Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 41

Selingan mengenai batu resin di dalam loket Hisamiko


Batu yang diletak di dalam loket Ryouji itu ialah sejenis resin yang hanya ditemui pada sejenis pokok di lembah Okuhida dan Shirasaka, di mana hayabusa mengelak dari mengunjunginya. Pokok itu digelar aomomiji, sejenis pokok dengan daun momiji namun berwarna biru dan kekal begitu sepanjang tahun. 

 

Setiap kali Kotobuki ke lembah Okuhida mencari ketenangan, dia mengambil kesempatan menadah resin itu ke dalam bekas-bekas berbentuk bujur dan membiarkan ia membeku, dan mengeluarkannya kemudian ketika dia melawat lembah itu kembali. Kadangkala ada serangga yang terperangkap di dalamnya dan dibiarkan kerana ia memberi nilai estetika. Selepas ia beku, Kotobuki akan mengikis resin-resin beku itu agar membentuk bujuran yang sempurna untuk dijual. Dia tahu resin itu mampu menghalau hayabusa yang dihantar mana-mana pengintip yang masih setia kepada keluarga Yoshitsugu.

 

**

 

Takasaki sudah tahu sedikit dari Shinji berkenaan apa yang berlaku kepada misi mereka. Dia mahu mendengarnya sendiri dari Ryouji, namun dia bercadang menangguhkan sehinggalah ke hari ini, ketika Chisato dan Azusa sudah kembali. Selain itu, dia juga mahu memberi masa kepada Ryouji meredakan kemarahannya dahulu. Jika tidak, sebarang perbincangan tidak akan membuahkan hasil. 

 

Dia memanggil Ryouji masuk ke pejabat.

 

“Ryouji, aku sengaja menangguhkan perbincangan misi engkau sehingga ke hari ini. Aku bilang Shinji sudah memberitahumu bukan?

 

“Ya, Takasaki-san.”

 

“Shinji sudah memberitahuku sedikit, apa yang dapat ditangkapnya. Cuma, dia tidak dapat merakamkan perbualanmu dengan gadis yang akan dijual itu kerana Hisamiko mengganggunya. Ceritakan kepadaku kembali, Ryouji.”

 

“Wanita itu mengaku yang mereka rela dijual, demi membayar rawatan ibu dan bapanya yang miskin. Dia memarahi aku kerana campur tangan. Dia turut memarahi pasukan yang kau hantar dari Shinagawa itu. Aku hanya berdiam dan kaget. Kemudian mereka meninggalkan aku.”


"Engkau melepaskan mereka begitu sahaja?" Takasaki cuba mengorek alasan dari Ryouji, kerana dia telah terang-terangan menggagalkan misi tersebut dengan melepaskan mereka hanya kerana mereka bersetuju dijual.

 

“Takasaki-san, aku tiada pilihan dan melepaskan mereka kerana berasa kemunculanku ketika itu amat mengganggunya. Bahkan, jika aku menyelamatkan mereka, ibu bapa mereka mungkin akan diapa-apakan, seperti yang telah berlaku kepada Chisato. Takasaki-san, apakah engkau benar-benar merancang serangan ini dengan teliti?”

 

“Soalan yang bagus. Aku bangga engkau mampu berfikir begitu dan beralasan begitu. Benar, arahan dari Kogen boleh dipersoalkan kerana kami juga manusia dan melakukan kesilapan.”

 

“Buat pengetahuanmu Ryouji, Kogen telah merampas feri yang membawa mereka ke Osaka. Selain tiga gadis itu, ada dua belas orang lagi gadis lain dari serata pelusuk Jepun di atas feri itu, dihantar ke jeti Kisennuma oleh orang-orang Tsugiyama dan orang-orang Hamada dan Hagiura yang berpangkalan di serata Yozehama dan Shinagawa. Maka engkau tidak perlu risau, mereka kini selamat dan berada di Shirasaka.”

 

“Bagaimana pula dengan ibu dan bapa mereka?”

 

“Kogen memulangkan semula kepada orang-orang Tsugiyama wang yang telah dibayar mereka kepada ibu bapa gadis-gadis itu, ketika kami merampas feri itu. Kami berterima kasih kepada Maharaja yang membiaya kami.”

 

“Membayar mereka? Takasaki-san, aku tidak faham. Apa perancangan kalian sebenarnya? Bukankah itu menjadikan misiku sia-sia?”

 

“Itu penyelesaian jangka pendek, agar mereka tidak mengganggu ibu bapa gadis-gadis itu. Kami menghantar wakil ke kampung-kampung bagi mencari anak-anak yang miskin dan merawat orang-orang kampung yang sakit."


“Dengan bantuan kewangan dari Maharaja, kini kami mampu membawa masuk anak-anak orang miskin juga selain dari anak-anak yatim, ke rumah-rumah perlindungan kami bahkan membina kemudahan perubatan di kawasan kampung dan terpencil. Harapnya semakin ramai anak-anak yang kami dapat kesani dan semakin kurang yang terlepas ke tangan pemerdagang karayuki itu. Ia memakan masa bagi memperkenalkan kami kepada orang-orang awam, setelah bertahun kami beroperasi secara senyap-senyap.”

 

“Bagaimana pula dengan penyelesaian jangka panjang?”

 

“Ryouji, masalah utama kita ialah kemiskinan dan kemudahan awam seperti kemudahan perubatan dan keselamatan. Masalah ini adalah masalah jangka panjang dan kami yakin Maharaja sedang merancang penyelesaiannya dalam agenda Pembaharuan baginda. Aku ada mendengar perancangan baginda mahu mengembangkan dan menambahbaik pasukan polis dan tentera diraja bagi menjaga keselamatan. Malah baginda juga sedang berusaha meningkatkan pengeluaran padi negara dengan menyerahkan sawah-sawah kepada pengusaha persendirian yang mahir.”

 

“Sedang kami di Kogen akan membantu sedaya-upaya mungkin menggunakan sumber kewangan dan insan yang kami ada dengan penyelesaian jangka pendek seperti yang aku jelaskan tadi.”

 

“Masalah utama Kogen pada waktu ini ialah kekurangan sumber manusia. Kami amat berharap anak-anak yatim dan miskin yang telah kami pungut dan lindungi ini kembali berkhidmat kepada kami.”

 

Ryouji mendengar ulasan panjang lebar Takasaki. Wawasan Kogen sungguh besar sekali, cuma usaha mereka dihadkan oleh kekangan sumber manusia. Namun Ryouji masih tidak mendapat jawapan kepada persoalan di benaknya meskipun Takasaki telah berceloteh panjang lebar.

 

“Aku masih tidak faham, Takasaki-san. Jika Kogen telah menghantar orang untuk merampas feri itu, lalu untuk apa engkau menghantar aku? Aku hampir dibunuh, Takasaki-san.”

 

“Bagi membiasakan engkau dengan risiko misi-misi kami. Aku merancang misi kamu bersama Kogen dan mereka telah dimaklumkan dahulu. Bukankah telah aku ingatkan engkau akan risiko misi ini, yang engkau mungkin akan dibunuh? Dan juga bagi melihat kebolehan sebenar engkau bertarung, sehingga jurus kesembilan. Ryouji, jurus kesembilan dan kesepuluh tidak boleh dicapai dengan latihan semata. Engkau harus ditekan dalam situasi sebenar.”

 

Orang tua gila! Herdik Ryouji dalam hati.

 

“Disebabkan itu juga aku menghantar Shinji memerhatikanmu. Ketajaman mata Shinji mampu memerhati jurus apa yang engkau lakukan. Jurus tujuh dan ke atas yang pantas biasanya sukar untuk diamati melainkan dengan penglihatan yang tajam. Juga, maafkan aku berkenaan Hisamiko. Aku benar-benar tidak menyangka rancangan aku menghantar Hisamiko telah mengalih perhatian Shinji dan engkau hampir dibunuh Shizuo.”

 

Maka fahamlah Ryouji bahawa Takasaki hanya menggunakan rancangan Kogen sebagai alasan membawa dia berhadapan dalam situasi sebenar dengan pemerdagang karayuki.

 

“Ryouji, percayai aku. Aku tahu di mana tahapmu. Aku tahu engkau tangkas bertarung. Namun menjayakan misi memerlukan lebih dari ketangkasan bertarung. Maka engkau masih belum boleh dihantar ke dalam misi sebenar Kogen. Lagi pula, engkau belum diterima secara rasmi ke dalam pertubuhan kami oleh Shirasaka Omi, pemimpin kami. Engkau masih dalam tempoh percubaan. Namun, percubaan demi percubaan yang aku berikan adalah percubaan sebenar, yang akan merisikokan nyawamu.”


Ryouji, aku tidak lelap tidur memikirkan engkau ketika melaksanakan misi itu. Aku amat bimbang sekiranya engkau dan Shinji mati. Namun aku, tidak, kami di Kogen, perlu mengambil risiko. Aku tidak nafikan aku amat gembira engkau pulang dalam keadaan baik meskipun sedikit tercedera. Kalian adalah harapan kami.

 

Ryouji termenung panjang. Takasaki-san engkau memang gila. Gila! Apakah Kogen memang segila ini sehingga mampu mendirikan beratus rumah perlindungan di seluruh Honshu? Apakah mereka memang bermati-matian melaksanakan misi? Sanggup mengorbankan nyawa demi misi mereka? Bukankah itu seperti taktik samurai? 


Sebentar, ia tidak langsung sama seperti samurai. Ia dirancang. Takasaki sengaja menghantar Shinji bersamaku. Taktik samurai seringkali taktik bodoh, menghantar samurai bagi menumpaskan lawan yang mustahil dapat dikalahkan dan mensia-siakan nyawa mereka begitu sahaja. Dengan kata lain, mereka berjudi dengan nyawa. Namun Kogen dan Takasaki tidak. Mereka merancang. Mereka tidak berjudi dengan nyawa. Mereka mengambil risiko namun menguruskannya, bukannya berjudi.


“Takasaki-sangomennasai (maafkan aku). Aku percayakan engkau sepenuh hati. Dan, terima kasih kerana mempercayaiku!” Ryouji tunduk, masih dalam bersila.

 

Takasaki ketawa kecil. “Ryouji, jangan hampakan kami. Kami menantimu di Kogen!”

 

**

 

Chisato tiba di gerbang buluh sambil memapah Azusa yang masih lemah. Ryouji melihat mereka dari taman bonsai. Dia berlari-lari anak menuju ke arah mereka.

 

“Chisato! Engkau bagaimana? Mengapa dengan Azusa?!”

 

“Panjang ceritanya Ryouji. Salah aku, dan juga salahmu. Apapun, tunggu aku di hutan buluh seperti biasa malam ini.”

 

“Baiklah Chisato. Aku juga ingin membincangkan sesuatu denganmu.” Ryouji kaget diperli begitu, namun dia mengangguk sahaja. Chisato memapah Azusa sehingga ke biliknya.

 

Mariko dan Takasaki menemui Chisato.

 

“Takasaki-san, sungguh aku berterima kasih menyelamatkan kami dari Tsugiyama.”

 

“Ogasawara-san, disebabkan umurmu sudah sembilan belas tahun, engkau tidak dianggap sebagai anak yatim yang dilindungi di rumah ini lagi, tetapi sebagai pekerja Kogen. Aku tidak boleh menasihati atau memarahimu seperti yang telah kulakukan terhadap Ryouji. Engkau akan didenda kerana keluar tanpa arahanku.”

 

“Namun, Takasaki-san, aku bukan keluar sembarangan. Aku mengejar Hisamiko!”

 

“Aku tahu. Aku ada alasannya mengapa aku membiarkan sahaja Hisamiko keluar, aku akan jelaskan kemudian namun bukan hari ini. Tetapi engkau telah mengingkari aku dengan keluar sewenang-wenangnya.” Takasaki membongkar rahsia yang dia memang sengaja melepaskan Hisamiko. Buat apa disimpan lagi, kerana rancangannya sudah berjaya. Dia tidak kisah jika Chisato ataupun Mariko mahu memarahinya kemudian. Di sini, sesiapapun boleh memarahi. Tidak ada peraturan yang menghalang yang muda dari bertegang leher dengan yang tua.

 

Chisato terdiam. Dia mahu mempercayai Takasaki. Sebagaimana dia mempercayai Takasaki dengan mengikutinya ke rumah ini dahulu. Aku tahu Takasaki memiliki pertimbangan yang wajar.

 

“Baiklah, Takasaki-san. Aku bersedia menerima hukuman. Maafkan aku mengingkarimu.” Chisato tunduk dalam bersila. Mariko dan Takasaki duduk bersila bersetentang dipisahkan oleh sebuah meja.

 

“Chisato, engkau tahu menunggang kuda bukan?”

 

“Ya, Takasaki-san.”

 

“Aku mahu engkau melatih Ryouji, Azusa dan Saki. Aku akan minta Kogen menghantarkan tiga ekor kuda ke sini. Latih mereka sehingga pandai. Aku tidak akan membayar tambahan kepadamu kerana melatih mereka. Inilah hukumanmu.”

 

“Hanya mereka bertiga?”

 

“Aku memilih mereka berdasarkan kriteriaku. Engkau tidak perlu tahu lanjut.”

 

“Baiklah, Takasaki-san.”

 

 **

 

Malam itu...

 

Ryouji duduk di atas longgokan buluh tua. Chisato tiba tidak lama kemudian, di tempat mereka selalu berlatih itu.

 

“Ryouji. Mengapa engkau tidak memberitahuku?” Chisato berdiri di hadapannya, memandang tepat.

 

“Apa yang engkau maksudkan?”

 

Soalan Ryouji tidak berjawab. Chisato masih merenungnya, dan mengalirkan air mata.

 

“Kotobuki-san memberitahumu?”

 

Chisato mengangguk.

 

“Maafkan aku Chisato. Aku tidak tahu perkara ini sehinggalah selepas aku mengakui perasaanku terhadapmu.”

 

Chisato memeluknya.

 

“Aku akan menemani engkau sehingga ajal memisahkan kita. Aku berjanji.” Chisato bersuara, masih memeluk Ryouji.

 

Ryouji agak geram terhadap Kotobuki. Mengapa dia memberitahu Chisato? Apa motifnya?

 

Selang beberapa ketika, Ryouji mengambil kesempatan bertanyakan Chisato.

 

“Chisato, mengapa engkau mengekori kami?"


"Aku tidak mengekori kalian. Aku mengejar Hisamiko. Dia berdegil mengejarmu kemudian hilang di dalam hutan. Aku risaukan dia."


Benar. Hisamiko keluar seperti rancangan Takasaki. Aku maklum itu.


"Apa yang berlaku selepas itu?"

 

“Aku diserang Tsugiyama ketika mencari Hisamiko yang mengejarmu. Mujur anak Kotobuki-san, Ayame-san datang menyelamatkan kami. Azusa telah disuntik aotsuyu oleh Tsugiyama dan dirawat oleh Kotobuki di kuil Furukawa beronsen. Azusa menyertaiku setelah menemuiku di depan kuil patung Buddha.”

 

Kotobuki memiliki anak rupanya, Ryouji menggumam. Yalah, dia sudahpun tua, barangkali anak hasil perkahwinan sebelum menjadi sami.

 

“Apa yang kau maksudkan dengan aotsuyu?”

 

“Berdasarkan kata-kata Kotobuki, ia racun untuk memabukkan mangsanya. Selalu digunakan ke atas karayuki yang degil. Ia berwarna biru, maka dinamakan aotsuyu. Jika tidak dirawat, selepas dua hari, mangsa akan kekal dalam keadaan mabuk dan sasau sepanjang hayat.”

 

Amat kejam bunyinya. Siapakah binatang yang mencipta racun sebegitu?

 

“Chisato, aku amat berterima kasih engkau risaukan Hisamiko.”

 

“Dia juga adikku. Aku bimbangkan dia sepertimana Chiho dan Chinami. Mengapa engkau keluar, Ryouji?”

 

“Aku mahu menyelamatkan mereka yang senasib dengan kita.” Ryouji sengaja menjawab jujur.

 

“Engkau akan mati, Ryouji!” Chisato berkata, sebelum terdiam lama, menyedari Ryouji memang akan mati dalam masa beberapa tahun sahaja lagi.

 

“Chisato, masa yang tinggal untukku terlalu suntuk. Maka untuk apakah usia yang masih berbaki ini jika tidak aku manfaatkan sebaiknya?”

 

Chisato diam sejenak, berfikir. Kemudian dia bersuara.

 

“Aku akan menyertaimu.”

 

“Tidak perlu Chisato. Chinami dan Chiho memerlukanmu.”

 

“Dan Hisamiko memerlukan engkau! Dan aku juga... . Ryouji, aku merayu.”

 

Chisato memegang tangan Ryouji. Ryouji melepaskan pegangan tangan Chisato perlahan-lahan. Dia bangun. Dia telah memutus menyertai Kogen, meskipun sedar nyawanya akan dipertaruhkan, meskipun sedar yang Hisamiko dan Chisato akan kehilangannya dan mereka akan dilukai. Namun jika difikirkan kembali, apa bezanya mati akibat sumpah itu, atau mati sewaktu menyertai misi Kogen? Yang kedua itu lebih bermakna bagiku, kerana aku tidak mensia-siakannya. 


Aku yakin, Hamada pasti akan dicekup jika aku memilih yang kedua, dari duduk berdiam menunggu sakaratulmaut. Kerana aku ingin menamatkan semua kitaran-kitaran penderitaan yang bukan kami sahaja menanggungnya, bahkan ramai yang lainnya di luar. Aku mahu menghapuskan puncanya, jika tidak mampu sekalipun, sekurang-kurang melemahkannya, selagi tangan itu mampu memegang pedang.


“Chisato, walau apapun nasib yang akan menimpaku, engkau tetap satu-satunya wanita yang aku cintai. Namun, aku telah nekad menyertai Kogen. Aku telah merancang persiapan untuk Hisamiko mengharung hidup tanpa aku, sejak khabar sumpah itu dimaklumkan kepadaku. Dia pasti akan dapat melindungi dirinya sendiri.”

 

Ryouji beredar, dia tidak bersemangat untuk berbicara lanjut. Chisato menangis teresak-esak.

 

Maafkan aku, Chisato, kerana membuatmu menangis. Aku ingin bersama mereka, menamatkan zaman yang kelam ini, selama hayatku masih berbaki.


Previous: Bab 40
Next: Bab 42

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov