Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 33

Hisamiko berada di tengah-tengah hutan. Dia tidak tahu ke mana harus dituju. Di tangannya seutas tali yang separuh disimpan di dalam saku umanorinya, yang sering di bawa ke mana-mana. Takasaki menemukan tali itu tercicir entah di mana dan memulangkan kepadanya sewaktu dia memanggil Hisamiko ke pejabatnya tadi. Tali itu digunakan bagi mengikat dia dan abangnya bersama ketika kembara, agar dia tidak direntap oleh penculik tiba-tiba. Dia juga membawa sejenis pedang pendek yang dipanggil tantou.

 

Onii-san! Onii-san! Onii-san!” Dia melaung, memanggil Ryouji. Tiba-tiba seekor burung hayabusa turun, lalu bertenggek di atas sebatang dahan yang telah reput, memandang dia tepat.

 

Hisamiko berkomunikasi dengan burung itu.

 

“Tahukah engkau di mana onii-san?”

 

“Aku tidak tahu. Tetapi aku boleh menjejakinya jika engkau memberikan baunya.”

 

Bau? Sebentar.

 

Hisamiko mencari-cari apakah yang boleh dijadikan sumber bau Ryouji. Tali. Ya tali! Harapnya masih ada bau Ryouji.

 

“Hidu tali ini.”

 

Burung itu menghidu, seraya berkata “Ia bau engkaulah!”

 

Hisamiko menyuruh menghidu bahagian lain tali itu pula. Bahagian yang selalu dililit di pinggang Ryouji.

 

“Oh. Baiklah. Aku sudah menemui baunya. Aku pernah menghidu bau ini.”

 

Sebentar, bukankah burung ini yang membelot aku di Furukawa kerana menerima sogokan Sonzaemon itu? Hisamiko melihat belakang badan burung itu. Ada bulu-bulu putih yang membezakannya dengan hayabusa lain.

 

“Wahai burung, maaf aku tidak tahu namamu...”

 

“Panggil aku Azuchi!”

 

Ne, Azuchi, berjanji denganku yang engkau akan mencari onii-san dan tidak lagi belot terhadap kami.”

 

“Baiklah, Hisamiko. Aku tidak akan belot, dengan syarat engkau memberikan aku makan dahulu.”

 

“Aku tiada makanan. Aku hanya ada buah itu.” Hisamiko menunjuk ke arah pokok, yang dipanggil ume. Pokok dan bunganya seperti sakura, namun buahnya boleh dimakan dan tidak pahit seperti buah sakura.

 

“Aku tidak makan buah!” Azuchi berteriak, bunyinya hanyalah bunyi biasa hayabusa namun perinciannya jelas di telinga Hisamiko.

 

“Aku akan memberikanmu kemudian apa sahaja yang engkau mahu. Termasuk ayam besar jika engkau mahu.” Hisamiko agak teragak-agak menyebutnya. Takasaki-san pasti memarahiku membuat perjanjian sebegini! Di mana ayam besar boleh didapati di dalam pergunungan yang jauh dari tamadun ini?

 

“Baiklah, tepati janjimu, seperti selayaknya bangsa Yamato! Mari, ikuti aku.”


"Sebentar, Azuchi, engkau makan daging rusa?" Hisamiko mendapat ilham, mungkin ia boleh didapati dengan berburu di dalam hutan ini. 


"Oh, itu lebih bagus!" Burung itu menjawab.

 

Hisamiko mengatur langkah merentasi hutan itu, dengan Azuchi terbang di atasnya, mengesan lokasi Ryouji.

 

**


Miko-chan! Miko-chan! Miko-chan!” Chisato melaung. Dia tidak tahu ke mana harus dia pergi. Hisamiko langsung menghilang di celah-celah hutan.

 

“Chisato, engkau mencari Hisamiko-kah?” suara seorang wanita, sedikit kasar, menegurnya.

 

Chisato menoleh. Azusa sedang berdiri di depannya. Dia baru pulang dari kuil yang ada dua patung singa dan patung Buddha. Lengan yukata dan kaki umanorinya bersingsing seperti baru lepas membuat kerja pembersihan, menampakkan kaki dan lengannya yang berotot.

 

“Ya, Azusa. Adakah engkau melihatnya?”

 

“Ya. Dia menghala ke sana. Aku melihatnya membuat bunyi aneh dengan seekor hayabusa. Budak pelik itu tidak habis-habis dengan perangai anehnya. Apa dia buat di luar rumah pada waktu begini?”

 

“Azusa, terima kasih. Maaf, aku akan berborak denganmu di lain kali. Aku harus bergegas.”

 

Matte Chisato. Doko iku no? (Tunggu, Chisato. Ke mana engkau mahu pergi?)” Azusa bertanya. Hubungannya dengan Chisato rumit. Dia amat menghormati Chisato dan pada masa yang sama, mencemburuinya kerana hubungan dia dengan Ryouji.

 

“Aku mahu mengejar Hisamiko.”

 

“Aku mahu mengikutmu.”Azusa memutus. “Dia mencari Ryouji bukan?”

 

“Azusa, engkau perlu melindungi rumah.”

 

“Takasaki dan Mariko ada. Usah kau bimbang.”

 

Buki ga aru no? (Engkau memiliki senjata?)”

 

“Aku cuma ada dua bilah tantou ini. Engkau ambillah satu.”

 

“Terima kasih, Azusa. Ayuh lekas!”

 

**

 

Hisamiko berjalan melepasi kuil Shinto lama yang menyembunyikan denai yang membawa pengembara ke barat Honshu dan Kisennuma, dan terus mudik sepanjang tebing Sungai Miya menghala ke selatan mengikut Azuchi.

 

Dia kepenatan dan berhenti duduk di atas sebuah batu besar di tebing sungai itu. Dia tidak langsung bersedia untuk perjalanan ini. Tiada makanan selain dari ume yang dipetiknya dan disimpan di dalam saku. Dia menyeluk saku, mengambil ume itu dan mengunyahnya. Masam! Dan kelat! Dia telan sedikit dan meludahnya, cepat-cepat membilas mulutnya dengan air sungai.

 

Laparnya. Apa yang boleh kumakan di sini?

 

Perutnya mulai berkeroncong, seperti bunyi higurashi yang sibuk di dalam belantara musim luruh. Dia meminum air sungai itu dengan banyak bagi menghilangkan kelaparan. Azuchi berlegar-legar di atas menunggunya.

 

“Cepatlah Hisamiko!”Azuchi berteriak dalam bahasanya.

 

“Tunggu sebentar, perutku lapar amat.”

 

“Baiklah. Engkau mahukan makanan?”

 

“Ya. Aku mahu makan ikan dan nasi.” Hisamiko memberitahu. Dia tidak memakan daging.

 

“Aku tidak tahu bagaimana menangkap ikan.” Azuchi memberitahu sebelum Hisamiko meminta bantuannya. Dia dapat membaca Hisamiko dari riak wajahnya.

 

Tch. Lupakan.” Hisamiko memuncungkan mulut, seraya menyambung, “Ayuh, aku mahu cepat mengejar onii-san.”

 

Hari beransur tengahari. Azuchi turun dan mengibas-ngibas sayapnya. “Dia sudah dekat sini. Di bawah bukit ini.” Hisamiko longlai, mendaki bukit yang dipenuhi daun-daun kering dan pepohon yang tinggi itu perlahan-lahan. Mukanya pucat. Perutnya masih berkeroncong. Pandangannya berpinar-pinar.

 

**

 

Kereta beroda kayu itu ditarik dua ekor kuda dan dikawal seorang lelaki, manakala tiga orang pengawal, barangkali ronin yang diupah, yang menunggang kuda masing-masing di kiri, kanan dan belakangnya lengkap bersenjatakan katana panjang menjaga keselamatan mereka. Berdasarkan kata-kata Takasaki, ia membawa tiga orang kanak-kanak dan remaja perempuan dan menuju ke jeti dekat Kisennuma. Sebuah feri sedang menunggu mereka di sungai itu dan akan membawa mereka ke Osaka. Di sana mereka akan menaiki kapal dan akan meninggalkan Jepun, diperdagangkan di Qing, Joseon atau di Asia Tenggara seperti Temasik dan Melaka.

 

“Shinji, aku akan turun dahulu bersemuka dengan ketuanya. Engkau tunggu di sini.”

 

Shinji mengangguk.

 

Shinji melihat di atas, seekor hayabusa terbang berlegar-legar di udara. Mengapa ada hayabusa di sini? Sebentar, hayabusa tidak akan berlegar melainkan ada sesuatu di bawah yang akan diburunya.

 

Sekurang-kurangnya itulah yang aku tahu dari pembacaanku. Atau mungkin ada tujuan lain?

 

Daun-daun bergerak rancak pada pepohon renek di semak berhampiran. Ranting-ranting patah berceratuk garing. Derapan kaki semakin dekat. Shinji menggeletar lutut. Detekoi! (keluarlah!)

 

Keluarlah seorang budak perempuan, berjalan dalam keadaan lemah. Mukanya pucat. Shinji mengamati budak itu. Yukatanya kotor kesan tanah dan dedaun hutan.

 

“Okuhida-san!”

 

Hisamiko terduduk. Dia hampir pengsan.

 

**

 

Ryouji sampai di kaki bukit. Dia berhenti betul-betul di hadapan kereta kuda itu, menghalangnya dari meneruskan perjalanan. Dia tunduk hormat kepada mereka.

 

“Aku meminta kalian agar melepaskan kanak-kanak itu.” Ryouji menyampaikan tujuannya kepada mereka tanpa gentar.

 

“Siapa engkau?!”

 

“Aku dihantar untuk menyelamatkan mereka.”

 

Pengawal-pengawal berpedang itu ketawa. Seorang budak mahu menghalang mereka? Mereka mengeluarkan katana masing-masing dan bergerak mengepung Ryouji.

 

“Saiki, teruskan perjalananmu. Kami akan menguruskan budak ini.”Salah seorang dari tiga pengawal itu memberi arahan kepada pembawa kereta kuda.

 

Ryoukai-desu!” Saiki membalas, memecut kudanya meninggalkan tempat itu.

 

Ryouji kini dikepung tiga pengawal berpedang. Masing-masing sedang mengepung dan menunggu peluang menetaknya.

 

Aku tidak boleh tersilap langkah kali ini. Tujuanku ialah melambatkan mereka agar pasukan yang sedang menunggu di hadapan berjaya merampas kereta kuda itu.

 

Penyerang pertama, lelaki berbadan sedang dan bermisai panjang, memulakan tetakan. Ryouji membuka pencaknya. Kaminari-no-kaze, jurus kelima. Jurus kelima tidak memerlukan banyak tenaga berbanding jurus keenam, iaitu jurus mengelak peluru. Ryouji harus berjimat dalam mengeluarkan tenaga. Mereka bertiga mungkin ada pasukan tambahan yang sedang mengintai.

 

Libasan lelaki bermisai tidak mengena. Ryouji melibas katananya bagi membuka kepungan mereka. Melihat dari kepantasan pengawal-pengawal itu, tidak syak lagi mereka tahu kaminari-no-kaze. Celaka, sudah berapa ramaikah yang tahu seni ini?!

 

Shinji memerhati dari jauh. Dia ditugaskan sebagai pembantu Ryouji sekiranya dia tercedera, dan akan mengeluarkan senjata apinya sekiranya musuh mereka terlalu berbahaya.

 

Ryouji selagi boleh tidak mahu membunuh. Lagipun Saishi-tounya bukanlah bermata. Dia akan menyerang bagi menyakitkan mereka. Tujuan utamanya ialah melepaskan diri dari kepungan itu, melemahkan mereka supaya tidak dapat mengejarnya, dan merampas kereta kuda di hadapan dan menyelamatkan tiga orang wanita di dalamnya.

 

Tugas merampas kereta kuda itu telah diserahkan kepada satu lagi duo yang dihantar Takasaki, dari pertubuhan sama, dari rumah perlindungan di Shinagawa, yang sedang bersiap menunggu di hadapan. Maka, tugas Ryouji dan Shinji hanya perlu melambatkan ronin-ronin ini di sini dari mengejar kereta kuda itu.

 

“Okuhida-san, mengapa engkau di sini?” Shinji berbelah bahagi antara memerhati Ryouji dan Hisamiko. Dia perlu menumpu perhatian kepada Ryouji, namun kedatangan Hisamiko telah mengganggunya.

 

“Aku risaukan onii-san. Takeuchi-san, aku lapar.”

 

“Aku hanya ada ini. Makanlah.” Shinji menyuakan bekas bambu berisi onigiri. Hisamiko mengambil baki onigiri yang tinggal, seraya makan dengan lahapnya.

 

“Bagaimana engkau tahu kami di sini?”

 

“Itu. Aku mengekorinya.” Hisamiko menunjuk ke arah Azuchi yang sedang berlegar-legar di atas mereka sedari tadi.

 

“Engkau tahu menyeru mereka? Siapa yang mengajarmu?”

 

Sedang Shinji sibuk bertanyakan Hisamiko, kaki Ryouji terkena libasan pedang musuhnya, dia terjatuh. Shinji masih tidak menyedari perkara itu.

 

“Aku tidak tahu. Burung itu sering mengikutku.”

 

Di bawah bukit, dua orang pengawal rebah, mereka seperti kepatahan tulang. Hanya seorang yang masih berdiri. Ryouji pula menahan kesakitan pada kakinya, lukanya agak dalam. Ia bahagian luka kesan tembakan ketika dia di Furukawa dahulu. Luka lama yang berdarah kembali. Pengawal yang masih berdiri itu berbadan tinggi dan mukanya paling bengis, berkulit gelap, sedikit berjambang dan memakai lilit di kepalanya. Badannya sasa sekali. Dia bersedia mengangkat pedangnya untuk memancung Ryouji yang sedang terbaring.

 

Yamerou! (berhenti!)” kedengaran suara seorang remaja perempuan dari jauh, membonceng kuda yang ditunggang oleh seorang lelaki. Lelaki itu pengendera kereta kuda tadi, dan siapa pula perempuan itu?

 

“Apa yang kalian lakukan?!” Remaja perempuan itu bertanya sambil memandang Ryouji.

 

“Aku sedang menyelamatkan wanita-wanita yang akan dijual sebagai karayuki di dalam kereta kuda tadi.”

 

“Aku di dalam kereta kuda tadi jika itu yang engkau maksudkan. Kami memang rela menjual diri kami. Engkau tidak perlu menyelamatkan kami.”

 

Ryouji tersentak. Apakah yang gadis ini perkatakan?

 

“Apa yang cuba kalian lakukan? Menjual diri kalian? Mengapa? Apakah kalian sebegitu murah?”

 

“Engkau tidak akan faham, budak!” Gadis itu tiba-tiba membentak dan rasa tercabar di atas kata-kata Ryouji.

 

Onegai (Aku mohon), fahamkan aku.” Ryouji keliru. Dia merayu sambil merapatkan badannya ke bumi.

 

Remaja perempuan itu terkesima. Mengapa dia ingin benar tahu keadaanku?

 

“Budak, ibu bapa kami miskin dan mereka sakit teruk. Kami perlukan wang yang banyak untuk membeli ubatnya. Orang-orang ini membeli kami supaya ibu bapa kami dapat membeli ubat dengan wang itu. Dan mereka juga tidak perlu lagi menjaga kami. Kami beban kepada mereka yang dirundung kemiskinan. Demi mereka, kami korbankan maruah kami!

 

Engkau tidak akan faham, budak!” selesai menghabiskan kata-katanya gadis itu meninggalkannya. Ronin-ronin yang bertiga itu menuruti gadis tersebut menuju kereta kuda di hadapan dengan menunggang kuda masing-masing. 

 

“Budak sial, engkau telah membuang masa kami!” Mereka memaki Ryouji, sambil meludah ke arahnya.

 

Ryouji kaku. Dia keliru. Tidak pernah di fikirannya terlintas kemungkinan sedemikian. Seorang wanita menjual dirinya demi ibu bapa mereka? Sedang aku bermati-matian mempertahankan Hisamiko? Sedang Chisato membunuh orang demi mempertahankan maruah Chiho dan Chinami? Apa jenis pengorbanankah itu?

 

Perhatian Shinji beralih ke arah Ryouji di bawah bukit setelah mendengar bunyi hentakan kaki kuda dari jauh. Dia tidak dapat mendengar jelas perbualan mereka di bawah, hanya sekadar jeritan Ryouji dan remaja perempuan itu. Dia tidak faham mengapa pertarungan itu tamat tiba-tiba dan Ryouji dibiarkan di situ.

 

Seketika kemudian dua orang pasukan tambahan yang ditugaskan menahan kereta kuda di hadapan, datang bertemu Ryouji dengan menunggang kuda. Shinji datang membawa ubat bagi merawat luka Ryouji. Duo itu memberitahu Ryouji yang gadis tersebut keluar dari kereta kuda dan memarahi mereka kerana menghalang perjalanannya, sedang dua orang wanita lagi masih di dalamnya. Kemudian dia meminta pembawa kereta kuda itu bertemu Ryouji.

 

Ryouji bertambah bingung apabila melihat Hisamiko berada di depan matanya. Siapa yang membenarkan dia keluar dari rumah? Takasaki-san? Namun, dia tidak berdaya untuk marah. Mungkin dia akan menangguh memarahinya di hari lain. Aku tidak mahu Hisamiko mengejarku sebegini lagi. Bahaya!

 

Shinji memapah Ryouji yang tercedera, dibantu Hisamiko. Perut Hisamiko masih berkeroncong meskipun sudah menjamah onigiri.

 

Dua orang lelaki dari pasukan tambahan itu memperkenalkan dirinya. Seorang bernama Natsuki dan seorang lagi bernama Hatsuki. Kedua-duanya kembar dan berasal dari Shinagawa. Mereka menjadi anak yatim selepas rumahnya dibakar Hamada kerana ibu bapanya tidak menjelaskan cukai. Ibu bapa mereka mati dalam kebakaran itu. Cerita yang sama. Kesakitan yang sama. Kesakitan yang dirasai Kobato, berulang-ulang, ada di serata Shinagawa. Selagi Hamada memegang kuasa, selagi itulah kerosakan berleluasa.

 

Mereka membawa pasukan Ryouji ke sebuah kuil Shinto yang paling dekat yang ada penginapan. Segalanya telah dirancang rapi oleh Takasaki. Dia tahu kelemahan Ryouji dan kekuatan musuhnya. Disebabkan itu dia tidak terburu-buru dan merancang teliti setiap misinya. Pengintipnya akan membekalkan maklumat berkenaan musuh. Kebanyakan musuhnya dikenali kerana tempoh perkhidmatannya yang lama dengan Hamada. Bahkan, sebahagian besar dari mereka adalah bekas anak muridnya.

 

Hisamiko makan dengan lahapnya malam itu. Ryouji hanya tersenyum sambil menepuk-nepuk kepalanya. Kemudian dia tertidur, sambil memeluk Ryouji. Ryouji hanya membiarkan dia. Esok aku akan memarahinya cukup-cukup.


Previous: Bab 32
Next: Bab 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov