MALAS melayan ditambah sakit hati, Thaqif jalan selaju mungkin.
Tak mahu bersaing dengan Shana yang masih mengekor di belakangnya. Menyesal tak
sudah dia kerana bertemu dengan Shana. Sudahnya, jangankan berhenti
mengejarnya. Disuruh jangan memanggilnya abang pun gadis itu tak mahu menurut.
Masanya benar-benar terbuang! Dan kini, dia harus memikirkan
cara lain untuk mengelakkan diri daripada terus diburu Shana.
“Abang, tunggulah!” pinta Shana.
Makin panjang langkah yang diambil Thaqif. Mahu segera
sampai ke Menara Semarak yang hanya beberapa ratus meter jaraknya.
Rupa-rupanya, diburu perempuan agak menggerunkan. Apalagi, perempuan yang tak
tahu malu seperti Shana.
“Abang, tunggulah saya sekejap. Janganlah jalan laju-laju
sangat. Tak terkejar saya jadinya.”
Thaqif buat-buat tak dengar. Dia anggap, Shana bukan
bercakap dengannya. Dia bayangkan dia hanya berjalan sendiri selepas balik
daripada makan tengah hari. Sedangkan, yang kenyang hanya perut Shana. Dia
hanya minum segelas air epal.
“Abang!” jerit Shana kuat. Dia terus berhenti mengejar
langkah Thaqif.
Beberapa orang yang lalu-lalang, memandang Shana dan Thaqif
penuh minat, bersilih ganti. Mahu tahu drama apa yang sedang berlangsung di
tengah-tengah panas yang masih berbahang.
Kuat Thaqif mengetap bibirnya. Langkah dihentikan, menunggu
Shana. Namun tetap juga gadis itu tak menghampirinya. Lantas, dia berpatah
kembali ke belakang dan berjalan pantas ke arah Shana yang masih memakukan
langkah. Kalau Shana itu adiknya, memang diluku-luku kepala itu biar panas.
Gagal menarik perhatiannya, gadis itu tarik pula perhatian orang ramai.
Buatnya ada yang mengenalinya kerana Menara Semarak yang
terletak di situ, mana hendak diletakkan muka?
Kalau Syed Faruq tahu, takkah dia bakal dibebel?
“Gaduh ke?” tegur seorang perempuan separuh umur. Sekejap
dia pandang Thaqif, sekejap kemudian dipandang Shana.
Shana tersengih. “Dia ni kedekut betul mak cik. Mulut aje
kata sayangkan saya, tapi bila saya mintak dibelikan aiskrim pun tak nak. Tu
yang masam muka macam asam kecut. Macamlah saya minta dia bawa saya makan angin
kat Korea. Atau pun minum secawan teh kat Turki. Tak pun makan malam di Paris.
Ni, aiskrim tepi jalan aje! Tak patut, kan mak cik?” tanya Shana selamba. Dia
tersenyum manis pada perempuan peramah itu. Atau dalam bahasa yang lebih kasar,
perempuan yang suka menjaga tepi kain orang. Pantang jika yang dilihat agak
menarik perhatian.
“Memang tak patut!”
Thaqif terasa seperti mahu mencekik-cekik leher Shana biar
gadis itu berhenti bernafas hari ini.
“Kamu pun, jadi suami janganlah kedekut sangat,” tegur
perempuan itu bersungguh-sungguh memberi nasihat.
“Dengar tu abang!” ejek Shana pada Thaqif.
“Perempuan ni kalau selalu tak banyak kerenah, tiba-tiba
jadi banyak tu tandanya ada yang tak
kena pada dia.”
“Maksud mak cik?” tanya Shana. Berminat hendak tahu.
Sedangkan Thaqif yang melihat, terasa hati bagaikan
digaru-garu. Sudahlah dia hendak cepat sampai ke Menara Semarak. Tak cukup
dengan Shana, kini terpaksa pula menadah telinga mendengar ceramah tentang
rumah tangga daripada perempuan yang langsung tak dikenali. Benar-benar
membuang masanya.
Entah badi apa, akhir-akhir ini dia sering disapa orang yang
tak dikenali. Mula-mula, Shana. Kemudian mak cik ini pula. Selepas ini entah
siapa pula yang bakal muncul menghuru-harakan hidupnya.
Memang nasib aku ni tak berapa nak baik agaknya sekarang ni,
desis hati kecil Thaqif.
“Yalah, mungkin kamu berdua nak terima orang baru agaknya.”
“Anak, maksud mak cik?”
Shana jeling Thaqif, yakin yang ketika ini hati Thaqif tentu
sedang memaki hamun dirinya. Tapi biarlah. Selagi telinganya tak mendengar, dia
tak akan peduli. Lainlah kalau Thaqif bercakap menggunakan mulut, di hadapan
matanya. Itu barulah harus difikirkan apa yang patut dia rasa.
“Ya. Mungkin tak lama lagi akan ada anak yang bakal lahir.
Tentu comel macam kamu berdua juga,” puji perempuan tersebut.
Shana tergelak kecil. Terhibur walaupun tekaan perempuan itu
langsung tak mengena.
Anak? Ada anak dengan Thaqif? Ada anak secomel mereka
berdua?
Tak mungkin!
Baginya, dia hanya singgah sebentar dalam hidup lelaki itu.
Kemudian, dia akan pergi begitu saja. Berumah tangga dan punya seorang suami,
juga anak-anak comel, tak ada dalam perancangannya buat masa ini. Cukuplah
hanya dua kali itu saja niat mahu mempunyai keluarga pernah disimpan. Tak mahu
ditambah menjadi tiga dalam masa terdekat ini. Dia sudah cukup selesa dengan
hidupnya kini.
Punya seorang suami, belum tentu dia akan jadi selapang
sekarang ini.
“Kamu jangan marah-marah dia lagi ya?”
Kelat senyuman Thaqif. “Yalah mak cik, nanti saya tak
marah-marah dia lagi. Saya akan belikan isteri saya yang saya sayang
sangat-sangat ni kilang aiskrim, letak dalam rumah. Boleh buat mandi kalau dah
jemu makan nanti. Atau mengidam,” balas Thaqif. Sengaja perkataan isteri
ditekankan untuk memberitahu Shana betapa hatinya mendidih kerana dianggap
suami yang kedekut hanya gara-gara Shana.
Padahal, dia belum dipunyai sesiapa!
“Betul ke abang?” Shana sudah menayangkan rupa teruja.
“Betul sayang!” Tekan Thaqif sambil tersenyum lebar. Namun
hati di dalam merungut tak sudah.
“Baguslah macam tu.” Kemudian perempuan itu berlalu begitu
saja.
Shana yang melihat langkah yang kian menjauh itu, ketawa
perlahan. Tak menduga ada pelakon tambahan yang sudah berlakon dalam filem dia
dan Thaqif walaupun tak pernah dipinta.
“Apa lagi yang awak nak ni Melati? Nak makan, saya dah beri.
Nak minum, saya dah beri. Tak cukup ke sampai awak nak kena buat macam ni
sekali? Eh... saya malulah orang anggap saya macam tu!”
“Saya nak abang!”
“Saya tak nak awaklah! Berapa ratus kali nak cakap? Ke awak
nak saya cakap dalam bahasa lain selain daripada bahasa Melayu dan Inggeris
ni?”
“Bahasa apa yang abang boleh cakap lagi?”
“Hei...”
“Abang nak saya bomohkan abang ya supaya cintakan saya?
Kalau nak, saya buat nanti,” potong Shana selamba. Suka melihat muka merah
padam milik Thaqif. “Bomoh Siam okey kot, abang? Dengarnya ilmu mereka kuat.”
Kaki kembali Thaqif ayun tanpa membalas kata-kata Shana yang
seperti orang tak bertamadun. Zaman moden, masih berfikir soal bomoh bagai,
nampak benar betapa gadis itu hidup di zaman batu. Cumanya, kalau benar kenapa
jadi begitu berani mengejar lelaki? Gadis zaman batu tentu saja tak begitu.
Tak mahu memikirkan soal itu, kepala digelengkan. Berterusan
melayan kerenah Shana, akalnya bakal hilang. Darahnya bakal naik melambung.
Kalau terkena strok, mungkin dia bakal koma selama-lamanya.
“Jangan ikut saya!”
“Saya tak ikut abang,” katanya sambil kaki terus melangkah
mengikut Thaqif sehingga berhenti di hadapan Menara Semarak.
“Jangan ikut saya naik ke pejabat!” tegah Thaqif.
Cukup-cukuplah dia dimalukan Shana hari ini. Kalau dibiarkan Shana terus
mengekorinya, tak mustahil satu pejabat kecoh hari ini.
Tak! Tak akan dibenarkan Shana terus mencatat memori hitam
dalam hidupnya!
“Siapa yang nak ikut pun? Saya hanya nak tengok abang sampai
masuk dalam bangunan. Nak pastikan abang tak kena culik. Lepas tu saya baliklah
ke tempat kerja saya pula.”
Ringan saja tangan Thaqif mahu meramas bibir Shana.
Cakap-cakap gadis itu selalu lepas. Langsung tak berfikir panjang bila
berkata-kata. Dia yang mendengar pula terasa semput nafas. Kemudian, tanpa
mengendahkan Shana, dia melangkah laju ke hadapan. Biar cepat sampai. Rimas
jika terus diekori begini.
“Kesian dia. Susah hati aku kerjakan,” kata Shana sambil
tergelak sendiri.
Namun melihat bayang-bayang yang semakin menghilang, dia
bersandar di tiang lampu isyarat sambil mengeluh panjang. Melihat Thaqif,
menanggapi penerimaan lelaki itu yang sangat pasif, dia tahu yang dia bakal
menghadapi jalan yang sukar. Tapi dia akan cuba bertahan selagi mana dia mampu
bertahan. TUHAN, tolonglah...
“DAH 30 tahun aku
hidup dalam dunia ni, tapi tak pernah aku jumpa perempuan macam tu. Muka
cantik, sawo matang. Senyum manis macam gula. Ayu bertudung. Pakai baju kurung
kain kapas bertanah pink dan berbunga
putih. Tapi perangai, jauh panggang dari api. Tak malu betul!” rungut Thaqif
sebaik saja melepasi pintu utama. Merah padam mukanya kerana menahan geram.
Masih teringat-ingat betapa selambanya seraut wajah milik
Shana setiap kali bersuara. Bibir nipis itu tak pernah lekang dengan senyum dan
ketawa. Malah, setiap kata-katanya ditangkis dengan berani. Langsung tak peduli
pada muka kelatnya yang rimas dengan gangguan yang bertali arus.
“Bos... cakap apa tu?” tegur Sakinah sambil tersenyum.
“Tak ada apa-apa!” balas Thaqif selamba.
“Eh... macam marah aje?” tanya Sakinah lagi. Masih tersenyum
manis. Sengaja mahu berbual-bual dengan Thaqif. Bosnya itu dilihat tergesa-gesa
keluar sebaik saja jarum jam menunjukkan ke angka 1.00 tengah hari.
“Awak ada buat salah ke?”
Sakinah geleng lembut. Kemudian dia tergelak-gelak perlahan.
Tahu, Thaqif sengaja mahu mengenakannya.
“Yakin ke tak ada?”
Kali ini Sakinah berdiri tegak, tak lagi bersandar di tepi
meja. Thaqif nampak seperti serius, tak tenang seperti selalu. Kalau silap
gaya, mungkin hari ini dalam sejarah dia bakal ditengking lelaki kesukaan ramai
di Menara Semarak itu, kecuali dia. Thaqif baginya hanya seorang bos dan dia
setiausaha kepada lelaki itu.
“Pergi tengok cermin dan tengok apa yang awak sedang pakai
sekarang ni, Atikah!” tegur Thaqif tiba-tiba kepada Atikah yang baru melepasi
dia dan Sakinah yang masih berdiri.
Atikah yang tak bersedia, terkedu. Tubuhnya yang berskirt
singkat dan biasanya sengaja diliuklentokkan, dipandang.
Usai berkata-kata, Thaqif terus melangkah tanpa mengendahkan
Sakinah yang bungkam. Telinganya mendengar gelak ketawa beberapa orang staf
yang tentunya melihat dan mendengar apa yang dikata pada Atikah, tapi
dipekakkan telinga. Lama, sangat lama sebenarnya dia teringin menegur Atikah
yang selalu mengenakan pakaian sesuka hati. Bukan saja warnanya
terang-benderang, singkat pun tak usah dikata. Seperti sengaja mengundang
banyak mata supaya terus memakukan pandangan di tempat-tempat yang tak
sepatutnya.
Belum lagi diambil kira solekkan di muka yang mengalahkan
warna pelangi. Pendek kata, selagi ada warna, selagi itulah Atikah mahu
praktikkan di muka. Dia yang melihat, kadang-kadang rasa ngeri sendiri.
“Ini semua Shana punya pasallah ni!”
Terus Thaqif masuk ke bilik pejabatnya dan menghempaskan
punggung di kerusi empuk. Teringatkan Shana kembali, dia merengus kasar. Kepala
dipegang dengan kedua-dua belah tangannya. Hati yang geram masih gagal
dipulihkan. Semuanya terasa serba tak kena. Dalam sekelip mata, ketenangannya
bagaikan direnggut pergi. Padahal, dia bukannya jenis yang mudah melatah.
Marah-marah jauh sekali kerana dia manusia yang selalu belajar daripada
pengalaman. “Huh! Harapkan muka aje cantik. Teruknya,” bebel Thaqif terus.
Sabar yang cuba dipupuk, bertabur sekali lagi. Seketika, duduknya yang sendeng
ditegakkan serta-merta. Matanya membulat sendiri.
“Apa aku cakap tadi? Muka dia cantik?”
Thaqif tepuk dahi dengan telapak tangan. Agak kuat. Tak
percaya dalam pada meluat pada Shana, dia masih sempat memuji gadis itu yang
sememangnya berwajah menarik. Yang lebih tak dapat diterima akal, dia dapat
mengingati dengan jelas warna dan corak baju yang tersarung di tubuh ramping
Shana.
“Aku ni dah kenapa? Geram sampai tak boleh lupa dengan
setiap yang ada pada dia?”
Kepala, Thaqif geleng-geleng pantas dengan riak cuak. Cuba
mengenyahkan bayang-bayang Shana yang bagaikan tak mahu meninggalkannya. Dalam
dinginnya pendingin hawa, terasa dahinya bagaikan berpeluh. Namun saat disapu
dengan belakang tangan, kering.
“Apa yang awak dah buat dengan hidup saya ni Shana Melati?”
“Melati? Siapa tu Thaqif?” tanya Syed Faruq ingin tahu. Dia
berdiri di muka pintu.
“Tak ada siapa-siapa. Thaqif ingat nak tanam pokok melati
kat taman mini ibu.”
Dahi Syed Faruq berkerut, namun dia tak mahu bertanya lagi.
“Dah solat? Kejap lagi ada meeting.”
“Nak pergilah ni,” balas Thaqif malu. Terlalu melayan
perasaan, terlupa pada tanggungjawab sebagai seorang hamba-NYA.Ini semua, Shana
punya pasal!