Home Novel Cinta AKU TAK SALAH
AKU TAK SALAH
Kamsiah Abu
1/1/2014 18:47:29
70,882
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 14

“Untuk apa ni?” soal Norsyazwani, hairan.

“Untuk mendaftarkan nama kita sebagai peserta kursus yang dianjurkan oleh Pusat Islam pada setiap hujung minggu…” dengan nada bersahaja Airil Amri menjelaskan.

“Peserta kursus? Saya tak pernah pun memohon untuk mengikuti kursus perkahwinan. Nak buat apa? Saya belum lagi nak kahwin!...” balas Norsyazwani, semakin keliru.

“Memang Hani tak pernah mohon tetapi Am yang nak ajak Hani ikuti kursus tu…”

“Iyalah… tapi untuk apa?” pintas Norsyazwani.

“Kursus perkahwinan, untuk persediaan berkahwinlah. Takkanlah untuk naik pangkat pulak…” semakin nakal Airil Amri mengusik.

Norsyazwani tergamam. Merenung tepat ke dalam anak mata Airil Amri. Benar-benar keliru dengan tindak tanduk Airil Amri yang tidak pernah diduganya itu. Adakah dia bermaksud mahu berkahwin dengan ku? Mustahil!.. Kami baru sahaja berkenalan dan belum pun mengenali hati budi masing-masing… Hati kecil Norsyazwani terus bertanya-tanya sendirian.

“Kenapa Hani? Masih keliru?” soal Airil Amri seolah menduga.

Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Norsyazwani terus merenung dalam ke anak mata Airil Amri tanpa sebarang suara. Cuba mentafsir apa yang tersirat di sebalik sinaran mata yang hening dan romantis itu.

“Kan tadi Hani tanya, macam mana Am nak melindungi Hani kerana kita bukan mahram. Jadi, untuk Am menjadi mahram Hani yang sah, kenalah kita diijab kabulkan. Dan sebab itu juga kita kenalah menghadiri kursus perkahwinan tu segera…” jelas kedengaran keriangan dalam nada suara Airil Amri.

“Awak sedar ke apa yang awak cakap ni?” Norsyazwani seolah menyergah.

Of course Am sedar!... Am bukannya mabuk sekarang ni…” bagaikan tiada apa yang memeranjatkannya, Airil Amri menjawab.

“Huh!...” kedengaran Norsyazwani mendengus keras sambil berpaling memandang ke luar restoran seolah bosan dengan sikap dan reaksi Airil Amri yang bersahaja itu. Nasib baik mereka duduk di sudut yang agak jauh dari pelanggan lain, maka tiada siapa pun yang sedar apa yang sedang berlaku antara mereka berdua itu.

“Kenapa Hani? Salah ke apa yang Am cakap tu?”

“Tak salah, tapi awak ingat saya ni anak ayam ke? Senang-senang sajer awak cakap pasal nak berkahwin!...” agak tegang kedengaran suara Norsyazwani.

“Sebab Hani bukan anak ayamlah, maka Am nak ambil Hani dengan cara terhormat iaitu melalui Ijab Kabul. Kalau anak ayam, Am terus ambil bawa lari sajer!...” dengan suara yang agak tegang juga Airil Amri terus mempertahankan tindak tanduknya.

“Huh!.. Awak ni memang tak faham ke?” dengan mata yang membuntang sambil mengetapkan bibirnya, Norsyazwani bertanya semakin geram.

Mata mereka bertautan. Seorang dengan biji mata yang membulat membayangkan perasaan geram yang sedang bergelora dalam hatinya, sementara mata yang seorang lagi jelas membayangkan rasa riang dan teruja.

“Hani… Am tahu bahawa Am mungkin bertindak di luar dugaan Hani. Tetapi macam yang Am dah cakap pada Hani kelmarin, Hani mempunyai sesuatu keistimewaan yang membuatkan Am mahu memilikkinya. Mungkin tempat dan masa sekarang ini tidak berapa sesuai tetapi…”

“Tetapi apa?” Norsyazwani memintas tidak sabar.

“Tetapi Am mahu Hani tahu juga yang Am memang benar-benar mahu melamar Hani dan berkahwin dengan Hani. Sudikah Hani menjadi isteri Am yang sah?...”

Sambil menghulurkan kedua telapak tangannya di atas meja seolah mahu memberikan sesuatu kepada Norsyazwani, tanpa mahu lagi berteka-teki, Airil Amri melamar gadis yang duduk di hadapannya itu dengan suara yang lirih.

Lagi sekali Norsyazwani tergamam. Mulutnya bagaikan terkunci. Jantungnya bagaikan berhenti berdenyut sehingga membuat paru-paru Norsyazwani terasa agak ketat untuk terus berfungsi. Norsyazwani terpaksa menarik nafas dalam-dalam seolah mencari lebih oksigen untuk membolehkan dia terus bernafas.

“Tidak!...” akhirnya terpancul juga perkataan itu dari mulut Norsyazwani.

Airil Amri terus merenung anak mata Norsyazwani dengan renungan yang tajam.

“Mengapa? Tidak layakkah Am menjadi suami Hani?” soal Airil Amri, seolah mendesak.

Kelihatan Norsyazwani menarik nafas panjang sebelum melepaskannya perlahan-lahan dan kemudian memandang kembali ke arah Airil Amri yang seolah setia menunggu jawapannya.

“Kita belum kenal hati budi masing-masing. Saya tidak mahu membuat keputusan terburu-buru begini. Macam yang awak pernah cakap, beli rumah bukannya macam beli goreng pisang. Ia perlu difikirkan betul-betul dengan mengambil kira beberapa faktor. Jadi…”

“Jadi apa?” Airil Amri segera memintas seolah tidak sabar.

“Perkahwinan juga bukanlah macam main pondok-pondok yang boleh dibena bila suka dan diruntuhkan bila-bila masa kalau tak sesuai. Walaupun ianya sesuatu yang disyariatkan dalam Islam bagi mereka yang sudah layak tetapi ALLAH juga mengingatkan kita agar memilih pasangan yang dapat memberi kebahgiaan kepada kita di dunia dan akhirat. Dengan itu kita harus memikirkan beberapa faktor dahulu sebelum menerima siapa sahaja bakal pasangan kita…” ujar Norsayzwani cuba memberi justifikasinya.

“Betul… ALLAH memberi kita peluang untuk memilih pasangan hidup kita sendiri, tetapi Hani jangan lupa bahawa ALLAH juga yang menentukan jodoh seseorang itu. Sekiranya ALLAH berkehendak bahawa jodoh Am adalah dengan Hani, maka tiada siapa yang dapat menghalangnya…” Airil Amri pula memberikan hujjahnya.

Norsyazwani terkedu seketika. Oh!.. lelaki ini bukanlah sebarangan orang yang boleh aku patahkan hujjah-hujjahnya!.. Aku perlu mempunyai kekuatan jati diri dan fakta yang tepat untuk berhujjah dengannya!.. hati kecil Norsyazwani berbisik sendirian seolah mengingatkannya.

“Tapi kita hidup bermasyarakat yang penuh dengan adap sopan dan budaya. Saya bukan hidup sebatang kara. Saya masih ada wali yang berkuasa atas diri saya. Lagi pun…” Norsyazwani cuba mempertahankan justifikasinya namun bagaikan terputus kata-kata.

“Lagi pun apa?” pintas Airil Amri.

Sambil terus merenung lelaki yang duduk di hadapannya itu, Norsyazwani menelan air liurnya bagaikan cuba melicinkan sesuatu yang tersekat di kerongkongnya untuk menyatakan apa yang sedang berputar di fikirannya.

“Awak tidak mencintai saya dan saya tidak mencintai awak!…” akhirnya Norsyazwani meluahkan walaupun hakikatnya dia sendiri agak keliru dengan perasaannya terhadap lelaki itu.

“Cinta boleh dipupuk selepas kahwin. Malah itu lebih afdal dari cinta yang disemai sebelum ada ikatan yang sah…” balas Airil Amri pula bersungguh-sungguh.

“Tapi, apabila seseorang itu berkahwin dia bukan sahaja berkahwin dengan pasangannya, sebaliknya yang lebih afdal ialah dia juga diibaratkan berkahwin dengan seluruh keluarga pasangannya itu…”

“Jadi?” soal Airil Amri seolah tidak sabar.

“Bagaimana kita mahu mendapat keberkatan dalam perkahwinan ini jika tiada seorang pun dari keluarga kita yang tahu atau merestui niat awak itu? Emak awak tahu ke pasal niat awak tu? Dapatkah dia menerima saya sebagai menantunya sedangkan dia tidak pernah kenal saya!..” bagaikan peluru mechine-gun Norsyazwani bertanya agak emosional.

Airil Amri hanya tersenyum nakal mendengar soalan Norsyazwani yang bertubi-tubi itu.

“Hani… Hani tidak perlu risau tentang emak Am. Dia seorang wanita yang baik dan amat memahami hati anak lelakinya. Dia sentiasa bersedia menerima siapa sahaja sebagai anak menantunya asalkan perempuan itu dapat membahgiakan Am!... Infact, Am memang sudah bercadang nak bawa Hani balik ke rumah Am selepas ini untuk memperkenalkan Hani kepada emak Am…”

Terus dengan senyuman mesra di bibirnya, Airil Amri menjawab tanpa ada sebarang riak risau atau bimbang akan perkara yang dibangkitkan oleh Norsyazwani itu. Sebaliknya Norsyazwani yang mengerutkan dahinya seolah tidak percaya dengan segala perancangan rapi lelaki itu terhadapnya.

“Oh!.. Awak memang sudah melampau!..” bidas Norsyazwani, geram.

“Apa yang melampau? Salahkah Am nak membawa Hani bertemu dengan emak Am di rumah? Am bukan nak bawa Hani ke kelab malam atau pun ke disko…” dengan nada yang bersahaja tetapi amat yakin, Airil Amri membalas.

“Oh!... Tolonglah… walau pun saya anak yatim piatu tetapi saya masih punya abang yang bertanggung jawab dan juga wali yang sah pada diri saya. Jangan buat umpama saya ni tiada wali atau pun adik beradik yang bertanggung jawab ke atas diri saya. Abang saya perlu tahu perkara ini sebelum sebarang keputusan boleh dibuat…” bagaikan sudah bosan dengan putar belit Airil Amri, Norsyazwani menyarankan.

“Okey, okey… Am faham apa maksud Hani. Sebab itulah Am nak bawa Hani jumpa emak dan adik Am supaya Hani boleh berkenalan dengan keluarga Am. Kemudian Hani nilailah sendiri samada mereka layak menjadi keluarga Hani atau tidak. Setelah itu, Am akan dengan senang hati bertemu pula dengan abang Hani untuk menguruskan urusan seterusnya…” bagaikan memujuk, Airil Amri pula mencadangkan.

Norsyazwani bagaikan hilang kata-kata untuk mematahkan setiap apa yang dicadangkan oleh Airil Amri. Hakikatnya semua yang dicadangkan oleh Airil Amri itu memanglah sesuatu yang baik namun apa yang Norsyazwani risaukan ialah tentang perasaan lelaki itu terhadapnya. Belum sekelumit pun Airil Amri menyebut tentang perasaannya yang sebenar terhadap Norsyazwani walaupun beberapa kali Norsyazwani cuba memprovokasi.

“Macam mana, Hani? Boleh ke Am bawa Hani ke rumah Am lepas ni?” kedengaran Airil Amri mengulangi cadangannya apabila melihat Norsyazwani hanya membisu.

“Boleh tak beri saya sedikit masa untuk memikirkannya?”

“Berapa lama?”

“Seminggu dua…”

“Mengapa perlu begitu lama?” Airil Amri seolah benar-benar tidak sabar.

“Macam saya cakap tadi, perkahwinan ini bukanlah macam main pondok-pondok. Jadi banyak faktor yang perlu saya ambil kira dan fikirkan kerana saya mahu perkahwinan saya bukan hanya untuk hidup bersama di dunia sahaja tetapi untuk terus bersama sehingga ke akhirat…” balas Norsyazwani, jujur.

“Betul. Am setuju benar dengan pendapat Hani itu. Tetapi sekadar untuk bertemu dengan keluarga Am, takkanlah Hani kena fikir sampai seminggu atau dua minggu? Kalau boleh Am mahu keluarga kita segera berbincang mengenai lamaran Am pada Hani…” Airil Amri terus mendesak.

“Mengapa awak beriya-iya benar mahu berkahwin dengan saya? Adakah atas dasar cinta atau pun atas dasar apa?”

Nosyazwani sudah tidak tahan lagi untuk menyimpan soalan maut itu. Dia benar-benar berharap Airil Amri akan meluahkan perasaannya dengan jujur dan ikhlas.

Airil Amri pula yang tersentak kali ini. Tidak menyangka Norsyazwani begitu berani bertanyakan sebab musabab perkahwinan yang dirancangkannya itu.

Oh!.. wanita ini bukan sebarangan orang yang mudah tergoda dengan pujuk rayu. Aku harus terus menunjukkan kesungguhanku agar dia yakin dengan aku!... Aku tidak boleh melepaskan dia kepada orang lain selagi aku tidak dapat apa yang aku mahukan!... hati kecil Airil Amri terus memasang tekad.

“Bagi Hani, apakah faktor utama yang boleh mendorong Hani membina sebuah perkahwinan?” akhirnya soalan Norsyazwani tadi dijawab dengan soalan juga oleh Airil Amri.

Norsyazwani membulatkan matanya, memandang tepat ke anak mata Airil Amri seolah tidak suka lelaki itu menjawab soalannya dengan soalan juga.

“Saya tanya awak, kenapa awak tanya saya pula? Bukan saya yang ajak awak berkahwin!..” ujar Norsyazwani agak sinis.

“Betul… bukan Hani yang cadangkan kita berkahwin. Tetapi, kalau Hani seorang lelaki, apakah agaknya yang boleh mendorong Hani melamar seorang wanita untuk dijadikan isteri?” balas Airil Amri, sengaja memprovokasi.

“Untuk mengelakkan dari perbuatan maksiat yang mungkin timbul dari pergaulan rapat tanpa ikatan yang sah!...”

“Jadi sekiraya Hani seorang lelaki, setiap kali Hani berkenalan atau bergaul dengan perempuan yang bukan mahram, Hani akan ajak berkahwin, begitu?...” soal Airil Amri, mencabar.

Norsyazwani terkedu. Terasa malu apabila jawapannya telah menunjukkan kecetekkan fikirannya sendiri. Kekagumannya terhadap kewibawaan Airil Amri semakin meningkat.

“Bukanlah begitu, kerana saya hanya akan bergaul rapat dengan orang yang sesuai dengan saya. Dan tak mustahil juga mungkin orang yang telah berjaya mencuri hati saya…” jawab Norsyazwani perlahan.

“Jadi Hani akan terdorong untuk berkahwin kerana orang itu telah berjaya mencuri hati Hani?” soal Airil Amri seolah mahukan kepastian.

Norsyazwani hanya mengangguk tanpa sebarang jawapan.

“Maka itu jugalah jawapan Am atas soalan Hani tadi. Am melamar Hani kerana Hani telah berjaya mencuri hati Am dan Am tidak mahu kehilangan hati itu. Am mahu memilikkinya dengan cara yang sah agar ia tidak akan sewenangnya meninggalkan Am. Jadi, sekali lagi Am memohon, mahukah Hani menjadi isteri Am yang sah?” tanpa segan silu, Airil Amri sekali lagi merayu.

Entah untuk keberapa kalinya Norsyazwani tergamam. Jiwanya bagaikan melambung-lambung keriangan apabila Airil Amri akhirnya mengakui yang dia telah berjaya mencuri hati lelaki itu. Ini bermakna Airil Amri sedang mencintainya. Ia juga bererti Norsyazwani tidaklah syok sendiri ketika ini walaupun secara dasarnya dia masih belum pasti sejauh mana perasaan cinta yang mula memekar dalam hatinya terhadap lelaki itu.

“Berilah saya masa sehari dua untuk memikirkanya…” akhirnya Norsyazwani berkata.

“Jangan biarkan Am tertunggu-tunggu terlalu lama, Hani. Am rasa dah tak sanggup untuk berjauhan dengan Hani…” kedengaran lirih suara Airil Amri merayu.

“InsyaALLAH, kalau ada jodoh kita tidak akan ke mana. Saya janji, saya akan beritahu awak secepat mungkin. Jadi buat masa sekarang, awak bincanglah dulu dengan emak awak. Mungkin lepas ni nanti baru saya pergi jumpa emak awak…” cuba memesrakan suaranya, Norsyazwani menyarankan.

“Kalau dah itu janji Hani, Am akur. Tapi, tolonglah jangan hampakan harapan Am!.. Am sanggup lakukan apa sahaja, asalkan Am dapat berkahwin dengan Hani…” Airil Amri terus merayu dan memujuk gadis di hadapannya itu tanpa kenal erti putus asa.

Lewat malam itu, Norsyazwani berteleku di atas sejadahnya. Menyerahkan jiwa dan raganya kepada ALLAH. Memohon rahmat dan keredhaaNYA sekiranya Airil Amri adalah jodohnya yang telah ditetapkan ALLAH, maka dia redha dan memohon ALLAH mempermudahkan segala urusannya serta merahmati mereka berdua dengan segala kebaikkan dari dunia hingga ke akhirat.

Cinta Norsyazwani yang mula berputik terhadap Airil Amri semakin memekar apabila melihat kesungguhan lelaki itu mahu mengambilnya dengan cara yang terhormat begitu.
Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.