Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 61

Ryouji terbangun dari tidur yang panjang, menyedari dia sedang bersandar pada sebuah batu besar. Dia memandang ke atas, mendapati seseorang sedang duduk di atasnya.

Ryouji bangun perlahan-lahan. Dia mendapati Ayame sedang duduk di atas batu besar itu, dan merenung lama Gunung Fuji.

“Apa yang sedang engkau lakukan?”

“Terkejut aku. Engkau sudah sedar rupanya.”

“Sudah berapa lamakah aku di sini?”

“Hampir dua jam.”

Ryouji mendapati Ayame kembali merenung Gunung Fuji di hadapan mereka. Ryouji perasan, tangan Ayame sedari tadi terketar-ketar. Hari ini tidaklah sesejuk mana.

“Aku lihat engkau benar-benar sukakan gunung itu.” Ryouji masih memerhati tangan Ayame.

“Ia seperti Kogen.”

“Seperti Kogen?”

“Ya. Menanti untuk meletus.”

“Apa maksudmu Ayame?”

“Engkau tahukah gunung itu pernah meletus lebih dari seratus tahun lalu?”

“Tidak... sou desuka.”

“Di luarnya nampak gah, cantik. Salju memutih di lereng-lerengnya. Teguh berdiri menusuk awan dan berlatarkan langit biru. Di kakinya subur pepohon dari tanah yang dimuntahkannya dahulu. Sebahagiannya mengeluarkan bunga yang berwarna-warni.”

“Namun di dalamnya hanya Tuhan yang tahu. Api yang bergejolak di dalamnya menanti masa untuk keluar. Sekali ia keluar dan meranapkan sekitarnya sehingga tiada apapun tersisa.”

Ryouji hanya mendengar gumam dara berusia hampir tiga dekad itu. Apa yang disyarahkan Ayame? Letusan? Apakah ada bunga-bunga api perpecahan di dalam Kogen? Atau duri-duri dalam daging yang mula membarah? Rumah-rumah perlindungan yang pincang? Atau pengurusan dana yang pincang?

“Kogen mula meniti di bibir rakyat. Kita dijulang sebagai pembela mereka yang ditindas. Namun mereka tidak menyedari semua kepincangan ini, Ryouji. Kepincangan, onar-onar yang dilakukan duri dalam daging. Jika perkara begini terlepas keluar, reputasi dan kepercayaan terhadap kita hancur, sebagaimana hancurnya segala pepohon yang ditimpa lahar panas dari gunung itu dahulu.”

“Aku bimbang Ryouji. Aku bimbang, akan lebih ramai orang-orang seperti Tokui yang mula berprasangka terhadap kami.” Ayame cuba menyembunyikan tangannya dengan berpeluk tubuh, menyedari Ryouji asyik merenung ke arah tangannya. Namun masih jelas bahunya menggigil di mata Ryouji.

Aku tidak pasti apa yang membuatkan tangan Ayame terketar-ketar. Apa yang bermain dalam cepu fikirnya. Namun sekarang aku fikir aku memahaminya. Beban tanggungjawab yang digalas di bahunya.

Ayame menyambung, “Mereka menjadi penjaga di hadapan kita, namun mereka khianat di belakang, menggunakan kuasa yang kami beri demi kepentingan mereka.”

“Ryouji, aku tidak dapat membayangkan kehidupan anak-anak kami di bawah duri dalam daging ini. Aku tidak pernah merasakannya. Bayangkan, mereka mengawal rumah merpati mereka maka berita onar mereka tidak sampai kepada kami jika ada di antara anak-anak itu mahu menghantar aduan senyap-senyap. Mereka juga membelot kepada orang-orang Hagiura dengan membenarkan mereka masuk ke rumah perlindungan menggunakan kuasa mereka ke atas tama-no-iwa rumah tersebut.” Ayame merujuk beberapa kes sebelumnya yang juga berlaku di rumah perlindungan Kogen. “Mujur sahaja kami masih punya pasukan nazir.”

Binatang! Binatang! Ryouji bertambah geram mendengarkan kata-kata Ayame, seraya memaki dalam hati sambil menggenggam penumbuknya. Mengapa baru sekarang aku tahu perkara ini? Malang mereka yang menjadi mangsa penjaga bangsat begitu dan aku tidak berada di sisi mereka. Malang!

“Sudah berapa lamakah kesialan ini berlaku? Apakah ia semakin berleluasa?”

“Ia berlaku sekali-sekala sejak Kogen ditubuhkan. Namun kes-kes baru semakin bertambah sejak musim luruh tahun lepas (1871). Dari penyiasatan kami, ia berpunca dari pemotongan peruntukan.”

“Apa? Bukankah kita baru mendapat dana dari Maharaja?”

“Benar. Namun dana itu digunakan bagi membuka rumah perlindungan baru.”

Atau untuk tujuan membantu Maharaja memerangi pemberontak? Soal Ryouji dalam hati, sinis, penuh prasangka.

“Selain itu, aku mendengar dari pengintipku yang keluarga Yoshitsugu sedang mendirikan rumah pelacuran baru di Yozehama. Jika dahulu mereka membeli anak-anak gadis, kini mereka mula menculik. Mereka tertekan setelah dilarang mengutip ufti oleh Maharaja. Mereka bukan sahaja menculik bahkan merasuah penjaga rumah-rumah kita bagi mendapatkan bekalan gadis-gadis bawah umur untuk dilacurkan.”

Bekalan? Mereka menjual anak-anak gadis kami seperti menjual lembu!

“Perkembangan begini memberi peluang jenayah kepada penjaga rumah kita. Jika gaji dikurangkan, mereka akan cenderung mendapatkan wang dari sumber lain seperti keluarga Yoshitsugu, dengan memangsakan ahli rumah kita.”

“Ryouji, tujuanku hanya satu, aku ingin Kogen bersih dari onar-onar yang menyakitkan ini dan terus mekar begini, seperti bunga-bunga itu.” Ayame memuncungkan mulutnya ke arah bunga-bunga dan pokok yang berwarna warni jauh di kaki Gunung Fuji.

“Kogen pasti akan terus mekar!” terpacul keluar kata-kata itu dari mulut Ryouji tiba-tiba.

Ayame terkejut seraya memandang Ryouji yang tiba-tiba bersemangat.

“Aku bertekad akan menghancurkan Hamada dan sekutunya dan akan memulihkan Kogen dari dalam!”

Ayame tersenyum. Kemudian dia pecah ketawa terbahak-bahak, sehingga terbatuk sedikit. Dia menghentikannya sebaik melihat Ryouji membuat riak tidak senang.

“Mengapa engkau ketawa, Ayame-san?”

“Maafkan aku, tetapi ia berbunyi naif.”

Ryouji merah muka mengingatkan kembali kata-katanya yang tiba-tiba. Ya, amat naif. Ia seperti seorang budak bawah umur yang cuba menjadi adiwira dengan melaungkan kata-kata kosong namun tiada inisiatif atau perancangan untuk menjayakannya.

“Ryouji, kita boleh melihat kerosakan dari luar. Namun kerosakan dari dalam amat sukar untuk dikesan. Kerana ia datang dari orang-orang yang kita percayai sejak sekian lama. Bukan setahun dua, bahkan berpuluh-puluh tahun lamanya.”

Benar, Ayame. Pengkhianat dari dalam adalah musuh paling berbahaya. Aku telah mengalaminya sendiri. Ia salah satu pengajaran paling besar yang aku terima sepanjang umurku.

“Apakah kalian mengenali Segawa sebelum ini?”

“Bapaku (Kotobuki) mengenali Segawa sejak kecil. Segawa adalah salah seorang dari penghuni rumah perlindungan kami, di Kogen-no-shita.”

Ryouji terkejut mendengarnya. Jika itulah katamu Ayame, maka aku faham kesukarannya. Kerana mereka begitu lama denganmu, maka tidak mustahil kalian akan mengambil mereka menjaga rumah perlindungan atas dasar kepercayaan. Dan amat sukar mengesan sebarang perubahan sikap jika mereka benar-benar berubah seratus lapan puluh darjah kemudiannya.

“Namun hanya kerana seorang wanita bernama Masami, dia berubah begitu. Masami asalnya adalah salah seorang pengintip kami. Dia bertemu Segawa ketika sama-sama menyertai misi kami sebagai pengintip, dan kemudian berkahwin. Selepas itu mereka memohon menjaga rumah perlindungan kami dan dibenarkan Omi. Bertahun-tahun mereka menjaganya. Namun hanya pada tahun ini sahaja, Segawa dan Masami mula berubah.”

“Mengapa begitu?”

“Masami mula berubah beberapa tahun lepas dengan membazirkan dana kami. Pada fikirannya, dia sudah lama berkhidmat maka fikirnya Kogen tidak akan mengambil kisah jika sedikit dana disalahguna.”

“Mengetahui perbuatan Masami, Omi-san mengambil keputusan memotong beberapa peruntukan untuk rumah mereka. Masami tidak berpuas hati dengan tindakan itu.”

“Masami menghasut Segawa, dan natijahnya, adalah seperti yang engkau lihat sekarang.”

“Ryouji, jika engkau kekal pada prinsipmu, engkau masih boleh mencantas duri dalam daging seperti ini. Namun jika duri ini sebahagian darimu, dan dia isterimu, atau adikmu, atau anakmu, apa yang engkau mampu lakukan? Atau engkau menyerah diri dan menjadi duri juga?”

Ryouji terpana mendengar kata-kata Ayame. Jika aku berada dalam situasi begitu, aku juga perlu memilih. Aku mungkin bernasib baik, kerana belum melaluinya lagi. Namun jika duri itu Hisamiko, mampukah aku ‘mencantasnya’?

“Ryouji, mengapa denganmu? Aku dengar dari Takumi yang engkau teragak-agak menamatkan riwayat Masami dan Segawa. Kemudian engkau pengsan pula di sini.”

“Ingatan lama tiba-tiba datang dalam memoriku saat itu.”

“Ingatan lama?” Aku ada mendengar dari bapaku. Miura menceritakan padanya. Mungkinkah yang itu?

Ryouji mengisahkannya.

Otou-san menegahku dari membalas dendam. Aku hanya mengingati itu namun aku tidak ingat kisah sebelumnya, sehinggalah ketika aku berhadapan dengan Segawa.”

“Disebabkan itu engkau teragak-agak membunuhnya?”

“Benar. Disebabkan itu juga aku tidak membunuh Sonzaemon.”

“Sonzaemon?”

“Pembunuh bapaku.”

Sou ka (benarkah?)...” Ayame terdiam seketika, barangkali bertakafur mengingati Miura. 

Sebentar, aku seperti pernah mendengar nama itu. Bukankah dia perompak di Furukawa? Dia gemuk dan hanya mengarah di belakang pengikut-pengikutnya yang kurus-kurus belaka. Di manakah dia sekarang?

Kemudian dia menyambung, “Sekarang, apa yang engkau fikir berkenaan tegahan bapamu itu?”

“Dia hanya menasihatiku. Aku telah lama mengambilnya sebagai prinsipku. Semua yang bersalah harus dibicarakan di mahkamah. Atau sekurang-kurangnya di Kogen. Aku tidak akan sewenang-wenang membunuh mereka.”

“Meskipun jenayah itu dilakukan di hadapan matamu? Seperti kes Keisuke?”

“Ya. Aku akan menahannya untuk dibawa di mahkamah. Hukuman mesti dijatuhkan oleh penguasa.”

“Meskipun penjenayah itu mahu membunuhmu?”

“Aku akan membunuhnya demi mempertahankan diri, namun itu hanya akan kulakukan jika aku tidak mampu menewaskannya dan menangkapnya untuk dibicarakan dan dihukum di mahkamah.” Ryouji masih tidak sepenuhnya yakin dengan kata-kata itu, mengingatkan apa yang telah berlaku sewaktu menewaskan Masami dan Segawa. Dia masih teragak-agak pada ketika itu, dan mungkin telah dibunuh jika Tokui tidak mengambil inisiatifnya.

Ayame terdiam, kemudian ketawa kecil.

“Mengapa engkau ketawa Ayame?”

“Peganganmu terlalu perinci.” Aku tidak menyangkapemahamanmu begitu perinci meskipun engkau masih belasan tahun.

“Aku akui betul katamu. Memang hukuman selayaknya dilakukanpenguasa atau orang-orang yang telah dilantik oleh mereka. Ryouji, bilamanaengkau memangku tugasku seperti ketika kita di rumah Segawa, aku harap engkau tidakteragak-agak lagi.

“Maafkan aku.” Ayame-san, aku sebenarnya masih teragak-agak.Aku tidak pasti adakah aku benar-benar bersedia menjadi pelaksana hukumansepertimu. Dan sesungguhnya hatiku sedang mempersoal kewajaran hukuman bunuh dalamKod Kogen.

“Engkau tahu apa yang telah berlaku kepada pembunuh Keisuke?”

“Aku tidak ingat. Barangkali sudah dihukum. Aku ingin kembali kampungku mendapatkan khabar tentangnya.”

“Ryouji, maafkan aku. Sebenarnya aku sudah mengetahuinya. Bapamu pernah bercerita kepada bapaku. Mereka sudah dihukum oleh Kogen selepas menerima laporan dari daimyo Kimura sekutu kami, namun mereka tidak dihukum bunuh.”

“Benarkah begitu?”

“Ya. Kejadian itu berlaku ketika mereka di bawah umur. Mereka kini dipenjarakan di Kogen. Tidak silap aku mereka akan dibebaskan hujung tahun ini.Tempoh penjara lapan tahun.”

“Di manakah penjara itu?”

“Ia salah satu dari kawasan yang tersembunyi di sekitar Kogen.”

Sebentar. Kawasan tersembunyi? Ryouji cuba mengingat sesuatu.

Maka benarlah telahan aku dan Shinji. Mereka punya kawasan-kawasan lain yang tersembunyi di sekitar tanah tinggi itu dan Kogen-no-shita. Aku akan memberitahu Shinji perkara ini.

Nampaknya aku akan menemui bangsat-bangsat ini dahulu sebelum aku ‘bertemu’ Keisuke.

“Apapun, terima kasih Ayame memberitahuku. Namun aku akan tetap kembali ke kampungku seketika. Aku perlu ‘bertemu’ Keisuke. Aku belum benar-benar‘menghantarnya’ ke alam sana.”

“Terpulang padamu Ryouji. Yang penting jaga dirimu.”

Aku tidak pasti lagi, apakah aku akan terus berkhidmat kepada Kogen. Ini baru sahaja misi pertamaku. Namun sudah pelbagai perkara datang menghunjam kepalaku bersilih ganti. Skuad Sakura? Aku tidak mahu bertanya lanjut sekarang. Aku mahu memerhati Ayame dahulu. Dari kata-katanya, jelas dia punya wawasan murni mengembalikan Kogen ke landasan asalnya. Aku tidak nampak perkara mencurigakan. Jika skuad rahsia itu caranya, maka bukankah itu diperlukan? Bukankah ia satu pembaharuan, sebagaimana Pembaharuan yang telah dilakukan Maharaja?

Juga berkenaan dana peribadi bapaku itu. Benarkah dakwaan Masami? Aku belum pernah melihat wasiat bapaku. Namun mengaitkannya dengan bantuan kepada Maharaja untuk perang saudara yang mungkin akan berlaku, nampak wajar. Apapun, aku memerlukan siasatan lanjut. Shinji mungkin punya lebih banyak petunjuk, dia sering ke makmal ujikaji senjata dan memerhati bagaimana bekalan bahan mentah dibawa masuk. Aku ingin mendapatkan perkembangan terbaru tentang sama ada Kogen ada menambah bekalan bahan mentah untuk penghasilan senjata.

**

Kotobuki tidak keruan mendengar berita berkenaan Ayame terlantar di rumah perlindungan Segawa itu. Dia menyembunyikan kegusarannya di balik wajah tenang seorang sami. Hanya Megumi yang berpeluang melihat dia melepaskan perasaan yang terbuku di hati di dalam bilik pejabatnya.

“Kotobuki-san, dia pasti akan selamat. Hayabusa-no-kami sentiasa membantu pemedang handal.” Megumi duduk di hadapan Kotobuki, kedua-duanya bersila, dipisahkan sebuah meja teh di dalam bilik pejabat.

“Sejujurnya aku tidak mahu lagi dia melakukan kerja-kerja begini...namun aku tidak mampu menghalangnya.”

Megumi masih setia mendengar duda berusia lanjut itu berkisah. Siapa lagi yang mahu mendengarnya?Omi yang berusia sembilan puluhan itu tidak akan mendengarnya begitu.

“Aku menghantar Ryouji yang masih baru itu demi melindunginya. Namun, dia masih ditewaskan. Bagaimana jika dia pergi mengikut Tsubomi, Megumi?”

“Aku tidak peduli akan ramalan Kaisenjyo itu, walau apa sekalipun isi ramalan itu, Ayame tetap satu-satunya anakku. Aku tidak akan sanggup membunuhnya hanya kerana ramalan itu. Hatta membiarkan dia mati dengan apa cara sekalipun.”

Suara Kotobuki bernada sebak, namun dia tidak sekali-kali menangis di hadapan wanita itu. Wajahnya masih tenang seperti biasa. Megumi masih duduk membatu, tidak menghulurkan bahu atau menepuk bahu Kotobuki, sekali sekala dia akan memujuk, bila dirasakan perlu. Dia lebih banyak menadah telinga mendengar, sebagaimana Kotobuki pernah menadah telinga mendengar kisah-kisah silamnya sebelum dia diterima masuk bekerja di sini. Kisah hitam dua puluh tahun lepas.

**

Ayame tiba bersama Ryouji di Kogen. Dia bertemu Omi dan Kotobuki di luar dewan. Kemudian Omi dan Ryouji beredar, Ayame mengikut Kotobuki masuk ke dalam bilik pejabat.

Kotobuki yang sedari tadi kelihatan tenang sahaja di luar, pantas meluru dan memeluk Ayame.

Ayame terkesima. “Otou-san...”

“Ayame, aku tidak kisah jika engkau berhenti dari kerja-kerja begini.” Nadanya sebak. “Cukuplah dengan pemergian ibumu.”

“Berhenti? Tidaklah, otou-san. Kogen adalah kehidupanku. Aku mahu berbakti selagimana aku bernyawa. Lagipun aku sudah lama melakukan kerja begini.” Ayame membiarkan Kotobuki memeluknya untuk beberapa ketika. Kotobuki hanya membisu, tidak meneruskan ayatnya atau ia akan melarat menjadi pertengkaran. Ini bukan kali pertama Kotobuki menegahnya. Kotobuki terlalu berlembut dan tidak tegas menghalang Ayame. Sehinggalah sekarang Ayame sudah terlibat dalam berpuluh-puluh misi, ia sudah terlalu lambat. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, namun rebung itu sudah keras, sudah terlalu lambat.

Aku lega otou-san begini. Kerana aku hampir berputus asa, aku fikir mereka akan bergembira dengan pemergianku. Kerana apa yang kudengar pada hari itu berkenaan Kaisenjyo. Aku fikir mereka akan membunuhku bila-bila masa, terutama ojii-san. Pabila perlakuanku mula menzahirkan isi-isi ramalan Amaguri berkenaan Kaisenjyo itu, mereka akan membunuhku jua.

Namun otou-san, aku harap engkau tidak begitu. Aku harap kasihmu terhadapku kekal begini. Sehingga bila-bila.

**

Berbalik kepada perbualan Ryouji dan Shinji selepas pulang dari misi di rumah perlindungan Segawa...

Mungkin, aku tangguhkan dahulu kisahku di rumah Segawa itu. Aku perlu mengorek sesuatu berkenaan perang yang pernah diramalkan Shinji.

“Ryouji, engkau melihat bukan pedang Kobato? Apakah sama dengan Saishi-tou?”

“Pedang Kobato hanyalah pedang biasa. Saki mungkin sudah membongkarkan formulamu, namun aku yakin Kobato tidak akan berjaya menempanya. Ia bukannya mudah. Tukang pedang di Kogen pun belum dapat menemuinya sebelum engkau sendiri menempanya.”

Shinji menghembus nafas lega. Ryouji hairan melihatnya.

“Mengapa Shinji?”

“Aku fikir pedangku telah membunuh Takasaki-san. Aku hanya risaukan itu.”

“Shinji, aku fikir engkau tidak perlu risau meskipun jika pedang Kobato itu Saishi-tou.”

“Mengapa pula begitu?”

“Takasaki sengaja membiarkan dirinya dibunuh Kobato.”

“Hah? Ryouji, apa hujahmu?”

“Aku fikir mustahil dia dikalahkan Kobato. Kedua-duanya mampu melakukan jurus kesembilan. Aku fikir dia hanya mahu Kobato tenang, dan mahu menebus dosanya dengan Kobato. Dan dia sendiri sudahpun bersedia untuk mati. Mungkin, kerana yakin dengan kita? Aku tidak pasti. Jika dia bersedia untuk mati lama dahulu sudah pasti dia telah membiarkan Kobato membunuhnya ketika kali pertama Kobato datang tahun lepas.”

Itu hanya sangkaanmu Ryouji. Namun aku terima sahaja. Aku tahu engkau mahu menyedapkan hatiku.

“Tahun lepas? Ryouji, maksudmu?”

“Kobato telah datang sebelumnya pada tahun lepas. Engkau dan Tsuneki sedang berada di perpustakaan. Sebentar, apa yang kalian buat di sana?”

E...to... Aku telah berkongsi buku itu dengan Tsuneki...”

Ryouji menampar belakang kepala Shinji. “Engkau ni memang benar-benar tak senonoh! Dan engkau berkongsi pula bahan lucah itu dengan musang itu!”

Itai (sakit)! Tsuneki meminta sebagai bayaran, kerana aku telah memintanya mengajarku memanah tepat. Aku fikir dengan berlatih memanah dahulu baru aku dapat memperbaiki mutu tembakanku.”

“Jadi, apa reaksi Tsuneki?”

“Dia geli-geleman kemudian menangis.”

Bodoh punya musang! Benda begitu pun engkau hendak menangis.

“Apakah dia menangis kerana terharu? Atau ketakutan?”

“Aku fikir dia ketakutan. Dia kata dia tidak akan membuka buku itu lagi.”

Baguslah. Aku suka jika dia tidak membukanya lagi. Aku bimbang musang bodoh itu akan kembali mengulangi perangai bodohnya yang suka mengendap.

“Jadi Ryouji, mengapa Saki dibunuh? Apa motifnya?”

“Kobato memberitahuku yang Saki menghalangnya dari menemui Takasaki.”

“Hanya itu alasannya?”

“Ya. Aku tidak pasti kesakitan apakah yang dialaminya. Aku menyesal mengajarnya jurus tujuh dan lapan. Dia bukan setakat membunuh Saki, bahkan Azusa, dan Takasaki!”

“Bukan salahmu Ryouji. Engkau pun tidak dapat mengagak perangainya.” Shinji cuba menyedapkan hati Ryouji pula.

“Namun apa yang pasti, aku mendapat satu pengajaran besar.”

“Maksudmu?”

“Lawan yang bersembunyi di sebalik nama ‘rakan’, ‘keluarga’, ‘kekasih’, adalah lawan paling berbahaya. Lebih bahaya dari Hamada. Aku perlu lebih berhati-hati di masa akan datang.” Ryouji menyebut ‘lawan’. Padanya Kobato bukanlah musuh. Kobato bermasalah, dan tiada sesiapa yang bersamanya sewaktu dia bertarung dengan dirinya sendiri.

Ryouji menyambung,“Sedang Hamada, dia tidak bersembunyi. Kita tahu dia adalah musuh kita. Namun musuh yang aku perkatakan tadi, tidak mudah dikesan.”

“Ryouji, aku tidak dapat memaafkan Kobato. Atas apa yang telah dilakukannya terhadap Saki.”

“Dia telah menerima balasannya Shinji. Dia lenyap seperti angin pada malam itu. Aku harap engkau dapat memaafkan dia.”

“Ryouji, apa kata-kata terakhir si bangsat itu?” Wajah Shinji mencuka sebaik bertanyakan soalan itu.

“Dia hanya mengucapkan ‘terima kasih Ryouji, satu-satunya sahabatku’, selepas aku mengatakan yang aku masih sahabatnya meskipun dia telah membunuh Saki, Azusa dan Takasaki.”

“Dia langsung tidak meminta maaf darimu?”

“Entahlah Shinji.Jika difikirkan kebiadapannya itu, aku juga tidak mahu memaafkannya. Aku ingin sekali membawanya ke Kogen untuk diadili. Dia tidak menunjukkan rasa bersalah, malah ketawa.”

Shinji menggenggam penumbuk menahan marah. Jika Kobato berada di hadapanku aku tidak akan teragak-agak untuk menumbuknya barang sedas dua.

“Dia sakit, Shinji. Dia sudah lama sakit. Dan kejadian dia dimamah rusuhan tenaga benar-benar tidak dijangka. Aku fikir hanya itu sahaja kali terakhir aku bertemunya. Aku hanya mahu dia pergi dengan tenang. Aku fikir, Tuhan sudah menghukumnya saat itu.”

Mungkin, aku akan memaafkannya suatu hari nanti, getus Shinji. Mungkin, apabila tiba masanya nanti. Apabila aku dapat melupakan Saki. Aku benar-benar tidak menyangka. Aku punya begitu banyak masa di sana, dan hanya beberapa bulan belakangan ini sahaja baru aku menyedari kehadiran Saki dalam hidupku. Mengapa tidak sebelumnya? Mengapa aku mensia-siakan kewujudannya?

Namun kadangkala jika difikirkan kembali, ada baiknya interaksiku dengan Saki sesingkat itu. Jika tidak, mungkin lebih berat untuk aku lepaskan Saki dari memoriku.

Previous: Bab 60
Next: Bab 62

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov