“Kotobuki-san, mengapa engkau di sini?” Ryouji terperanjat, selepas ditarik sami itu ke sebuah lorong.
“Shh...engkau jangan bisinglah!” Kotobuki, sami yang pernah merawat Hisamiko itu, datang ke Furukawa selepas menerima surat dari Takasaki melalui merpati. “Takasaki menghantar aku selepas melihat engkau keluar malam tanpa kebenaran dari rumahnya. Dia mengatakan Ryouji sedang melakukan perkara bodoh di Furukawa.” Sami itu menumbuk kepala Ryouji. Sakitnya!
Ryouji terpana. Dari mana pula orang tua itu mengendapku? Ramai betul pengendap di rumah itu. Selepas Tsuneki, Funazuki dan kini Takasaki juga tumpang semangkuk!
“Mereka masih mengejarmu?”
“Tiga orang sudah kutumpaskan. Abaikan seorang lagi yang lembab kerana badan gemuknya. Mereka menggunakan senjata api ini.” Ryouji menyuguh senjata api itu kepada Kotobuki.
“Ia seakan-akan tanegashima, namun separa automatik. Oh, aku tahu senjata ini. Kami menyelidiknya di makmal Kogen di tanah tinggi Shirasaka. Semua pemberian Miura, diperolehi dari pedagang Belanda.”
“Kami juga memiliki satu di bengkel Takasaki. Takasaki mengajar kami menggunakannya. Ada dua peluru yang masih berbaki di dalam kelopak.”
“Engkau bernasib baik, budak bodoh!” maki sami itu selamba. “Mereka menggunakan senjata api kali ini, tidak seperti sewaktu engkau diserang di pinggir hutan itu. Nasib engkau baik kerana mereka nampaknya cuma ada sebuah dan tembakannya mengenamu sipi. Senjata ini dan pelurunya mahal. Pedagang Belanda sengaja menjualnya mahal. Atau mungkin mereka mencurinya dari saku pedagang Belanda?”
Ryouji menggeleng tidak tahu. Kotobuki hanya berspekulasi, mungkin juga. Mereka pun perompak, mencuri adalah rukun hidupnya.
“Apapun, orang biasa mungkin tidak dapat mengelak sepertimu. Lihatlah, sepantas kamu pun, tembakannya masih mengena sipi. Mari sini, aku ingin lihat kecederaan di betismu.”
Ryouji menawarkan betisnya kepada Kotobuki untuk diperiksa. Darahnya sudah berhenti mengalir.
“Lukanya agak dalam. Mujur sahaja sipi. Bayangkan sekiranya peluru itu menembusi tulangmu. Kemungkinan kakimu terpaksa dipotong kerana tulangmu sudah rosak. Engkau akan cacat selama-lamanya.”
Gerun Ryouji mendengarkannya. Aku tidak mahu cacat! Tidak pernah kutahu begitu bahaya senjata api ini! Mungkin orang-orang Sonzaemon juga cacat akibat tembakanku itu. Apapun, mereka tidak seharusnya menyerangku dahulu. Tanggunglah akibatmu sendiri!
“Kotobuki-san, aku sedikit mengantuk.” Ryouji memberitahu, kepalanya tiba-tiba pening dan dia kerap menguap. Dia keletihan yang amat sangat.
“Ya, engkau kehilangan banyak darah. Engkau perlu berehat. Dan makan. Mari sini, aku bawakan onigiri. Makanlah. Kemudian minum air dan telan ubat ini.”
Mereka menyorok di dalam sebuah bangunan terbiar.
“Ryouji, sebentar lagi akan lalu sebuah kereta kuda membawa jerami melalui pekan ini. Jika engkau melihatnya, melompat segera ke bahagian belakangnya dan menyorok di balik jerami. Kita akan berundur ke sebuah lembah. Aku mahu menunjukkan sesuatu.”
“Engkau hendak membawaku ke mana?”
“Ke lembah Okuhida. Untuk memulihkan pendarahanmu. Engkau kehilangan banyak darah. Dan juga memulihkan emosimu. Ryouji, jangan bertindak melulu seperti ini lagi. Jepun di ambang pengenalan senjata api era baru, bukan lagi tanegashima seperti zaman moyang Tetsugawa. Furukawa sudah menjadi sebuah pekan seperti di negara Amerika itu.”
“Amerika?”
“Ya. Negara orang-orang Kapal Hitam. Di sana pekan sebegini digelar pekan koboi. Kerapkali berlaku pergaduhan dan rompakan menggunakan senjata api seperti itu. Furukawa bukan lagi seperti pekan yang engkau kenali sewaktu kecil.”
“Apakah Kapal Hitam yang engkau maksudkan?”
“Engkau ini benar-benar buta sejarah! Banyakkan membaca, Ryouji. Atau, banyakkan berbicara dengan orang-orang yang banyak membaca. Sudahlah. Engkau harus berehat.”
Ryouji terfikirkan Shinji, ulat buku di rumah perlindungan itu. Dia harus bertanya kepada Shinji suatu hari nanti tentang Kapal Hitam. Dia juga harus membaca lebih banyak bahan-bahan bacaan lain di perpustakaan mereka! Bukannya membaca bahan-bahan dewasa milik Takasaki itu sahaja!
Kereta jerami kini melalui tempat mereka. Ia tidak berhenti, kerana dikhuatiri akan disedari pengintip bahawa ia mengambil seseorang. Mereka melompat masuk ke bahagian simpanan jerami di belakang dan menyorok di baliknya. Pengendera kereta itu sebenarnya pengintip dan juga seorang sami yang bersama-sama dengan Kotobuki menjaga kuil ber-onsen. Komunikasi mereka sentiasa menggunakan merpati.
Kotobuki tidak mahu membawa Ryouji ke kuilnya dahulu, dikhuatiri dia diekori Sonzaemon. Lembah Okuhida adalah kawasan di tengah-tengah pergunungan Hidagawa yang amat sukar ditemukan dan penuh fatamorgana. Ia kawasan mistik dan hanya boleh ditemukan oleh sami Shinto sepertinya, dan keturunan Okuhida. Mana-mana individu yang bukan dari golongan ini, akan dikelirukan oleh kabus dan fatamorgana dan pepohon hutan yang berulang-ulang, meskipun dia mengembara bersama sami Shinto dan keturunan Okuhida.
Hari semakin gelap. Selepas beberapa lama menaiki kereta itu, mereka melalui sebuah tanah lapang. Malam itu bulan mengambang. Tanah lapang itu ditumbuhi rumput-rumput pendek dan bunga-bunga liar. Ia digelar hara.
“Okuhida no hara e youkoso, Fujiwara-no-Okuhida-no-Ryouji! (Selamat datang ke lembah Okuhida, Fujiwara-no-Okuhida-no-Ryouji!)” Kotobuki mengalukan Ryouji. Ryouji melihat sekeliling, hanya padang rumput seluas mata memandang. Kemudian barulah dia menyedari di tengah-tengah padang itu terdapat sebuah tiang batu setinggi badannya. Ia nampak putih kerana memantulkan cahaya bulan. Tidak jauh dari situ terdapat sebuah rumah berbumbungkan jerami. Ada sungai kecil mengalir namun amat terlindung jika dilihat dari tempat di mana Ryouji berdiri.
Kereta jerami itu meninggalkan mereka. Kotobuki dan Ryouji melambai-lambai ke arah pengenderanya.
Kotobuki memapah Ryouji ke tiang batu itu lantas mereka berdua duduk bersila mengadapnya.
"Ryouji, ini adalah tama-no-iwa (monolith of the spirits / batu semangat) puakmu." Kotobuki menerangkan tentang tiang batu itu.
“Ryouji, letakkan tapak tanganmu di situ. Pejamkan matamu.” Kotobuki meminta Ryouji meletakkan tangannya di atas sebuah tempat berbentuk bulat di atas permukaan tiang batu itu.
Ryouji mengikut arahan Kotobuki.
“Tenangkan dirimu seketika. Kawal pernafasanmu.”
“Ryouji, tenangkan dirimu. Dan tetap duduk dalam tenang seperti itu, dan tumpukan perhatian terhadap setiap kata-kataku. Jangan sekali-kali alihkan tanganmu atau membuka matamu sehingga aku menghabiskan kata-kataku.”
Kotobuki membaca beberapa rangkap mantera dalam bahasa yang tidak Ryouji fahami. Mungkin bahasa Sanskrit.
“Ryouji, aku mahu engkau fikirkan perkara yang paling menyakitkanmu ketika ini. Apa yang berada di dalam benakmu. Tumpukan sepenuh perhatian padanya.”
Ada empat.
Kematian otou-san yang masih belum terbela, ajalku yang mungkin sebelum tahun kedua puluhku, dan kematian ibu bapa rakan-rakanku yang masih belum terbela dan kematian penjaga kuil Furukawa yang berlaku benar-benar di hadapanku dan pembunuhnya adalah Saitou.
Yang pertama itu, aku masih bingung. Nampak Sonzaemon dan Hamada yang melakukannya. Semua petunjuk yang aku ada setakat ini menuding ke arah mereka berdua. Bahkan, Sonzaemon telah mengakuinya. Aku hanya ingin melihat mereka meminta maaf dariku dengan jujur. Bukan paksaan. Dengan kejujuran dan menyedari perkara yang mereka lakukan itu salah. Namun bagaimana? Bagaimana aku mengubah mereka? Hanya dengan itu sahaja kematian otou-san akan terbela, dan rohnya akan tenang, dan maruah kami akan dipulihara.
Ya, itu yang aku mahukan sebenarnya! Bukannya membunuh Sonzaemon atau Hamada!
Yang kedua itu, aku tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan kepada Chisato. Bagaimanakah dia akan menerimanya? Adakah dia akan menangis sepanjang hari? Dia telah lama menderita, dan aku tidak mahu menambahkan luka di hatinya. Aku silap kerana mengakui perasaanku. Jika aku tahu berkenaan sumpah itu dahulu, sudah pasti aku tidak akan mengakui perasaanku. Sekarang aku terperangkap dalam dilema.
Yang ketiga itu pula, rakan-rakan di rumah perlindungan itu juga keluargaku. Sakit mereka adalah sakitku. Kasihan Kobato yang menanggung derita sendirian. Kasihan Tsuneki yang masih kecil kematian bapa dan menjadi seorang yang bingung sosial. Kasihan Ogasawara bersaudara yang juga kehilangan bapa dan diburu pemerdagang. Semua mereka ini, adalah mangsa langsung dan tidak langsung keluarga Yoshitsugu.
Dan yang keempat! Yang sentiasa membuatkan darahku mendidih mengingatkannya. Ia satu-satunya pembunuhan yang benar-benar dilakukan di hadapan mataku, pembunuhnya aku ketahui wajahnya, yang dibunuhnya baru aku kenali. Meskipun begitu, dari pengamatanku, penjaga kuil yang dibunuh itu bukanlah seorang yang jahat, bahkan dia menipu Saitou demi melindungi kami! Dia tidak seharusnya menerima pengakhiran sebegitu. Dan aku mahu dia diadili, dan aku mahu Saitou menerima hukumannya suatu hari nanti!
Air matanya mula bertakung dalam pejam, namun melimpah dan menitis jua di atas ribaannya.
“Ryouji, sekarang aku mahu engkau fikirkan apa yang paling menggembirakanmu ketika ini.”
Hisamiko. Dia satu-satunya ahli keluargaku yang masih tinggal. Aku gembira menjadi abangnya. Aku gembira melihat dia masih hidup. Aku tidak mampu untuk meneruskan hidupku tanpanya. Bodohnya aku kerana hanya menyedarinya selepas ibu dan bapaku pergi. Dan yang kedua, rakan-rakan di rumah perlindungan itu. Sejak aku tiba di situ, aku seolah-olah hidup kembali. Kobato, Shinji, Tsuneki, Ogasawara dan Funazuki bersaudara. Dan Takasaki-san dan Mariko-san. Mereka semua keluargaku. Dan Chisato. Pertama kali aku dapat merasa cinta seorang wanita meskipun mungkin sejenak.
Meskipun mungkin sejenak!
“Ryouji, ramai yang masih memerlukanmu. Ramai yang tidak mahu kehilangan engkau. Sanggupkah engkau melihat mereka bersedih?" Kotobuki meneruskan soalan seperti seorang pakar motivasi yang melakukan terapi hipnosis pula.
Tidak sekali-kali. Dia teringat Kobato yang pernah menasihatkan perkara sama. Namun Kobato sudah tiada. Namun kali ini nasihat yang sama dibenamkan kepadaku kembali tetapi aku lebih jelas dan lega dengannya. Mungkin kerana aku menumpukan sepenuh perhatian? Atau suara Kotobuki yang menyejukkan telinga?
“Ryouji, fikir. Apa yang perlu engkau lakukan dari sekarang.”
Aku masih ada mereka. Aku masih boleh meneruskan kehidupan ini. Ya, luka di hatiku ini masih belum benar-benar dapat dirawat. Ia tidak boleh dirawat semalaman. Namun aku masih ada mereka!
“Ryouji, lebih kurang seribu tahun lalu, moyangmu Fujiwara-no-Zenzaburo, telah datang ke sini dan membuat perjanjian dengan hayabusa-no-kami (semangat hayabusa) di sini, di mana dia menanam tiang batu ini. Dia memohon agar dia dan keturunannya dikurniakan kepantasan hayabusa ketika bertarung, namun dengan suatu pembayaran. Setiap seratus tahun akan ada seseorang dari keturunanmu yang akan menerima sumpah hayabusa dan mati sebelum mencecah umur dua puluh tahun.”
“Zenzaburo juga menukar namanya kepada Okuhida-no-Hayabusa demi membuktikan penghormatan kepada kami itu yang tidak berbelah bagi. Disebabkan itu, juga setiap seratus tahun, akan datang dari keturunanmu seorang pemedang yang handal, yang juga boleh menyeru dan menjinakkan hayabusa tanpa perlu dilatih, bahkan memahami pertuturannya.”
Pertama kali Ryouji mendengarkan butir-butir penuh perjanjian Zenzaburo dengan semangat hayabusa. Rupanya Hisamiko bukan sahaja akan menjadi pemedang handal, penjinak dan penyeru hayabusa malah turut memahami bahasa mereka.
“Ryouji, lembah ini hanya boleh dilawati sami-sami Shinto dan puakmu, puak Okuhida. Sesiapapun yang bukan dari golongan ini, akan disesatkan, dikelirukan oleh fatamorgana, dan pepohon serta laluan hutan yang berulang-ulang. Engkau selamat di lembah ini yang melangkaui seribu langkah ke semua arah dari tama-no-iwa ini, yang juga pusatnya. Kalian puak Okuhida juga berkuasa menentukan siapa yang layak masuk ke sini dengan memohon kepada hayabusa-no-kami di tiang batu ini."
“Ryouji, bilamana engkau berputus asa, tiada tempat mengadu ketika mana engkau bersedih dan diselubung ketakutan, buntu mencari penyelesaian terhadap masalahmu, malah ketika engkau dikejar musuhmu, datanglah ke sini, berlindunglah di sini. Tenangkan dirimu di sini, nescaya engkau akan dapat melihat jalan keluar. Inilah lembahmu dan nenek moyangmu.”
Ryouji membuka matanya dan mengangkat tangannya dari permukaan bulat pada tiang batu itu usai ‘khutbah’ Kotobuki. Dahulu ketika di kuil Furukawa, dia diselubungi pelbagai persoalan, dan kehidupan baru di rumah perlindungan itu hampir-hampir sahaja membuatkan dia terlupa seketika akan semuanya. Namun akhir-akhir ini persoalan-persoalan tersebut kembali di mindanya, tatkala sahabat baiknya, Kobato telah pergi meninggalkannya, dan Chisato pula masih dirundung kemurungan, meninggalkan dia kerapkali berseorangan akhir-akhir ini. Dan itu semua berlaku ketika dia telah terdedah dengan pelbagai bukti yang menunding ke arah Sonzaemon dan keluarga Yoshitsugu, dan bukti-bukti lain yang menunjukkan ramai yang telah menjadi mangsa mereka, selain dirinya. Dendam lama kembali membakar di dalam jiwanya. Dia tidak tahu kepada siapa harus dia mengadu. Kepada Tsuneki? Dia masih mentah. Shinji? Dia bingung emosi. Dia tidak akan faham perasaan kehilangan ibu bapa. Takasaki? Dia pasti menghalangku seperti sebelumnya tanpa menjelaskan alasannya. Dia memendam, dan terus memendam. Dan pada malam itu, dia nekad melarikan diri, mahu menyelesaikan persoalan-persoalan itu sendiri.
Dan tidak pernah dia menyangka Kotobuki yang menghubunginya di Furukawa dan membawa dia ke sini. Aku telah diselamatkan, fikirnya, oleh Kotobuki-san!
Dia tidak pernah berasa sebegitu tenang seperti di malam ini, seolah-olah semua jalan telah terbuka untuk semua persoalan-persoalan yang menghantui dirinya. Dia baring, air matanya mengalir perlahan-lahan lagi, sambil dia merenung bulan yang sedang mengambang.
“Terima kasih Kotobuki-san.”
"Betsu ni, Ryouji. Memang tugasku selaku ahli Kogen membimbing kalian."
Sumpah hayabusa itu benar-benar menggusarkan hatiku. Ia penggerak utama aku keluar dari rumah itu. Mungkin hayabusa-no-kami akan melepaskanku jua dari sumpah itu, sepertimana yang telah Kotobuki-san beritahuku di kuil, dan aku akan hidup bersama Chisato, bersama Hisamiko sehingga ke hari tua. Mungkin! Aku hanya perlu berfikiran positif selepas ini dan hidup! Dan terus hidup dan terus hidup! Kerana mereka memerlukanku!
Dan aku akan pastikan, suatu hari nanti, semua mereka yang teraniaya itu, akan mendapat pembelaan mereka. Pasti!