Ayame membawa Ryouji ke bangunan utama, sebuah bangunan kayu dengan atap jerami tebal.
Bangunan itu besar dan sebenarnya merupakan sebuah dewan, yang lantainya dilapisi tatami.
Ryouji dan Ayame duduk bersila menanti kedatangan Omi.
Tidak lama kemudian, seorang lelaki yang nampak seperti berumur 60-an masuk berjalan dengan tenang. Tidak ada pengawal di kiri dan kanannya.
“Ojii-sama...” Ayame berkata seraya membongkokkan badannya tanda hormat. Ryouji menurut. Lelaki tua itu menunduk balas.
Lelaki tua itu kemudian memandang Ryouji. “Engkau Ryouji anak Okuhida Miura itu?”
“Ya, Shirasaka-san.”
“Panggil aku Omi-san sahaja. Aku mendengar banyak kisahmu dari Takasaki dan Kotobuki. Anak yang kasihan.”
Lelaki tua itu memeluk Ryouji. Ayame hanya melihat sahaja.
Kemudian masing-masing kembali ke tempat asal mereka berdiri.
“Aku bersedih dengan apa yang telah menimpa Takasaki, dan keluarga Funazuki. Aku benar-benar tidak menyangka dia akan dikalahkan meskipun dia menguasai jurus kesembilan.”
Ryouji sebak mendengarnya. Mengingatkan pembunuhan itu dilakukan rakan baiknya sendiri, yang juga anak murid Takasaki. Namun dia tidak lagi mampu menangisinya. Terlalu banyak kematian memeritkan yang dilaluinya dua tiga tahun belakangan ini.
Namun Ryouji masih tidak dapat menerima hakikat bagaimana Takasaki dapat dikalahkan oleh Kobato. Takasaki mengalahkan Kobato ketika mereka bertarung sebelumnya, dan dia juga menguasai jurus kesembilan. Apakah Takasaki sendiri yang menyerah kalah atas sebab peribadi?
“Ryouji, aku baru mendapat surat dari Mariko. Aku telah menghantar bantuan dari rumah perlindungan di Shinagawa. Engkau kenal bukan, Hatsuki dan Natsuki?”
“Ya, aku menemui mereka ketika serbuan tahun lepas.” Ryouji memberitahu, menarik nafas lega mendengarkan khabar baik dari Omi.
“Mereka kuhantar bersama seorang lagi petarung wanita dari sini. Goryuuin-san, ke mari masuk!”
Seorang wanita yang agak tinggi, lebih tinggi seinci dari Ayame, kelihatan berusia dalam lingkungan dua puluhan dan berkulit cerah dengan rambut panjangnya diikat, masuk mengadap mereka.
“Goryuuin Tsushiko desu.” Namanya Tsushiko. Dia menunduk hormat kepada Ryouji.
“Okuhida Ryouji desu.” Ryouji membalasnya. Ryouji agak keberatan membawa perempuan di dalam pasukannya, kerana dibimbangi menerima nasib yang sama seperti Chisato. Tambahan pula, mampukah dia menghadapi Tsugiyama? Tahap kemahiran Tsugiyama hanya di belakang Saitou dan antara petarung terbaik kaminari.
Tidak, aku sendiri yang akan menghadapi Tsugiyama. Aku akan pastikan tidak seincipun wanita ini disentuhnya.
“Ryouji, Goryuuin-san memimpin sepuluh ekspedisi menyelamatkan mangsa pemerdagangan dan pengabaian ibu bapa yang aku lancarkan. Dia telah berkhidmat denganku selama sepuluh tahun sejak datang ke sini pada umur lapan belas tahun. Aku yakin dia dapat membantumu.”
Sepuluh ekspedisi? Bererti setiap tahun sekurang-kurangnya satu? Hebat. Bukan calang-calang orang Goryuuin-san ini. Mungkin aku perlu mempercayainya. Namun, risikonya terlalu tinggi. Goryuuin-san cantik orangnya. Jika ditangkap, mereka pasti akan menjual wanita ini. Ia lebih teruk nasibnya dari mati dibunuh.
“Dia belajar kaminari terus dari Takasaki dan pernah menghuni rumah perlindunganmu, maka dia tahu selok-belok kawasan rumah itu. Selain itu, dia adalah petarung terbaik yang kami miliki selepas Miura bapamu dan Takasaki.”
Ryouji agak terkejut mendengarnya. Ini bererti dia adalah petarung terbaik Kogen, kerana Miura dan Takasaki sudah lagi tiada. Juga mungkin, dia setara dengan Tsugiyama ataupun Saitou!
“Ryouji, aku tahu engkau risau. Kogen lebih dari apa yang engkau sangkakan. Ayame juga adalah petarung terbaik kami jika mengambilkira anugerah hayabusa-no-kami yang dikurniakan kepadanya, bersabit perjanjian dengan hayabusa-no-kami yang telah dibuat oleh moyang kami di sini, di tanah tinggi Shirasaka ini, seribu tahun lepas.”
Seperti yang pernah diberitahu Kotobuki. Bererti aku dapat melihat siapa Hisamiko di masa akan datang pada Ayame. Sekurang-kurangnya bagi mendapatkan gambaran.
“Maaf aku bertanya. Bagaimana dengan ahli puakmu yang telah ditimpa sumpah hayabusa? Apakah dia masih hidup dan melepasi sumpah itu?” Ryouji sengaja bertanya seolah-olah dia tidak tahu. Dia bertanya kerana ingin mendapatkan gambaran dan menyedapkan hatinya.
“Mangsa sumpah itu dari kalangan kami telah meninggal dunia. Dia isteri kepada Kotobuki dan ibu kepada Ayame. Dia meninggal sebelum umurnya mencecah tiga puluh. Had umur puak kami lebih sepuluh tahun dari had yang dikenakan ke atas puakmu.”
Maka bertepatanlah dengan apa yang telah dikhabarkan Kotobuki kepadaku. Namun, Ryouji semakin tidak sedap hati pula mendengarnya. Apakah tiada harapan langsung?
“Ryouji, ajal maut di tangan Tuhan, tiada sesiapapun yang mampu menarik nyawamu sebelum ajalmu tiba. Yakin dengan dirimu, dan sumpah itu pasti akan terlerai. Setakat ini tiada penawar yang mujarab untuk sumpah ini. Shirasaka-no-Hayabusa moyang kami diberikan satu petunjuk berbentuk ayat, oleh hayabusa-no-kami, yang berbunyi: tatkala amarah dibendung, berlalulah awan mendung.”
Apakah maksudnya? Ryouji kebingungan. Dia tidak arif bahasa berbunga-bunga. Kemudian dia teringat pesanan yang ditulis Miura pada kertas origami angsa, iaitu segaris ayat di bawah rangkap yang memberitahu lokasi rumah Takasaki. Ayat itu berbunyi seperti ayat yang diperkatakan Omi. Dia menemui ayat itu kemudian sewaktu melawat kubur bapanya pada tahun 1869, ketika dia membuka kembali kertas tersebut.
“Aku tidak memahami maksudnya.”
“Kami pun. Sehingga Tsubomi, isteri Kotobuki itu meninggal pun kami masih tidak mengerti maksudnya.”
“Ryouji, aku ingin bertanya kepadamu di bawah penyaksian Ayame dan Tsushiko di sini, sudikah engkau menyertai Kogen?”
“Jika Kogen tetap di dalam usaha murninya seperti sekarang, aku menyertai Kogen dengan rela hati demi memperjuangkan hak orang-orang Yamato yang teraniaya.”
Omi tersenyum. Dia meletakkan telapak tangannya ke atas dahi Ryouji dan menyuruhnya memejamkan mata. Ryouji menurut sahaja. Selepas beberapa ketika, dia kemudian mengalihkan tangannya. Ryouji kebingungan, apa yang dilakukan Omi sebentar tadi?
Kemudian Omi berpesan kepada Ryouji.
“Ryouji, sebagai pemimpin Kogen, aku mengarahkan engkau meninggalkan rumah perlindungan Takasaki dalam masa dua hari, bersama-sama penghuni lain yang masih hidup. Rumah itu akan ditutup dalam masa dua hari, sehingga suatu tempoh yang aku fikirkan sesuai.”
“Bagaimana dengan perpustakaan Takasaki?”
“Kesemua rekod di dalam perpustakaan itu hanyalah salinan. Naskhah asal disimpan di perpustakaan di sini, di bawah tanah tinggi ini. Salinan itu disimpan di rumahmu bagi memudahkan Takasaki membuat rujukan sekiranya dia menemui petunjuk baharu, tanpa perlu datang ke sini."
"Bakar perpustakaan itu, dan jangan biarkan sehelai pun terlepas ke tangan orang-orang Tsugiyama.”
“Ryouji, bergegas sekarang. Aku bimbang orang-orang Tsugiyama sudah kembali ke sana sebelum engkau tiba.”
Ryouji, Ayame dan Tsushiko menunduk hormat kepada Omi. Mereka pulang semula ke rumah Takasaki pada hari itu juga.
**
Ketika Ryouji dan Ayame dalam perjalanan ke tanah tinggi Shirasaka membawa Chisato yang sedang sasau disuntik aotsuyu baharu, Kotobuki telah bertemu bapanya Shirasaka Omi untuk membincangkan sesuatu.
“Otou-san, aku diberitahu melalui merpati oleh Ayame yang dia dan Ryouji sedang ke sini sambil membawa rakannya Chisato. Tsugiyama dan orang-orangnya telah menceroboh rumah perlindungan Takasaki dan menyuntik Chisato dengan aotsuyu.”
“Kotobuki, mereka semua harus dipindahkan segera. Keselamatan anak-anak itu harus diutamakan. Aku telah menyediakan tempat sementara di bawah lembah ini.”
“Bagaimana dengan Mariko?”
“Aku tidak boleh menghalang dia. Terpulang jika dia mahu terus tinggal di situ. Namun dia tidak seharusnya membahayakan nyawa anak-anak kita.”
Omi menyambung, “Aku menurut permintaan dia mahu tinggal di situ sehingga tama-no-iwanya runtuh kerana aku percayakan dia. Aku percayakan dia akan melapor kepada kita sejurus ia runtuh. Namun dia tidak melakukannya.”
Kotobuki menambah, “Dari perkhabaran Ayame, jika Ryouji tiada di situ, Tsugiyama sudah pasti telah menumpaskan Mariko dan yang lainnya. Chisato dan penghuni wanita lain sudah pasti telah diculik dan dijual. Mereka bernasib baik kerana Tsugiyama ditumpaskan Ryouji menggunakan jurus kesembilan.”
“Kotobuki, aku akan menerima Ryouji secara rasmi ke dalam Kogen. Aku sendiri akan mengarahkannya berpindah, dan membakar rumah itu. Mariko boleh terus tinggal di situ jika dia mahu, dan aku tidak menghalang. Jika dia mahu mengikut ke sinipun aku tidak menghalang.”
“Otou-san, akibat serangan itu, Mariko risau Tsugiyama mengulanginya dalam masa terdekat. Dia telah memohon pasukan tambahan dari Kogen.”
“Aku tahu. Merpatinya telah sampai dinihari tadi. Aku telah menghantar dahulu pasukan kita yang berdekatan, dari Shinagawa, bagi memerhatikan mereka buat sementara waktu, dan juga Goryuuin-san. Mereka semua mesti dipindahkan segera dan rumah tersebut mesti dimusnahkan dengan dibakar. Aku tidak mahu orang-orang Yoshitsugu menyalin hasil penyelidikan Shinji dan siasatan Takasaki.”
“Nampaknya Mariko-san masih membenci tanah tinggi ini. Apakah ada cara lain untuk mengubah fikirannya?”
“Bukan mudah Kotobuki. Jika dia di sini aku akan pastikan dia tidak dapat meninggalkan kita menggunakan kuasaku. Namun dia di luar. Jika kita memaksanya, maka kita akan dituduh menculik dan akan memburukkan nama kita di hadapan Maharaja.”
“Dia mengahwini Takasaki sebaik mendengarkan yang kita akan menempatkan Takasaki ke sana. Dia memanfaatkan cinta Takasaki terhadapnya demi kepentingan dirinya. Keinginannya untuk melarikan diri dari sini amat kuat.” Kotobuki menambah.
Omi menyambung, “Sayang, dia seorang yang bijak. Berpendidikan Barat. Banyak yang boleh disumbangkan di sini. Aku tidak faham mengapa dia begitu berminat menjaga rumah perlindungan.”