Home Novel Cinta AKU TAK SALAH
AKU TAK SALAH
Kamsiah Abu
1/1/2014 18:47:29
79,247
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 5

“Wani, awak lapar tak?” Badrul bertanya sambil tersenyum mesra.

Norsyazwani yang duduk di sebelahnya tergamam seketika. Entah berapa kali Norsyazwani jadi tergamam dengan tindakan Badrul yang tidak diduganya hari itu.

Semasa mula-mula menaikki keretanya untuk ke bank pagi tadi, Badrul sudah membuat kejutan. Dia menyuruh Norsyazwani duduk bersamanya di belakang apabila Norsyazwani mahu membuka pintu kereta untuk duduk di tempat penumpang di hadapan di sebelah pemandunya. Hakikatnya Norsyazwani tidak mahu mengganggu Badrul. Ia juga sebagai tanda dia menghormati Badrul sebagai ketuanya.

Tidak tergamak Norsyazwani mahu bersoal jawab ketika itu, demi menjaga maruah Badrul di hadapan pemandunya. Maka mahu tidak mahu Norsyazwani terpaksa juga duduk di belakang bersama ketuanya itu. Begitulah juga ketika ini. Norsyazwani benar-benar tidak tahu apa yang harus dijawab ke atas soalan yang tidak diduganya itu.

“Wani?...”

“Eeerrr… ya, Encik Bad..”

“Awak dengar tak apa yang saya tanya?”

“Eeemmm… Encik Bad lapar ke?”

Norsyazwani sendiri tidak menyangka soalan itu telah begitu lancar terlontar dari mulutnya. Namun dia tetap rasa lega kerana itu menandakan dia dengar apa yang telah ditanyakan oleh lelaki itu tadi.

“Lapar. Itu sebab saya tanya Wani kerana saya cadang nak singgah makan dulu kat mana-mana restoran. Kemudian baru kita ke pusat pameran tu. Awak okey ke?” sambil terus merenung gadis di sebelahnya itu, Badrul mencadangkan.

Mata mereka bertembung dan bertautan buat seketika apabila Norsyazwani yang menunduk sejak tadi berpaling memandang ke arah ketuanya itu. Hati Badrul pula yang bergetaran melihat sinar mata Norsyazwani yang begitu jernih bagaikan menikam jantungnya. Mata bertentang mata, lidah kelu untuk berbicara. Keadaan sunyi seketika bagaikan Malaikat sedang melintasi mereka.

“Macam mana, Wani?” akhirnya Badrul bertanya kembali.

“Kalau Encik Bad dah lapar dan nak singgah makan dulu, saya ikut sajer. Orang tua-tua kata, rezeki jangan di tolak bala jangan di cari…” balas Norsyazwani, cuba menceriakan suaranya.

Good!.. Kalau begitu, kita singgah makan dulu. Hhmm… Raju!..”

Yes, boss!..”

“Hantar kami ke Restaurant Khalifah…” Badrul mengarahkan pemandu peribadinya itu.

“Sekarang ke boss?”

“Ya, sekarang!.. Lepas makan nanti baru hantar kami ke pusat pameran tu…”

“Okey, boss!..” balas Raju sambil terus menumpukan pemanduannya, menuju ke destinasi yang disebut oleh Badrul tadi.

Norsyazwani hanya membisu dan terus menunduk sambil tangannya memulas-mulas tali beg tangannya tanpa tujuan. Tidak tahu apa yang harus dilakukan. Dia benar-benar rasa canggung duduk bersebelahan Badrul dalam situasi begitu. Dari sudut matanya Norsyazwani dapat melihat Badrul sentiasa memerhatikan gerak gerinya.

Lebih kurang lima belas minit suasana sunyi sepi melanda mereka, akhirnya Raju memberhentikan kereta di hadapan restoran yang dimaksudkan. Norsyazwani segera menarik nafas lega sebaik dia dan Badrul telah keluar dari kereta. Bagaikan sudah terlepas beban yang menyiksakan seketika tadi. Lalu segera mereka beriringan memasukki restoran.

Norsyazwani hanya menurut sahaja ketika Badrul memilih tempat untuk mereka duduk. Begitu juga ketika memilih makanan. Norsyazwani sentiasa membiarkan Badrul yang membuat pilihan walaupun Badrul ada bertanya pendapatnya. Bagi Norsyazwani, lelaki itu yang mengajaknya maka biarlah kelebihan hak memilih itu diserahkan kepada ketuanya itu.

“Awak dah kenal lama ke dengan Airil Amri?” Badrul bertanya ketika mereka sedang menunggu makanan yang dipesan.

“Hah?...” Norsyazwani yang sedang asyik membelek sudu dan garpu yang ada di hadapannya menjadi agak terkejut dengan soalan Badrul itu.

Hakikatnya Norsyazwani memang sejak awal lagi merasa serba salah dan amat canggung berduaan dengan Badrul seperti itu. Dan sebab itulah dia tidak banyak bercakap melainkan menjawab apa yang ditanya oleh lelaki itu sahaja.

“Awak dah lama ke kenal dengan Airil Amri?...” Badrul menekankan suaranya apabila Norsyazwani bagaikan tidak mendengar pertanyaannya tadi.

“Tak adalah!.. Dia datang semasa hari pelancaran pameran tu sajer..” jawab Norsyazwani bersahaja.

“Tapi saya tengok dia macam dah kenal lama dengan awak…”

“Apa yang buat Encik Bad berfikiran begitu?”

“Cara dia memandang dan tersenyum pada awak, macam you all dah biasa kenal ajer…” komen Badrul dengan nada nakal.

Norsyazwani terkedu. Tidak menyangka Badrul telah memerhatikan semua reaksi Airil Amri padanya tadi. Kenapa Mamat ni sebuk sangat pasal aku dengan Amri?.. gertus Norsyazwani dalam hati, agak jengkel.

“Entah!.. saya pun tak perasan!..”

Norsyazwani nampak Badrul membulatkan matanya sambil memandang tepat ke arahnya seolah mencabar jawapannya itu.

“Saya rasa sama sajer macam pelanggan-pelanggan lain yang kekadang menegur saya kalau berjumpa di mana-mana walaupun kekadang saya dah tak berapa ingat mereka. Mungkin lelaki memang begitu kot… suka cuba menunjukkan keramahan mereka pada perempuan yang baru mereka kenali…” ujar Norsyazwani lagi selamba, cuba menekankan hujjahnya sambil mahu menyindir Badrul.

“Jangan samakan semua lelaki…”

“Maksud Encik Bad?”

“Tak semua lelaki suka menunjuk-nunjuk depan perempuan. Lelaki yang jujur, tidak akan menunjuk-nunjuk…” agak serius nada Badrul, tetapi suara mesranya tetap jelas kedengaran.

“Macam Encik Bad?...”

Norsyazwani tertawa kecil seolah geli hati. Dia sendiri tidak tahu mengapa tiba-tiba sahaja dia rasa mahu mengusik lelaki itu. Perasaan canggungnya tadi mulai surut sedikit demi sedikit apabila lelaki itu mula banyak berbicara dengannya.

“Awak perli saya ya?”

Mata mereka bertautan seketika apabila Norsyazwani mendongak memandang ke arah Badrul yang memang sedia merenungnya sejak tadi. Kelihatan Badrul mengangkat-ngangkatkan keningnya seolah tidak sabar menunggu jawapan dari gadis yang duduk di hadapannya itu.

“Kenapa Encik Bad terasa?” Norsyazwani semakin seronok mencabar lelaki itu sambil terus tersenyum nakal.

“Patutlah semua lelaki yang kenal awak begitu seronok ketika berjumpa awak. Awak pandai menceriakan suasana…” komen Badrul tanpa menjawab cabaran Norsyazwani.

“Encik Bad yang mahu saya begitu kan?” ujar Norsyazwani terus tersenyum nakal.

“Iya ke? Bila saya suruh awak begitu?..”

Badrul pula yang mula seronok melayan usikan Norsyazwani apabila melihat gadis itu sudah tidak lagi kelihatan serba salah dan malu-malu seperti awal tadi. Perasaan yang sering terdetik di hati kecil Badrul selama ini bagaikan mula memekar.

“Masa Encik Bad temu duga saya dulu!..” balas Norsyazwani selamba.

Badrul mengerutkan keningnya sambil menatap wajah yang polos itu dengan mata yang tidak berkelip-kelip. Cuba mengingati apa yang dikatakan oleh Norsyazwani itu. Sementara Norsyazwani hanya tersenyum nakal seolah puas dapat berteka teki dengan ketuanya itu.

“Awak memang sengaja nak kenakan saya ya?..” jolok Badrul.

“Apa pulak nak kena mengena? Kan memang Encik Bad yang mahu semua pegawai pemasaran mestilah pandai mengambil hati pelanggan supaya mereka tidak akan berbelah bagi untuk membeli produk syarikat kita. Jadi, sebab itulah saya sentiasa cuba membuat semua pelanggan rasa seronok ketika berurusan dengan saya…” balas Norsyazwani sambil tersenyum riang.

“Ya!.. betul, betul tu. Saya pulak yang terlupa pasal tu. Awak memang seorang pegawai pemasaran yang berkalibar…” Badrul memuji pegawainya itu.

“Encik Bad perli saya ya?” Norsyazwani sengaja pula meniru ungkapan Badrul tadi.

“Awak rasa saya perli awak ke?” cabar Badrul pula.

“Tak adalah… kalau Encik Bad betul jujur puji saya tadi, terima kasihlah. Saya hanya menjalankan tanggung jawab yang telah diamanahkan kepada saya. Arwah emak saya selalu pesan, kalau mahu rezeki berkat kerja dengan jujur dan ikhlas…” dengan nada yang agak mengendur, Norsyazwani berkata.

“Eloklah kalau awak benar-benar ikhlas. Saya yakin awak punya potensi yang luas untuk maju dalam kerjaya awak…” balas Badrul, jujur.

Norsyazwani yang baru mahu menjawab komen Badrul itu terpaksa mematikan niatnya apabila pelayan restoran telah datang meletakkan makanan yang dipesan di hadapan mereka.

Bau aroma makanan yang amat menyelerakan itu telah benar-benar membuat Norsyazwani terliur. Baru dia tersedar yang dia sebenarnya memang amat lapar kerana dia hanya minum segelas teh tarik dan makan sekeping sandwich ketika minum di cafeteria bersama Aryna pagi tadi.

Perlahan-lahan Norsyazwani menarik nafas dalam-dalam, cuba menyorokkan rasa lapar yang dirasainya itu dari dikesan Badrul yang sedang memerhatikannya. Namun Norsyazwani segera turut mengangkat kedua tangannya untuk mengaminkan doa sebaik melihat Badrul mengangkat tangannya sambil membaca doa makan untuk mereka berdua.

Jauh di sudut hati Norsyazwani terdetik rasa kagum akan reaksi Badrul itu dan juga sikap lelaki itu terhadapnya sejak pagi tadi. Lelaki itu bukanlah batang kayu yang tiada perasaan sebagaimana yang sering dikatakan oleh warga kerja Teguh Sejati Holding, tetapi dia adalah seorang lelaki yang pandai menjaga keperibadiannya.

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.