Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 31

Ryouji duduk melepak di tempat biasa di taman bonsai, cuba mengingat dan menghadam 'kuliah' Takasaki. Dia tahu Hisamiko sedang menunggu masa untuk bertemunya seorang. Hisamiko seorang yang amat pemalu dan tidak akan menunjukkan perasaan sebenarnya di depan orang lain selain Ryouji. Meskipun orang itu Chisato.

 

Tepat telahannya. Hisamiko datang berlari-lari seraya menyembabkan mukanya ke dada Ryouji. Dia menangis sekuat hatinya.

 

Onii-san baka! Baka! Baka!... (Ryouji, engkau bodoh!)” dia memukul-mukul bahu Ryouji. Ryouji turut menangis dan memeluk Hisamiko, sambil mengusap kepalanya. “Maafkan aku Hisamiko...”

 

Chisato mengintai dari jauh, baru pulang dari melayani perasaannya di hutan buluh. Dia tidak pernah melihat Hisamiko sebegitu. Bodoh engkau Ryouji, betapa ramai yang memerlukan engkau!

 

Shinji juga memerhati dari jauh. Aku ingin benar memiliki hubungan sebegitu. Diperlukan. Dikasihi. Namun aku cuma ada sahabat-sahabat di sini. Aku tidak pernah merasai kasih sayang seorang ibu, seorang bapa dan seorang adik, atau kakak, atau abang. Sahabat-sahabatku di sini, adalah satu-satunya benteng kemanusiaanku yang masih tinggal. Tanpa mereka, aku cuma sebatang tunggul yang tidak berperasaan, atau mungkin, patung singa dan patung gangsa di kuil seberang Sungai Miya itu.

 

Kadangkala aku merasakan, tempoh hampir dua tahun sejak Ryouji datang ke sini terlalu singkat. Sebegitu banyak perkara berlaku. Sebegitu jauh aku telah berubah, juga penghuni-penghuni lain. Betapa aku menghabiskan tahun-tahun sebelumnya sia-sia.

 

**

 

“Shinji, bagaimana?” Soal Ryouji suatu hari, berkenaan senjata api yang dirampas dari Sonzaemon tempoh hari. Dia telah menyerahkan kepada Shinji untuk diselidiki.

 

“Ia tidak banyak bezanya berbanding senjata api sama yang sudah ada di bengkel kita. Kedua-duanya separa automatik. Cuma yang kau bawa pulang ini tidak berasap.”

 

“Tidak berasap?”

 

“Ya. Apabila peluru dilepaskan, biasanya akan muncul asap putih di belakang pistol itu hasil dari pembakaran bahan di dalam peluru itu. Itulah yang selalu berlaku pada pistol separa automatik yang lama, dan menyebabkan lokasi penembaknya dapat dikesan dengan asap tersebut ketika di kawasan pertempuran.”

 

“Namun pistol yang kau bawa pulang ini kulihat telah ditambahbaik. Aku masih tercari-cari apa sebenarnya bahan serbuk yang tidak berasap itu.”

 

“Apakah pelurunya lebih laju dari pistol lama?”

 

“Aku yakin tidak banyak bezanya. Cuma mungkin campuran serbuk tersebut menyebabkan asapnya kurang. Mungkin ditambah sesuatu yang baru.”

 

“Shinji, aku masih tidak faham. Aku fikir penembak edamame engkau itu sudah cukup pantas. Aku terlalu yakin aku mampu mengelak peluru senjata api.”

 

“Ryouji, tenaga tembakan peluru edamame itu datang dari mampatan spring, berasal dari tangan penembak itu sendiri. Namun tenaga peluru dari senjata api datangnya dari bahan serbuk ini yang diletakkan di dalam peluru. Serbuk ini kecil, Ryouji, namun menyimpan tenaga berkali ganda dari tenaga tolakan tangan kita ketika menarik picu.”

 

“Maksudmu?”

 

“Aku tidak pernah kata penembak edamame itu lebih pantas dari senjata api. Aku fikir engkau perlukan kaedah lain mengelak peluru senjata api. Latih dirimu sehingga jurus kelapan. Engkau boleh memotong peluru menggunakan pedangmu di jurus ini. Jurus enam juga boleh, namun kebarangkalian untuk gagal lebih tinggi berbanding dengan jurus kelapan.”

 

“Aku sudah tahu jurus kelapan. Aku baru mempelajarinya selepas pulang dari Kisennuma.”

 

“Maksudku, latih dirimu naik ke jurus kelapan sepantas mungkin. Melakukan jurus kelapan mungkin mudah, namun untuk naik kepadanya dari jurus-jurus rendah memerlukan latihan kerap.”

 

“Ataupun jurus kesembilan?”

 

“Jika engkau mampu. Jurus kesembilan lebih pantas. Aku tahu engkau mampu Ryouji. Engkau dari keturunan Okuhida.”

 

“Sebentar, Shinji. Aku tertarik dengan kata-katamu berkenaan serbuk yang menyimpan tenaga lebih dari tangan kita. Jika engkau boleh jelaskan lagi?”

 

“Aku masih belajar Rangaku (sains Belanda). Namun aku boleh jelaskan kepadamu sedikit sebanyak apa yang kufaham. Engkau tahu had tampungan tenaga?”

 

Ryouji menggeleng kepalanya.

 

“Dari apa yang kubaca, setiap dalam alam ini mengandung tenaga. Pokok, tanah, batu, binatang, dan kita. Pokok mendapat tenaga dari matahari. Binatang memakan pokok dan mendapat tenaga. Kita memakan pokok dan binatang dan mendapat tenaga. Namun setiap dari kita dan segala apa dalam alam ini, memiliki had berbeza dalam menampung tenaga.”

 

“Tenaga berubah-ubah bentuk, namun kuantitinya tidak akan berubah. Matahari memanaskan dunia. Pokok mendapat tenaga haba dari cahaya matahari dan menyimpannya di dalam daun mereka. Binatang dan kita memakan dedaun dan mendapat tenaga darinya. Sebahagiannya disimpan dan menjadi lemak-lemak di badan kita, ada yang menjadi sebahagian dari kita dan kita membesar. Sebahagian lagi dikeluarkan sebagai tenaga pergerakan, termasuk gerakan menarik picu pistol ini."


"Namun, kita tidak boleh memindahkan lebih tenaga dari apa yang spring di dalam penembak edamameku itu mampu tampung, iaitu had tampungan tenaganya. Justeru, tenaga yang dapat dikeluarkan kembali oleh spring itu untuk menembak edamame adalah sedikit.”

 

“Jadi, bagaimana pula penukul di dalam senjata api itu yang pukulannya lebih perlahan dari tolakan spring dalam penembakmu itu mampu menembak peluru dengan lebih pantas?”

 

“Penukulan dalam senjata api itu hanyalah penukul bagi menghasilkan bunga api kecil. Dari bunga api kecil inilah tenaga yang besar dari serbuk itu dibebaskan melalui pembakaran. Tenaga yang menujah peluru itu bukanlah datang dari tanganmu seperti dalam kes penembak edamame, tetapi datang dari serbuk di dalam peluru itu.”

 

“Faham. Sebentar, bagaimana pula pembakaran yang kecil mampu membebaskan tenaga besar yang tersimpan di dalam serbuk itu? Mengapa ia tidak sahaja terpadam sejurus dinyalakan?”

 

“Ryouji, ia seperti sebuah kebakaran besar yang dimulakan oleh kebakaran kecil. Sebutir serbuk itu terbakar, kemudian membakar butiran yang lainnya, dan yang lainnya seperti satu rantaian. Dan ia berlaku sangat pantas. Bagaimana ya... sebentar.”


Shinji menyusun buah-buah shogi, sejenis catur Jepun secara berdiri di atas sebuah papan. Satu disusun, disusuli dengan dua buah di hadapannya, dan bagi setiap buah itu, dua buah lagi disusun di depannya masing-masing. Kemudian Shinji menolak buah shogi yang disusun satu itu ke depan, menolak dua buah shogi lagi, yang mana dua buah shogi itu menolak yang lainnya, seperti domino dalam terma moden.

 

“Engkau nampak bukan, Ryouji? Beginilah perumpamaannya. Ia dinamakan tindak balas berantai. Namun engkau tidak dapat melihatnya dengan mata kasar. Ia berlaku pada skala pasir, dalam serbuk peluru itu.”

 

“Faham, Shinji.” Ryouji menjawab dalam keterujaan. Aku belajar perkara baru hari ini.

 

“Ini bermakna, serbuk itu memiliki had tampungan tenaga yang tinggi dari spring dalam penembak edamame?”

 

“Benar Ryouji. Dan mekanisme kedua-dua penembak berbeza. Penembak edamame hanya melepaskan kembali tenaga yang engkau bekalkan, namun senjata api melepaskan tenaga besar yang sudah terkandung dalam serbuk itu."


"Sekarang disebabkan engkau menangkap perkara ini, aku mahu engkau fikirkan sesuatu. Rahsia puakmu yang mampu meningkat ke jurus tinggi kaminari.”

 

“Dari penerangan Takasaki-san, puakku memiliki had tampungan tenaga yang lebih tinggi berbanding manusia biasa, maka ia memudahkan kami melakukan kaminari-no-kaze bahkan sehingga ke jurus kesembilan tanpa diancam rusuhan tenaga."

 

“Dan aku mahu engkau simpulkan mengapa semua guru-guru kaminari akhirnya bertemu kepada guru asalnya iaitu bapamu. Menggunakan analogi tindak balas berantai buah shogi tadi.”

 

“Untuk manusia biasa menguasai kaminari, dia perlu meningkatkan had tampungan rusuhan tenaganya dengan berlatih dengan mereka yang sudah tinggi hadnya, iaitu dari puakku. Setelah had tampungan rusuhan tenaga mereka meningkat, mereka boleh melatih pelajar lain pula.”

 

“Seperti tindak balas berantai buah shogi itu bukan?” Shinji senyum.

 

“Benar Shinji! Engkau selalu memudahkan penerangan perkara rumit begini.”

 

Shinji masih tersenyum. Dia amat gembira sekiranya Ryouji faham. Setiap kali Ryouji bertanyanya, dia menemui makna dalam hasil kajiannya. Hanya Ryouji yang begitu.


Sebentar, ini bermakna kaminari itu sendiri dimulakan oleh otou-sanOtou-san, apa sebenarnya yang engkau fikirkan ketika mencipta seni ini? Mahu menghasilkan pahlawan samurai yang digeruni bagi melindungi Hamada? 


Otou-san, mungkin, jika engkau dapat melihat natijahnya sekarang, engkau tidak akan melatih orang-orang Hamada itu.


**


Chisato tidak dapat tidur malam itu lantas keluar menuju ke tempat biasa dia berseorangan di hutan buluh.


Dia terkejut mendapati Ryouji dengan sedang duduk di situ sedangkan tidak pula dia mendengar darinya yang mereka akan berlatih bertarung malam ini. Ryouji sedang melurut pergelangan tangan kanannya, menumpu sepenuh perhatian.


"Ryouji..."


Ryouji tersentak seraya melepaskan tangannya, menoleh memandang Chisato.


Chisato pantas memeluk Ryouji yang sedang duduk. Dia mengalirkan air mata. Ryouji menyambut pelukan itu.


"Maafkan aku Ryouji atas perkara siang tadi."


"Tidak mengapa."


"Bagaimana kakimu? Shinji memberitahuku engkau cedera."


"Tidak terlalu teruk. Luka itu sudah lama kering." Terima kasih kepada Kotobuki-san merawatku segera di lembah Okuhida. Sehinggakan aku mampu berjalan tanpa perlu berjengket-jengket. Dan aku telah cuba menyembunyikan balutan ini, namun Shinji yang tajam itu masih dapat menangkapnya. 


"Ryouji, apa yang telah berlaku sebenarnya? Ceritakan padaku. Aku sudi mendengarnya." Chisato masih memeluk Ryouji.


"Chisato, maafkan aku. Aku tidak mahu mengganggumu ketika itu. Biarkan aku selesaikan sendiri masalahku."


"Ryouji, aku sentiasa sudi mendengarmu. Kisahkanlah." Chisato mendesak, dengan suara memujuk seperti seorang ibu. Chisato, engkau benar-benar bersuara seperti ibuku. Okaa-san, aku amat merinduimu.


Chisato, sebenarnya terlalu banyak perkara yang aku ingin kisahkan. Namun ada perkara yang terlalu sulit dan memeritkan yang aku terpaksa rahsiakan. Aku tidak ingin melihat engkau menangis lagi Chisato. Engkau sudah cukup menderita.


"Chisato...kekal begini seketika. Aku mohon." Chisato terus memeluk Ryouji untuk beberapa ketika.


Chisato, aku telah memutus sesuatu, namun aku tidak boleh memberitahumu sekarang. Aku perlukan sokonganmu. Aku mahu menamatkan zaman yang kelam ini dan menyelamatkan mereka yang senasib dengan kita. Selagi hayatku masih berbaki.


Ryouji menceritakan segala-galanya kecuali yang berkenaan sumpah hayabusa.


"Mujur sahaja engkau berjaya mengelaknya berkat latihan penembak edamame itu."


Benar, Chisato. Dan mujur sahajalah sumpah hayabusa itu tidak lagi menjelma sewaktu nyawaku di hujung tanduk. Memang benar kata kalian, aku memang bodoh keluar melulu begini.


"Aku tidak menyangka Sonzaemon punya senjata itu. Sewaktu serangan di hutan pinggir Furukawa dia tidak membawanya pula."


** 


Taishii Kimura sedang duduk di anjung rumahnya,  berseorangan sambil menghirup teh hijau, dan melihat taman zen. Dia sudah kematian isterinya tiga tahun lepas.

 

“Miura, maafkan aku. Aku terpaksa memulangkan kembali tanahmu kepada Maharaja. Bahkan, semua tanah-tanahku di Hidagawa juga telah diambil kembali.”

 

“Sekarang tanahmu di bawah Maharaja, dan Hamada menjadi gabenornya. Petani-petani di tanahmu juga telah ditukar, ada yang berkhidmat untuk Maharaja dan ada juga yang berkhidmat kepada pemilik yang telah membeli sebahagiannya dari Maharaja.” Kimura bermonolog di dalam hati, seolah-olah Miura, petani kesayangannya itu, sedang duduk sambil minum teh hijau di depannya.

 

“Aku lemah, Miura. Aku tidak mampu melakukan apa-apa. Dan di sini aku ditendang, di Kurimoto di Kyushu, jauh dari tempat asalku di Hidagawa itu. Aku rindukan pergunungan itu. Namun manusia perlu berubah. Dan zaman telah berubah. Aku menyokong Maharaja sejak dahulu lagi, dan aku ingin membuktikan kesetiaanku. Dia masih memberiku pencen dan melantik aku gabenor di sini.”

 

“Aku telah menghantar surat kepada Maharaja, memaklumkan pertubuhanmu bukanlah untuk menentangnya. Aku memberitahu khazanah ilmu dari Barat yang engkau miliki dan rumah perlindungan anak-anak yatim yang engkau dan Takasaki bangunkan. Aku masih menunggu reaksi baginda.”

 

**

Pertengahan musim bunga, 1870 (tidak lama selepas Ryouji pulang dari Kisennuma bersama Chisato)


Takasaki ada bertemu Taishii Kimura, bekas daimyo Hidagawa di Kyushu secara sembunyi.


“Kimura-san, masih tiada berita dari Maharaja?

 

“Belum, Takasaki-san. Aku juga menunggu. Aneh, bukan? Sudah sebulan masih tiada tanda berita.”


"Barangkali dipintas oleh hayabusa milik Hagiura itu. Engkau pun maklum bukan mereka bersungguh-sungguh melakukan pembakaan terpilih hayabusa berderia bau tinggi?"


"Aku pun mengesyaki itu. Disebabkan itu aku menasihati baginda agar menghantar lebih dari satu salinan dan menggunakan bahasa kod yang baru. Aku yakin mesej itu sudahpun bocor kepada Hagiura. Dia pasti akan mengambil kembali bekas samurainya bekerja bagi membina kekuatan baru sekiranya Maharaja cuba mengekang aktiviti-aktiviti perniagaannya."

 

“Tidak mengapa, Kimura-san. Alang-alang aku di sini, ingin aku sampaikan yang Maharaja telah memperkenan pertubuhan kita Kogen itu.”


"Benarkah begitu? Ini satu berita besar. Setelah bertahun kita melobi baginda." Wajah Kimura berubah ceria mendengarkan berita baik itu. Dia ketawa kecil kegembiraan.

 

"Ya. Baginda menghantar surat lain kepada Kotobuki. Aku mohon jasa baikmu menghebahkan berita itu di sini sehingga ke seluruh pelusuk Kyushu. Harapnya jika masih ada samurai-samurai konservatif di sini yang masih berfikir Maharaja menyokong sistem samurai, mengubah fikiran mereka. Maharaja kini menyebelahi Kogen yang mereka katakan menyebelahi Barat itu. Jika mereka berpakat menentang Maharaja demi mengembalikan semula sistem samurai, lupakan sahaja. Kogen akan menambahbaik pasukan tentera Maharaja lebih dari apa yang baginda ada sekarang."


"Baiklah Takasaki-san. Aku pasti akan membantumu. Oh ya, bagaimana dengan anak-anak Miura yang diwasiatkan kepadamu?"


"Setakat ini mereka baik-baik sahaja. Mereka juga sudah tahu yang tanah bapa mereka telah diambil kembali oleh Maharaja disebabkan Pembaharuan itu."


"Apa reaksi mereka?"


"Mereka hanya menerimanya. Kimura-san, aku faham tindakanmu. Ia di luar kuasamu juga."


 **

 

Selepas sistem samurai dimansuhkan, Yoshitsugu anak-beranak masih dikekalkan sebagai gabenor. Hamada dilantik sebagai gabenor di Wilayah Gizen sementara Hagiura menjadi gabenor Wilayah Kodama. Kedua-dua wilayah ini dibentuk selepas persempadanan semula wilayah-wilayah lama oleh kerajaan Maharaja. 


Disebabkan persempadanan tersebut ada kampung yang dikeluarkan dari Gizen dan Kodama manakala ada kampung yang baru dimasukkan. Namun sempadan lama yang dibentuk oleh Shinagawa, Hidagawa dan Yozehama tidak banyak berubah termasuklah kesetiaan bekas-bekas samurainya kepada bekas daimyo mereka. Sebahagian besar Yozehama masuk ke dalam Kodama, manakala separuh barat Shinagawa masuk ke dalam Gizen. Gizen juga mengambil sebahagian besar utara Hidagawa. Selebihnya, diserap masuk ke dalam wilayah baru yang lain.

 

Gabenor-gabenor ini tidak lagi memiliki tanah-tanah maka mereka tidak berhak lagi memungut cukai dari para petani. Semua cukai dibayar kepada kerajaan Maharaja. Sumber kewangan gabenor seperti Hagiura dan Hamada kini terhad kepada gaji yang diterima. Mereka harus mencari pendapatan sampingan untuk terus membayar bekas-bekas samurai mereka dan memastikan mereka masih setia.

 

Sebagai contoh, Hagiura bergantung kepada pendapatan sampingan hasil perniagaan gelapnya memerdagang gadis-gadis sebagai karayuki. Telah ramai anak-anak gadis dijualnya. Telah banyak keuntungan yang diperolehi, menjadi makanan dan lemak-lemak di perutnya yang semakin berlapis-lapis dan menggelembair.

 

Jijik. Sungguh menjijikkan. Kanak-kanak perempuan yang belum mencecah umur dewasa, dibeli dari ibu bapa yang kemiskinan dan dibebani hutang, kemudian dijual kepada pemerdagang karayuki. Hagiura meraih untung darinya. Kanak-kanak itu hanyalah sebaya Hisamiko, Chinami dan Chiho. Dan mereka akan dihantar ke sejauh-jauh benua, ke Joseon, Qing atau mungkin juga Asia Tenggara, di tanah Melayu jauh di selatan sana, atau mungkin lagi selatan di pulau Temasik.

 

Chisato, engkau memang patut membunuh mereka. Maruah adikmu Chiho dan Chinami tidak boleh dijual beli.


Previous: Bab 30
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov