“SAMPAI hati tak
ingatkan saya. Padahal, hari-hari saya ingatkan abang. Kadang-kadang, saya
makan tak kenyang. Tidur tak lena dan mandi pun tak basah. Semuanya sebab abang
tau...”
Ketawa perlahan Shana meletus saat teringatkan kata-katanya
pada Thaqif malam tadi. Betul-betul tak ubah seperti perempuan gedik.
Tersua-sua pada lelaki yang tak sudi. Kalaulah aksinya dilihat pengarah filem,
tentu hari ini dia sudah dilamar menjadi heroin dalam filem tersebut.
Tapi sungguh... saat berkata-kata begitu, tekaknya mual
sendiri. Nak termuntah mengenangkan betapa tak malunya dia.
Kalau mamanya yang mendengar, tentu wanita itu bakal pitam.
Tak percaya yang berkata-kata itu anak sendiri. Kalau papanya pula, mungkin
sekali lagi dia bakal dihantar ke Australia. Atau lebih kejam lagi, dibiarkan
saja tinggal di Antartika. Pasti papanya beranggapan yang tempoh dua tahun itu
gagal memanusiakan dirinya. Hakikatnya, kini dia semakin mengerti bahawa ujian
dan dugaan itu merupakan pakej yang turut lahir seiring dengan manusia di atas
muka bumi ini.
Dulu itu dia jahil, maka semua yang didatangkan padanya
dianggap hanya bertujuan mahu menyusahkan dirinya.
Ampunkan dosa hamba-MU ini ya ALLAH. Hamba-MU ini khilaf.
Namun untuk memutarkan kembali masa supaya segala kesilapan
yang dilakukan dapat dipadamkan, tak mungkin. Itu di luar kemampuannya, juga
manusia yang lain. Yang mampu dilakukan, hanya berubah ke arah kebaikan.
Jadikan kenangan dulu sebagai guru yang paling baik.
Tapi... Adriah? Ya ALLAH...
Muka diraup dengan kedua-dua belah tangannya. Nafas ditarik
panjang sebelum dilepaskan bebas ke udara. Mengharap dirinya kembali tenang. Ya
ALLAH... desisnya terus.
“Saya tak nak jumpa awak!”
Sebaris ayat Thaqif kembali di telinga Shana. Wajah Adriah,
kian menjauh. Lalu, tawa yang tadinya hilang, kembali lagi. Mulanya perlahan.
Namun lama-kelamaan bertukar menjadi ketawa yang besar. Geli hati mengenangkan
betapa beria-ianya Thaqif tak mahu bertemu dengannya. Macamlah dia pembunuh
bersiri.
Tapi jika dia diletakkan di tempat Thaqif, dia pun takut
juga. Tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba saja diganggu.
“Awak memang kelakarlah, Thaqif,” ungkap Shana sambil
memegang perut. Masih ketawa.
Kemudian tubuh direbahkan di atas tilam. Bantal empat segi
kecil berwarna hitam ditekapkan ke muka. Menghalang ketawanya lepas bebas ke
segenap ruang. Bimbang ketawanya melepasi bilik. Tak mahu dirinya dianggap gila
oleh mama dan papanya.
“Lawak... lawak...”
Terus bibir Shana mengomel di balik bantal. Langsung tak
peduli pada bibirnya yang sudah dicalit lipstik berwarna pink. Jauh sekali memikirkan pakaian yang sudah membalut tubuhnya
berkedut seribu. Tudung elok terletak di kepalanya tentu akan senget-benget.
Apa yang dia tahu, dia mahu melepaskan semua rasa geli hatinya yang tak dapat dikongsi
dengan sesiapa. Biar selepas ini, dia dapat melakukan pekerjaannya dengan
tenang. Tanpa perlu memikirkan hal-hal yang berkaitan dengan Thaqif.
“Bye, abang sayang...”
Makin kuat ketawa Shana sehingga perutnya terasa tegang.
Seumur hidupnya, tak pernah lagi dia mengejar lelaki sampai begitu sekali. Dengan
Raqib, tingkahnya lebih agresif berbanding ketika bersama-sama Naim, tapi tidaklah
sampai seteruk itu. Kali ini memang keterlaluan.
“Kesian...”
“Shana...”
Panggilan suara lunak yang tiba-tiba menyapa mematikan
ketawa Shana. Terus terkedu jadinya. Lumpuh pergerakan kecilnya yang sekejap ke
kanan dan sekejap ke kiri. Hatinya gementar sedangkan bantal langsung tak dialihkan
daripada menutup mukanya.
Mama dengar ke aku ketawa? Mama dengar ke aku bercakap-cakap
sendiri?
Dalam sejuknya pendingin hawa yang masih terpasang, Shana
terasa dirinya seakan-akan panas berbahang.
Tolonglah... janganlah mama salah faham. Janganlah!
“Tidur lagi?” tanya Puan Sri Ratna. Dia duduk di atas katil
Shana. Lengan anaknya disentuh penuh kasih. Namun hatinya tak tenteram.
Kata-kata dan ketawa Shana sempat menampar telinganya.
Sekali lagikah dia perlu melalui situasi yang sama?
Tolong TUHAN, janganlah, desis hati kecilnya walang.
Cukuplah apa yang telah menimpa Shana. Dia mahu melihat anak gadisnya itu
menjalani hidup dan kehidupan seperti anak-anak orang lain. Mendung dalam hidup
Shana harus berlalu pergi. Jangan terus-terusan hanya berlegar-legar di atas
kepala. Dia tak sampai hati melihatnya. Hatinya rasa seperti dicarik-carik
halus.
Perlahan-lahan, Shana mengalihkan bantal ke sisi kanannya.
Senyuman manis dihadiahkan buat Puan Sri Ratna. Renungan matanya tertumpah pada
mama kesayangannya itu. Inilah dia... inilah dia insan yang tak pernah kurang
memberikan kasih sayang padanya. Tak pernah peduli walau kesalahan yang dibuat
bukannya kecil. Tak kisah langsung pada umpat keji orang tentang dirinya.
“Shana... kenapa nak?” tanya Puan Sri Ratna lembut. Hati
makin gusar melihat renungan Shana.
Shana geleng. Masih terus tersenyum. Lalu, perlahan-lahan
ditarik lengan Puan Sri Ratna. Memaksa mamanya supaya berbaring di sisinya.
Terasa sangat lama mereka tak berbuat begitu.
Bila Puan Sri Ratna akur, terus Shana peluk tubuh mamanya
erat-erat.
“Mama... terima kasih ya,” ucapnya perlahan, sedikit lirih.
Mata mamanya ditentang.
“Untuk apa?”
“Untuk semua yang dah mama buat pada Shana,” ujar Shana
sebak. Makin erat tubuh ramping Puan Sri Ratna didakap. Memang dia pernah lupa
pada segala-galanya saat hati dan mindanya hanya memikirkan soal luka. Namun
dalam pada lupa itu, dia tak pernah tak sedar kehadiran mamanya.
Kerap dilihat mamanya menitiskan air mata, namun tetap juga
dia hanyut dengan dunianya sendiri.
“Shana tahu Shana dah buat banyak kesilapan pada mama. Shana
sedar Shana dah malukan papa. Malukan keluarga kita. Shana betul-betul minta
maaf atas semua kesalahan Shana selama ni,” sambung Shana dengan mata terpejam
rapat. Tak sanggup lagi menatap bening mata mamanya.
Saat terasa dahinya dikucup hangat, pantas mata dibuka.
“Shana anak mama. Anak kesayangan mama sampai bila-bila.
Yakinlah sayang, ditakdirkan lepas ni kejadian yang sama berulang lagi, mama
tetap terima Shana dengan hati terbuka. Mama tetap tatang Shana macam minyak
yang penuh sebab tak ada ibu di dalam dunia ini yang tak sayang pada anak
sendiri. Dan hati mama selalu yakin, Shana mama yang dulu tu akan kembali lagi.
Mama selalu yakin, Shana...”
Mama...
Hati Shana lantang menjeritkan panggilan itu. Kesal dengan
kesilapan demi kesilapan yang pernah dilakukan. Bukannya sebulan dua, tapi
menjangkau sehingga masa bertahun. Tapi biarlah. Yang penting kini dia telah
berubah. Sedar, bukan Naim. Bukan Raqib untuknya. Tentu ada lelaki lain yang
dijanjikan untuknya. Dengan lelaki itulah kelak, tangannya bakal dipimpin
menuju ke jalan ALLAH.
“Jom...” ajak Puan Sri Ratna setelah pelukan terlerai. Dia
duduk kembali.
“Ke mana?” Ada kerut di dahi Shana.
“Tak mungkin mama ajak Shana pergi karaoke, kan?”
“Mama ni...”
Puan Sri Ratna tergelak perlahan. Muka cemberut Shana yang
dikenakan, menerbitkan rasa lucu. Lantas, pipi gebu Shana diusap-usap dengan
penuh kasih sayang. “Pagi-pagi macam ni, sebelum pergi kerja tentulah kena isi
perut kenyang-kenyang biar lebih semangat bekerja.”
“Okey! Tapi... papa ada?”
“Sampai bila Shana nak mengelak daripada papa? Shana dan
papa tinggal satu rumah, macam mana pun tetap akan jumpa kalau pun bukan hari
ni,” luah Puan Sri Ratna lembut. Memujuk Shana supaya tak terus mengelak
daripada bertembung dengan Tan Sri Zaidi. “Kita dah lama tak sarapan berempat
macam dulu. Kita turun sarapan sama-sama ya? ” pujuk Puan Sri Ratna penuh
harap. Jari-jemari Shana digenggam erat.
“Nasi goreng cina ada?”
“Kalau Shana nak, nasi goreng india pun mama akan usahakan
untuk Shana,” usik Puan Sri Ratna sambil tersenyum lebar. Mata dikenyitkan pada
Shana. Shana yang keletah, ini... barulah anaknya! Bukan yang murung dan suka
membuat hal sendiri. Gurau senda langsung tak ada.
SUDU di hadapannya dicapai, namun matanya terhala tepat ke arah
Tan Sri Zaidi yang terus menghayati makanan di dalam pinggan. Tertib cara
papanya makan. Tapi sedikit pun tak membuang pandang padanya. Seolah-olah, yang
ada di ruang makan yang luas itu hanya papanya sendiri. Mereka bertiga dibuat
acuh tak acuh saja.
Papa, pandang Shana, pa.
Shana rindu papa Shana yang dulu, desis hati kecil Shana.
Perlahan-lahan nafas ditarik, kemudian dilepaskan dalam
kiraan satu dua dan tiga. Dalam diam, hati yang rajuk dipujuk sendiri.
Sungguh... jauh di lubuk hatinya yang paling dalam, dia rindukan Tan Sri Zaidi.
Dia rindukan papanya yang selalu melayannya dengan baik. Tersenyum dan ketawa
dengan setiap tingkahnya. Malah, memanjakannya melebihi Haidar walaupun dia
anak sulung.
Dia akur betapa marah papanya tak pernah padam. Mungkin
masih menyala dalam marak yang sama biar masa telah jauh bergerak.
Selepas apa yang dibuat, entah bagaimana agaknya papanya
berhadapan dengan Raqib dan Nadra? Staf lain lagi?
Maaf, papa... Shana dah malukan papa. Shana minta maaf
sangat-sangat!
“Kau kerja kat mana sekarang ni Shana?” tanya Haidar dengan
riak kosong.
“Haidar...” tegur Puan Sri Ratna. Tak gemar Haidar yang muda
dua tahun daripada Shana itu memanggil nama pada kakak sendiri.
Haidar pandang Puan Sri Ratna. Sekilas sebelum matanya
tertancap tajam pada Shana. Sakit hati. Kalau berkaitan dengan Shana, dia
selalu menjadi mangsa teguran. Ada-ada saja yang tak kena di matanya. Padahal,
bukannya baru hari ini dia memanggil Shana begitu. Sudah terlalu lama dan dia
sudah cukup selesa. Keras lidahnya hendak memanggil Shana dengan gelaran
‘kakak’ seperti dulu.
“Biarlah, mama. Tak luak apa pun.”
“Hah... dengar tu? Dia pun tak kisah kalau Haidar panggil
dia dengan nama. Sama aje! Bukannya bila Haidar panggil dia dengan nama kakak,
boleh padamkan apa yang dah dia buat. Sikit pun masa lalu tu tak terjejas,
mama...” kata Haidar selamba.
Terjegil mata Puan Sri Ratna menatap Haidar yang bermuka
selamba. “Mama tak suka Haidar. Sebagai adik, Haidar perlu ada rasa hormat pada
kakak Haidar. Tinggi atau besar macam mana pun, kakak tetap kakak dan adik
tetap juga adik. Tak boleh bertukar kedudukan.”
Shana senyum. Sejak 11 tahun lalu, dia tak kisah apa
panggilan Haidar padanya. Namun sejak akhir-akhir ini, sejak dia peduli pada
yang dinamakan keluarga, dia teringin dipanggil kakak oleh Haidar. Cumanya,
menenangkan Haidar hari ini dan Haidar dulu, berbeza bagai langit dan bumi, dia
tahu yang dia tak boleh berharap terlalu banyak. Kalau memang ada rezekinya
dipanggil kakak sekali lagi, akan sampai harinya kelak.
“Mama kalau Haidar buat semua tak kena. Kalau Shana buat air
muka mama dan papa jatuh pun mama tak kisah,” ungkit Haidar geram.
Terasa pipinya seperti ditampar Haidar, namun Shana hanya
diam. Tahu, memang dia bersalah dan dia patut disalahkan. Sekali lagi, lewat
matanya dia melihat Tan Sri Zaidi. Tetap juga papanya tak mengendahkan apa yang
berlaku. Entahkan masakan Mak Indah begitu sedap, entahkan papanya sudah bosan
bila sesuatu perkara itu berkaitan dengan dirinya.
“Sudahlah Haidar. Jangan ungkit hal yang tak penting.”
“Bagi mama mungkin tak penting tapi Haidar tak akan lupa
sampai bila-bila.”
“Haidar tak ada kan masa tu?”
Sinis senyuman yang Haidar lemparkan pada Shana yang sudah
tertunduk menekur meja. Sesudu nasi goreng cina pun tak sempat Shana makan.
Tapi dia tak peduli dan tak mahu ambil peduli. Yang dia tahu, dia mahu
melepaskan apa yang dia rasa. Ini saatnya dia membalas segala rasa sakit hati
pada kakaknya itu.
“Haidar mungkin tak ada masa tu, tapi sampai sekarang staf
kita masih sebut hal tu. Hal Shana yang tak malu terhegeh-hegeh hendakkan suami
orang. Kalau orang lain tak apa, ni staf sendiri. Malu, mama. Lagipun Haidar
tak pernah lupa apa yang terjadi pada...”
“Haidar, diam!” Tinggi sedikit suara Puan Sri Ratna. Tak
gemar bila Haidar terus-terusan mengelar luka di hati Shana. Baginya, yang
sudah biarkan sudah. Untuk apa mengenang semalam yang pahit jika hari ini cukup
manis.
“Tapi, mama...”
“Sudah!” Sekali lagi suara Puan Sri Ratna melengking.
Shana bangun perlahan. Tak betah lagi terus di situ. “Shana
pergi kerja dulu mama.”
“Shana...”
Shana geleng sambil mempamerkan senyuman kelat. Di dadanya,
ada sakit yang terasa mencucuk-cucuk. Selepas masa berlalu, setelah banyak yang
keluarga mereka jalani, bukan ini yang mahu dilihat. Dia mengimpikan makan
bersama mereka dalam suasana yang aman dan damai. Bukan tegang seperti ini!
“Shana dah lambat, mama. Shana pergi dulu...”
Terus Shana berpusing, selangkah kakinya bergerak, setitis
air matanya gugur. Kesal kembali bertamu. Maaf, mama. Maaf, papa. Maaf juga
Haidar. Adriah... maaf!