Home Novel Cinta LELAKI ITU DIA
Bab 21

BEG bimbit diletakkan di sisi kiri. Lantas tubuh dijatuhkan di atas sofa empuk sebelum kepala disandarkan kasar. Mata dipejamkan rapat-rapat sambil bibir melepaskan keluhan panjang. Letihnya rasa, TUHAN saja yang tahu. Kalau dirinya robot, lama agaknya skru-skru yang ada di tubuhnya tercabut. Satu demi satu. Mujur saja dia manusia. Ada isi, tulang, urat dan darah yang bekerjasama memastikan dia masih terus bernafas.

“Aku merepek apa ni?” tanya Thaqif perlahan pada diri sendiri.

Ada senyuman pada bibirnya. Geli hati mengenangkan dalam pada letih, mindanya masih mampu berfikir sesuatu yang berada di luar kotak. Kalau tak letih, mungkin mindanya boleh pergi lebih jauh lagi. Kalau dibiarkan terus, mungkin seketika nanti dia sudah ada di angkasa.

“Shana...” desisnya perlahan.

“Mata pejam tapi mulut bercakap. Cakap sorang-sorang pula tu. Thaqif mimpi ke berangan ni?” usik Syarifah Najibah tiba-tiba.

Terus mata Thaqif terbuka luas. Duduk yang bersandar spontan jadi tegak. Melihat sekujur tubuh Syarifah Najibah yang masih sangat anggun dalam usia 50 tahun, dia tersenyum kelat. Ada rasa takut-takut di hatinya. Rasa yang datang setiap kali mendengar suara atau melihat kelibat ibunya.

Padahal, cerita semalam sudah terlalu jauh ditinggalkan masa.

“Ibu...” Perlahan saja suara Thaqif. Mungkin tak akan sampai ke telinga Syarifah Najibah jika ruang tamu luas itu tak sunyi.

“Dah lama balik?” tanya Syarifah Najibah lembut. Dia teringin mengusap-usap kasih rambut Thaqif.

“Baru lagi,” jawab Thaqif ringkas.

“Banyak kerja di pejabat?” Syarifah Najibah cuba memancing mulut Thaqif supaya terus berkata-kata dengannya.

Tak malu diakui, dia rindukan Thaqif walaupun hakikatnya mereka tinggal di bawah bumbung yang sama sejak lima tahun yang lalu. Dia rindukan senyum dan ketawa Thaqif. Bahkan, dia rindu mahu mendengar panggilan ibu terbit di bibir Thaqif berkali-kali. Bukannya hanya sekali atau dua dalam sehari.

“Macam biasa aje.”

Syarifah Najibah duduk di sofa bertentangan. Ikutkan hati dia teringin duduk di sisi Thaqif sama seperti yang kerap dilakukan dengan Budriz dan Yasmin. Melihat reaksi kaku Thaqif, dia hela nafas panjang. Ada satu rasa menghempap perasaan keibuannya. Sakitnya tak mampu digambarkan dengan perkataan, perbuatan jauh sekali.

Tapi hendak disalahkan siapa, bila dia yang awal-awal membina jurang.

Anak itu sudah berusia 30 tahun, tapi sampai ke detik ini Thaqif masih nampak takut-takut dengannya. Macamlah dia raksasa yang bakal membaham Thaqif pada bila-bila masa saja. “Anak ibu penat?” Masih juga Syarifah Najibah tidak kenal erti jemu. Tetap berharap Thaqif jadi lebih ramah dengannya. Meskipun dia ibarat menunggu buah yang tak gugur.

Lima tahun Thaqif kembali tinggal di rumah ini, bukannya satu jangka masa yang singkat. Tapi lima tahun itu tak pernah berjaya mendekatkan dia dengan anak sulungnya itu. Antara dia dah Thaqif, ada tembok konkrit di tengah-tengah.

“Tak.”

Sedihnya Syarifah Najibah bukan kepalang. Dinginnya Thaqif mengilukan seluruh hatinya. Dia mengutuk sikap garangnya ketika Thaqif masih kecil hingga menginjak ke alam sekolah menengah, yang berkesudahan Thaqif memilih tinggal di asrama. Bila Thaqif memilih Universiti Massey, New Zealand sebagai tempat melanjutkan pelajaran, anak itu terasa seperti sudah tak mampu lagi dicapai tangannya.

“Nak ibu buatkan air?”

Thaqif geleng perlahan. Sejujurnya, dia tidak tahu bagaimana hendak berbual-bual dengan Syarifah Najibah. Jauh sekali melayan ibunya dengan mesra. Bukannya mereka jarang berjumpa. Bukan juga tidak biasa bercakap. Hanya dia memang beku setiap kali ibunya muncul.

Benci? Tak! Dia tak pernah membenci Syarifah Najibah.

Marah? Ya... itu pun suatu ketika dulu! Seiring masa, marahnya lenyap. Yang terjadi sudah pun terjadi. Ibunya hanya penyebab kepada apa yang telah ditetapkan oleh ALLAH. Hanya, seiring masa juga dia sudah tak tahu bagaimana caranya untuk beramah mesra dengan wanita yang telah melahirkannya itu.

“Ibu buatkan air ya sayang?”

“Tak payahlah, ibu.”

“Thaqif...” Sayu nada suara Syarifah Najibah.

Thaqif jadi serba salah. Gusar setiap kali melihat muka kecewa Syarifah Najibah. Dia tahu ibunya cuba mendekatinya. Selalu berusaha merapatkan jurang yang ada di antara mereka berdua. Butalah matanya kalau tidak perasan kerana tingkah ibunya sangat ketara. Malah, bukan hanya dia yang tahu. Ayah dan adik-adiknya juga tahu.

Namun, dia tidak tahu bagaimana hendak menyingkirkan rupa kecewa ibunya itu. Bukannya tak pernah dicuba, sudah dan berkali-kali. Tetap juga dia tidak tahu cara melayan ibunya dengan mesra. Balik-balik, hatinya beku hingga bibirnya jadi kaku. Sudahnya bila duduk dengan ibunya, mereka lebih banyak diam daripada berbual-bual.

Maafkan Thaqif, ibu. Thaqif sayang ibu tapi Thaqif tak tahu nak buat macam mana.

“Ibu buatkan air Thaqif ya?”

“Tak payah ibu. Kejap lagi Mak Midah bawa. Dia dah biasa bawakan Thaqif air setiap kali balik kerja.”

Kalau tidak mengenangkan rasa malu, mahu saja Syarifah Najibah meraung depan Thaqif. Biar anak itu tahu betapa hatinya rasa tergores. Sudahlah Thaqif tidak mahu melayannya dengan mesra, menerima layanannya juga anak itu tidak sudi. Thaqif lebih rela berharap pada pembantu rumah dibandingkan ibu sendiri. Dia sungguh-sungguh kecil hati.

“Tak sudi minum air buat ibu?”

“Bukan... bukan macam tu ibu.” Thaqif rasa serba salah. Dia tak berniat begitu.

“Kalau bukan, kenapa tak biarkan ibu buat air untuk Thaqif?”

“Thaqif tak nak susahkan ibu.”

“Untuk Thaqif, untuk anak-anak ibu dan ayah, ibu tak pernah rasa disusahkan,” ujar Syarifah Najibah perlahan. Hatinya sebak.

“Thaqif minta maaf, ibu...”

Semakin tersayat perasaan Syarifah Najibah. Ucapan maaf Thaqif bagaikan pisau yang melibas hatinya. Seperti dulu, anak itu tak pernah lokek dengan ucapan maaf. Salah atau sebaliknya, Thaqif akan cepat-cepat memohon maaf walaupun marahnya tak mudah surut. Sungguh... dia rasa terhukum!

“Tak perlu minta maaf. Thaqif tak ada buat apa-apa kesalahan pada ibu. Tolong jangan minta maaf pada ibu.”

“Ibu, maaf...”

“Tolong jangan, Thaqif...”

“Ibu...”

Syarifah Najibah cuba mengukir senyum walau senyumnya perit. Dia berdoa supaya hari Thaqif melayannya dengan mesra sampai secepat mungkin. Tak rela terus-menerus berangan dapat duduk berbual-bual dengan Thaqif di ruang tamu ini. Dia mahu angan-angan menjadi kenyataan.

“Ibu naik dulu. Thaqif pun jangan tidur lewat. Thaqif dah cukup penat tu sebab hari ni balik lewat daripada biasa. Lepas minum nanti, mandi. Makan malam dan lepas tu rehat dan tidurlah dengan lena.”

Tanpa menunggu balasan kata-kata daripada Thaqif, Syarifah Najibah atur langkah. Mata yang bergenang saat kaki memijak anak tangga pertama, dikedip-kedipkan supaya tak gugur. Berapa lama lagi dia harus menunggu Thaqif melayannya seperti seorang ibu? Sungguh... dia rindukan senyum dan ketawa ikhlas Thaqif! Bukannya senyum dan ketawa yang bersulam dengan rupa serius seperti yang selalu Thaqif pamerkan padanya.


JIBAH...” tegur Syed Faruq sebaik saja melihat Syarifah Najibah berdiri di tengah-tengah muka pintu bilik. Raut wajah isterinya itu suram. Mata wanita kesayangannya memerah seperti baru lepas menangis.

“Abang...”

Punggung dilabuhkan di sisi suaminya yang sedang duduk bersandar di kepala katil. Lambat-lambat, bahunya dijatuhkan di bahu lelaki yang telah hidup dengannya lebih daripada 30 tahun. Hatinya masih walang mengenangkan Thaqif yang sangat dingin bila berhadapan dengannya.

“Jibah nangis?”

Najibah menggeleng pantas. Dia tersenyum, namun senyumnya tawar tak bergula.

“Jangan nangis Jibah. Kalau Jibah nangis, abang takut hidup Thaqif tak tenang.”

“Jibah tak nangis.”

“Tapi mata Jibah beritahu abang yang Jibah baru saja lepas menangis. Sedih macam mana pun, abang minta sangat-sangat supaya Jibah dapat bertahan dan jangan sesekali titiskan air mata kerana Thaqif dan anak-anak kita yang lain. Kesian mereka nanti,” nasihat Syed Faruq tenang.

Syarifah Najibah meraup muka dengan kedua-dua belah tangannya. Kalau masa mampu diundur, dia akan melakukannya. Kemudian, dia akan melayan Thaqif dan anak-anaknya yang lain dengan baik. Salah dan nakal mereka akan ditegur dengan penuh berhemah. Bukannya dengan jerit pekik dan penyangkut baju di tangan.

“Air mata Jibah tak sempat gugur. Cuma sekadar bertakung di mata,” ujarnya parau. Hati ibu mana tak tersentuh bila anak yang dilahirkan lebih memilih meminum air tangan orang lain.

Syed Faruq meletakkan buku tebal yang dibaca sejak tadi di meja kecil di tepi katil. Mahu memberikan sepenuh perhatian terhadap Syarifah Najibah. Kalau bukan dia sebagai suami menenangkan perasaan isteri yang libang-libu, siapa lagi yang dapat melakukannya. “Terima kasih, Jibah sebab jadi seorang isteri dan ibu yang penyabar.”

“Tapi dulu Jibah tak sabar dan kerana sikap tak sabar Jibahlah hari ni Jibah hilang Thaqif,” ujarnya dengan hati retak seribu.

“Jibah tak pernah hilang Thaqif dan tak akan pernah hilang Thaqif.”

“Jibah rindu dia, abang...”

“Dia ada di ruang yang sama dengan kita, Jibah. Tak pernah pun dia kata nak tinggalkan rumah ni.”

“Dia ada, tapi dia macam tak ada. Jibah sedih sangat.”

Syed Faruq senyum. Syarifah Najibah hari ini dengan Syarifah Najibah yang dikenali berpuluh-puluh tahun dulu, bezanya bagai langit dengan bumi. Tapi jika disuruh pilih, dia lebih sukakan Syarifah Najibah ini daripada Syarifah Najibah itu kerana perbezaan tingkah yang sangat ketara.

“Kalau bertahun-tahun Jibah boleh tunggu, takkanlah tak boleh tunggu sikit hari lagi?”

“Jibah takut tak mampu terus sabar. Jibah takut kalah.”

“Jibah kuat dan abang percaya Thaqif akan lembut hati kalau Jibah terus berusaha,” kata Syed Faruq cuba memberi semangat.

“Jibah nak anak Jibah yang dulu, abang. Bukannya yang beku macam sekarang...”

“Sabar... ALLAH sayang orang yang sabar,” pujuk Syed Faruq.

“Jibah menyesal layan dia dengan buruk.”

“Tak apa. Tak apa...” pujuk Syed Faruq tenang.

Jika dia di tempat Syarifah Najibah, dia pun akan merasakan perasaan yang sama. Bertahun-tahun cuba membeli jiwa Thaqif dengan harapan anak itu akan lunak hati. Namun cubaan demi cubaan yang dibuat tetap gagal. Thaqif tetap juga dingin. Tak tahu bagaimana hendak bereaksi apabila berhadapan dengan Syarifah Najibah. Sudahnya, isterinya makan hati sendiri.

Bukan tak pernah ditegur tingkah Thaqif, berkali-kali. Namun tetap juga anak itu begitu. Sengaja tak didesak kerana dia tahu betapa Thaqif bukannya sampai hati mahu melapah-lapah hati Syarifah Najibah. Hanya apa yang berlaku dulu tak mampu anak itu nyahkan daripada kotak fikiran.

“Jibah nak anak Jibah, abang...”

“Syhhh... malam ni kita bangun. Kita buat solat tahajud, solat hajat macam selalu minta ALLAH lembutkan hati Thaqif untuk Jibah,” kata Syed Faruq lembut.

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.