Home Novel Cinta Aku Bukan Perampas
Aku Bukan Perampas
Amylieyhaizani
25/12/2013 02:47:46
206,142
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

Bab 6

Nur Jannah termenung di tepi tingkap. Rumah besar itu hanya menyesakkan dirinya. Semuanya seakan tidak beerti apabila Ezri menggantungkan dirinya tidak bertali. Air matanya usah ditanya. Saban waktu dia menitiskan air mata mengenangkan diri dilayan seperti anjing kurap. Sungguh dia tidak pernah menduga, syurga yang diimpikan bersama suami tersayang hanya impian yang tidak kesampaian. Apa yang mengelirukannya, mengapa Ezri begitu banyak berubah. Apakah tanpa sedar, ada salah dan silapnya? Nur Jannah benar-benar keliru. Tiba-tiba telefonnya berbunyi dan dengan pantas dia berlari ke arah bilik.

“ Assalamualaikum…” Nur Jannah bersuara lembut.

“ Waalaikummussalam..Nur..mama ni. Ezri ada?” suara ibu mertuanya kedengaran di corong telefon. Nur Jannah sedikit hampa. Sangkanya Ezri yang menelefonnya. Rindu benar dia untuk mendengar suara Ezri, bertanya khabar dan melepaskan rindu yang terpendam.

“ Nur!” Datin Ezrien mengejutkan Nur Jannah dari lamunan. Dia beristighfar di dalam hati. Hampir dia terlupa tentang ibu mertuanya di corong telefon.

“ Tak adalah mama. Mungkin kat pejabat lagi. Mama dah callofiske?”Nur Jannah cuba bersikap tenang. Dia sendiri tidak tahu ke mana suaminya telah pergi.

“ Mama dah call dia punya phone tak berangkat. Mama saja nak tanya kamu berdua sihat atau tidak. Lama tak datang rumah..”

“ Em..sihat mama. Mama sihat tak? Daddy?”

“ Alhamdulillah! Mama dan daddy sihat. Ezri layan Nur baik-baik tak? Kalau ada apa-apa hal, cakap dengan mama,” Datin Ezrin bersuara lembut.

“ Tak ada apalah mama..abang layan Nur dengan baik..nanti ada masa Nur ajak abang Ezri jumpa mama dan daddy,” Nur jannah hampir menitiskan air mata menutur kata sebegitu. Hakikatnya hatinya terluka, jiwanya sakit dan batinnya benar-benar merana.

“ Oklah kalau macam tu. Nanti mama call Ezri. Dia pun langsung tak call mama. Sibuk memanjang!” omel Datin Ezrien disambut dengan senyuman tawar di bibir Nur Jannah. Ezri juga tidak menghubunginya. Bukan kerana sibuk bekerja, tetapi Ezri telah membencinya! Ezri tidak menyintainya lagi dan Ezri juga telah melupakan tentang isterinya. Itu Nur Jannah cukup pasti.

“ Yelah mama.Mama kirim salam pada daddy ye!”

“ Insya’Allah..assalamualaikum..” Datin Ezrin memberi salam dan dijawab oleh Nur Jannah.Talian diputuskan dan Nur Jannah termenung sendiri.

“ Sampai hati Ezri..bukan aku yang berjanji tapi kau. Berjanji untuk membahagiakan aku..tapi mana janji-janji yang kau ucapkan! Mengapa aku yang menjadi mangsa? Nur Jannah meraup wajahnya yang dihiasi manik jernih. Entah berapa kali dia menangis, dia sendiri tidak pasti. Puas dia meratap dan merayu agar kesabaran menjadi teman setianya. Namun sebagai manusia biasa, Nur Jannah tidak berdaya. Dia kalah dengan permainan manusia yang menghancur leburkan hati dan kepercayaannya. Ah! Sakitnya mengemis sebuah kasih sayang yang telah hilang. Nur Jannah masih teringat ketika percintaan mereka. Tentang prinsip Ezri yang sangat dikaguminya.

“ Abang tak dapat jumpa Nur selalu. Maklumlah abang banyak kerja di pejabat. Tapi apa yang penting, abang setia pada Nur, dan Nur setia pada abang,’’ Ezri berterus-terang apabila disoal oleh Nur Jannah tentang hubungan mereka yang berjalan tidak seperti pasangan lain. Kata Ezri, jika berdua, pasti ada yang ketiga yang akan merosakkan iman mereka. Sebagai perempuan yang mendapat didikan agama yang sempurna, Nur Jannah cukup kagum dengan pendapat lelaki itu.

“ Betul le tiada orang alin di hati abang selain daripada Nur?’’ Nur Jannah meminta kepastian. Wajah kacak Ezri dipandang lama. Lelaki itu tersenyum mendengar soalannya.

“ Nur tak percaya? Atau Nur meragui keikhlasan abang?’’ Ezri pula menyoal kembali.

“ Mustahil tiada orang lain suka kan abang. Dahlah kaya hensem pulak tu!’’ Nur Jannah masih menduga. Dia tidak ingin tersilap langkah dengan memilih suami yang salah untuk menjadi teman hidupnya. Bagi Nur Jannah, biarlah miskin harta,tidak kesetiaan yang didambakan oleh semua perempuan.

“ Yang suka kan abang ada! Tapi abang tak boleh halang untuk mereka suka kan abang. Tapi yang pasti, hanya Nur di hati abang okey!’’ Ezri berusaha meyakinkan gadis di hadapannya. Nur Jannah tersenyum, percaya.

“ Trik,trik…trik,trik….” telefon Nur Jannah berbunyi sekali lagi mematikan terus ingatannya terhadap kenangan lama. Nombor yang tertera di skrin telefon bukan milik Ezri. Entah bila lelaki itu akan menghubunginya, dia sendiri tidak pasti.

“ Helo..assalamualaikum…”

“ Waalaikummussalam. Nur ye?” kedengaran suara lelaki dicorong telefon.

“ Emm..ni siapa?” Nur Jannah bersuara lemah. Semangatnya semakin hilang mendengar suara itu bukan milik suaminya.

“ Aik! Dah tak kenal ke?” suara itu seakan berjauh hati. Nur Jannah panas melayan. Sudah hatinya sakit bagai terkena sembilu, hendak dilayan lagi hempunya suara yang tidak memperkenalkan diri.Sungguh kepalanya terasa sakit.

“ Awak siapa? Jangan main-main. Saya penatlah!” Nur Jannah separuh menjerit. Ingin dia mematikan panggilan agar fikirannya tidak bertambah serabut.

“ Nur..kenapa ni?Ni abang Ejay lah..Nur dah lupa terus kat abang?” suara itu seakan terkilan dengan kata-kata Nur Jannah. Nur Jannah yang mendengar terkejut dan berasa serba salah. Wajah sepupunya yang mendung terbayang di mata.

“ Abang Ejay ke? Nur minta maaf. Nur tak ada niat nak sakitkan hati abang. Nur tak perasan tadi!” tutur Nur Jannah sedikit kesal. Tidak wajar dia melepaskan kesakitan hatinya kepada orang lain. Tidak pasal-pasal lelaki itu menjadi mangsa kemarahannya.

“ Nur kenapa? Tak sihat ke?” Ejay bersuara sedikit cemas. Nur Jannah mendiamkan diri seketika. Terbayang wajah sepupunya yang pernah mengharap cinta daripadanya. Harapan lelaki itu terlalu tinggi untuk bersamanya. Namun cinta Nur Jannah untuk Ezri lebih dari itu. Sudahnya, hati Ejay terpaksa dilukakan.

“ Nur kurang sihat. Abang apa khabar?”

“ Abang macam nilah. Masih sedih kehilangan Nur..” suara Ejay kedengaran sayu merobek hati Nur Jannah. Masih ada cinta di hati lelaki itu untuknya.

“ Nur hanya anggap abang macam abang Nur sendiri. Abang pun lupakanlah Nur!” Nur Jannah simpati terhadap sepupunya itu. Namun cinta tidak boleh dipaksa. Kata orang cinta kerana terpaksa hanya mengundang derita. Benarkah? Bahagiakah dia mendirikan mahligai di atas dasar cinta? Sedangkan dia turut merana walaupun membina mahligai bersama Ezri atas nama cinta yang suci. Ya Allah apakah ini dirasai oleh abang Ejay atau orang di luar sana yang bertepuk sebelah tangan?

“ Abang tak mampu lupakan Nur..abang dah cuba.Suatu hari abang akan jumpa Nur juga. Hubungan keluarga kita takkan putus dan abang takut untuk berdepan dengan Nur!” suara Ejay kedengaran sedikit kesal.

“ Masa akan merubah segala-galanya abang!” Nur Jannah bersuara keras.Penat dia memikirkan masalah rumahtangganya, kini lelaki itu pula meluah rasa. Semuanya untuk apa? Tidak mungkin dia boleh bersuami dua atau menjadi isteri yang curang. Sepatutnya Ejay berfikir sebelum melontar kata.

“ Tapi cinta abang tak akan berubah!”Ejay juga membentak.

“ Nur dah jadi milik orang bang. Antara kita tiada jodoh. Jangan dilawan takdir dari Allah..” Nur Jannah mengendurkan suaranya. Dia tahu sakitnya bila cinta tidak kesampaian. Kerana itu, dia tidak sanggup melihat Ejay menderita kerananya.

“ Nur bahagia?” suara Ejay mulai lembut. Nur Jannah hampir menitiskan air mata sekali lagi. Mengapa orang lain yang inginkan kebahagiaan menjadi miliknya. Kenapa tidak Ezri? Seorang lelaki yang bergelar suami kepadanya. Sungguh, Ezri keterlaluan!

“ Nur bahagia bang..” Nur jannah tersenyum tawar. Andai Ejay di hadapan matanya waktu itu, pasti lelaki itu mengerti derita yang ditanggungnya. Pasti lelaki itu turut mengalirkan air mata. Cinta Ejay padanya terlalu kuat dan Nur Janah percaya Ejay masih menyintainya.

“ Boleh abang jumpa Nur?” Ejay bersuara penuh harapan.

“ Jumpa?” Nur Jannah tersentak. Wajah Ezri terbayang di matanya. Risau jika nanti mendatangkan kemarahan suaminya.

“ Em..sekadar minum-minum. Atau Nur dah tak sudi?” suara Ezri seakan berjauh hati.

“ Tapi Nur tak boleh bang..” tutur Nur Jannah mengharap pengertian.

Please..sekejap je. Sebagai satu keluarga..”Ejay masih memujuk.

“ Abang nak jumpa Nur kat mana?” Nur Jannah beralah.Kasihan pula dia andai menolak permintaan saudara sendiri.Lagipun berada di rumah besar itu hanya membuatkan dia menangis lagi.

“ Jumpa kat Central Market..Nur nak pergi dengan apa?” kedengaran suara Ejay yang berbaur ceria.

“ Nur naik bas lah!” Nur Jannah bersuara pantas.

“ Bas? Abang pergi ambil Nur lah..Nur duk kat mana?” tawaran Ejay membuatkan Nur Jannah berfikir. Kalau nak naik bas, kena tunggu! Lepas tu, nak sampai CM, mahu satu jam..Fikir Nur Jannah sendiri.

“ Taman Harmonis Gombak, rumah warna hijau muda dari hujung..abang nak ambil Nur ke?” Nur Jannah pula bertanya. Sebenarnya dia sendiri malas untuk menaiki bas. Bersesak di dalam bas pasti memenatkan! Lain lah kalau berteman! Getus Nur Jannah lagi.

“ Ok..Nur bersiap. Nanti abang datang ambil,” Ejay seolah-olah memberi arahan. Nur Jannah yang berkira-kira sendiri, tersedar dan hanya mengiyakan kata-kata lelaki itu. Kemudian kedengaran Ejay memberi salam dan dijawab oleh Nur Jannah sebelum talian diputuskan.

****

Selesai bersiap, Nur Jannah membetulkan sekali lagi wajahnya yang dicalit sedikit mekap. Matanya yang bengkak kerana banyak menangis ditutupi dengan cermin mata hitam. Dia cuba tersenyum, namun kesedihan jelas menghiasi seraut wajahnya. Seketika dia memegang potret perkahwinan yang berada di atas meja solek. Wajah Ezri yang tersenyum disentuh lembut. Ada rindu yang menggunung di benak hatinya. Rindunya kepada lelaki yang dikenali setahun yang lalu. Perkenalan mereka di Tasik Titiwangsa bagaikan membawa sinar bahagia di dalam hidup Nur Jannah. Bahagia yang bercambah semakin mekar dari hari kehari saat Ezri melamarnya menjadi suri di hatinya. Kata orang, cinta di antara suami isteri akan terasa lebih nikmatnya. Tiada lagi batasan seperti waktu bercinta yang memerlukan keteguhan iman di antara pasangan yang belum diikatkan dengan tali perkahwinan. Dan saat itu amat Nur Jannah nantikan dengan penuh pengharapan sebuah kebahagiaan bersama suami tercinta. Namun sayang, semua itu hanyalah permulaan kehancuran hati seorang isteri sepertinya. Mahligainya runtuh sebelum sempat dia merasa kemanisan hidup berumahtangga.

“ Abang, Nur keluar kejap..Nur rindu sangat kat abang!” Nur Jannah bersuara sendiri. Dikucup potret tersebut dan menyapu air mata yang mulai menitis. Sungguh, dia tidak kuat menghadapi semua itu. Bercinta, berkahwin dan ditinggalkan pada malam pertama. Apa dosanya disakiti sedemikian rupa. Tergamak Ezri menghukumnya tanpa sebab. Masih teringat dia bagaimana dia ditinggalkan sendiri di kamar yang berhias cantik. Apa yang dia terkilan, kata Ezri ingin berjumpa kawan yang berada dalam masalah. Apakah dia tidak penting buat Ezri? Lama dia menanti kepulangan suami tersayang, namun jarum jam menunjukkan 5.00 pagi, baru lelaki itu pulang tanpa rasa bersalah dan tidur beralaskan kain di atas lantai.

“ Apa abang buat ni? kenapa tidur atas lantai?’’ Nur Jannah menggoyangkan tubuh suaminya. Pelik juga dia dengan sikap Ezri yang enggan tidur sekatil dengannya.

“ Nur, tolong jangan ganggu abang! Abang penat!’’ tutur Ezri sedikit kasar. Nur Jannah tersentak dengan kata-kata suaminya. Hatinya sedikit tersinggung. Ada masalahkah lelaki itu?

“ Abang?’’ Nur Jannah masih tidak berpuas hati.

“ Kalau Nur nak abang tidur kat luar, cakap! Kalau tak jangan ganggu abang!’’ Ezri mula meradang. Nur Jannah bagaikan bermimpi. Lelaki yang dianggap sempurna mengherdiknya. Itu pun hari pertama pernikahan mereka? Sudahnya Nur Jannah bersandar ke dinding terkebil-kebil sendiri bersama air mata yang mengalir secara tiba-tiba.

Ya Rabbi..diakah yang tersalah memilih atau tersilap menilai erti sebuah cinta..sungguh dia keliru.

“ Trik,trik….trik,trik…” telefonnya berbunyi. Nur Jannah tersentak dan ingatan itu terpadam serta merta . Dia meletakkan kembali potret perkahwinan mereka dan menjawab panggilan.

“ Helo!”

“ Nur dah siap? Abang ada kat depan rumah. Tak pastilah betul tak rumah Nur ni! Abang tunggu kat sini ek!” suara Ejay kedengaran lembut menyentuh gegendang telinganya.

“ Ok!” Nur Jannah bersuara singkat. Dia merenung sekali lagi gambar kacak Ezri. Kemudian dia keluar dari bilik dan berlari anak menuju ke pintu utama. Dari ambang tingkap, matanya merenung lama Ejay yang berada di luar sana.

****

Nur Jannah hanya mendiamkan diri sepanjang berada di dalam kereta. Dia asyik menikmati lagu-lagu yang diputarkan oleh Ejay. Sesekali hatinya terusik mendengar lagu dari kumpulan Arrow yang bartajuk Haruskah kita berpisah. Pedih di hatinya bagai ditusuk duri sembilu. Rasa ingin dia meraung di situ agar hilang segala kesakitan hati yang ditanggungnya. Namun dia masih mampu melawan gurisan hati dan bebanan yang merantai jiwanya biarpun dia semakin lemah menghadapi kesengsaraan yang tidak pernah diduga. Dia tidak pernah menyediakan bekalan untuk menghadapi saat-saat begitu. Sangkanya cinta Ezri akan sampai ke liang lahad. Sangkanya juga Ezri akan menjaganya bak permaisuri, namun sayang cinta Ezri hanya pura-pura. Ah! Alangkah seksanya menghadapi cinta yang retak tanpa kerelaan.

“ Nur..” Ejay memanggil lembut. Matanya lama menatap seraut wajah Nur Jannah yang bercermin mata hitam. Panggilannya tidak diendahkan oleh gadis itu.

“ Nur!” Ejay memanggil lagi. Nur Jannah yang tampak terkejut pantas berpaling. Dia menjungkit keningnya dan kemudian mencebik saat lelaki itu tergelak kecil.

“ Abang panggil Nur?” Nur Jannah cuba berlagak tenang.Pasti ada sesuatu yang mencuit hati sepupunya.

“ Nur berangan ek. Abang panggil langsung tak pandang.”Ejay tersenyum pula.

“ Tak adalah bang.Nur cuma tak sihat. Kenapa bang?” Nur Jannah serba salah. Wajah Ejay dipandang dengan senyuman.

“ Nur tak sukakan abang ke?” Ejay cuba mendapatkan kepastian. Dia tahu Nur Jannah hanya menganggapnya sebagai abang sepupu tidak lebih dari itu. Namun hatinya mengharap gadis itu menyayanginya lebih dari itu.

“ Nur sukakan abang. Bukankah kita sepupu. Mak Long pun dah macam mak Nur sendiri. Tak mungkin Nur bencikan abang.” Tutur Nur Jannah lembut.

“ Tapi, mengapa Nur tak beri abang peluang untuk memiliki cinta Nur. Abang derita Nur!” Ejay bersuara lirih. Luka di hatinya masih terasa. Rindunya untuk Nur Jannah masih ada dan untuk melupakannya Ejay sendiri tidak tahu bagaimana.

“ Nur dah berpunya bang. Tak perlu diungkit lagi perkara yang sudah lepas.”

“ Adakah kerana dia anak Dato’ Nur?Dan abang tiada taraf seperti itu?” Ejay seakan membentak. Dia memandang ke arah Nur Jannah yang memandang tajam kepadanya. Nur Jannah tidak menyangka begitu sekali cintanya disalahertikan.

“ Nur dan abang sama taraf. Tiada beza antara kita. Dan Nur tak pernah cintakan abang Ezri kerana harta. Tidak bang!” air mata Nur Jannah mula bermain di kelopak mata. Mudah benar cintanya dipersenda. Sudahlah Ezri melayannya bagai pengemis, kini Ejay pula menghina dirinya.

“ Abang cintakan Nur! Bukan niat abang menyinggung perasaan Nur. Abang tak berdaya. Sehinggakan abang tak lalu makan. Abang kecewa sangat-sangat Nur!”Ejay memandang ke arah luar kereta. Air matanya cuba ditahan, namun mengalir juga membasahi pipi.Mengapa Nur Jannah tidak mengerti? Mengapa? Sedangkan mereka membesar bersama. Tiadakah rasa simpati gadis itu terhadap dirinya. Bukan dia tidak pernah meluah perasaannya sebelum ini. Namun Nur Jannah tidak pernah ambil peduli.

“ Abang, andai Nur terima abang sekalipun abang dan Nur tak akan bahagia. Hati Nur untuk orang lain. Seperti mana Nur suruh abang lupakan Nur, abang tak mampu. Begitu juga Nur, Nur tak mampu lupakan abang Ezri..” Nur Jannah berterus terang. Sukar benar untuk Ejay mengerti betapa hatinya hanya untuk Ezri. Sudahlah hatinya terbeban dengan sikap Ezri, di tambah dengan rayuan Ejay yang tidak putus-putus.

“ Nur nak ke mana?” Ejay tiba-tiba mengubah tajuk.

“ Suka hati abanglah,” Nur Jannah hanya mengikut. Dia memandang ke arah luar. Tanpa sedar mereka berada di hadapan bangunan suria KLCC yang tinggi mencakar langit. Tingginya bangunan itu, tinggi lagi harapan dan impian Nur Jannah dalam melayari rumah tangga yang bahagia. Tapi kenapa Ezri begitu? Ah! Ezri lagi yang diingatkan. Sedangkan lelaki itu sudah melupai dirinya.

“ Termenung lagi?” Ejay bersuara menyentak lamunan Nur Jannah.Dia tersipu-sipu menyedari dirinya diperhati lama oleh lelaki itu.

“ Jomlah kita pergi Tasik Titiwangsa.Dah lama abang tak pergi.Kalau dulu abang rajin juga berjogging kat situ, tapi sekarang dah tak ada masa.”

“ Nur ikut je,” Nur Jannah bersuara pendek. Ejay melajukan keretanya dan beberapa minit kemudian mereka sampai ke Tasik Titiwangsa. Mereka keluar dan beriringan menuju ke kawasan tasik. Nur Jannah merasa sedikit tenang menghirup udara segar. Sudah berapa hari dia terperuk di rumah bertemankan kesepian dan air mata. Kadangkala dia mengendap keluar rumah kalau-kalau Ezri pulang. Setiap hari juga dia menyediakan makanan untuk menyambut kepulangan suaminya. Sudahnya sajian itu dibuang ke dalam tong sampah tanpa disentuh. Sedih hatinya hanya Allah yang tahu. Seringkali juga dia menolak ajakan Maria untuk keluar. Dia risau kalau-kalau Ezri balik tanpa memberitahunya.Tapi sayang penantiannya hanya sia-sia dan akhirnya dia sendiri berendam air mata.

“ Nur selalu datang ke sini?”

“ Em..dulu biasa juga. Datang dengan Maria.”

“ Maria? Siapa?” Ejay menjeling sekilas.

“ Kawan Nur. Satu sekolah dulu.”

“ Datang jogging?” Ejay masih galak bertanya.

“ Macam tulah!”

“ Kenal Ezri kat sini juga?” Ejay ingin mengetahui perkenalan Nur Jannah dengan lelaki yang berjaya mencuri hati gadis idamannya.

“ Entahlah Nur dah lupa.” Riak wajah Nur Jannah kurang senang dengan soalan yang dilemparkan.

“ Lupa? Betul ke? Atau Nur tak nak cerita kat abang?” Ejay seolah tidak berpuas hati. Dia menuju ke arah sebuah pondok dan duduk. Nur Jannah turut duduk dan memandang ke arah tasik.

“ Nur betul-betul lupa,” Nur Jannah malas mengingati saat-saat perkenalannya dengan Ezri. Perkenalan itu amat indah untuk dikenang. Namun semua itu sudah tidak bermakna. Ezri sudah berubah. Sedangkan pantai boleh berubah. Inikan pula hati manusia.

“ Kalau lupa tak apalah. Jom kita pergi makan. Abang laparlah. Lepas tu abang hantar Nur ek!”

“ Abang marah Nur ke?” Nur Jannah memandang sayu ke arah Ejay. Ada senyuman pada wajah tampannya. Tiada riak marah atau berjauh hati. Nur Jannah merasa sedikit lega.

“ Nur sepupu abang. Apa terjadi, abang takkan bencikan Nur.Dan abang akan cuba melupakan cinta abang pada Nur.Abang nak Nur bahagia!” Ejay seakan berbisik. Namun cukup jelas pada pendengaran Nur Jannah.

“ Terima kasih bang,” Nur Jannah bersuara sebak.Air matanya mula menitis membasahi pipi.

“ Sudahlah.. Jangan nangis lagi! Abang tak suka tengok Nur nangis sebab abang..”wajah Nur Jannah dipandang. Pantas dia mencubit pipi gadis itu tanpa sempat dia mengelak.

“ Sakitlah bang!” Jerit Nur Jannah sedikit marah. Namun kemudian dia tergelak kecil.

“ Padam muka.. Nak sangat nangis! Dah besar pun, macam budak-budak lagi..” tutur Ejay dengan nada bergurau.

“ Takkan orang besar tak boleh menangis? Orang besar pun ada persaan juga!” Getus Nur Jannah sambil mencebik. Ejay yang mencuri dengar tersengih lebar.

“ Orang besar boleh nangis!Tapi control lah sikit. Nanti orang cakap abang ambil kesempatan kat Nur macam mana? Tak pasal-pasal rosak nama abang,” Ejay menjungkit kening. Seronok dia melihat mimik muka sepupunya yang kelihatan tegang.

“ Macamlah orang lain tahu nama abang!” Nur Jannah seakan mengejek.

“ Ye tak ye jugak! Dahlah, Jom..abang lapar dah ni!”Ejay menarik tangan Nur Jannah yang hanya menurut. Mereka menuju ke arah kereta dan bergegas menuju ke kedai makan yang terletak di Kampung Baru.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.