Home Novel Cinta AKU TAK SALAH
AKU TAK SALAH
Kamsiah Abu
1/1/2014 18:47:29
79,250
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 1

Dewan yang sedang membuat pameran hartanah oleh Syarikat Teguh Sejati Holding itu agak sesak dengan orang ramai yang keluar masuk sejak pameran itu dilancarkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pagi tadi. Semua kelihatan amat teruja dengan jenis-jenis rumah dan harga yang ditawarkan oleh pihak pemaju.

“Maaf saudari, boleh saya dapatkan brochure untuk hartanah yang ditawarkan?” kedengaran seorang lelaki bertanya kepada salah seorang pegawai yang bertugas di pameran itu.

“Semua brochures ada di atas meja di hujung sana tu…” balas Norsyazwani sambil tersenyum mesra, menunjukkan meja yang dimaksudkan.

“Saya dah tengok tadi tapi tak ada!..”

“Oh!.. Dah habislah tu agaknya. Tunggu sekejap, saya ambilkan yang lain ya!..” ujar Norsyazwani, mesra.

Segera Norsyazwani berlalu ke bilik yang ada di penjuru dewan pameran itu untuk mengambil brochure tambahan yang di simpan di situ.

Lelaki yang bertanya tadi hanya mengangguk sambil terus merenung Norsyazwani dengan pandangan penuh minat. Dia terus berdiri di situ memerhatikan pegawai-pegawai lain melayan pengunjung-pengunjung pameran yang sentiasa bertali arus itu.

“Ma’af encik kerana terpaksa menunggu…” kedengaran Norsyazwani berkata sebaik dia kembali ke tempat di mana lelaki itu berdiri tadi.

“Eeerrrr… tak mengapa. Ada ke brochures yang saya cari tu?” lelaki itu bertanya sambil segera berpaling memandang ke arah Norsyazwani yang berada di belakangnya.

Mata mereka bertautan seketika apabila Norsyazwani juga sedang memandang tepat ke arah lelaki itu. Entah mengapa hati Norsyazwani tiba-tiba bergetaran dan jantungnya bagaikan berhenti berdenyut apabila terpandang senyuman yang menggoda sedang terukir di bibir lelaki itu. Bagaikan dipukau, Norsyazwani segera turut melemparkan senyuman mesra kepada lelaki itu.

“Maaf encik. Banyak brochure yang dah habis. Staff kami tak sempat lagi nak ambil yang baharu dari pejabat kami. Tak sangka pulak ramai pengunjung yang datang hari ini…”

“Tu yang awak pegang tu, brochure apa?” Lelaki itu memuncungkan bibirnya ke arah brochure yang ada di tangan Norsyazwani.

“Yang ni adalah brochure untuk projek kami yang di Indera Putra dan Bagan Lallang. Encik nak tengok brochure projek hartanah yang di kawasan mana?” cuba terus memaniskan senyuman dan suaranya, Norsyazwani bertanya.

“Oh, iya ke?... Saya nak cari hartanah di kawasan Kuala Lumpur atau Petaling Jaya. Awak boleh bantu ke untuk menunjukkan maklumat-maklumat yang saya cari tu?” soal lelaki itu dengan nada yang agak terkilan sambil menjelaskan apa yang dimahunya.

“Ooohhh… Kami ada beberapa projek di Petaling Jaya dan Puchong. Kalau encik nak tahu marilah sayan tunjukkan model contoh projek tu di sebelah sana…” sambil terus tersenyum mesra Norsyazwani mencadangkan.

“Okey!...” lelaki itu mengangguk sambil membontoti Norsyazwani yang sudah mula melangkah menuju ke arah yang dimaksudkan.

“Eeerrr… inilah beberapa model rumah teres dan juga kondominium yang akan didirikan di sekitar Petaling Jaya dan Puchong…” Norsyazwani memberitahu sebaik sahaja mereka berdiri hampir dengan model-model bangunan yang dipamerkan itu.

“Eeemmm… cantik rumah-rumah ni, tetapi macam mana saya nak dapatkan butir-butir terperinci mengenainya?” lelaki tadi bertanya sambil merenung dalam, tepat ke anak mata Norsyazwani seolah amat kecewa kerana tidak mendapat apa yang dikehendakkinya.

Norsyazwani menelan air liurnya sambil segera mengalihkan pandangannya ke arah model bangunan yang ada di sebelah kanannya. Tidak tahan untuk bertentang mata dengan lelaki itu yang bagaikan sengaja memanah anak matanya.

“Eeerr… Encik…”

“Airil Amri…”

“Eeerrr… Encik Airil Amri nak rumah yang macam mana?”

“Cik Syazwani, itu sebab saya nak tahu butir-butir kedua-duanya, kerana bila dah tahu barulah saya boleh buat pilihan yang mana satu yang sesuai dengan budget saya!..” kedengaran suara lelaki itu berubah agak tegang sambil matanya memandang tepat ke arah kad pekerja yang tergantung di leher Norsyazwani yang jelas memaparkan namanya.

Norsyazwani tergamam seketika apabila mendengar lelaki itu menyebut namanya dengan begitu fasih. Dia tidak menyangka lelaki yang bernama Airil Amri itu seorang yang agak teliti dan peka akan keadaan sekelilingnya sehingga boleh mengetahui namanya hanya melalui tag nama yang tertera di kad kerjanya. Kecut juga hati Norsyazwani apabila melihat renungan lelaki itu yang tidak berkelip-kelip seolah tidak sabar menunggu apa yang dimahunya.

“Oh!.. Okey!... kalau macam tu, ini contoh rumah berkembar dua tingkat yang akan di bina di atas tapak tanah berukuran 40 kaki kali 80 kaki. Manakala bangunannya pula adalah seluas 30 kaki lebar dan 50 kaki panjang, yang mana keluasan keseluruhan bangunan dari tingkat bawah dan tingkat atas berjumlah lebih kurang 2,800 kaki persegi…” sambil cuba terus memaniskan suaranya, Norsyazwani berkata.

“Berapa harganya?” pintas Airil Amri, jelas membayangkan perasaan tidak sabarnya.

Norsyazwani hanya mampu menelan air liurnya melihat telatah Airil Amri itu.

“Oleh kerana rumah jenis ini ada 3 bentuk rekaan dalaman yang berlainan, maka harganya juga adalah berbeza-beza. Bagaimanapun harga rumah jenis ini adalah dari RM1.4 juta ke atas..”

“Wooii!... mahal juga ya!..”

“Itu adalah harga asal belum tolak diskaun 7% untuk pembeli bumiputra…”

“Eeemmm… masih mahal…”

“Tak mahal, Encik Amri!.. Harga tu dah kira murah kalau dibandingkan dengan harga rumah oleh syarikat lain yang sama jenis dan keluasan bangunannya di sekitar kawasan Lembah Klang ni..” Norsyazwani cuba mempertahankan kredibiliti syarikatnya.

“Okey, kalau dipotong 7% untuk diskaun bumiputra, harganya masih lebih kurang RM1.32 juta. Masih agak tinggi bagi budget yang saya mampu” tanpa segan silu Airil Amri memberitahu.

Norsyazwani memandang ke arah Airil Amri dengan dahi yang berkerut.

“Kenapa?” soal Airil Amri sambil mengangkatkan keningnya.

“Kenapa apa?” soal Norsyazwani kembali seolah keliru.

“Tu saya tengok Cik Syazwani macam terkejut ajer bila saya kata harga tu masih di luar kemampuan budget saya…”

“Oooo… Eeerrrr… taaaakk… saya cuma masih memikirkan macam mana saya dapat membantu Encik Amri mencari rumah yang boleh memenuhi citarasa Encik Amri…” dengan agak gubra Norsyazwani menjawab kerana tidak menyangka lelaki itu sentiasa memerhatikan segala gerak gerinya.

“Wah!.. bagus!.. Untung syarikat ini mempunyai pegawai pemasaran macam Cik Syazwani yang begitu prihatin akan kemahuan pelanggan-pelanggannya…” sambil tersenyum mesra Airil Amri memuji.

“Itu sudah tanggung jawab saya. Jadi… macam mana dapat saya bantu Encik Amri?” balas Norsyazwani sambil cuba menstabilkan suaranya.

Airil Amri terus merenung Norsyazwani dengan mata yang langsung tidak berkedip, bagaikan cuba menghayati kata-kata wanita di hadapannya itu. Sesekali kelihatan keningnya terangkat dengan dahinya yang berkerut seolah sedang memikirkan sesuatu.

Manakala Norsyazwani terus menunggu jawapan lelaki itu dengan penuh sabar.

Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.