Home Novel Cinta Aku Bukan Perampas
Aku Bukan Perampas
Amylieyhaizani
25/12/2013 02:47:46
206,320
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

Bab 14

Nur Jannah terduduk di birai katil. Benarkah apa yang dikatakan oleh Maria sebentar tadi. Kata Maria dia ternampak Ezri bersama seorang perempuan di kedai makan. Benarkah?

“ Aku nampak dengan dua biji mata aku Nur! Takkan aku tak kenal Ezri, suami kau tu!” Tutur Maria dengan perasaan Marah. Sakit hatinya mengenangkan Ezri yang berlaku curang terhadap temannya.

“ Agaknya staf kat ofisnya Mar,” Nur Jannah cuba menyembunyikan perasaan cemburu. Dia cuba menafikan namun hatinya berbisik mengatakan semua yang dikatakan Maria adalah benar.

“ Kalau duduk makan je, tak apa Nur. Tapi ni siap berpegang tangan. Mata aku naik berbulu tengok mereka. Kalau tak memikirkan aku tengah drive, mahu aku sergah je. Biar malu muka dia orang tu!” Maria bersuara geram. Nur Jannah di hujung telefon mula teresak-esak. Dia tidak mampu lagi menahan dirinya dengan kesabaran sebesar kuman. Imanya hanya sebesar hama. Tidak kuat untuk dia terus menggagahi diri untuk berdiri sendiri.

“ Nur..kau ok ke? ” Tutur Maria serba salah.

“ Em..Mar, aku nak berehat kejap!” Talian diputuskan tanpa sempat Maria bersuara. Nur Jannah menangis semahunya. Adakah perempuan itu kekasih Ezri? Ya Allah, Kau berikanlah aku kekuatan. Nur Jannah mendail nombor telefon suaminya berkali-kali, namun tidak terangkat. Dia mencuba lagi dan akhirnya Nur Jannah melempar telefonnya di atas katil. Dia menghempaskan badannya ke atas tilam. Pantas diarinya di dalam laci dicapainya dan Nur Jannah mencoret kesakitan hatinya yang entah bila akan pergi.

Luka hati ini kerana seorang suami yang tega menyakiti hatiku. Sampai hati dia meninggalkan aku sendiri hanya kerana seorang perempuan lain. Semenjak berkahwin, dia tidak pernah menyayangi aku selayaknya. Sampai bila aku harus begini? Dulu kata Ezri, akulah segala-galanya baginya. Benarkah? Tapi kini aku umpama sampah yang tiada harganya. Kasih sayangnya tidak pernah mewarnai hidupku yang semakin kelam. Ingin rasanya aku meninggalkan dunia yang penuh onak dan duri ini. Namun ke mana harus aku pergi membawa status sebagai isteri orang! Atau haruskah aku merayu kepadaNya supaya nyawaku diambil pergi? Haruskah, sedangkan Allah membenci hamba-hambanya yang tidak redha dengan ujianNya!

EZri…

Mengapa mesti ada benci di hatimu buat diriku? Mengapa baru sekarang? Setelah aku sandarkan harapan dan impian yang menggunung! Setelah aku tabalkan dirimu sebagai raja di tapak hatiku..setelah aku relakan diriku dan setiap nafasku hanya untukmu yang bernama suami..kepada siapa aku harus mengadu tentang kesakitan hati? Ya! Hanya pada Yang Esa kuluahkan perasaan, hanya padaNya ku mohon kebahagiaan..namun..

Nur Jannah termenung seketika sebelum menyambung luahan hatinya

Ezri..

Sedarlah..perkahwinan bukan medan pergaduhan atau pertengkaran yang sering dirimu laungkan. Perkahwinan sebuah ikatan yang suci dan murni. Mengapa kau tidak mengerti? Mengapa? Bukankah engkau sudah cukup matang untuk memikirkan arah tuju perkahwinan kita!

Nur Jannah berhenti menulis. Air matanya menitis lagi dan membasahi diari kesayangannya. Diari itulah yang menjadi teman setia semenjak Ezri membencinya. Siang malam hanya pada buku kecil itu tempat dia meluah rasa. Nur Jannah benar-benar terluka. Pada siapa dia harus mengadu. Dia inginkan penjelasan dari Ezri sendiri. Andai benar lelaki itu sudah membencinya perpisahan adalah jalan yang terbaik. Memikirkan perpisahan, hati Nur Jannah dipaut pilu.

****

Maria memeluk bahu Nur Jannah yang hanya mendiamkan diri dari tadi. Risau dia mendengar esakan gadis itu di corong telefon. Pantas dia bergegas ke rumah Nur Jannah. Bimbang andai temannya itu membuat perkara yang bukan-bukan. Manalah tahu!

“ Aku yang tak tahu jaga suami Mar!” Nur Jannah bersuara hiba. Air matanya mengalir lagi mengenangkan kecurangan Ezri.

“ Tidak Nur..kau tak tahu apa-apa. Ezri yang kurang ajar! Dah ada isteri sibuk nak menggatal dengan permpuan lain,” Maria bersuara geram. Pelukannya sebentar tadi dilepaskan sambil mengetap bibir.

“ Selama ni, aku tertanya-tanya apa silap aku dalam perhubungan kami sehingga Ezri keluar rumah. Bila aku tanya dia herdik aku. Aku sangka aku ada buat salah. Aku tak sangka, rupa-rupanya dia ada permpuan lain!” Terluah sudah perkara yang dirahsiakan selama ini. Biarlah bebanan yang ditanggungnya berkurangan sedikit. Tidak larat untuk dia menggalasnya sendiri. Sungguh, Nur Jannah tidak kuat untuk menempuh badai yang datang bertimpa-timpa.

“ Keluar rumah? Kau tak cakap pun dengan aku. Sejak bila Nur?” Maria seakan terperanjat. Sangkanya Nur Jannah bahagia bersama Ezri. Sangkanya selama ini Nur Jannah sibuk bersama suami tercinta. Rupanya ada duri yang tertusuk di dada.Ada racun yang menghuni hatinya.

“ Sejak mula-mula kahwin lagi.Dia tinggal aku macam tu je Mar. Sampaikan hari tu mak aku datang, dia tak ada. Macam-macam alasan yang aku bagi.”

“ Ya Allah..kenapa kau tak cakap dengan aku Nur. Sampai macam tu sekali Ezri buat kau. Mak dengan bapak mertua kau tahu hal ni?” Maria bertanya dan Nur Jannah menggelengkan kepalanya. Ezri memang pandai berlakon. Di hadapan orang tuanya merekalah pasangan bahagia walau hakikatnya perkahwinan mereka hampir punah.

“ Dia tinggal kat mana?”

“ Aku tak tahu. Aku calltak berangkat. Malah kadangkala dia off kan telefon. Hati aku sakit Mar!”

“ Kalau aku pun Nur, aku akan rasa sakit macam kau. Tapi kau cukup kuat hadapinya seorang diri. Carilah Ezri, minta penjelasannya. Andai dia ada orang lain, kau sanggup bermadu?” Maria bertanya dan Nur Jannah memandang ke arah temannya. Air matanya semakin lebat mengalir. Bermadu? Bagaimana? Sedangkan kasih Ezri bukan untuknya lagi. Cinta lelaki itu telah tiada. Dan untuk bersama lelaki itu hati Nur Jannah mulai tawar.

“ Ezri dah tidak cintakan aku. Tiada guna bersama kalau hanya menyakitkan hati sendiri. Mar..aku nak bercerai!”

“ Bercerai?” Maria terlopong tidak percaya.

“ Kalau aku tetap bersama dia, semuanya bagai tiada erti Mar! Apa guna rumahtangga macam ni! Ada macam tak ada!”

“ Kau tak nak pujuk dia dulu? Mana tahu, dia akan berubah,” tutur Maria bersimpati dengan nasib temannya.

“ Pujuk? Aku cakap pun dia dah marah! Macam mana nak pujuk Mar? Dia bukan budak-budak lagi! Dah matang untuk berfikir yang mana baik atau buruk!” Nur Jannah menarik nafas dan melepasnya dengan keluhan yang berat. Bukan dia tidak tahu, perceraian adalah sesuatu yang halal dalam agama tetapi amat dibenci oleh Yang Maha Pencipta. Namun kesakitan yang dirasainya menghilangkan rasa nikmat dalam perkahwinan mereka. Jadi untuk apa perkahwinan yang hanya membebankan hatinya?

“ Buat apa yang kau fikir baik Nur. Aku tetap menyokong apa saja keputusan kau!”Maria menepuk bahu Nur Jannah. berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul! Bisik Maria di dalam hati.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.