahagian batu tersebut dan menanamnya di kawasan baru, bagi membina kawasan perlindungan baru untuk pelbagai tujuan. Ada kemungkinan. Ryouji, apakah aku sedang mengarut?”
“Bijak engkau.” Ryouji tersenyum sambil menepuk bahu Shinji.
“Kawasan tambatan itu memang wujud, Shinji. Ia rumah perlindungan kita dan ratusan lagi yang lainnya di bawah Kogen.” Ryouji menambah.
“Biar betul? Aku hanya mengarut sahaja tadi. Mengapa engkau tidak memberitahuku awal-awal Ryouji?”
“Aku baru tahu dari Ayame selepas menghantar Chisato yang disuntik aotsuyu. Takasaki-san sebenarnya telah membuat perjanjian tambatan dengan Shirasaka dengan potongan batu tersebut.”
“Apa maksudmu dengan perjanjian tambatan?”
“Ia meminjam sedikit kuasa Shirasaka bagi menyekat penceroboh masuk ke rumah perlindungan. Namun mereka tidak akan dikesani sumpahan hayabusa selagimana mereka tidak memperolehi zuriat. Semua penjaga rumah perlindungan membuat perjanjian tersebut.”
“Jika begitu, aku fikir Kogen pasti membina kawasan tersebut di sini juga. Jika tidak mereka mungkin terpaksa membunuh penceroboh ini. Jika dilepaskan, mereka akan melaporkan kepada Hamada dan semakin tepatlah anggarannya berkenaan lokasi tempat ini.” Shinji membuat telahan lagi.
“Dan semakin mudahlah dia mengepung kawasan ini.” Sambung Ryouji.
“Benar.” Shinji mengangguk.
Ini bermakna selain dari Shirasaka-no-kogen dan Kogen-no-shita, mungkin terdapat beberapa kawasan lain yang kami tidak tahu di sini! Hanya dengan memacakkan serpihan tama-no-iwa mereka di mana-mana, mereka mampu menghasilkan kawasan terlindung baru untuk pelbagai tujuan. Mungkin juga tempat simpanan senjata! Dan juga mungkin bengkel relau, dan perpustakaan rahsia! Ryouji bermonolog.
Bijak. Jika aku tidak tahu berkenaan batu itu mungkin aku juga tidak akan dapat memahami strategi Omi. Namun aku fikir ini hanya hipotesis kami. Strategi ini pasti dilakukan Omi. Jika tidak dia perlu membunuh semua orang-orang Hamada yang ditangkap demi mengekalkan kerahsiaan tempat ini.
Yang pastinya, apa yang aku lihat di sini, hanyalah bucu dari ‘bongkah ais’ yang amat besar yang dipanggil Kogen itu. Selebihnya, masih sebuah misteri besar yang belum dapat aku rungkaikan. Sepertimana Omi pernah memberitahuku ‘Kogen itu lebih besar dari yang engkau sangkakan.’
Jika Shirasaka boleh memotong tama-no-iwa mereka dan membina kawasan rumah perlindungan baru, bererti aku dan Hisamiko juga boleh melakukannya? Sekurang-kurangnya bagi melindungi rakan-rakan kami?
Shinji pula termenung memikirkan kemungkinan yang dibincangkan dengan Ryouji itu. Terlalu banyak kemungkinan. Kami mungkin tidak berseorangan di sini. Di dalam hutan di luar kawasan ibu pejabat Kogen ini, ada ramai‘penghuni’. Baik semangat-semangat alam iaitu para kami, hinggalah para pengakap atau peronda Kogen, dan orang-orang Hamada. Juga orang-orang yang terlibat dalam logistik Kogen dan para pekerja Kogen dan para banduan.
Dan berkenaan bunyi yang kudengari dari Hisamiko dan Azuchi itu, aku fikir mungkin aku akan mengkajinya sendiri dahulu, sebelum aku bertanya lanjut kepada Ryouji. Jika aku jelaskan sekarang, ia berbunyi terlalu aneh. Mana mungkin bunyi nyamuk dihasilkan Hisamiko?