Home Cerpen Umum Amarah Amira
Amarah Amira
Amylieyhaizani
12/1/2014 23:44:06
2,941
Kategori: Cerpen
Genre: Umum


          Dedaun yang berterbangan ditiup angin menghiasi suasana petang itu. Angin yang menderu cukup nyaman menyapa lembut seraut wajah tua yang termenung dianak tangga. Pandangan matanya menyorot jauh kedada langit. Tanpa sedar air mata bergenang dikelopak mata dan jatuh membasahi pipi.

          "Aku dah kata anak kau tu pergi ke Kuala Lumpur untuk menyundal bukan nak cari rezeki. Elok-elok jadi perempuan sibuk nak jadi jantan tu kenapa? Dah puas buat onar kat kampung sekarang sibuk cari perempuan kat bandar tu! Eh Senah.. Kau tak malu ke ada anak macam Amira tu? Kalau aku, dah lama aku kerat. Lebih baik tak ada anak dari ada anak songsang macam tu!” Mak Timah melepas kata tanpa memikirkan luka dihati adiknya. Benci benar dia pada anak gadis Mak Senah yang berperwatakan tomboy mengalahkan jantan itu.

          "Tak baik Kak Long cakap macam tu. Amira anak saudara Kak Long juga. Kenapa Kak Long benci sangat kat Amira.” Mak Senah cuba membela. Hatinya sering terguris dengan kata-kata Mak Timah yang hanya tahu melempar kata tanpa memikirkan hati dan persaannya.

          "Tak betul kata aku? Elok-elok nama Amira ditukarnya panggilan Amir. Macam mana aku tak kata anak kau tu dah tak betul. Tak ada moral. Kau tengok anak orang lain. Ada macam anak kau sorang tu?” 

Mak Timah menjuih bibirnya. Dia meludah ke tanah dengan perasaan puas. Adiknya yang hanya menitiskan air mata hanya dipandang tanpa rasa simpati. Bencinya pada Amira bukan sedikit. Baginya Amiralah penyebab keturunan mereka mendapat malu. Pasal Amiralah suaminya Rasyid menolak untuk menjadi penghulu kampung dan pasal Amira juga keluarga mereka dipandang sebelah mata.

          "Amira tak bersalah Kak Long! Dia menjadi mangsa keadaan. Kak Long tidak boleh memperlekehkan Amira seperti itu. Dia perlukan kasih sayang dari Senah juga Kak Long. Kenapa Kak Long tidak cuba menyelami perasannya?"

          "Tak cukup kasih sayang yang kau bagi! Atau kau tak reti didik anak! Eh Senah.. Aku tak pandailah nak sayang anak haram macam tu.” Mak TImah menjerkah menerjah terus ke hulu hati adiknya. Mak Senah hanya mampu menyapu air mata yang tidak henti-henti menemani pertengkaran mereka. Wajah Amira terbayang di matanya dan entah kenapa rindunya pada Amira semakin membara.

          "Atau kau yang memang rela diri diperkosa dulu? Sebab tu kau tak pernah bagitahu pada aku, pada orang kampung siapa jantan tu!"

          "Kak Long dah melampau. Patutkah Kak long hina Senah macam tu! Senah adik Kak Long. Kak Long dah lupa ke? Apa kata-kata orang lebih penting dari perasaan adik kak Long sendiri? Pasal Amira Kak Long tahukan kenapa dia jadi macam tu!” Mak Senah mula hilang sabar. Baginya Kak Longnya benar-benar sudah melampau. Kata-katanya hanya menambah barah dihatinya. Tidak sekali Kak Longnya memberinya kekuatan atau kata semangat untuk dia terus hidup seperti orang lain.

          "Dah tu aku nak cakap apa lagi. Kau dan anak kau sama saja. Tak ada maruah! Jangan sampai berjangkit sial kau anak beranak sudah. Akupun dah malas nak layan . Cuma aku nak ingatkan, jaga anak kau. Jangan sampai nama aku dikaitkan sekali.” Mak Timah berlalu tanpa salam. Puas hatinya dapat meluahkan apa yang dipendam. Namun dihatinya masih tersimpan bara kemarahan dan kebencian yang teramat. Baginya Amira tidak perlu wujud dalam keluarga mereka apa lagi keturunan mereka. Tidak sesekali.

Azan maghrib kedengaran menerjah ke telinga Mak Senah. Ingatannya pada peristiwa minggu lepas dikejutkan dengan alunan azan yang cukup merdu. Dengan perlahan dia melangkah untuk mengambil wuduk. Saat itu kesepian dihatinya benar-benar menghimpit jiwanya.


                                        Aku Benci Menjadi Amira

          Junaidah menghempaskan telefonnya ke lantai setelah bertegang urat selama beberapa minit dengan Asmadi. Wajahnya yang cerah kelihatan merah menahan marah. Tuduhan lelaki itu cukup tidak berasas. Patutkah lelaki itu cemburu persahabatannya dengan Amira. Salahkah dia berteman dengan insan sebaik gadis itu. Memang Amira pengasar dan tiada kelembutan dalam setiap tutur katanya, Wajahnya yang ayu sengaja dibiarkan tanpa sebarang alas. Rambutnya juga dipotong mengalahkan lelaki, namun hati Amira tidak seteruk itu. Amira yang dia kenali cukup mengambil berat setiap masalah teman-temannya. Bagaimana dia bisa menerima setiap kata Asmadi yang hanya menzahirkan orang dengan pandangan mata. Katanya, Amira bukan lambang kebaikan atau kebahagiaan seseorang. Gadis seperti Amira hanya merosakkan akhlak dan mencipta kejahatan dalam diri insan yang menghampirinya. Benarkah kata-kata Asmadi atau dia sendiri tidak tahu menilai seseorang dengan pandangan hati. Ah! Junaidah benar-benar keliru.

          "Apahal kau campak telefon kau tu? Dah bosan bergayut dengan buah hati?” Amira datang menghampiri. Wajah Junaidah yang kelat dipandang lama.

          "Amira... Aku.."

          "Amir.. Berapa kali aku cakap kau panggil aku Amir kalau tak jangan kau sebut nama aku! Kau tak faham bahasa ke?” Wajah Amira merah padam. Hati Junaidah pula kepanasan dengan kekerasan Amira.

          "Kau perempuan Amira. Kenapa kau nak jadi jantan! Kau tak malu pada mak ayah kau! Kenapa kau bersikap macam ni?”

          "Jangan kau sebut pasal jantan sial tu. Aku benci! Kalau kau nak berkawan dengan aku, jaga kata-kata kau Junaidah.” Amira memberi amaran. Matanya kemerahan menahan marah. Dia melangkah ke bilik dan menghempas pintu dengan kuat. Tanpa dipaksa air matanya mengalir. Dia benci pada lelaki itu yang telah memusnahkan hidup emaknya. Maruah emaknya tercalar dan diragut tanpa rela. Semua orang mencaci dan menghina. Emak dikatakan perempuan sundal yang hanya gilakan jantan untuk kepuasan diri sendiri. Mak cik Timah juga memaki hamun dengan kata-kata yang menyakitkan. Mak hanya diam membisu tanpa kata. Emak perempuan lemah yang hanya berjuang dalam sendu. Kata emak biarkan setiap kata-kata orang asalkan kebahagiaan milik mereka bersama.

          Ah! apakah Emak rasa bahagia dengan setiap kutukan orang yang hanya mempamerkan senyumam palsu semata. Di belakang, emak menangis bagai anak kecil merintih kesakitan hati. Itukah kebahagiaan yang mak laungkan. Mak mengatakan dia bersyukur wujudnya aku dan emak melahirkan aku tanpa teman. Emak keseorangan hingga separuh abad hanya kerana lakaran hitam diwajahnya yang tak mungkin akan padam selagi emak mendiamkan diri dan enggan mendedahkan kebenaran. Dan aku benci menjadi perempuan lemah seperti emak dan aku benci pada lelaki yang menjadikan aku anak haram.

          Rasyid.. Suami Mak cik Timah yang bertanggungjawab atas setiap titis air mata emak. Dia yang menodai emak dan berlagak alim walau sikapnya seperti anjing kurap. Kata emak jangan biarkan mahligai Mak Cik TImah runtuh kerana kebejatan suaminya dan emak merelakan setiap kata-kata Mak Cik Timah. Alangkah tidak adilnya emak pada diri sendiri. Emak menghukum diri tanpa simpati dan aku yang hanya mampu membesar dengan titisan air matanya cukup menjadikan aku seorang pendendam. Rasyid harus merasai erti kesakitan. Saat itu akan tiba juga!


                                        Rindu Sudah Terubat

          Kepulangan Amira petang itu benar-benar memberi keriangan pada seraut wajah tua Mak Senah. Tidak habis-habis dia menatap wajah Amira yang masih terserlah keayuannya walau tanpa sebarang mekap.

          "Emak rindu pada Amir yang hanya menyusahkan emak? Emak tak malu ada anak macam Amir?” Amira memandang emaknya yang mula dimakan usia. Rambut emak yang dulu hitam kini mula berubah warna. Junaidah yang turut menemani kepulangan Amira hanya memandang tanpa pengertian. Baginya wanita tua itu cukup sempurna dalam setiap tutur kata dan tingkah lakunya.

          "Amira apa yang berlaku usah diungkit lagi. Emak nak kita bahagia seperti orang lain. Padamlah api dendam dihatimu nak.” Mak Senah cuba memujuk. Hati Amira yang keras membatu itu cukup merunsingkan hati tuanya. Junaidah yang berada disisi hanya mampu memandang dan mengelus lembut lengan Mak Cik Senah yang tidak beralas.

          "Kebahagiaan apa yang mak cakap? Apakah mak bahagia menadah telinga atas setiap kata makian dan hinaan orang. Kesabaran ada batasannya mak dan kebenaran harus mak perjuangkan. Bukan melontar kata di sudut rumah yang hanya dihiasi kegelapan. Kenapa Amir benci menjadi perempuan? Kerana Amir benci melihat perempuan selemah mak yang hanya melepaskan anjing tersepit begitu saja,” Amira melepas kata dan melangkah entah kemana.

          "Maafkan Amira andai dia terkasar bahasa nak. Amira anak yang baik dan makcik yang bersalah atas kelukaan hatinya.” Junaidah hanya menganggukan kepala tanpa suara. Seketika kedengaran seseorang memanggil Mak Cik Senah tanpa salam.

          "Em.. Kak Long ada apa hal datang rumah Senah?“

          "Aku dengar anak jantan kau balik bawa perempuan? Mana dia? Dah puas menyundal kat KL!” Mak Timah mencuri pandang kedalam rumah. Dia memandang ke arah Junaidah yang hanya memandang dengan seulas senyuman.

          "Kak Long, kalau Kak Long datang untuk sakitkan hati Amira, baik Kak Long balik. Cukuplah Kak Long siksa dia.” Air mata Mak Senah mengalir lagi. Risau juga dia kalau-kalau Amira terdengar perbualan mereka. Pasti kemarahan Amira akan meletus tanpa siapa dapat menghalang. Lava dihatinya hanya menunggu masa untuk tumpah dan Mak Senah tidak sanggup melihat pertengkaran mereka anak beranak.

          "Aku memang nak dia tahu yang dia tu anak haram. Jangan berani rosakkan nama kampung ni. Pasal dia heboh satu kampung anak kau ada bawa kekasih. Kau tak malu Senah?” Mak Timah mencari-cari kelibat Amira. Ingin disumpah seranahnya gadis itu. Sakit hatinya mengenangkan gadis bernama Amira.

          "Apahal datang rumah orang tak tahu beri salam ni? Anak halal yang kuat agamanya tak tahu menghormati orang? Buat apa kau datang? Tak habis lagi mencurah racun di hati emak aku?” Amira memandang ke arah Mak Timah dengan pandangan tajam. Sakit hatinya pada wanita itu bukan sedikit. Serasa ingin dia membanting wanita itu biar lumat segala tulang sendinya. Biar dia tahu erti kesakitan yang membelenggu emaknya selama ini.

          "Kurang ajar kau! Apa kau tak tahu menghormati orang tua! Kalau dah dasar anak haram!” Mak Timah menyinga melihat kebiadaban Amira.
          
          "Memang aku anak haram. Tapi siapa yang mengharamkan aku? Haram-haram aku, aku tak menyusahkan hidup orang. Bukan seperti kalian suami isteri yang hidup atas penderitaan orang setelah mencipta derita pada seorang wanita lemah. Kalian lebih haram daripada aku yang hanya tahu berpijak di atas maruah yang sebenarnya sudah hilang sejak dulu.“ Amira melepas kata. Mak Senah tidak mampu lagi menghalang. Biarlah Amira melepaskan bebanan dihatinya. Wajah Mak Timah dipandang lama.

          "Apa maksud kau? Kau jangan nak babitkan aku laki bini. Kalau diri sendiri yang rela dihina.” Suara Mak Timah sedikit kendur. Mungkin memikirkan maksud disebalik kata-kata Amira.

          "Laki kau yang kau sanjung tu haiwan bertopengkan manusia. Kalau kau nak tahu dia yang memperkosa mak aku tanpa belas kasihan dan mak aku lahirkan anak haram. Kau tahu siapa anak haram tu? Akulah yang kau panggil sial yang kau hina setiap saat dan waktu. Aku yang kau cakap hanya merosakkn nama kampung dan aku ni lah anak haram suami kau yang kau sanjungkan sangat tu!” Amira tersenyum puas. Sudah lama kata-kata itu ingin diluahkan. Kini segalanya sudah terlurai. Padan muka Mak Cik Timah yang terlalu memuja peribadi suaminya yang dianggap alim dan mulia.

          "Aku tak percaya. Kau jangan nak fitnah suami aku. Kau cakap Senah anak kau ni pembohong!” Mak Timah menjerkah adiknya dan hanya air mata Mak Senah jawapan segala.

          "Baliklah.. Tanyalah laki kau yang bermaruah tu!” Sambung Amira lagi. Mak Timah bergegas pergi dengan perasaan marah. Senyuman dihati Amira amat menyakitkan hatinya. Kenyataan gadis itu lebih menjerut perasaannya.


                                        Rasyid…Kau Lelaki Sial

          "Betul apa yang Timah dengar?” Wajah Rashid dipandang lama. Tanda hitam didahi suaminya membuktikan lelaki itu kuat agamanya.

          "Apa yang awak dengar?” Rashid memandang dengan kehairanan. Pasti ada sesuatu yang ingin diketahui isterinya.

          "Abang yang memperkosa Senah dulu dan Amira tu anak luar nikah abang. Betul?” Air mata Mak Timah mengalir melayangkan soalan yang tidak terdetik oleh akalnya selama ini.

Rashid hanya berdiam diri dan cuba berlalu. Soalan isterinya benar-benar mengejutkan dirinya. Wajah adik iparnya terbayang diruangan mata. Wajah Senah yang menjadi lirikan matanya dulu cukup mengingatkan dirinya pada kisah silam. Cintanya pada Senah tidak kesampaian walau ditabur dengan kata-kata manis dan bermadu. Sikap Senah yang hanya membiarkan dirinya bertepuk di angin lalu cukup mencalar keegoannya. Wajah Senah yang menjadi igauannya benar-benar mencipta rindu dihatinya.


                    *************************************************************************************

          "Abang sukakan Senah! Abang nak kita hidup bersama. Abang sanggup ceraikan kakak Senah demi kebahagiaa kita.” Wajah Senah yang merah direnungnya lama. Ada kelembutan diwajah ayu milik gadis itu. Senyumannya cukup memukau. Cukup menggugat imannya sebagai seorang lelaki yang sekian lama teregeh-egeh mengejar cinta adik iparnya sendiri.

          "Abang dah gila! Abang nak rosakkan hidup kakak Senah kerana nafsu abang. Senah bukan perampas suami orang jauh sekali untuk meranapkan mahligai yang dibina oleh insan yang amat Senah sayangi. Senah tak pernah cintakan abang jauh sekali untuk bersama abang!” Senah bersuara lantang menambah api kemarahan dihatinya. Puas dia memujuk dengan kata-kata manis namun hempadu yang terpaksa ditelan.

          "Abang takkan biarkan orang lain memiliki Senah! Jiwa dan raga Senah hanya untuk abang. Orang lain tak akan dapat memiki Senah."

          "Apa maksud abang?” Wajah Senah ketakutan melihat mata Rashid yang kemerahan menahan marah. Dia cuba melangkah namun dihalang oleh abang iparnya yang selama ini cukup diseganinya.

          "Aku takkan lepaskan kau!” Rashid menarik Senah yang cuba melarikan diri. Ketiadaan isterinya benar-benar memberi ruang padanya untuk melempiaskan segala keinginananya. Pada malam itu Senah diperkosa tanpa belas kasihan. Jeritan Senah benar-benar memberi kepuasan pada seraut wajah lelakinya. 

          “Sampai hati abang!” Suara Senah yang tenggelam dengan esakan hanya dipandang dengan sinis. Puas hatinya melihat gadis itu terkulai layu dalam pelukannya. Kekecewaannya terbalas dan Senah pasti akan merayu padanya. Senah akan sujud pada kakinya dan meminta dia bertanggungjawab. Itu yang Rashid inginkan.

Namun semuanya berkecai bagai debu berterbangan. Senah bukan seperti yang disangka. Gadis sepertinya sanggup dihina dan dicaci oleh orang kampung kerana hamil anak luar nikah. Namanya tidak pernah disebut walau diasak dengan pelbagai persoalan. Akhirnya Rashid masih mampu tersenyum melihat kebodohan Senah yang hanya menerima setiap kutukan orang.

                  
                     ***************************************************************************************

          "Abang, betulkah apa yang Timah dengar? Abang yang menjadi duri selama ini dengan menyiksa hidup Senah? Betul atau tidak?" Mak Timah separuh menjerit. Hatinya meronta-ronta inginkan kepastian. Wajah adiknya yang berlukiskan kedukaan benar-benar meremukkan hatinya. Dia yang turut menyiksa adiknya tanpa mencari kebenaran. Dia yang mengguris hati Amira dengan kejam dan yang menjadi gunting dalam lipatan adalah suaminya.

          “Memang abang yang lakukan. Senah yang tidak kisah!” kata-kata Rashid cukup melukakan hati Mak Timah. Dia mengucap berkali-kali agar kesabaran berpihak padanya. Namun imannya tidak setebal itu. Benteng kesabarannya hanya sebesar hama. Tanpa disangka pasu yang berdekatan dengannya dicapai dan Rashid menggelepar dilantai. Darah hanyir mula tumpah menghiasi lantai.

Mak Timah meraung kuat. Wajah adiknya terbayang dimata. Betapa siksa adiknya menanggung derita dan dia hidup bahagia bersama lalaki yang menjadi duri didalam hidupnya. Dari jauh kelihatan Mak Senah berlari keruang laman rumah Mak Timah. Dia mengucap berkali-kali melihat Rashid yang berlumuran darah.

          "Senah maafkan Kak Long. Kak Long berdosa pada kau dan Amira. Rashid memang binatang. Maafkan kak Long.” Mak TImah memeluk adiknya. Air matanya laju membasahi baju Mak cik Senah.

          “Kak Long tak salah. Kak Long tak tahu apa yang telah berlaku. Senah dah lama maafkan Kak Long.” Pelukan Mak Timah dibalas erat. Seketika Amira dan Junaidah datang menghampiri.

          “Amira maafkan Mak Long! Mak Long tidak tahu dan Mak Long tidak seharusnya menghukum Amira. Maafkan Mak Long nak!" Mak Timah memeluk Amira yang hanya mendiamkan diri. Wajah Amira ditatap lama. Ada air mata yang bertakung disitu tanpa sedar. Mungkin menangisi nasib dirinya atau gembira dengan apa yang terjadi kepada Rashid.

Tanpa sedar ada senyuman diwajah Amira. Hatinya puas melihat lelaki yang menodai emaknya terbaring lesu mengucup lantai.

          “Derita pasti dibalas derita!” Bisik Amira sambil memandang Junaidah yang terlopong dari tadi.



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.