Home Novel Cinta LELAKI ITU DIA
Bab 24

YASMIN menggaru-garu kepala yang tak gatal. Bibirnya memuncung geram. Tak puas hati mengenangkan sikap berdolak-dalik Thaqif. Padahal, telinganya dan Budriz sudah mendengar. Hanya sebaris nama Shana itu diucapkan seiring dengan bunyi sebuah kereta yang kebetulan lalu di hadapan rumah mereka.

“Sudah-sudahlah garu-gara kepala macam tu. Kotorlah aku tengok, Min,” larang Budriz tenang.

“Aku sakit hatilah!”

“Kalau sakit hati kenapa bersikap macam sakit kepala?”

“Kau ni, menjengkelkan betullah.”

“Kau ni dah kenapa, Min?”

“Abang!”

“Kenapa dengan abang?” Budriz buat-buat tak tahu walau dia maklum apa yang terbuku di hati Yasmin. Dilahirkan kembar membuatkan dia dan Yasmin selalu seia dan sekata dalam banyak perkara. Malah, suka dan duka adiknya itu sangat mudah dikesan. Lindunglah macam mana pun, tutuplah serapat apa pun, gerak hatinya pada Yasmin memang jarang tersasar.

Yasmin itu, bukan sekadar adiknya. Kembarnya. Tapi Yasmin itulah tempat dia berkongsi cerita suka dan duka. Malah, kalau hendak bergaduh pun dengan Yasmin juga. Pendek kata, dia dan Yasmin memang sekepala. Lantaran itu, mereka bersekolah di sekolah yang sama, walau berlainan kelas. Menyambung pelajaran di Griffith University dalam bidang yang serupa, dengan pengkhususan yang sama, Graphic Designer.

“Aku dengarlah dia sebut nama Shana tadi. Bila tanya tak nak mengaku. Kau dengar juga, kan?” kata Yasmin. Kata-kata yang sama dibisikkan pada Budriz pagi tadi. Kalau bukan kerana dihalang abang kembarnya itu, tentu dia akan terus mendesak. Biar Thaqif mengalah seperti selalu.

Lebih daripada itu, dia mahu tahu kenapa nama Shana perlu meniti di bibir Thaqif setelah segala-galanya selesai?

“Pekaklah aku kalau tak dengar. Bukannya perlahan pun abang sebut masa tu.”

“Habis tu, kenapa abang mengelak bila kita tanya?”

“Dah tu kau harap abang mengaku ke?” tanya Budriz kembali.

Muka kusut Yasmin ditatap dalam. Dia tahu, hati Yasmin itu sangat lembut walau bertingkah kasar. Jauh di sudut hati Yasmin, masih ada beban rasa bersalah pada Shana atas apa yang telah Thaqif katakan. Lantaran itu, bila nama Shana disebut abang mereka, Yasmin menganggap perkara itu besar. Yasmin mahu menuntut jawapan Thaqif.

“Kenapa abang tak nak mengaku pula?”

“Abang bukannya ada apa-apa dengan Shana, buat apa abang nak mengaku?”

“Ingat tak ada apa-apa, tak boleh sebut nama Shana ke?”

“Kalau kau dah kata boleh sebut, apa masalahnya kalau abang sebut nama kawan kita tu. Bukan salah pun!”

“Tapi...”

“Sini... duduk,” ajak Budriz. Dia menepuk-nepuk sofa di sisinya. Tak mahu Yasmin terus-menerus berkawat di hadapan matanya. Rimas dan selebihnya dia berasa agak terganggu melihat Yasmin tak tenang begitu. “Kau janganlah nak stres sangat pasal abang tu.” Dia memang tak gemar jika melihat muka kusut Yasmin.

“Shana tu kawan aku.”

“Kawan aku juga. Kau jangan lupa itu,” balas Budriz pantas.

“Aku malu dengan apa yang dah abang kata pada dia. Memanglah dia kata tak kisah, tapi aku tahu mesti dia terasa juga. Dahlah dia tu perempuan. Bukannya mudah seorang perempuan nak terima apa yang dah abang buat. Aku rasa bersalah sangat, Budriz,” luah Yasmin sebak.

Sejak hari itu, dia tak pernah berasa tenang. Kata-kata Thaqif bergabung dengan rupa Shana. Dia ingat lagi betapa Shana berusaha untuk tenang dan terus tersenyum di hadapan mereka berdua. Namun sesekali, matanya dapat menangkap riak segan kawan mereka itu.

“Abang pun tak salah, Min. Kita berdua yang salah.”

“Tapi, abang tak patut cakap macam tu pada dia. Aku malu pada Shana.”

“Kau malu sebab abang tu jadi abang kita?”

Yasmin menggeleng pantas. Thaqif itu abang terbaik yang dia ada selain daripada Budriz.

“Aku cuma kesal. Demi nak singkirkan Shana, abang sanggup rendahkan diri dia.”

Budriz hela nafas panjang dan kemudian melepaskannya satu per satu. Mata kemudian diliarkan di kawasan sekitar. Yang ada hanya sepi. Syed Faruq dan Syarifah Najibah ke rumah mak cik mereka di Hulu Langat. Thaqif ada di dalam bilik. Cuti-cuti begini, apa lagi yang abang mereka itu suka buat selain daripada tidur.

“Abang bukannya niat nak hina Shana,” belas Budriz pada Thaqif.

“Aku tahu. Tapi... kan bagus kalau abang betul-betul jatuh hati pada Shana? Aku suka dia dengan abang. Nampak serasi sangat.”

“Berangan tak kena bayar. Kan?”

“Aku bukan sekadar berangan. Tapi aku berdoa juga. Untuk abang dan Shana!”

“ABANG...” Terkelu lidah Yasmin saat melihat Thaqif ada di dalam biliknya. Duduk santai di atas tilam yang selama ini menampung tubuhnya yang keletihan. Terkejut kerana seingatnya sudah bertahun-tahun biliknya tak dijengah Thaqif.

Namun yang lebih membuatkan dia terperanjat, bingkai gambar yang ada di dalam genggaman tanganabangnya. Habis! Matilah aku dan Budriz hari ni, desis hati kecil Yasmin.

“Ini siapa?” tanya Thaqif tegas. Gambar berbingkai putih itu diunjuk ke arah Yasmin yang masih kaku di muka pintu.

Yasmin gigit bibir. Sekali lagi tak dapat mencari kata-kata yang sesuai.

“Yang duduk bawah pokok dengan Min dan Budriz ni siapa?”

Hati Yasmin terasa seakan-akan mahu pecah dua kerana menahan debaran yang menggila. Diam-diam, dia berdoa supaya Budriz muncul menyelamatkannya. Thaqif tak pernah marah selama ini. Dia bimbang kalau-kalau kemarahan abangnya itu akan meledak hari ini.

“Yang tak pakai tudung, rambut separas bahu ni siapa, Yasmin?”

“Itu... itu...”

“Sejak bila Min ada penyakit gagap ni? Setahu abang, ibu lahirkan Min dalam keadaan sempurna. Lengkap anggota badan dan sempurna semua deria,” sinis Thaqif tegang.

“Itu... itu...”

“Syarifah Yasmin!” Suara Thaqif naik sedikit.

“Itu Shana!”

“Tak pakai tudung?” Masih nada yang sama Thaqif gunakan.

Yasmin angguk laju-laju. Matanya terasa seakan-akan panas. Pertama kali mendengar suara Thaqif sedikit tinggi, dia rasa takut bercampur sedih. Abangnya bukan seperti ini.

“Maknanya... yang dia pakai tudung selama ni, itu menipu?”

“Tak. Tak. Itu gambar lama. Sekarang, dia memang dah pakai tudung.”

“Gambar lama?” Makin tinggi nada suara Thaqif.

Tak perlu Yasmin menjelaskan apa-apa, dia maklum. Segala teka-teki yang berselirat dalam kepalanya sejak munculnya Shana secara tiba-tiba dalam hidupnya, terjawab sudah. Sekeping gambar yang jelas mempamerkan rasa gembira tiga sahabat telah merungkai segala-galanya.

Hanya... jika mereka bertiga sudah begitu gembira, mengapa mesti mengharu-birukan hidupnya?

“Jadi... nilah yang Min sorokkan daripada abang selama ni, ya?”

Semakin menikus Yasmin. Kalau tak mengenangkan dia bersalah, dia tentu sudah lari.

“Puas abang fikir. Puas abang cari jawapan, tapi tak jumpa. Semuanya kabur tak memberi makna. Rupa-rupanya, yang abang cari sebenarnya dah ada depan mata. Dekat sangat dengan abang. Tapi, abang buta sebab abang tengok betapa polosnya adik-adik abang. Betapa yang abang nampak, sucinya muka mereka sampai abang langsung tak syak apa-apa,” luah Thaqif dalam nada suara yang perlahan.

Tak percaya Yasmin dan Budriz sanggup mempermain-mainkan dia sampai sejauh ini. Langsung tak ada dalam bayangannya, kemunculan Shana berkait rapat dengan mereka berdua.

“Kenapa buat abang macam ni, Min?”

“Abang...”

“Apa salah yang dah abang buat pada Min dan Budriz sampai korang hukum abang dengan hukuman yang kejam macam ni?”

“Abang... maaf. Min minta maaf. Min tak niat macam tu,” pinta Yasmin. Dia rasa sangat bersalah pada Thaqif.

“Min dan Budriz tergamak tikam abang dari belakang, sampai hati betul!”

Sorry... sorrysangat-sangat, abang,” pinta Yasmin dengan suara parau. Tangannya cuba mencapai tangan Thaqif, tapi ditepis. Berkali-kali dicuba, berkali-kali juga ditepis abangnya itu.

“Tak payah pegang tangan abang!”

“Abang...”

Thaqif menggeleng dengan raut wajah kesal. Teringatkan Shana, dia memejamkan matanya rapat-rapat. Dia marahkan gadis itu kerana turut terlibat dalam rancangan yang tentu saja dibuat adik-adiknya. Tapi, dia lebih marahkan dirinya kerana bertindak terburu-buru. Seharusnya, dia menyiasat terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Kini, kata sudah terlepas sedang hakikatnya, Shana mengejar dirinya bukan atas kehendak sendiri.

“Betul abang, Budriz pun tak niat.” Budriz tiba-tiba muncul selepas mendengar suara tinggi Thaqif. Lama diamati abang dan adiknya. Mahu melihat apa seterusnya yang bakal berlaku. Tapi, bila tangisan Yasmin mula kedengaran, dia tak mampu bertahan lagi kerana mereka berdua, ibarat cubit paha kanan, paha kiri ikut terasa.

“Habis, apa niat korang?” tanya Thaqif serius.

“Nak kahwin!” jawab Budriz selamba. Perkara sudah di luar kawalan, baiklah dia berterus terang. Kalau Thaqif hendak mengamuk, biarlah hanya sekali ini. Selepas itu, hubungan mereka akan kembali baik kerana antara mereka ada hubungan darah yang mengikat.

“Korang yang nak kahwin, kenapa libatkan abang?”

“Sebab kalau tak libatkan abang, sampai bila-bila pun Min dan Budriz membujang,” balas Budriz selamba. Bukannya dia tak gerun melihat raut Thaqif yang serius, tapi dia tak mahu api dilawan api. Biar dia menjadi air yang mendinginkan abangnya itu. Lagipun, pusing ikut mana pun memang sudah terang lagi bersuluh. Dia dan Yasmin tak mungkin boleh meletakkan kesalahan di pundak orang lain.

“Abang dah kata nak tolong yakinkan ibu, abang dah pernah cakap dulu. Tak boleh sabar sikit lagi?”

“Ibu tak akan dengar cakap abang!”

“Kita tak cuba lagi. Mana Budriz tahu tak berjaya?”

“Sebab yang bernama Syarifah Najibah tu ibu kita, bukannya ibu orang lain. Itu yang Budriz yakin sangat tu.”

“Budriz...” Yasmin geleng kepala. Tak mahu Budriz menjolok kemarahan Thaqif.

Coollah, Min! Bukan aku nak gaduh dengan abang pun.”

Melihat Yasmin yang tersengguk-sengguk menahan tangis, Thaqif mengeluh perlahan. Baru sedikit suaranya naik, keadaan Yasmin sudah seteruk itu. Kalau tekaknya memetir mengalahkan halilintar, mungkin satu-satunya adik perempuan yang dia ada itu bakal meraung. Mujur juga dia bukannya jenis panas baran. Tetap juga dapat mengawal diri walaupun marahnya memang membuak-buak. Sakit hati dijadikan bahan gurauan adik-adiknya.

“Sudahlah! Cakap banyak pun dah tak ada makna lagi.” Thaqif terus berlalu.

Hati di dalam terasa libang-libu. Tentu Shana fikir aku lelaki perasan, desis hati kecil Thaqif.

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.