Home Novel Cinta AKU TAK SALAH
AKU TAK SALAH
Kamsiah Abu
1/1/2014 18:47:29
70,822
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 4

“Eh!... ini Cik Syazwani kan?” kedengaran suara mersik lelaki yang cuba menyaingi langkahnya menegur.

Norsyazwani yang baru mahu melangkah keluar dari bank untuk menuju ke kereta Badrul segera berpaling, memandang ke arah lelaki itu dengan kening yang berkerut. Sempat Norsyazwani menjeling ke arah Badrul di belakangnya yang masih kelihatan berbual mesra dengan pegawai bank yang mereka temui tadi.

“Ya!... Saya Syazwani. Eeerrr…”

“Saya Airil Amri. Cik Syazwani dah tak kenal ke?”

Kerutan di kening Norsyazwani bertambah dalam apabila anak mata mereka bertembung. Segera Norsyazwani menundukkan pandangannya apabila anak mata Airil Amri bagaikan sedang memanah anak matanya. Tiba-tiba hati kecil Norsyazwani bagaikan tersentak apabila teringat akan tenungan tajam itulah yang telah membuat dia kelam kelibut tempoh hari.

“Airil Amri?... Eeeemmm… Ooohh!.. okey, okey… Encik Amri yang minta brochurestetapi dah habis semasa datang ke pameran syarikat kami tempoh hari kan? Ma’aflah kerana saya tak berapa kenal tadi…” sambil menepuk-nepuk lembut dahinya sendiri, Norsyazwani cuba memesrakan suaranya apabila telah mula mengenali lelaki yang berdiri di sebelahnya itu.

“Iyalah… ramai sangat kan orang yang datang jumpa Cik Syazwani, jadi tentu susah nak ingat semuanya. Tambah-tambah macam saya yang hanya baru sekali jumpa kan?..” sambil terus merenung Norsyazwani dengan penuh minat, Airil Amri membalas dengan nada yang seolah merajuk walaupun bibirnya tetap mengukirkan senyuman mesra.

“Bukan macam tu… Cuma saya terkejut bila ada orang memanggil nama saya ketika di tempat awam begini…” Norsyazwani segera membela diri, khuatir kalau potential customernya itu berkecil hati.

“Eeerrrr… Cik Syazwani buat apa di sini? Tak jaga di pusat pameran ke?” tanya Airil Amri dengan ramahnya.

“Saya dan big boss saya ada mesyuarat di bank ni tadi. Encik Amri pula nak ke mana? Cuti ke hari ini?” Norsyazwani pula cuba berbasa basi.

“Oh!.. mana big boss Cik Syazwani?” soal Airil Amri sebaliknya sambil memanjangkan lehernya, memandang sekeliling ruang di dalam bank itu.

“Tu!.. Entah apa lagi yang masih tak habis-habis mereka bincangkan. Padahal mesyuarat dah selesai tadi. Dia kata nak balik cepat, tapi masih lagi ngok-ngek-ngok-ngek sampai keluar bilik mesyuarat…” sambil memuncungkan bibirnya ke arah Badrul yang masih kelihatan seolah berbisik-bisik dengan pegawai bank itu, Norsyazwani sempat mengomel.

“Orang business memang macam itulah. Tidak kira di mana sahaja, kalau ada peluang business mereka pasti tidak mahu melepaskan peluang itu…” komen Airil Amri pula sambil turut memandang ke arah Badrul.

Entah mengapa tiba-tiba terdetik rasa cemburu dalam hati Airil Amri apabila melihat Badrul yang masih muda dan kacak bergaya itu.

“Wah!.. nampak muda lagi big boss awak tu ya!... Untunglah muda-muda dah banyak duit!..” Airil Amri bagaikan tidak mahu menyembunyikan rasa cemburunya.

“Dah rezeki dia ALLAH beri. Lagi pun Teguh Sejati Holding ni adalah syarikat milik keluarga dia, jadi memang patut pun dia jadi big boss kami..Tapi, Encik Amri pun apa kurang? Muda lagi dah mampu nak milikki rumah sendiri harga juta-juta.” Ujar Norsyazwani sambil cuba mengusik lelaki yang di hadapannya itu.

Kelihatan Airil Amri hanya mengangguk-ngangguk tanda memahami apa yang dikatakan oleh Norsyazwani sambil terus memandang ke arah Badrul.

“Encik Amri nak ke mana ni?” Norsyazwani mengulangi lagi pertanyaannya apabila lelaki itu masih belum menjawab pertanyaannya tadi.

“Saya pun ada urusan sikit dengan bank ni. Jadi dah kebetulan nak masuk waktu makan tengahari, saya singgahlah dulu sekejap. Tak sangka…”

Airil Amri yang pada awalnya kedengaran seronok berbicara tiba-tiba bagaikan terputus kata-kata apabila terpandang Badrul yang kelihatan tergesa-gesa menghampiri tempat di mana mereka sedang berdiri itu.

“Tidak sangka apa, Encik Amri?” Norsyazwani segera bertanya, agak hairan.

“Wani… ma’af kerana terpaksa menunggu saya tadi. Tak sangka pulak Mr. Khoo minta kita sahkan terlebih dahulu beberapa isu yang telah kita kemukakan tadi sebelum apa yang dipersetujui di mesyuarat di tanda tangani...” kedengaran Badrul mengomel dengan rasa terkilan sebaik dia sampai di tempat Norsyazwani berdiri.

“Ops!..” Norsyazwani yang tidak menyedari ketuanya itu sudah pun berdiri di sebelahnya, segera berpaling memandang ke arah lelaki itu dengan rasa amat terkejut. Manakala Airil Amri terus memerhatikan mereka tanpa sebarang suara.

“Kenapa Wani? Saya buat awak terkejut ke?”

Segera Badrul bertanya dengan nada agak prihatin apabila melihat Norsyazwani begitu terkejut dengan kehadirannya tanpa mempedulikan Airil Amri yang sedang memerhatikan mereka. Badrul menyangkakan Airil Amri hanyalah salah seorang pelanggan bank yang sedang menunggu giliran untuk berurus niaga di kaunter bank itu.

“Eemm… saya terkejut sebab tiba-tiba sajer Encik Bad dah ada sebelah saya. Tadi saya lihat Encik Bad masih sebuk berbincang dengan Mr. Khoo…” Norsyazwani cuba menstabilkan suaranya yang agak bergetar kerana terkejut tadi.

“Itulah… macam-macam pulak yang Mr. Khoo nak kita sediakan. Tadi masa mesyuarat dia tak cakap pun. Tapi… eeemmm… tak mengapalah, nanti kita bincang lagi di pejabat. Sekarang… jom cepat kita ke pusat pameran dulu!..” Badrul segera mengajak sambil mahu melangkah.

“Eeerrrr… Encik Bad!.. saya nak kenalkan Encik Bad dengan salah seorang highly potential customer kita yang kebetulan juga ada urusan di bank ni…” Norsayzwani yang masih tidak berganjak dari tempat dia berdiri segera berkata sambil berpaling memandang ke arah Airil Amri yang begitu setia memerhatikan mereka sejak tadi.

“Oh!.. mana? Siapa dia?” dengan agak teruja Badrul bertanya sambil turut membatalkan langkahnya.

Norsyazwani memandang tepat ke anak mata Airil Amri seolah cuba memohon persetujuan lelaki itu untuk mengenalkannya kepada Badrul. Airil Amri yang bagaikan faham niat Norsyazwani segera mengenyitkan matanya sambil terus tersenyum nakal seolah seronok melihat Badrul begitu teruja.

Hati Norsyazwani bagaikan melayang-layang dan bergetaran apabila melihat kenyitan mata dan senyuman nakal Airil Amri yang tidak diduganya itu. Dirasanya amat romantis dan benar-benar berjaya menyentuh naluri kewanitaannya. Segera Norsyazwani mengalihkan pandangannya ke arah Badrul kerana tidak mahu Airil Amri mengesani apa yang sedang dirasanya itu jika mata mereka terus bertautan.

“Encik Bad, ini Encik Airil Amri, one of potential customers who is very interested in our project around Klang Valley… Encik Amri, ini boss saya Encik Badrul…” Norsyazwani segera mengenalkan kedua lelaki itu.

Badrul segera berpaling memandang ke arah Airil Amri lalu menghulurkan tangannya untuk bersalaman.

“Assalamualaikum Encik Amri. Nice to meet you. Sorry!.. Tak sangka you dah kenal Wani. Saya ingatkan you is one of the bank’s customer yang sedang menunggu giliran…” dengan nada mesra Badrul menegur.

“Waalaikumussalam. It’s okey. Saya pun tak sangka boleh berjumpa Cik Syazwani tadi kerana kebetulan saya pun memang baru sahaja selesaikan sedikit urusan di bank ni tadi…” sambil menjeling mesra ke arah Norsyazwani yang sedang memerhatikannya, Airil Amri membalas salam perkenalan dari Badrul.

Hati Norsyazwani terus bergetaran apabila anak matanya sekali lagi bertembung dengan anak mata Airil Amri yang begitu bercahaya memanah anak matanya. Norsyazwani jadi lemas sendirian kerana dia tidak pernah merasa begitu walaupun telah bertentang mata dengan ramai lelaki sebelum ini. Perlahan-lahan Norsyazwani menarik nafas dalam-dalam seolah mencari lebih oksigen untuk membolehkan dia terus bernafas.

“Oh, iya ke? Habis tu macam mana? Dah buat keputusan nak pilih rumah yang mana satu?” cuba mengambil hati pelanggan, Badrul bertanya mesra.

“Eeemm… masih berfikir-fikir lagi. InsyaAllah dalam sedikit masa lagi saya akan hubungi Cik Syazwani..” balas Airil Amri sambil terus melemparkan senyuman yang menggoda ke arah Norsyazwani.

“Jangan fikir lama-lama Encik Amri. Takut nanti kehabisan unit kerana rumah-rumah di kawasan tu memang popular demand...” cuba menstabilkan suaranya, Norsyazwani segera menyarankan bagi menonjolkan kredibilitinya sebagai pegawai pemasaran yang berkelibar.

“Ya!.. betul apa yang dikatakan oleh Wani tu. Saya cadangkan Encik Amri segeralah buat keputusan sebelum terlambat. Pasal pembiayaan kewangan, kita sudah ada kerjasama dengan bank ini dan tawarannya amat menarik untuk sesiapa yang layak. Saya harap Encik Amri akan membuat keputusan segera..” Badrul menyokong saranan Norsyazwani.

“Wah!.. Bank ni ada beri tawaran menarik ya? Bagus tu. InsyaAllah, InsyaAllah… Saya akan hubungi Cik Norsyazwani segera nanti..” balas Airil Amri dengan nada riang.

“Okeylah, kalau macam tu, kami minta diri dulu Encik Amri. Sampai jumpa lagi, Assalamualaikum!..” ujar Badrul seolah tidak mahu lagi berlengah-lengah.

“Waalaikumussalam. Cik Syazwani, nanti saya hubungi Cik Syazwani ya!..” sambil melemparkan senyuman mesra, sempat Airil Amri sekali lagi mengenyitkan matanya pada Norsyazwani, bagaikan ada rahsia antara mereka.

Norsyazwani hanya mampu mengangguk kerana lidahnya bagaikan kelu untuk bersuara apabila kenyitan mata Airil Amri benar-benar telah menusuk ke lubuk hatinya yang paling dalam. Norsyazwani jadi lemas dan malu pada dirinya sendiri kerana syok sendiri. Dia yakin lelaki itu tidak bermaksud apa-apa selain mahu menunjukkan sikap mesranya bagi memudahkan mereka berurusan lagi kelak sebagaimana pelanggan-pelanggan syarikatnya yang lain.

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.