Home Novel Cinta DIALAH CINTA HATIKU
DIALAH CINTA HATIKU
7/8/2014 13:29:47
89,013
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

13

F

IKIRANKU melayang-layang tentang kejadian tempoh hari itu. Kejadian makan malam di rumah orang tua Rizan sememangnya tidak mampu aku padamkan dari kotak ingatan. Walaupun sudah beberapa hari berlalu, namun marahku tidak pernah sedikit pun surut dan reda.

Lelaki itu benar-benar keterlaluan. Tidak tahu bagaimana mahu menghormati orang dan tetamu. Senang-senang aku dijerkahnya, ditempik di hadapan ahli keluarganya. Itulah saat-saat yang amat memalukan dalam hidupku. Kalau ikutkan hati, hendak sahaja aku lontar ayam di pingganku ke wajahnya. Sikap dan caranya amat kurang ajar.

Entah apa ketuaku di hadapan berkata, aku sendiri tidak tahu. Tindakan Megat sememangnya tidak mampu aku buang begitu sahaja. Kepulangannya meresahkan semua orang, tetapi sikap dan caranya masih begitu juga. Menyakitkan!

“Julianna, ada apa-apa komen?” Suara Encik Dahari bergema di bilik mesyuarat, menghentikan khayalanku yang sudah jauh meninggalkan mereka.

Azwa di sisiku segera menghulurkan sekeping nota di hadapanku dan aku sempat mencuri baca secara lalu.

Nak software baru untuk payroll. Yang ada sekarang menyusahkan kita semua!

Oh ya, sudah tentu!

“Encik Dahari, kami di bahagian payroll perlukan software baru untuk syarikat ini. Kakitangan makin ramai. Softwareyang ada sekarang tak boleh nak menampung lebih dari lima ratus pekerja, Encik Dahari. Kadang-kadang pemprosesan gaji tak dikira dengan betul.”

“Berapa kali jadi begitu?”

“Sejak dua, tiga bulan yang lepas. Pekerja yang terbabit dalam lebih kurang lima hingga sepuluh orang. Walaupun jumlah nampak kecil, tapi kalau dah tiap-tiap bulan begitu, kerja kami jadi kelam-kabut.”

Encik Dahari memandangku.

Azwa pula terus mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Saya serahkan awak untuk selesaikan masalah ni. Cari apa sahaja software yang bagus untuk syarikat kita. Kemudian, report pada saya,” ujar Encik Dahari.

Aku mengerling ke arah Azwa. Dialah penyelamatku!

Keluar dari bilik mesyuarat, aku menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya, satu masalah selesai juga. Tapi masalah untuk aku melenyapkan kejadian malam semalam, tidak semudah itu.

“Nanti kita aku tunjukkan brosur pasal software baru untuk payroll tu. Aku dah ada dua, tiga jenis software yang bagus untuk company.Kita bincang, kemudian pilih dua... kasi Encik Dahari pilih yang mana dia nak.”

Azwa sememangnya bukan sekadar kerani dan pembantu aku di sini, tetapi dia juga penyelamat. “Aku pun ada jugak satu brosur dalam laci. Tak apa, nanti kita kumpulkan. Kita discuss, kemudian kita panggil wakil masing-masing demokan untuk kita. Kemudian baru kita finalise, masa tu kita minta Encik Dahari approvalyang mana satu yang terbaik.”

Azwa mengangguk, setuju. “Kau nak balik?”

Aku melihat jam di tangan. Sudah pukul 6.00 petang. Aku mengetap bibir. “Aku nak bereskan kerja sikit. Kemudian aku turun.”

Boyfriend tak jemput ke hari ni?”

Aku tersengih. Boyfriend? Pelik benar mendengar perkataan itu. “Dia outstation hari ni. Tadi dia dah call. Ada kerja urgent kat Penang.”

Azwa membeliakkan matanya. “Urgent?

Aku pandang wajah Azwa dengan rasa lucu. Sejak bila pula dia berminat dengan Rizan? “Kata dia urgent. Dua, tiga hari jugaklah dia di sana.”

“Boleh pulak pergi macam tu?”

Eh! Apasal pulak budak ni? Aku yang rapat dengan Rizan, dia pula yang bimbang? “Pergi macam tu? Maksudnya?”

“Yalah... tiba-tiba nak pergi. Selalu kalau orang nak ke outstation... dua, tiga hari sebelum tu dah tahu dah. Kau ni jenis percaya seratus peratus kat lelaki ke?”

Aku tergelak kecil. “Dah dia kerja dengan bapak dia, mestilah percaya seratus peratus.”

Dia sekadar mengangguk.

Aku kembali ke mejaku. Menghabiskan baki kerja yang belum dilangsaikan. Menyelesaikan secepat mungkin kerana abangku akan menjemput aku pulang. Aku mahu berehat lebih masa di rumah.

SEDANG aku berdiri sambil tercari-cari kereta Honda Civic milik abang long di hadapan tempat aku bekerja selama lebih dua tahun itu, tiba-tiba sebuah kereta BMW mewah berhenti di hadapanku. Pada mulanya aku enggan melayani kereta tersebut kerana menyangkakan kemungkinan kereta itu sekadar berhenti dan menunggu penumpangnya sahaja. Tiba-tiba tingkap kereta diturunkan.

“Julia!” Ada suara memanggilku.

Aku segera menoleh ke arah suara itu. Tubuhku terpaku. Terpana melihat apa yang sedang aku lihat. Benarkah dia yang berada di hadapanku? Yang sedang memanggilku? Dan jiwaku bergelora hebat. Kejadian di meja makan tempoh hari segera menerpa dalam kotak ingatanku sebaik melihat wajahnya di hadapanku. Sememangnya bukan senang untuk aku buang begitu dari ingatanku.

“Masuk.” Arahnya, lagak bagai ketua CEO.

Aku masih tidak berganjak. Namun kali ini, bukan kerana aku terkejut dengan suaranya memberi arahan kepadaku, tetapi marah dengan sikapnya terhadapku malam itu.

Dia segera melepaskan tali pinggang keledarnya dan keluar dari kereta bila melihat aku terus-terusan berdiri di situ. Lantas dia membuka pintu sebelah pemandu lalu menolak tubuhku masuk ke dalam keretanya bila aku sedikit pun tidak mengendahkannya. Bodohlah aku jika menuruti kata-kata dari lelaki sombong bongkak ini setelah apa yang dia telah lakukan kepadaku tempoh hari. Aku bukan Nadia, anaknya. Aku bukan perempuan yang boleh disuruh-suruh begitu sahaja.

Dia memandangku. “Ju, orang sekeliling ramai yang belum balik. Semua tengah tengok kita.”

Aku memandang ke sebelah kananku. Ya, terdapat empat orang wanita sedang memerhatikan kami. Belum termasuk dua orang pengawal keselamatan yang bila-bila sahaja mahu mengusir kami terutama sekali pada Megat yang meletakkan keretanya di tempat yang tidak sepatutnya.

Kami bertentangan mata sekali lagi. Kenapa saat ini aku tidak lihat wajah sombongnya seperti selalu, tetapi redup, mata yang bersinar, senyuman hanya untukku?

Aku tiba-tiba bagaikan terpukau. Perasaanku hanyut dengan senyuman itu. Kali pertama senyuman itu untukku. Aku mengalah. Terpaksa mengalah kerana tidak mahu menjadi tontonan umum di sekeliling akan ‘lakonan’ kami. Lelaki itu menutup rapat pintu kereta sebaik aku melabuhkan tubuhku di atas kerusi. Sesaat kemudian, dia duduk di sebelahku, melepaskan brek tangan dan kereta kembali ke jalan raya.

“Pakai seatbelttu,” tegurnya.

Aku mencebik bibir, protes dengan arahannya sekali lagi. Tetapi tetap akur kerana waktu puncak sebegini polis trafik boleh berada di mana-mana sahaja di jalan raya.

Jantungku semakin berdegup kencang. Aku duduk tanpa bersuara atau menggerakkan tubuh, hanya mata sahaja yang cuba mencuri-curi pandang pada lelaki yang tenang memandu keretanya, tenang seolah-olah tanpa berlaku apa-apa. Dia seperti yang aku nampak semalam dan enam tahun yang lalu. Kacak, tampan, dengan rambutnya yang pendek dan kemas walaupun kini bila usia meningkat. Ada sedikit perbezaan bila dahinya mula menjadi sedikit luas. Kulitnya yang agak gelap dari kali terakhir kami bertemu, sesuai dengan usianya yang sudah melangkaui 35 tahun.

Tidak kira apa yang telah berlaku pada dirinya, auranya tetap sama. Masih mendebarkan jiwa, daya tarikannya mempersonakan aku. Pandangan mataku tidak pernah lekang dan jemu memandangnya. Asyiknya aku sehingga tidak tersedar dia menangkap cara aku memandangnya.

Tercetus tawa kecil di bibirnya. “Kenapa Ju pandang abang macam tu?”

Tersirap darahku. Abang? Aku pantas mengalihkan pandanganku kembali ke jalan raya. Dadaku bergelora paling hebat. Abang long! Ya, abang long. Aku segera mengeluarkan telefon bimbitku dari dalam beg tangan dan menekan nombor abang long. Megat sekadar memerhatiku dari ekor matanya.

“Abang? Ini Ju.”

Where are you? Abang nak sampai ni.”

“Hmm... tak payah jemput Ju. Ju dah dalam perjalanan balik rumah ni,” balasku.

Abang long mendengus. “Kenapa tak cakap awal lagi? Tak payah abang masuk simpang ke ofis Ju.”

I’m sorry,” gumamku perlahan. Tidak mahu orang di sebelahku mendengar setiap bait perkataanku.

“Okey. Siapa yang hantar?”

“Kawan.” Perkataan itu semakin perlahan. Hampir berbisik. Aku tidak mahu Megat memikirkan begitu mudah aku menganggap dia sebagai teman tetapi terpaksa menggunakan perkataan ‘kawan’ kerana tidak mahu menimbul rasa bimbang abang long.

“Kawan lelaki atau kawan perempuan?” Dia mengasak aku dengan soalan yang tak termampu aku jawab ketika ini. Apatah lagi di hadapan Megat. Sebagai satu-satunya seorang adik perempuan yang dia ada, aku tidak menyalahkan dirinya ataupun abang-abang aku yang lain untuk menjadi ‘pak sibuk’ ke mana aku pergi. “Okey, tapi jangan balik lewat. Abah bising nanti!”

Okay. Sorry, bang. Bye!” Aku segera mematikan talian dan kembali memasukkan telefon bimbit ke dalam beg tangan. Aku melemparkan pandanganku sekali lagi ke jalan raya sebelum memberanikan diri melihat ke arahnya. Aku bersuara sinis, “Apa mimpi awak jemput saya tiba-tiba?”

Dia diam tenang. Setenang dirinya sedang memandu kereta yang kami naiki. Namun diamnya makin mencetuskan amarahku yang meluap-luap.

“Awaklah lelaki paling sombong, angkuh, pentingkan diri sendiri, melampau, tak pernah hormat pada orang lain, sinis dan saya nak awak tahu dan ingat sampai bila-bila, yang saya adalah perempuan yang paling bencikan awak!”

Tulang rahang di pipinya bergerak-gerak. Jelas ada sesuatu yang mahu disampaikan kepadaku tetapi lebih memberi ruang untuk aku meluahkan rasa marahku terhadapnya.

Kali ini dadaku berombak dengan alasan yang berbeza. Marah! Aku tersangat marah padanya! Inilah masanya untuk aku lontar kemarahan itu.

Dia memandangku bila kereta yang dipandu terpaksa berhenti di persimpangan lampu isyarat. “Apa lagi?”

“Saya benci awak!”

“Lagi?”

“Benci sangat!”

Dia menarik nafas dalam. “Lagi?” Suaranya makin jauh. Apa sudah jadi dengan kemarahannya kepadaku kerana Nadia malam semalam?

“Benci! Benci! Benci. Saya lebih rela jalan kaki balik rumah dari duduk dengan awak dalam satu kereta!” kataku marah. Jika semalam aku tidak mampu melepaskan amarahku terhadapnya, tetapi saat ini adalah peluang keemasan buatku.

Suasana sepi. Aku membisukan diri. Dia juga bagaikan terkunci mulutnya. Tiada reaksi.

“Jadi, kenapa tak jalan kaki aje?” Dia mendugaku.

Sebaik mendengar kata-katanya, tanpa menunggu sesaat aku menggapai beg tanganku dan sebaik jariku cuba membuka pintu keretanya, di pantas menahanku. Jari-jarinya di lenganku. Menahanku. “Abang minta maaf, abang cuma nak mengusik Ju.” Senyuman terpahat di bibirnya. Namun senyuman itu hambar sekali.

Marahku meluap-luap. Sakit hati ini bukan sedikit. Sakit hati kerana kejadian tempo hari masih bersisa, dia menambah pula marah baru.

Ju, please...bukan sekarang. Abang tak nak Ju pergi macam tu saja,” pintanya padaku.

Aku cuba menahan perasaan. Sabarku sudah menipis. Tapi bila dia merayu, aku kalah juga dalam kemarahan itu. Suasana sepi seketika. Dan aku makin kurang selesa dengan kesunyian di dalam keretanya itu. “Hah! Tak ada benda nak cakap? Awak kan pandai bercakap? Pandai keluarkan ayat yang menyakitkan hati. Sekarang hanya kita berdua kat sini. Saya tak perlu nak jaga hati keluarga awak. Peduli apa orang nak kata saya biadab, tapi kalau awak tak mulakan dulu, saya juga takkan jadi begini!” tempikku lagi kepadanya, sakit hati bila dia mematungkan dirinya. Lagi sakit hati bila dia lebih senang mendiamkan diri sedangkan di hadapan keluarga, dialah yang paling hebat menunjuk taringnya!

“Abang.”

“Hah?” Aku terpinga-pinga dengan kata-katanya yang satu itu.

“Panggil abang. Abang tak mahu dengar Ju bahasa awak-saya, apatah lagi aku-kau. Abang tak suka,” ucapnya perlahan denganku.

Aku rasa tubuhku melayang-layang sebaik mendengar kata-katanya. Terbuai-buai mendengar nada suaranya. “Awak bukan saudara-mara saya, jauh sekali abang saya. Jadi jangan fikir awak boleh arah-arah saya!” Ingatkah dia ayat ini seperti yang pernah dia gunakan kepadaku suatu ketika dahulu?

Dia menghela nafasnya. Raut wajahnya sedih. “Ju,” panggilnya padaku dengan suara lembut sekali. Itulah kali pertama aku mendengar suara yang mencairkan jiwa. “Abang mintak maaf.”

Aku terdiam. Mengamati wajahnya penuh persoalan. Kenapa dengan dia ini? “Mana lelaki yang sombong, angkuh, sinis? Mana? Helo...? Ini betul ke Megat Iskandar Zulkarnain yang sombong, berlagak, angkuh tu? Atau yang tengah bawa kereta ni orang lain?”

“Ju, jangan macam ni. Jangan nak sindir abang pula.” Dia menegurku. Nadanya mula berbeza.

Wah! Ini baru betul Megat. Tidak boleh diusik. Tidak boleh disindir. “Sindir apa? Saya bukan sindir. Ini betul-betul cakap. Awak kan dah biasa?”

Megat segera meraih jari-jariku lantas digenggam kemas. “Jangan buat abang macam ni, Ju,” pintanya.

Aku tersentak dengan perbuatannya. Mulutku, fikiranku, terkunci serta-merta. Tindakan refleksku mati begitu sahaja bila melihat jemariku digenggam. Dengan pantas aku merentap jari-jariku itu daripada pegangannya.

Kalau aku diberitahu awal pagi tadi bahawa Megat yang akan menjemput aku pulang dan berakhir dengan begini, aku pasti akan ketawa terbahak-bahak. Tapi, ini sememangnya tidak disangka. Hidup mati semula, juga aku tidak akan mempercayainya. Bagai terpukau dengan sentuhannya, aku termangu. Ini tidak patut berlaku! “Awak tahu tak siapa saya?”

Keluhan tercetus di bibirnya. “Seorang perempuan yang pernah abang jumpa enam tahun yang lalu.”

Aku memejamkan mataku. Apa yang sedang berlaku sebenarnya? Apa yang dia lakukan pada diriku? Nafasku jadi pendek. Sesak. Sikapnya keterlaluan terhadapku. “Apa sebenarnya awak nak dari saya?” Suaraku hampir tidak kedengaran. Ya ALLAH, apa yang sedang berlaku padaku? Rizan tidak pernah melakukan apa yang dia lakukan terhadapku sejak hari pertama aku kenal dia. Rizan tidak pernah melukakan jauh sekali untuk menyakiti hatiku sejak kali pertama aku kenal dirinya.

Malah, yang lebih utama Rizan tidak pernah membuat apa yang aku rasa sekarang sepertimana dia lakukan kepadaku!

Perasaan ini... sakit, gundah, mencengkam tetapi dalam pada masa yang sama jauh di lubuk hati, perasaan itu sangat aneh. Jiwaku kacau, namun dalam kekacauan aku merasakan sesuatu yang sangat luar biasa. Perasaan yang cukup menjentik naluri wanitaku. Sangat istimewa!

“Seorang perempuan yang mampu melenyapkan kewarasan abang setiap kali abang jumpa dia,” tambah Megat dalam nada yang membuai-buai perasaanku.

Aku mengetap bibirku. Melontar pandangan ke tingkap. Jiwaku masih bergelora dan degupan jantung laju menggila! Aku tidak pernah merasakan apa yang sedang aku rasakan. Sungguh. Aku tidak pernah merasainya.

Apakah ini yang Zila sering maksudkan kepadaku? Apakah ini yang Zila asyik perkatakan tentang... cinta?

Ini tidak boleh berlaku! Ini tidak boleh berlaku!

“Saya akan bertunang dengan adik awak dalam tempoh kurang dari tiga minggu. Awak tak boleh buat begini pada saya!” tegasku. Aku hampir menjerit kepadanya.

“Kenapa baru sekarang, Ju? Kenapa tak dulu Ju kahwin dengan Rizan?”

“Awak tak ada hak sikit pun untuk tanya soalan tu!” marahku.

“Kenapa Ju?” Suara itu tetap perlahan, lembut dan menggores perasaanku.

“Suka hati saya! Apa awak kisah kalau saya kahwin dulu ataupun sekarang?!” tempikku kepadanya.

Dia mengeluh. “Ju, apa yang abang rasa, yang Ju rasa... dah ada sejak kali pertama kita bertentangan mata... enam tahun yang lalu. Kalau Ju tak rasa apa yang abang rasa, enam tahun abang pergi merantau, Ju pasti dah kahwin dengan Rizan, kan?”

Adakah ini benar-benar berlaku? Adakah benar itu yang diucapkan kepadaku? Ini pasti aku sedang bermimpi.

Dia menghelakan nafasnya. Panjang. “Abang tak izinkan Ju kahwin dengan Rizan.”

Aku menggengam jari-jemariku. Kuat. Ini benar-benar keterlaluan untukku.

“Kali ni, abang takkan tinggalkan Ju. Abang takkan sakitkan hati Ju.”

“Awak boleh tinggalkan saya berapa banyak awak nak dan awak boleh sakitkan hati saya berapa kali awak nak... tetapi saya tetap akan kahwin dengan Rizan. Awak peduli apa!” jeritku kepadanya.

Dia menggelengkan kepalanya beberapa kali. “Abang dah balik. Dan abang akan ambil apa yang terbaik untuk abang dan untuk Ju,” katanya. Muktamad.

Aku pelik. Apa maksud dia sebenarnya?

Kami bertentangan mata bila kereta diberhentikan di bahu jalan raya. Aku termangu seketika. Apa yang ingin diberitahu kepadaku sehingga memaksa dia memberhentikan kenderaan di jalan penuh sesak dengan kenderaan yang lain?

“Ju, hidup Ju bukan dengan Rizan tapi dengan abang.”

Hah? Adakah benar apa yang aku dengar?

“Abang nak Ju jadi isteri abang.”

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.