Fikiran Takasaki kembali ke dalam bilik pejabatnya yang gelap gelita itu, dia duduk sambil merenung cawan kosong di atas meja di hadapannya. Dia tidak menyedari teh hijau yang dihirup sedikit-sedikit sambil mengelamun itu sudah kosong. Engkau mati terlalu awal, Miura. Aku sudah menemuinya. Dia di sini, di rumahku ini.
Maka, perlukah aku memberitahu Kotobuki berkenaan Tsuneki? Perlukah aku memberitahunya yang pewaris Higashihara itu ada di sini di rumahku ini? Adakah dia boleh dipercayai? Dari perwatakannya, aku yakin dengan Kotobuki. Mungkin aku akan memberitahunya suatu hari nanti, apabila masa mengizinkan.
Dia mengingat kembali beberapa hari lepas, ketikamana dia melatih Tsuneki memanah. Tidak semena-mena dalam dia duduk berehat dan memerhati Tsuneki, terlintas di fikirannya kata-kata Miura. Higashihara Hiiragiko adalah pemanah handal di era Heian kerana kuasa hayabusanya. Anak Higashihara Hiromatsu yang melarikan diri itu dikatakan berada di Yozehama. Aku menemui Tsuneki di Onuma, dalam Yozehama. Dan dia mahir memanah, tanpa perlu aku mengajarnya seperti penghuni-penghuni lain. Barangkali, pewaris itu di hadapanku sekarang.
“Tsuneki, sebentar, ikuti aku ke pejabat.”
Di pejabat, Tsuneki mula disoal.
“Tsuneki, engkau masih ingat nama keluargamu?”
“Entah.”
“Habis, Kitsune itu apa?”
“Aku suka-suka memutarkan namaku. Aku lupa nama keluargaku yang asal.”
Patutlah aneh benar bunyinya. Aku sendiri payah menerimanya sewaktu mendengar pertama kali dari Tsuneki.
“Higashihara?” Takasaki sengaja menyebutnya, manalah tahu ia mampu mengingatkan kembali Tsuneki.
“Takasaki-san... sekali lagi? Higashinohara?”
“Hi-ga-shi-ha-ra.” Takasaki mengulang sepatah-sepatah.
Serta-merta, suara Takasaki berubah kepada suara bapanya pada telinga Tsuneki.
“Hi-ga-shi-ha-ra. Ingat Tsuneki. Itu nama keluarga kita. Namun jangan sekali-kali engkau beritahu sesiapapun.”
“Mengapa pula otou-san?”
“Kerana engkau akan mati.”
Tsuneki berusia lima tahun. Ketika itu beberapa bulan sebelum wabak taun Yozehama membunuh bapanya.
“Mengapa kita akan mati jika nama keluarga kita diketahui?”
“Orang-orang jahat sedang mencari kita.”
“Mengapa orang-orang jahat mencari kita? Apa mereka mahu dari kita?”
“Meraka mahu merompak dan membunuh kita.”
“Otou-san, apa yang mereka mahu rompak dari kita? Ikan-ikan dan sotong kering yang bergantungan itu?”
“Chigau (Bukan).”
“Beras kita yang berbubuk itu?”
“Chigau. Nelayan-nelayan lain di sini pun ada. Kita ada banyak barangan begini. Kita boleh saja beri kepada mereka.”
“Jadi kenapa kita akan mati kalau nama keluarga kita didedahkan?”
Bapanya terus-terusan melayan soalan-soalan Tsuneki yang larut di ribaannya. Meskipun bapa Tsuneki seorang yang miang dan suka mengendap wanita mandi di onsen, dia melayan Tsuneki dengan baik. Tsuneki satu-satunya ‘harta’ peninggalan mendiang isterinya. Dia berikrar untuk terus hidup demi Tsuneki.
Takasaki tercengang melihat Tsuneki mengalirkan air mata tanpa berkedip sedang duduk tercatuk seperti batu di hadapannya.
“Engkau teringat sesuatu, Tsuneki?”
“Aku mendengar otou-san. Nama itu pernah disebut otou-san...”
Takasaki tidak berbicara lanjut. Dia membawa Tsuneki ke biliknya dan meninggalkannya di situ. Rasanya sudah cukup untuk membuktikannya. Tsuneki diserang sakit kepala dan tidur di biliknya sejak petang itu.
Kotobuki, Miura, aku telah menemuinya. Kunci bagi menghapuskan kuasa Hamada!
**
“Bagaimana pula wilayah jagaan moyangmu jatuh ke tangan Hagiura anak Hamada itu?”
“Moyangku memberikan kepada Yoshitsugu Hoshi, bapa kepada Hamada dan rakan baiknya, kerana gagal mencari datukku yang lari itu. Dia juga memberikan batu tama-no-iwa (‘the Monolith of the Spirits’) kami yang telah direncatkan kuasanya. Itu yang Takasaki-san beritahu aku selepas dia mengetahui aku pewaris Higashihara.”
Bererti sama sepertimana yang telah diberitahu Kotobuki.
“Hamada mewarisi batu itu beserta wilayah Yozehama, kemudian memberikan wilayah itu kepada anaknya Hagiura, sedang batu itu dibiarkan dalam pemilikan bagi mendapatkan kuasa halimunan.”
“Apakah ada cara lain untuk mendapatkan kembali kuasamu?”
“Aku tidak tahu, meskipun aku telah mendesak Takasaki-san. Dia berjanji akan memberitahuku apabila aku cukup dewasa, namun dia meninggal dunia sebelum sempat melakukannya.”
Ryouji cuba mencari jalan. Barangkali, aku harus berinovasi. Aku tidak boleh menggunakan kaedah yang dicadangkan oleh Kotobuki, demi keselamatan anak-anak di bawah jagaan Kogen. Oleh itu, aku memerlukan kaedah lain demi menghapuskan kuasa Hamada.
Ah, Shinji. Di saat beginilah aku amat memerlukan otak cairmu. Sebentar, bukankah aku pernah berinovasi dahulu, ketikamana aku cuba membongkar jurus kesembilan? Bukankah punca kuasa hayabusa ini datang dari hayabusa-no-kami?
Barangkali aku harus ke tama-no-iwa kami di sini dahulu. Aku akan lakukan sepertimana yang telah aku lihat dilakukan oleh Kotobuki. Barangkali dengan cara ini aku akan dapat berkomunikasi dengan hayabusa-no-kami dan meminta penjelasannya. Alangkah baiknya jika Azuchi masih di sini, lebih mudah untuk aku tahu banyak perkara ghaib. Namun sayangnya dia sudah tiada.
“Ryouji, engkau hendak ke mana?”
“Ikuti aku. Hisamiko, engkau pun.”
“Baik, onii-san.”
Hisamiko masih sedang ralit mengejar kunang-kunang atau hotaru yang banyak berterbangan di senjakala di lembah bunga liar itu.
Mereka bertiga tiba di batu itu. Ini kali pertama Ryouji kembali ke situ selepas kali pertama menemuinya bersama Kotobuki beberapa tahun lepas.
“Masih seperti dulu. Bersih. Barangkali Kotobuki yang membersihkannya. Dia kerap ke sini. Katanya di sini lebih tenang berbanding Shirasaka-no-kogen kerana tiada manusia tinggal di dalamnya.”
Ryouji meletakkan tangannya pada sebuah tanda bulat pada batu itu, menumpukan sepenuh perhatian dan tenaganya. Dia membaca beberapa rangkap mantera yang diajarkan Kotobuki.
Selepas beberapa ketika, dia mula berada dalam khayal. Tsuneki hanya melihat takjub, bersama Hisamiko. Ryouji mendengar suara. Ia hayabusa-no-kami.
“Okuhida Ryouji. Engkau telah menyeru aku. Apa yang boleh kubantu?”
Berjaya! Aku tidak menyangka semudah itu menyerunya.
“Aku ingin tahu tentang perjanjian denganmu yang dibuat oleh puak Higashihara.”
“Higashihara Hiiragiko ialah yang pertama dari mereka. Sekarang ini kuasa mereka berada di tangan Yoshitsugu Hamada.”
“Apakah boleh dipulangkan kembali kepada Higashihara Tsuneki, keturunan Hiiragiko?”
“Selagi mana suatu keturunan yang berjanji denganku itu tidak pupus, selagi itu ia boleh dipulangkan kembali. Dia perlu ke Higashi-no-Yane di pergunungan Yokuma. Pergi ke sana, dan cari di kawasan di mana banyak burung hayabusa berlegar. Tanamkan semula serpihan tama-no-iwa yang masih berbaki di situ di tempat asalnya.”
“Itu sahaja?”
“Ia perlu dilakukan oleh Tsuneki sendiri. Dan dia perlu membuat perjanjian baru denganku. Pinta kekuatan baru, dan ingat, pembayarannya setiap seratus tahun, berupa nyawa keturunannya.”
Berlainan dari apa yang telah dinyatakan Kotobuki. Kotobuki telah menyatakan untuk menghapuskan kuasa Hamada, aku perlu melepaskan kuasa puakku kepada Shirasaka, atau Shirasaka melepaskannya kepada kami. Namun berkat pertanyaanku ini terus kepada hayabusa-no-kami, aku mendapat kaedah baru. Inilah yang aku perlukan. Sebentar, apa yang akan terjadi kepada anak-anak yatim di bawah jagaan Kogen selepas kuasa Hamada dibatalkan melalui kaedah ini?
“Jangan risau. Rumah-rumah anak yatim di bawah puak Shirasaka akan terus dilindungi. Perjanjian puak Shirasaka tidak akan diganggu, kerana kaedah ini hanya melibatkan Higashihara Tsuneki dengan Yoshitsugu Hamada sahaja.” Jelas kami itu.
“Sebentar, kami-sama. Boleh kutahu apa isi perjanjian Hiiragiko denganmu sealaf lepas?”
“Dia meminta kepantasan dan ketajaman hayabusa dalam memanah dikurniakan kepada keturunannya. Namun dia meminta agar kuasanya hanya dua persepuluh. Selebihnya dia pinta agar boleh diagihkan baki lapan persepuluh kepada sesiapa yang dikehendakinya. Disebabkan permintaan kedua itu, maka keturunannya tidak ditimpa sumpah hayabusa.”
“Arigatou, kami-sama!”
Selepas itu suara itu hilang dan Ryouji kembali ke alam nyata.
“Bagaimana?”
“Kita perlu ke Higashi-no-yane, di pergunungan Yokuma.”
“Aku tahu. Ia pergunungan di timur laut Tokyo. Namun aku fikir perlu berhati-hati. Di sana ramai perompak berpangkalan. Hamada mendirikan banyak kem ronin di sana.”
“Apakah dia turut menguasai lembah itu?”
“Tidak, selepas kuasanya direncatkan. Namun lembah itu tetap dipenuhi hayabusa seperti sebelum Hiiragiko mengikat perjanjian itu.”
“Ryouji, aku fikir dia mahu membunuhku.”
“Mengapa pula? Sebentar...”
Tak guna! Hamada juga mencari pewaris Higashihara! Mengapa aku tidak menyedari perkara ini? Ya, dia mesti mahukan pewaris itu mati agar dia dapat kekal memegang kuasa itu. Patutlah dia meletakkan orang-orangnya di sana!
“Tsuneki, walau apapun yang menanti kita di sana, kami akan melindungimu. Bukankah kita sahabat?”
Hisamiko dan Ryouji memandang Tsuneki. Tsuneki tidak dapat menahan sebak. Kedua-dua beradik Okuhida itu menghulur tangan masing-masing. Tsuneki menurut.
Aku mahu persahabatan begini kekal selama-lamanya.
**
Esoknya mereka bergerak ke Nagano, dengan menelusuri laluan denai di celah pergunungan Hidagawa menuju ke timur Honshu.
"Ryouji, Hisamiko, perancangan kita hari ini ialah singgah bermalam di Narai-juku dahulu. Aku fikir kita tidak perlu masuk ke dalam pekan Nagano.”
"Mengapa Tsuneki?"
"Pekan itu besar, dan ramai orang. Aku bimbang kita akan tersesat. Dan pekan itu hampir dengan Kawamoto, tempat Hamada."
Ryouji berderau darah mendengar nama itu. Aku sudah benar-benar hampir dengannya, namun tidak. Aku perlu menahan diri. Jangan lakukan perkara bodoh, Ryouji. Hamada tidak akan dapat dihapuskan selagimana dia halimunan. Tujuan utama engkau ialah menghapuskan kuasanya dahulu.
"Bapaku juga berpesan agar berhati-hati mengembara di shukuba ini kerana ramai penyeluk saku.
Ryouji, Hisamiko, berhati-hati dengan wang kalian.” Tsuneki mengingatkan mereka akan situasi biasa di shukuba seperti Narai-juku.
Ryouji menyeluk saku, ada baki wang yang masih boleh digunakan selama sebulan. Perut mula berbunyi. Mereka perlu mencari tempat penginapan segera sebelum meneruskan perjalanan esok melalui Nakasendo ke pergunungan Yokuma.
Masing-masing memperlahankan kuda ketika melepasi satu hentian pemeriksaan di sempadan
Wilayah Gizen dengan Jooryoku. Mereka menunjukkan pas, sejenis kepingan kayu dengan berukiran nama mereka dalam tulisan kanji. Kotobuki telah memberikan kepingan pas itu melalui Terauchi.
Pas itu diperlukan bagi membolehkan seseorang pengembara merentas wilayah menerusi laluan
Nakasendo. Tanpa pas itu, mereka tidak dibenarkan melalui laluan tersebut dan perlu melalui hutan belantara dan mungkin akan terdedah kepada bahaya perompak dan binatang buas.
Ketika hari sudah lewat tengahari, mereka tiba di persimpangan Nagano. Sampainya mereka di sini menandakan mereka sudah hampir dengan Narai-juku dan juga pintu masuk ke lebuh Nakasendo.
“Shhh! Kita bersembunyi dahulu di balik bukit di atas.” Ryouji mengarahkan mereka bersembunyi setelah melihat kumpulan samurai berkuda yang mencurigakan, berpakaian kimono lusuh sedang mendekati kumpulan pedagang di hadapan mereka.
Akhir-akhir ini berlaku lebih banyak rompakan dari kebiasaan di Nakasendo. Ramai samurai tidak berpuas hati dengan pembaharuan yang telah dilakukan Maharaja. Mereka dilucutkan jawatan dan dihalau daimyo masing-masing, yang juga kehilangan jawatan jika tidak dilantik semula menjadi gabenor. Usaha melanggar kampung-kampung juga dihalang oleh tentera dan polis Maharaja yang baru diperkemaskan. Lantas, mereka melarikan diri ke dalam hutan termasuk di laluan pedagang seperti Nakasendo ini.
Dari atas bukit mereka melihat telahan Ryouji tepat. Kumpulan ‘samurai’ itu menahan kumpulan pedagang tersebut. Mereka sekali-sekala membentak sambil menghunus pedang masing-masing. Semua ahli pedagang mengangkat tangan menyerah diri membiarkan barang-barang dagangan mereka dirampas. Mereka tiada pengawal, tidak seperti rombongan yang diselamatkan Kobato dahulu. Mereka hanya mengharapkan perlindungan dari polis Nakasendo. Namun di mana batang hidung mereka di kala rompakan ini sedang benar-benar berlaku?
Tiba-tiba bunyi tembakan kedengaran di kejauhan. Satu pasukan berkuda dengan berpakaian seragam, yang tidak pernah dilihat Ryouji, berkekuatan dalam lima orang dan bersenjatakan pistol, turun dari bukit bersetentang dengan bukit tempat mereka bertiga bersembunyi. Pistol mereka amat mirip dengan pistol yang dirampas Ryouji dari Sonzaemon sewaktu dia diserang dahulu di Furukawa. Pistol separa automatik yang kurang asapnya. Memang benar, asapnya juga kurang tatkala mereka menembak. Tidak syak lagi, mungkin mereka mendapatkannya dari sumber yang sama sepertimana Sonzaemon mendapatkannya? Aku tidak tahu, getus Ryouji.
“Buang katana kalian dan serah diri!” Laung salah seorang dari ahli pasukan berkuda itu, sebaik melepaskan tembakan amaran.
Pasukan berkuda mengepung mereka.
“Aku fikir mereka inilah polis Nakasendo yang diperkemas Maharaja itu.” Gumam Tsuneki.
“Mengapa engkau kata ‘perkemas’?”
“Dahulu memang kita punya pasukan polis, namun mereka sebahagian dari samurai. Engkau lihat, Ryouji, mereka memakai pakaian aneh begitu, dan menggunakan tanegashima.”
“Itu bukan tanegashima, Tsuneki. Ia seperti tanegashima namun separa automatik dan asapnya kurang. Aku pernah membawa balik satu dari Furukawa. Shinji tidak memberitahumu?”
“Dia ada memberitahuku, aku tidak faham sangat. Ryouji, dari mana mereka mendapatkannya?”
“Aku tidak tahu. Barangkali dari pedagang Belanda, ataupun Kogen.”
“Apa maksudmu Kogen?”
“Bapaku pernah menceritakan yang Kogen sedang menjalankan ujikaji senjata api dari Barat di Shirasaka.” Ryouji merujuk kepada kata-kata bapanya kepada Takasaki sewaktu dia melawat Furukawa ketika berusia lima tahun.
“Jika benar, mengapa aku tidak pernah melihatnya di sana? Kita sudah tinggal dua tahun lebih di sana.”
“Hanya Shinji dari kalangan kita yang dibenarkan masuk ke makmal mereka selaku saintis mereka. Bahkan mereka merahsiakan dari kita. Aku dapat tahu pun dari Shinji.”
**
Seorang dari perompak itu mengeluarkan pedangnya, masih di atas kudanya, meluru ke arah polis penunggang kuda yang menyuruh mereka berhenti tadi seraya melibas pedangnya.
Polis itu tangkas mengeluarkan pedangnya dan menahan libasan itu. Kemahiran mereka seperti samurai, meskipun ada di antara mereka yang direkrut dari kalangan petani dan buruh. Usaha Maharaja memperkemas pasukan polis ternyata membuahkan hasil pabila ahli pasukan tersebut mampu bertarung setanding samurai yang sememangnya pemedang terlatih.
Mereka terus terusan bertarung. Polis-polis yang lain turut sama bertarung dengan pengikut kepada perompak yang memulakan pertarungan itu. Sambil cuba menghalang perompak itu dari mendekati pasukan pedagang, para polis itu membuka laluan bagi membolehkan para pedagang itu melarikan diri.
Usai kesemua pedagang melarikan diri, para polis bersedia menangkap kesemua perompak untuk dihukum. Mereka turun dari kuda masing-masing dan pertarungan semakin rancak di tengah-tengah hutan itu.
Ryouji, Hisamiko dan Tsuneki masih bersembunyi di balik bukit memerhati insiden itu. Ryouji mula bergerak seperti mahu campur tangan, diperhatikan Tsuneki.
"Ryouji, jangan." Tsuneki memegang bahunya. "Aku fikir biarkan sahaja polis-polis itu menyelesaikan tugas mereka."
"Aku fikir polis itu bukan tandingan mereka. Perompak itu tahu kaminari. Aku tidak mahu nyawa mereka disia-siakan."
"Ryouji, aku tidak percayakan polis itu."
Ha?
“Engkau perhatikan betul-betul. Mengapa ada tatu burung sagi di leher mereka? Bukankah itu menunjukkan mereka orang Hamada?”
Benar kata Tsuneki. Dan lelaki itu benar-benar kelihatan seperti Tsugiyama. Sebentar. Aku yakin Tsugiyama telah mati. Dia jelas sudah mati pada hari itu, meskipun aku tidak memeriksa nadinya. Dia kaku jelas dengan mata terbuntang ke atas selepas Mariko-san menetak lehernya.
Namun, lelaki itu benar-benar kelihatan seperti Tsugiyama. Berlengan besar, berjanggut uban, wajah lima puluhan. Kembarnya?
Tidak semena-mena kesemua perompak itu ditumpaskan, dengan polis-polis itu menggunakan jurus lapan kaminari tiba-tiba. Mereka berjaya diberkas. Ketua polis membiarkan pasukannya membawa pergi tawanan mereka terlebih dahulu.
Ketua polis masih di atas kuda, memerhati sekeliling bukit-bukau yang menyempadani laluan pedagang itu.
Kemudian dia bersuara, “Kalian yang sedang bersembunyi, keluar sekarang!”
Tersentak mereka bertiga. Rupanya kehadiran mereka bertiga disedari lama sebelumnya!
“Aku fikir jangan, Ryouji. Kita lari. Aku tidak betah jurus kaminari yang tinggi.”
“Aku bimbang jika kita lari, mereka akan menembak kita. Atau kuda kita, jika kita masih boleh mengelak menggunakan kaminari. Tanpa kuda, mana mungkin kita mampu sampai ke Yokuma? Apapun yang pasti, kita tetap terpaksa bersemuka dengan mereka. Serahkan kepadaku sahaja Tsuneki. Aku dan Hisamiko.”
“Bagaimana dengan jurus kedua?” Tsuneki cuba mencadangkan sesuatu, dia benar-benar tidak mahu mengambil risiko berhadapan dengan polis itu.
“Bukankah engkau kata kita akan tiba di hentian pinggir Tokyo lagi separuh hari? Aku tidak fikir sekarang masa sesuai untuk jurus itu.”
Tsuneki memerhati kuda mereka yang dibiarkan tidak jauh dari situ. Kemudian dia menoleh. Tak guna! Ryouji memunculkan diri di hadapan polis itu.
“Aku Okuhida Ryouji.”
“Aku Imagawa Ichiro, ketua polis mengawal pecahan Nakasendo di sini. Di mana rakanmu yang dua lagi?”
“Kalian, keluar segera!”
Tsuneki memimpin tangan Hisamiko keluar, wajahnya jelas marah akan tindakan Ryouji. Hisamiko mengikut dengan teragak-agak.
“Ryouji! Mengapa engkau degil benar?” Tsuneki berbisik keras.
“Aku fikir lebih baik kita keluar. Percayai aku Tsuneki. Aku tahu jurus sembilan dan pasti akan melindungi kalian!”
Tsuneki diam. Dia jelas masih marah.
“Kitsune Tsuneki. Dan gadis ini Okuhida Hisamiko, adik kepada rakanku ini.” Tsuneki memperkenalkan dirinya dan Hisamiko. Dia tidak menggunakan nama Higashihara-nya, demi keselamatan mereka. Ia telah dipersetujui Ryouji sebelum mereka keluar dari lembah Okuhida. Tiada sesiapapun yang boleh dipercayai di sepanjang kelana mereka.
“Kalian dekat sedikit denganku.”
Hanya Ryouji seorang yang mendekatkan diri dengan lelaki di atas kuda itu.
“Okuhida-san, aku pengintip Kogen dalam pasukan polis Maharaja.”
“Apa maksudmu?”
Ichiro menunjukkan logo Kogen yang disembunyikan di dalam baju seragam polisnya.
“Aku dari Kogen seperti kalian.”
“Hah?” Bagaimana lelaki ini tahu kami dari Kogen?
“Kotobuki menyampaikan pesan agar menjejaki dan melindungi kalian.”
“Untuk apa?”
“Aku tidak boleh memberitahumu. Percayai aku, Okuhida-san, Kitsune-san”
**
Imagawa Ichiro mengiringi mereka sehingga ke pekan Naraijuku.
Malam itu Ryouji duduk bersembang dengan Imagawa.
“Maaf, Imagawa-san, aku ingin tanya sesuatu.
“Silakan.”
“Dari mana engkau mendapat tatu sagi itu?”
“Ini?” Ichiro menunjuk pada lehernya.
“Ya.”
“Aku meminta seorang tukang tatu membuatkannya untukku.”
“Itu simbol keluarga Yoshitsugu bukan?”
“Tidak.”
Ryouji memandang Tsuneki kehairanan. Tsuneki membisik “Aku lihat di kampungku hanya orang-orang Yoshitsugu sahaja yang bertatu dan bersimbol itu. Yang mengangkut anak-anak gadis yang dibeli dari ibu bapa mereka. Juga yang menjaga ladang Hagiura.”
“Habis simbol apa sebenarnya?” Ryouji kembali menumpu kepada Imagawa.
“Simbol satu pertubuhan kongsi. Seperti insurans. Kami menjelaskan yuran berkala, dan mendapat pampasan sekaligus sekiranya kami ditimpa musibah. Hanya perlu menunjukkan tatu ini yang akan disahkan keasliannya oleh mereka menggunakan teknik khas.” Imagawa membalas penuh perinci, intonasinya penuh kejujuran. Dia menambah lagi, “Kadangkala engkau akan melihat ahlinya memakai happi bercorak simbol tersebut, atau kadangkala yukata. Mereka sebenarnya diupah sebagai agen pengiklanan.”
Ichiro sebenarnya sengaja bercerita penuh. Dia mahu mempromosi syarikat insurans itu, bahkan dia salah seorang dari agen pengiklanan. Semakin ramai yang mencarum, semakin banyaklah modal syarikat itu, yang mana ia dapat digunakan bagi mengembangkan lagi perniagaan mereka dan menambah pulangan.
Dia bertanya, “Mengapa engkau ingin tahu, Ryouji? Engkau berminatkah menyertai kami? Hanya perlu mencarum setiap bulan dan engkau akan dilindungi ketika ditimpa musibah.”
“Maaf, aku fikir ia simbol keluarga Yoshitsugu. Keluarga itu telah membunuh bapaku dan menyebabkan penderitaan rakan-rakanku. Aku berharap orang mereka tidak ada bersama dengan kami sekarang.” Ryouji memandang tepat ke mata Ichiro, cuba mengamati reaksinya. Dia menambah lagi, “Imagawa-san, engkau bersekongkol dengan orang-orang Yoshitsugu?”
Imagawa tergamam mendengarkan betapa tragisnya kisah latar Ryouji. Ryouji masih merenung Imagawa menanti jawapannya. Tsuneki kebingungan, sangkaannya berkenaan simbol itu selama ini meleset.
“Aku tumpang bersimpati di atas kisah malang engkau dan rakan-rakanmu. Namun, pertubuhan itu tiada kaitan langsung dengan keluarga Yoshitsugu. Furuya ialah pertubuhan insurans besar, banyak pedagang menjadi ahlinya.”
“Maksudmu, termasuk pemerdagang anak gadis?”
“Benar. Bahkan pemerdagang anak gadislah yang paling ramai sekali, lebih kurang empat persepuluh dari keseluruhan ahli. Pertubuhan ini juga menjalankan perniagaan bagi menjana dana untuk membiaya pampasan.”
“Contohnya?”
“Perniagaan menapai dan menjual sake, pungutan sewa dari hartanah seperti kedai-kedai dan rumah mandi serta onsen, perusahaan ladang ternakan seperti di Onuma itu bahkan...” Ichiro terhenti sejenak, seperti ditahan sesuatu dari meneruskan kata-kata.
“Bahkan apa?” Tekan Ryouji, matanya masih tepat merenung Ichiro.
“Mereka juga memegang syer dalam syarikat pemerdagang karayuki.” Ichiro menutur perlahan, kemudian pantas menyambung, “...namun mereka tidak terlibat secara langsung dengan perniagaan tersebut. Hanya memegang syer dan memungut untung sahaja.”
Tersentak Ryouji dan Tsuneki mendengarnya. Bererti lelaki ini secara tidak langsung bersubahat dengan syarikat yang menjalankan aktiviti gelap dan mencemarkan sungai! Namun dia hanya penyumbang modal atau sebagai pencarum yang tidak tahu apa-apa operasi dalaman syarikat tersebut. Dia hanya mahukan perlindungan. Namun perlindungan apa? Perniagaan apa yang dijalankannya?
“Perniagaan apa yang engkau jalankan?”
“Tiada apa-apa perniagaan. Aku hanya menuntut perlindungan peribadi seperti jika berlaku kebakaran atau gempa bumi pada rumahku, atau jika aku tiba-tiba dibunuh oleh musuhku. Aku polis, maka musuhku sememangnya ramai. Jika aku dibunuh, tanggunganku masih memerlukan wang untuk hidup. Syarikat Furuya ini kulihat stabil berbanding syarikat lain, maka aku memilihnya. Selain itu, Ryouji, Tsuneki. Shogun yang telah disingkirkan Maharaja itu juga memegang saham dalam syarikat insurans ini. Dia pemegang terbesar sehingga selepas Perang Boshin.”