Bab
20
Ejay mundar-mundir
di ruang tamu rumahnya. Wajah Nur Jannah terbayang di mata. Cintanya pada gadis
itu tidak pernah luntur walaupun Nur Jannah telah menjadi milik orang lain.
Bukan dia tidak cuba untuk melupakan sepupunya itu. Namun setiap kali dicuba,
wajah Nur Jannah seakan-akan menari di hadapannya. Pernah dia menyuarakan rasa
hatinya kepada emaknya di kampung. Mujurlah emaknya faham dan tidak
mengetawakannya. Mujur juga saudara yang lain tidak mengetahui rasa cintanya.
Kalau tidak, pasti dia ditertawakan apa lagi mereka semua tahu dia dan Nur
Jannah sudah seperti adik-beradik. Ah! Mengapa dia boleh jatuh cinta kepada
sepupunya sendiri.
“ Sudah-sudahlah kau ingatkan lagi
si Nur tu. Dia kan dah kahwin! Hari tu mak nak cakap dengan Mak Ngah kamu, kamu
tak nak. Sekarang dah tak boleh buat apa-apa. Kau doa jelah supaya si Nur tu
bahagia dengan suami dia.” Mak Siah sekadar menasihati.
“
Ejay tahu tu mak! Sebab tulah
Ejay cuba juga lupakan dia. Tapi setiap kali nak lupa ada je halangan. Ejay pun
tak tahu dah nak buat macam mana.” Tutur Ejay berterus-terang.
“ Em..tu dah kira gila bayang. Mak
tak nak kau merana kerana Nur tu.Mak rasa kau
carilah orang lain. Kalau tak ada mak tolong carikan!”
“
Em mak ni! Ke situ pulak! perasaan ni bukan boleh dipaksa-paksa. Tengoklah
nanti mana tahu ada puteri kayangan singgah kat kampung kita ni. Masa tu mak
tolong ejaskan untuk Ejay, boleh?” Ejay
tersengih lebar melihat wajah emaknya yang sedikit tegang.
“ Insya’Allah..doa-doakanlah!”
Ejay tersedar dari lamunan apabila
telefonnya berbunyi.Pantas
diangkat apabila nama Nur Jannah tertera di skrin telefon.
“
Helo Nur!” Ejay bersuara ceria.Apa
mimpi Nur Jannah menghubungi dirinya.
“ Em..abang, esok Nur dengan kawan
Nur, Maria, nak balik Ipoh.” Tutur Nur Jannah perlahan namun jelas di telinga
Ejay.
“
Dengan Maria? Suami Nur mana?Tak
ikut?” Ejay mengerutkan dahinya. Dia merasa hairan mengapa Nur Jannah tidak
pulang dengan suaminya. Ada masalahkah mereka? Atau lelaki itu terlalu sibuk
menguruskan kerja?
“
Dia ada kerja..sebab tu Nur ajak Maria. Abang balik jam berapa?” Nur
Jannah terpaksa berbohong.
“ Em..bolehlah balik sekali esok.
Abang ambil Nur dengan Maria. Ok tak?” suara Ejay kedengaran begitu gembira.
Ingin dia menatap seraut wajah Nur Jannah yang manis. Wajah yang telah berjaya
mencuri sekeping hatinya.
“ Tak menyusahkan abang ke?” Nur
Jannah serba salah.Menolak bimbang Ejay akan
tersinggung pula.
“ Tak adalah, satu jalan je kan!
Esok abang datang. Jangan pulang sendiri ek!” Ejay sempat mengingatkan Nur
Jananh. Dia rindu untuk melihat senyuman sepupunya itu.
“
Yelah bang..nanti Nur bagitahu Maria. Assalamualaikum..”
“ Waalaikummussalam..” Ejay
memutuskan talian. Dia termenung seketika memikirkan rumah tangga Nur Jannah.
Benarkah kau bahagia Nur? Andai betul abang tumpang gembira, walaupun kasih
sayang abang sememangnya untuk Nur.Abang akan cuba
lupakan Nur. Percayalah!
****
Zurina melabuhkan punggungnya di atas
sofa sambil mengambil remote control
untuk menukar siaran televisyen. Maisarah yang terbaring di atas lantai
berlapikkan toto memandang sekilas. Pantas dia mengambil semula remote control tersebut.
“ Ala kau ni..aku nak tengok siaran
lain pun tak boleh!”Zurina bersuara sambil
mencapai Novel hasil tangan Norhayati
Ibrahim di atas sofa tersebut. Dia membelek-belek sekilas kemudian meletakkan
semula di tempat asal.
“
Bukan tak boleh!Tapi kau tu suka
sangat potong jalan aku!”
“ Ala…tukar sekejap pun tak boleh?”Zurina
masih tidak berpuas hati. Dia membaringkan dirinya ke atas sofa. Terkebil-kebil
matanya menatap cerita yang dipaparkan di kaca televisyen.
“ Sahara mana? Dari tadi aku tak nampak. Bukan
balik dengan kau ke tadi?” Maisarah menjenguk kepalanya mencari kelibat Sahara.
Namun tiada tanda Sahara akan keluar dari bilik.
“
Dalam biliklah tu. Agaknya penat. Maklumlah banyak kerja kat office tu!” Zurina membuat andaian
sendiri sambil memandang Maisarah. Kemudian matanya berkalih semula ke
arah televisyen..
“
Kau panggillah dia.Aku rasa dia
tak makan lagi tu. Dah jam berapa ni..” Maisarah memandang jam di dinding. Hampir jam 9.00 malam. Namun
kelibat Sahara tidak kelihatan.
“ Aik! Ambil berat pulak kau Mai!
Aku ingat kau ni tahu marah je! Kat aku tak ada pun macam tu! ” Zurina mencebik
tidak berpuas hati.
‘‘ Ala..kau ni Ina, kau takkan tak
tahu, aku sayang jugak kat kau! Pergilah panggil Sahara tu! ’’ Zurina seakan memujuk.
“ Kau pergilah panggil. Kau kan
baik.” Zurina memberi alasan.
“ Habis tu, kau tak baik? Kata bestfriend dari sekolah. Alih-alih aku
juga yang kena!” Maisarah bangun menuju ke bilik Sahara. Pintu diketuk
berkali-kali, namun tiada tanda pintu akan dibuka. Zurina yang juga
datang, memanggil Sahara beberapa kali.
“ Sahara..buka pintu ni. Kau kenapa
berkurung je dalam bilik. Jomlah makan!” Zurina turut mengentuk pintu bilik
Sahara berkali-kali. Namun tiada sahutan atau tanda pintu itu akan dibuka.
“
Apahal dia?” Maisarah mengangkat kening.
“ Entah! Tadi okey je! Agaknya
datang bulan,” Zurina tergelak kecil. Maisarah mencubit bahunya kuat. Pantas
Zurina menjerit kecil.
“
Main-mainlah pulak! Apalah Sahara buat dalam bilik tu? Aku risau juga!
Atau dia gaduh dengan balak dia tak?” Maisarah berteka-teki.
“ Tak tahulah aku Mai! Nanti dia
lapar, dia keluarlah! Jom tengok TV lagi bagus!” tutur Zurina sambil menarik Maisarah. Mereka
bergegas semula untuk menonton televisyen. Sesekali mereka menjengukkan kepala
kalau-kalau Sahara keluar dari biliknya. Namun sehingga jam 11.00 malam, kelibat gadis itu tetap tidak kelihatan.
****
Sahara terbaring di
atas tilam empuk. Panggilan Zurina dan Maisarah sebentar tadi tidak diendahkan.
Perutnya yang berkeroncong minta diisi juga dibiar tanpa perasaan.Dia
sibuk melayan hatinya yang rawan. Sampai hati Fakhruddin menolaknya walau
dirayu. Jiwanya benar-benar tersiksa kerana merindui Fakhruddin. Puas dia
berfikir bagaimana untuk menambat hati lelaki itu kembali. Namun semuanya hampa
belaka. Teringat dia perbualannya bersama Fakhruddin siang tadi. Sampai hati
Fakhruddin menyuruhnya kembali kepada suaminya. Kembali kepada John David
samalah menempah neraka dunia. Dia sudah cukup terseksa dengan kecurangan
lelaki itu. Sudah beberapa kali John David bersikap curang. Perempuan
sekeliling pinggang. Hidup bermandikan air arak dan membawa perempuan ke rumah
beberapa kali. Puas dia menangis, namun hanya herdikan yang dia dapat.
“ I hate You, John David!”Sahara mengetap bibirnya. Air matanya terhembur keluar
tanpa dipaksa. Dia bencikan lelaki itu begitu banyak. Hatinya terguris dan
terluka parah. Walau dirayu, dia tidak akan bersama lelaki itu kembali. Tidak sesekali!. Sahara
mencapai potretnya bersama Fakhruddin yang masih tersimpan kukuh di dalam frim
gambar. Pantas wajah itu disentuh lembut. Ada senyuman yang masih terpamer walau
kini sudah hilang dibawa arus waktu.
“
Maafkan Ara, Riz! Ara yang salah kerana mengkhianati cinta kita. Kalau tidak
kerana Ara, sudah lama kita bersama membina istana bahagia. Ara yang hanya
mengikut perasaan tanpa fikir kelukaan di hati Riz,” Sahara mengucup lembut
potret tersebut. Ada kesal yang tidak berkesudahan menunjal-nunjal hulu
hatinya. Sakitnya cukup terasa. Mengapa Fakhruddin tidak memberi ruang
kepadanya untuk membuktikan cintanya untuk kali kedua? Besar sangatkah dosanya
kepada lelaki itu? Ah Riz, Ara terseksa Riz! Ara tak tahu macam mana nak
lupakan Riz! Sahara mengeluh tidak sudah. Dia sedar, kelukaaan yang dialaminya
kini, pernah dirasai oleh lelaki itu. Pastikah Fakhruddin lebih merasainya.
Memikirkannya, Sahara menangis lagi.